Wednesday, October 31, 2007

Cinta Anta-Anti

Sudah 19 hari 1 syawal berlalu, namun masih seronok untuk bercakap tentang raya. Kami sekeluarga sungguh rasa seronok beraya tahun ni. Syawal yang barangkali terakhir buat kami di bumi Anbiya' ini mempunyai nostalgia dan kenangan tersendiri. Seboleh-bolehnya kami cuba menjadikannya Hari Raya yang menjadi memori sampai bila-bila.

Kerana itu kami tidak adakan rumah terbuka. Niatnya nak beraya sepuas-puasnye. Pun begitu, kami tak menghampakan tetamu yang bertandang ke teratak kami. Nasi dagang dan laksa terengganu menjadi hidangan istimewa (maaf ye bagi yang tak sempat) peluang hanya sekali!.

Salah sebuah rumah yang sempat kami kunjungi (kalau tak silap pada 10 syawal lepas) ialah rumah pelajar medik perempuan yang terletak di Syatby ( anggaran 15km dari tempat kami tinggal). Kedudukan universiti perubatan yang agak jauh dari universiti Al-Azhar menyebabkan penempatan pelajar-pelajarnya juga agak jauh dari kawasan kami.

Sedang asyik menunggu isteri (beri peluang dia puashati berjumpa bekas teman serumahnya dulu), saya sempat mencapai beberapa risalah yang terdapat di rak buku rumah tersebut. Antaranya risalah THE LETTERS OF AVICENNA. Walaupun saya kurang bersetuju dengan penggunaan nama Avicenna yang merujuk kepada Ibn Sina, seorang cendekiawan Islam yang terunggul dalam bidang perubatan - kerana Barat menggunakan nama yang mirip nama barat itu untuk mengaburi sejarah Islam sehingga orang tidak sedar Avicenna itu seorang Islam - berdasarkan pembacaan saya yang sepintas lalu, banyak info-info menarik yang saya dapati dari risalah tersebut. Antaranya kartun CINTA ANTA-ANTI yang sahabat-sahabat boleh baca di bawah. Menarik kartun ni,boleh dijadikan renungan dan muhasabah bagi remaja-remaja kita
(sila klik pada gambar untuk besarkan).




Berbalik kepada Ibn Sina, saya bawakan di bawah biografi hidupnya untuk dijadikan kebanggaan dan teladan kita bersama. Antara yang kita boleh kutip dari sejarah hidupnya, betapa kesungguhannya dalam belajar sehingga dapat menguasai pelbagai bidang, bahkan mempelajari bidang agama juga! Ini sungguh berbeza dengan umat Islam sekarang. Jangankan menguasai pelbagai bidang, menguasai satu-satu bidang pun tak mampu. Saya pernah menulis dalam entri sebelum ini yang bertajuk BERUSAHALAH MENJADI DOKTOR tentang hakikat yang harus oleh dipelajari oleh orang-orang Islam sekarang, betapa perlunya kita berusaha untuk menguasai sebanyak mungkin ilmu-ilmu alat disamping tidak diabaikan ilmu-ilmu wahyu.

Selama ini, Dunia Islam telah banyak dikelirukan dalam soal penemuan beberapa aspek penting di dalam bidang sains dan teknologi. Banyak perkara ditonjolkan berkenaan sumbangan Barat kepada tamadun ilmu pengetahuan sedangkan hakikatnya beberapa penemuan dan sumbangan dalam bidang sains dan teknologi oleh orang-orang Islam sama ada diketepikan atau disembunyikan. Hal ini berlaku sama ada sengaja atau tidak disengajakan. Sumbangan Muslim sebahagian besarnya telah diabaikan daripada teks-teks akademik, buku-buku sejarah dunia dan pembangunan ketamadunan kemanusiaan. Di kebanyakan institusi pengajian menengah di Barat seperti di Asia Timur, jarang-jarang nama Muslim di ketengahkan.

Kalaupun ada, nama-nama mereka dilatinkan atau diubah yang menyebabkan asal-usul dan identiti mereka sebagai muslim kabur. Nama-nama seperti Ibn Sina diatas, Jabir Ibn Hayyan menjadi Geber, Al-Haithan (Alhazen), Abu al-Hasan al-Mawardi (Alboacen), Ibn Rushd (Averroes), Ibn Zuhr (Avenzoar), Al-Khawarizmi (Algorism), Al-Kindi (Alkindus), Al-Razi (Rhazes), Al-Farabi (Al-Pharabius) dan berbagai nama lain turut disebut menurut fonetik orang-orang Barat Usaha ini juga adalah untuk menghalang daripada nama ilmuan Islam dikaitkan dengan ketamadunan Islam yang pernah menguasai dunia ilmu pengetahuan pada Zaman Pertengahan.

Sama-sama kita baca biografi hidup beliau di bawah, moga boleh menyuntik semangat untuk mengembalikan ketamadunan ilmu yang pernah berada di tangan kita suatu ketika dulu..

IBNU SINA – TOKOH PERUBATAN ISLAM.

Latar Belakang Ibnu Sina

IBNU SINA yang lebih dikenali di Barat dengan nama Avicenna mempunyai nama lengkap
Abu Ali al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Beliau merupakan seorang yang berbangsa Parsi. Menurut Ibnu Abi Ushaybi’ah ia lahir pada tahun 375 H, di desa
Afshanah dekat kota Kharmaitan Propinzi Bukhara Afghanistan.

Pelajaran pertama yang diterimanya pada zaman kanak-kanak adalah Al-Quran dan
sastera yang didapati olehnya secara tidak formal. Ia mula belajar pada usia 5 tahun.
Sementara itu sewaktu berumur 10 tahun , beliau telah berjaya menghafal Al-Quran.
Pada masa umurnya meningkat 18 tahun Ibnu Sina telah menjadi "Doktor Di Raja".
Disamping itu, Ibnu Sina jiga telah menguasai seluruh cabang ilmu pengetahuan yang
ada pada waktu itu. Ilmu-ilmu agama seperti tafsir, fiqh, perbandingan agama
(ushuluddin), tasawuf dan sebagainya sudah dikuasainya ketika baru berusia 10 tahun.
Pada masa kecilnya, ia dibimbing dan dididik oleh Abu Abdullah Natili, seorang sahabat
karib ayahnya, dan ayahnya sendiri. Antara bidang ilmu yang berjaya dikuasainya
termasuklah dalam bidang falsafah, kedoktoran, geometri, astronomi, muzik, syair,
teologi, politik, matematik, fizik, kimia, sastera dan kosmologi.

Ensiklopedia Kedoktoran Pertama

Pada usia 21 tahun, ketika berada di Kawarazm, ia mulai menulis karyanya yang pertama
yang berjudul "Al-Majmu" yang mengandungi berbagai ilmu pengetahuan yang lengkap.Kemudian ia melanjutkan menulis buku-buku lain.Nama-nama buku yang
pernah dikarang Ibnu Sina, termasuk yang berbentuk risalah ukuran kecil, dimuat dan
di himpun dalam satu buku besar yang berjudul "Essai de Bibliographie Avicenna" yang dihasilkan oleh Pater Dominican di Kairo.Antara yang terkandung dalam buku tersebut termasuklah buku karangan yang amat terkenal iaitu Al-Qanun Fit – Tibb.

Teori-Teori Anatomi Dan Fisiologi

Teori-teori anatomi dan fisiologi dalam buku-buku beliau adalah menggambarkan analogi manusia terhadap negara dan mikrokosmos (dunia kecil) terhadap alam semester sebagai makrokosmos (dunia besar).Misalnya digambarkan bahawa syurga kayangan adalah bulat
dan bumi adalah persegi dan dengan demikian kepala itu bulat dan kaki itu empat persegi. Terdapat empat musim dan 12 bulan dalam setahun, dengan itu manusia memiliki empat tangkai dan lengan (anggota badan) mempunyai 12 tulang sendi. Hati (heart) adalah ‘pangeran’-nya tubuh manusia, sementera paru-paru adalah ‘menteri’-nya. Leher
merupakan ‘jendela’-nya sang badan, manakala kandung empedu sebagai ‘markas
pusat’-nya. Limpa dan perut sebagai ‘bumbung’ sedangkan usus merupakan sistem
komunikasi dan sistem pembuangan.

Sementara itu "Canon of Medicine" memuatkan pernyataan yang tegas bahawa "darah
mengalir secara terus-menerus dalam suatu lingkaran dan tak pernah berhenti" . Namun
ini belum dapat dianggap sebagai suatu penemuan tentang srikulasi darah, kerana
bangsa cina tidak membezakan antara urat-urat darah halus (Veins) dengan pembuluh
nadi (arferies). Analogi tersebut hanyalah analogi yang digambarkan antara gerakan
darah dan siklus alam semesta, pergantian musim dan gerakan-gerakan tubuh tanpa
peragaan secara empirik pada keadaan yang sebenarnya.

Pengaruh Ibnu Sina (Avicenna)

Pengaruh Ibnu Sina sebagai seorang failasuf dan doktor perubatan dalam kebudayaan
Eropah adalah luas. Buku karangannya al-Qanun Fit- Tibb (Peraturan Perubatan) terdiri daripada 14 jilid, telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan.
Ilmu perubatan moden banyak mendapat pelajaran daripada Ibnu Sina, dari segi
pengunaan ubat, diagnosis dan pembedahan.

Terjemahan Dan Bahan Rujukan al-Qanun Fit- Tibb

Pada abad ke 12 M Gerard Cremona yang berpindah ke Toledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi buku rujukan utama
di universiti-universiti Eropah hingga 1500 M. Bukunya telah disalin (cetak ) sebanyak
16 kali dan 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Yahudi (Hebrew).Disamping itu buku tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris,
Perancis , Sepanyol dan Itali . Pada abad ke 16 M , buku ini dicetak 21 kali.

Al-Qanun Fit-Tibb juga digunakan sebagai buku teks kedoktoran di berbagai universiti
di Perancis. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip
K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran".

Penulis- penulis Barat telah menganggap Ibnu Sina sebagai ‘Bapa Doktor’ kerana Ibnu
Sina telah menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen dan
pengalaman dari ahli-ahli perubatan dari India dan Parsi dan pengalaman beliau sendiri.

Perintis Pengenalan Penyakit Saraf

Al- Qanun Fit-Tibb telah membincangkan serta mengenegahkan mengenai penyakit saraf.
Buku tersebut juga telah mengajar mengenai cara-cara pembedahan dimana telah
menekankan keperluan pembersihan luka. Malahan di dalam buku-buku tersebut juga dinyatakan keterangan –keterangan dengan lebih jelas di samping hiasan gambar-gambar
dan sketsa-sketsa yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang luas.

Ibnu Sina- Sebagai Seorang Doktor.

Ibnu Sina pernah di beri gelaran sebagai "Medicorum Principal" atau "Raja Diraja Doktor"
oleh kaum Latin Skolastik. Antara gelaran lain yang pernah diberikan kepadanya adalah
sebagai "Raja Ubat". Malahan dalam dunia Islam, ia dianggap sebagai "Zenith", puncak
tertinggi dalam ilmu kedoktoran . Ibnu Sina menjadi "Doktor Di Raja" iaitu doktor kepada Sultan Nuh 11 bin Mansur di Bukhara pada tahun 378 H/ 997 M iaitu ketika beliau
berusia 18 tahun. Pada waktu itu penyakit sultan dalam keadaan parah dan tidak ada
doktor lain yang berjaya mengubati baginda. Akan tetapi berkat pertolongan Ibnu Sina
baginda kembali pulih.

Penemuan-Penemuan Baru

Ibnu Sina dikenali sebagai seorang saintis yang banyak memberikan saham terhadap dunia
ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan barunya. Antara sumbangan beliau adalah
di dalam bidang geografi, geologi, kimia dan kosmologi.

Bidang Geografi

Ibnu Sina merupakan seorang ahli geografi yang mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubungan dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan
ia mampu mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada waktu itu di mana gagal
dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Heredotus, Aristoteles sehinggalah Protolemaious. Menurut Ibnu Sina " gunung-ganang yang memang letaknya tinggi iaitu lingkungan mahupun lapisannya dari kulit bumi, maka apabila ia diterajang lalu berganti
rupa dikarenkan oleh sungai-sungai yang meruntuhkan pinggiran-pinggirannya. Akibat
proses seperti ini, maka terjadilah apa yang disebut sebagai lembah-lembah."

Bidang Geologi, Kimia Dan Kosmologi

Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi , kimia serta kosmologi memang tidak dapat
di sangsikan lagi. Menurut A.M.A shushtery, karangan Ibnu Sina mengenai ilmu
pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di Eropah. Dalam bidang kimia , ia juga meninggalkan penemuan-penemuan yang bermanafaat . Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina
telah menerangkan bahawa benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan
yang lain. Setiap logam terdiri dari berbagai jenis. Penerangan tersebut telah memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir Ibnu
Hayyan , Bapa Kimia Muslim. Sebahagian daripada karyanya yang dapat dicatat disini
adalah daripada :

1.Bidang logika "Isaguji", "The Isagoge", ilmu logika Isagoge.

2.Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (On the Divisions of the Rational Sciences) tentang
pembahagian ilmu-ilmu rasional.

3.Bidang metafizika , "Ilahiyyat" (Ilmu ketuhanan)

4.Bidang psikologi , "Kitab an-Nayat" (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan
jiwa.

5. Fiad-Din yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin menjadi "Liber de
Mineralibus" yakni tentang pemilikan (mimeral).

6.Bidang sastera arab "Risalah fi Asab Huduts al-Huruf" ,risalah tentang sebab-sebab
terjadinya huruf.

7.Bidang syair dan prosa "Al-Qasidah al- Aniyyah" syair-syair tentang jiwa manusia.

8.Cerita-cerita roman fiktif , "Risalah ath-Thayr" cerita seekor burung.

9.Bidang politik "Risalah as-Siyasah" (Book on Politics) – Buku tentang politik.

Sumbangan Ibnu Sina

Ibnu Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan membuat
beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan
psikosomatics "psychosomatic medicine". Beliau memperkembangkan ilmu diagnosis
melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa
detik sahaja ketidak - seimbangan humor yang berkenaan . Diagnosis melalui denyutan
jantung ini masih dipratikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan,
Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii
dari Amerika (1981) melapurkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan
Parsi sanggat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi
mutunya yang pelbagai .Ini merangkumi :

1. Kuat atau denyutan yang lemah.

2. Masa antara denyutan.

3. Kandungannya lembap di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.

Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang hakim mungkin mengetahui dengan
tepat penyakit yang dihinggapi di dalam tubuh si pesakit.

Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai
sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya , beliau boleh mendapati nama
dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:

Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-
hampir berhenti , seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan , nama jalan , rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu , kata Ibnu Sina
"Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan
kekasihnya , menurut peraturan syariah maka buatlah".(Terjemahan). Ibnu Sina adalah
doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia
menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang
timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas
jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.

Beliau telah menghasilkan 250 buah karya dan masih kekal hingga ke hari ini dan
termasuklah 116 buah karyanya dalam bidang "Ilmu Perubatan. Banyak karyanya ditulis
dalam bahasa Arab dan juga beberapa dalam bahasa Parsi. "Qanun Fitt Tibb" adalah
karyanya yang termasyur , paling selalu dicetak di Eropah pada zaman "Renaissance".
Karya Qanun itu telah mempunyai pengaruh yang asas dalam ilmu perubatan di Eropah
pada zaman Renaissance dan telah menjadi buku rujukan yang utama di universiti-
universiti Eropah hingga ke abad 17 M.

Penutup

Ibnu Sina meniggal dunia di Hamdan ,dalam usia 58 tahun pada bulan Ramadhan
428 H/1037 M .Ia dimakamkan di sana. Dalam rangka memperingati 1000 tanun hari kelahirannya (Fair Millenium) di Tehran pada tahun 1955 M ia telah dinobatkan sebagai "Father of Doctor" untuk selamanya-selamanya , dan di sana (Tehran) telah dibangunkan sebuah monemun sejarah untuk itu. Makam beliau di Hamdan telah di kelilingi oleh makam-makam doktor islam yang lain. Hal ini menyebabkan ahli-ahli ilmu yang
terkemudian merasa megah kalau dimakamkan di tanah perkuburan di mana
"zeninth" itu dimakamkan.

RUJUKAN

1. Baharudin Yatim & Sulaiman Nordin. 1997. Sains Menurut Perspektif Islam:
Pusat pengajian umum UKM, Bangi.
2. Baharudin Yatim & Sulaiman Nordin. 1997. Islam Al-Quran dan Ideologi Masa Kini:
Pusat Pengajian Umum UKM, Bangi
3. H. Zainal Abidin Ahmad. 1974. Ibnu Sina . Bulan Bintang Jakarta.

Tuesday, October 30, 2007

Aurat wanita 'dera' emosi kaum lelaki - Nik Aziz

KOTA BHARU, 30 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Nik Abdul
Aziz Nik Mat berkata aurat kaum wanita yang terdedah secara meluas adalah suatu
'penderaan emosi' yang jarang dibincangkan dalam mana-mana perbincangan akademik.

Tambah beliau, perbincangan tentang penindasan tidak boleh dilihat daripada bentuk penderaan fizikal semata-mata.

"Lazimnya, kita selalu melihat kes penderaan kanak-kanak dan isteri dalam rumah tangga
yang mudah kelihatan oleh mata, tapi
penderaan emosi ke atas kaum lelaki tidak
dilihat. "Solat tidak khusyuk malah tidur kita
juga kerap terganggu. Jadi, inilah penderaan
emosi ke atas kaum lelaki, tapi tidak ramai dibincangkan dalam bentuk intelektual,"kata beliau dalam persidangan Skima di sini anjuran pertubuhan
NGO-NGO Muslim baru-baru ini.

Tambah beliau, melalui kuasa politik yang dicapai oleh PAS Kelantan, maka kerajaan di bawah pimpinannya berusaha menerapkan beberapa nilai Islam semampu mungkin.

"Dalam pelaksanan sistem Islam, Kerajaan Kelantan cukup menekan dalam segala aspek. bermula dari pembinaan infrastruktur sehinggalah kepada hal penjagaan aurat.

"Kita perlu faham bahawa kita berada di bumi Islam, makanya sistem Islam itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh," kata beliau.

Menurut beliau, sikap enggan melaksanakan pemerintahan Islam bermula daripada sikap manusia pemimpin yang tidak reda, tidak rela atau berpuas hati menjadi seorang Muslim.

"Secara tidak sedar mereka sebenarnya memang tidak berpuas hati dengan hukum Allah. Mereka tak sedar nikmat bernafas, makan, minum dan mereka hidup di atas di bumi-Nya,
tapi tidak mahu mengikut suruhan Allah.

"Ini menandakan mereka tidak reda dengan Allah, tapi mereka ingat selama ini mereka
telah reda. Kalau mereka reda, ertinya mereka akan guna hukum-hukum Allah ini.

"Kita selalu menyebut, aku reda Allah sebagai Tuhanku, dan Islam sebagai ad-Deen dan Muhammad sebagai nabi dan rasul, tetapi sejauhmanakah penghayatan ke atas lafaz itu?" tambah beliau lagi.

Menurutnya, perbincangan mengenai aspek pemurnian dalam institusi kehidupan seperti ekonomi, pendidikan, siasah dan sosial tidak terpisah dengan dosa, pahala, syurga, neraka
dan alam akhirat.

"Kalau kita ingat ini semua, maka setiap langkah pentadbiran kita akan menjurus kepada keharmonian hidup bukan sahaja di dunia, malah di akhirat.

Nik Abdul Aziz sebelum itu tidak dapat memberi ucapan pada malam sebelumnya kerana sedikit keuzuran akibat 'salah bantal'. Beliau bagaimanapun akhirnya dapat bersama para peserta keesokannya bagi menggantikan ucapan beliau yang tertunda.

"Saya sebenarnya dah tiba semalam, minum bersama semua. Tetapi, kerana sakit akibat
'salah bantal', akhirnya saya terpaksa minta diri untuk pulang. Jadi, saya mohon maaf.

"Ini pun penyakit kita juga. Suka salahkan orang lain. Kita sendiri yang salah letak bantal
hingga leher sakit, tapi bantal pula yang dipersalahkan," katanya diiringi ketawa hadirin.

Sumber: Harakahdaily.

Monday, October 29, 2007

Komen Yang Perlukan Respon Semua.

Ia satu komen oleh seorang pengunjung blog ini.

Saya minta maaf kepada sahabat saya itu kerana sehingga kini saya belum memberi
respon terhadap komen itu. Insya Allah saya akan cuba bagi respon, cuma sekarang ni
masa kurang mengizinkan.

Memandangkan artikel tersebut asalnya dalam Taman Ilmu Islam dan untuk membuka
ruang perbincangan yang lebih luas, saya telah 'pindahkan' komen itu ke ruangan forum
Taman Ilmu Islam. Saya percaya ramai sahabat yang lebih berkelayakan dan mempunyai maklumat untuk memberi respon berkenaan perkara ini.

Boleh masuk [ sini ] untuk sama-sama memberi respon.

Berikut ialah komen tersebut [sila rujuk sini ]


sy berasa sedikit terpanggil untuk memberi komen bukan mengenai kes rogol di
malaysia..ttp ttg artikel perjuangan politik Islam di Malaysia yg ustaz ada paste.

Pertamanya terima kasih byk atas artikel yg sgt berinformasi dan menarik itu.Byk yg sy pelajari dan faham drpd artikel tadi.Sy juga amat tertarik dgn sejarah perkembangan
ideology ikhwan muslimin dan perpecahan jemaah yg berlaku di kalangan org2 Islam di Malaysia. Sy ada beberapa soalan yg sy harap utz tidak keberatan utk menjawabnya:

1.Jika dilihat sejarah pembentukan dan perjalanan IM (ikhwanul muslimin) yang bermula
dari tahun 1928 (kalau x silap) dan dibandingkan dengan sejarah perkembangan parti2/ jemaah2 islam di Msia, jelas bhw kadar perpecahan/ pembentukan jemaah baru drpd IM
amat kurang berbanding yg berlaku di Malaysia (wallahua3lam, sekadar pemerhatian sy),
jadi mengapa IM kelihatan lebih berjaya dari segi mengekalkan perpaduan ahli dan umat
Islam secara am, sedangkan kita gagal? (jika benarlah fikrah dan silibesnya sama)

2.Apakah pendapat ustaz ttg kewujudan multi-jemaah di kalangan rakyat msia? Adakah
ia sesuatu yg salah, atau satu petanda positif bhw kita sebenarnya semakin matang
dalam membuat penilaian?

3.Politik sememangnya penting,dan memberi impak besar pd masyarakat.Namun,
tidakkah penekanan yang melampau kpd aspek2 politik semata2 hingga mengabaikan
aspek 'pendidikan' dan 'penanaman nilai2 Islam' terhdap individu2 muslim hanya akan menyebabkan masyarakat mengambil antara 2 langkah- menolak usaha pembentukan
kerajaan Islam-atau menerima proses Islamisasi atas dasar taklid buta?

sekian,terima kasih.Maaf lah kalau soalan sy panjang sgt.



Di bawah pula ialah artikel yang dimaksudkan
[ Sila rujuk sini ] :

Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari
Untuk dibentangkan dalam Kursus Pimpinan Pelajar YIK Zon 3
pada : 24 Mei 2001
bertempat : SMU (A) Amir Indera Petra, Bachok Kelantan..

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru
kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan
amal yang
soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang
Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" – [1]




Muqaddimah

Adalah menjadi satu pekara yang tidak mungkin dapat disangkal akan kewajipan setiap
muslim untuk menafkahkan dirinya dalam perjuangan Islam. Setiap yang ingin dirinya
digelar sebagai pejuang sewajarnya menyoal dirinya sendiri setiap saat dan waktu “Apakah
yang telah aku lakukan untuk Islam?”. Lalu adalah menjadi satu keperluan kepada setiap individu muslim terutama sekali pelajar-pelajar agama yang merupakan generasi tunas
dalam gerakan Islam membuka minda dan meluangkan masa untuk sama-sama berfikir bagaimana untuk menjadikan agenda perjuangan Islam sebagai satu realiti.

Dari konteks Malaysia, untuk meihat masa depan perjuangan Islam maka sudah tentulah
tidak dapat tidak harus disorot dari segi sejarah. Ini kerana sejarah sudah tentu menjadi
cermin kepada masa yang akan mendatang. Dalam memperkatakan mengenai sejarah perjuangan Islam di Malaysia, saya akan lebih menumpukan perbincangan kepada
perjuangan Islam melalui politik khususnya PAS. Bukan saya bermaksud untuk
menafikan harakah atau jemaah Islam yang tidak melibatkan diri dengan politik, namun
kaitan politik secara tidak langsung dengan aktiviti gerakan Islam khususnya di Malaysia
sama sekali tidak boleh dinafikan. Tambahan pula, poltik adalah tumpuan utama setiap
rakyat terbanyak pada masa lalu, kini dan akan datang. Bagi memudahkan perbahasan,
saya membahagikan kronologi perjuangan politik Islam di Malaysia kepada 4 peringkat :

1. Sebelum 1955

2. 1955 – 1983

3. 1983 – 1997

4. 1998 – hari ini



Perjuangan Islam di Tanah Melayu Sebelum 1955

Fakta : Perjuangan Islam di Tanah Melayu bermula semenjak kedatangan Islam di Tanah Melayu yang masih merupakan polemik di kalangan ahli-ahli sejarah. Namun secara
khususnya kebangkitan para ulama’ di beberapa buah negeri di Tanah Melayu untuk menentang penjajah adalah merupakan titik tolak kepada kemaraan golongan agama
dalam arena politik. Dari sudut yang lain, kebangkitan perjuangan Islam adalah selari
kalaupun tidak lebih awal dari kebangkitan nasionalisme. Sebelum gerakan kemerdekaan berlaku secara menyeluruh, Tanah Melayu sudah digegarkan dengan kebangkitan Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan dan beberapa lagi penentangan
yang dipelopori oleh golongan ulama’. Walaupun kebangkitan ini berlaku di merata-rata
tempat, namun kesedaran menyeluruh untuk membebaskan diri dari penjajah masih
belum berlaku.

Namun, penjajahan Jepun merubah senario ini. Pada tahun 1945, Dr. Burhanuddin Helmi memperkenalkan pemikiran politik Islam melalui penubuhan Parti Kebangsaan Melayu
Malaya (PKMM). Seterusnya ekoran dari gagasan Malayan Union pada tahun 1946, orang-orang Melayu mula bersatu melalui seruan “Hidup Melayu” di bawah kepimpinan seorang tokoh nasionalisme, Dato’ Onn bin Jaafar. Pada awalnya, tokoh-tokoh ulama
berada di bawah payung UMNO bersama dengan Dato’ Onn untuk memperjuangkan kemerdekaan lebih-lebih lagi apabila Hizbul Muslimin diharamkan oleh British pada
tahun 1948. Penyertaan golonagn ulama pada masa itu bukanlah menunjukkan
persetujuan mereka dengan dasar nasionalis tetapi kerana mereka melihat adalah lebih
penting untuk mewujudkan penyatuan terlebih dahulu.[2] Namun, akibat beberapa pertembungan pendapat dengan pimpinan UMNO yang secara rasminya beraliran
nasionalis sekular, tokoh-tokoh ulama beramai-ramai keluar dari UMNO untuk
menubuhkan Persatuan Ulama yang terpisah dari UMNO pada tahun 1951. Beberapa
bulan kemudian, ia bertukar nama menjadi Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS)
di mana Tuan Haji Ahmad Fuad menjadi Yang diPertuanya yang pertama. PAS
seterusnya menyertai pilihanraya pada tahun 1955 namun gagal untuk membentuk
kerajaan persekutuan.

Ulasan : Perjuangan Islam pada masa Tanah Melayu masih bergegar dengan tuntutan kemerdekaan tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka adalah yang
terbaik. Tambahan pula pada masa tersebut, rakyat masih dihantui dengan kekejaman
Bintang Tiga dan masih terngiang-ngiang dengan penindasan oleh tentera Jepun. Oleh
yang demikian, mereka memilih untuk mengambil jalan selamat iaitu dengan mengundi
pihak yang boleh memerikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pihak terdekat yang dimaksudkan ialah UMNO. Ini sama sekali tepat dengan kehendak penjajah British yang seboleh-bolehnya mahukan pihak yang akan memerintah bekas tanah jajahan mereka
akan terus menjalankan dasar-dasar pro-penjajah. Kerana itulah, Hizbul-Muslimin telah diharamkan oleh pihak penjajah pada tahun 1948. Namun, dalam masa yang sama
kegagalan pihak ulama’ untuk merebut peluang tampil ke hadapan juga merupakan satu
faktor perjuangan Islam ditolak oleh kebanyakan rakyat pada masa itu. Tambahan pula, perjuangan yang dipelopori oelh golongan ini masih bercampur-gaul dengan ideologi kebangsaan. Seandainya pihak ulama’ mampu membentuk satu barisan alternatif
bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain, besar kemungkinan
perjalanan sejarah politik di Malaysia akan berubah.


1955 - 1983

Fakta : Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul
Rahman selaku pemimpin tertinggi UMNO yang kedua secara automatik memimpin
kerajaan Perikatan bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain. Selaku kerajaan yang baru sahaja dibentuk, maka sudah tentulah mereka menghadapi pelbagai masalah yang menggugat kerajaan mereka. Pelbagai pihak di dalam negara masih sukar
untuk dikongkong agar menjadi penyokong kerajaan. Akhbar-akhbar masih berperanan
dengan bebas mengkritik pelbagai dasar yang berakhir dengan proses ‘penelanjangan’ kebebasan akhbar pada tahun 1962.[3] Pada peringkat ini jugalah berlakunya proses
peralihan perjuangan PAS sebagai sebuah parti politik nasionalis yang mempunyai nilai
Islam kepada sebuah parti politik yang mempunyai konsep jemaah dan benar-benar menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Ini berlaku seriingan dengan pelbagai peristiwa-peristiwa yang berlaku di Malaysia. Kronologinya secara umum bolehlah
dirumuskan seperti berikut :

1963 : Pembentukan Malaysia menyatukan Singapura, Sabah dan Sarawak. PAS yang
masih merupakan parti politik nasionalis bercorak Islam mengambil sikap menentang
yang sederhana.

1963 : Ideologi perjuangan Ikhwanul Muslimin mula meresap masuk ke dalam PAS. Di
bawah pimpinan Prof Zulkifli Muhammad, PAS menghantar Haji Yusuf Rawa, AJK PAS
Pusat ke Timur Tengah untuk memperkenalkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.
Dialog demi dialog diadakan khususnya dengan pimpinan Ikhwan.

1964 : PAS di bawah Prof Zulkifli menghantar sepuluh orang pelajar-pelajar Malaysia
yang pertama untuk melanjutkan pelajaran ke Iraq. Secara sulitnya, ia adalah persediaan
awal untuk melahirkan satu generasi perjuangan yang berlainan dengan generasi yang
sedia ada.

1964 : Prof Zulkifli Muhammad meninggal dunia dalam satu kemalangan. Tidak lama
selepas itu, PAS kehilangan pula Dr. Burhanuddin. Seterusnya, PAS dipimpin oleh Dato’
Asri. Kepimpinan beliau dikatakan semakin mengukuhkan lagi semangat ideologi
kebangsaan Melayu dari dasar rasmi PAS iaitu Islam. Oleh yang demikian, PAS
seterusnya benar-benar tidak dikenali sebagai gerakan Islam.

1968 : Al-Arqam ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad. Dalam satu jangka masa yang
panjang, ia mewujudkan satu senario yang benar-benar tidak disangka. Walau
bagaimanapun, saya merasakan perbahasan mengenai Al-Arqam tidak wajar disentuh
di peringkat ini.[4]

1969 : Perlantikan beberapa orang ustaz-ustaz muda ke jawatan penting khususnya
Ustaz Hassan Shukri yang baru saja pulang dari Iraq. Beiau terus dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat. Beliau dan rakan-rakannya mula memerkenalkan konsep tarbiyyah
ala Ikhwan. Pada masa tersebut, bermulalah secara rasmi apa yang dinamakan
‘pertembungan dalaman’ antara pimpinan yang sedia ada dengan ahli peringkat bawahan
yang mehukan pembaharuan dalam halatuju perjuangan PAS.

1969 : Rusuhan kaum di Kuala Lumpur ekoran rasa tidak puas hati akibat jurang
perbezaan ekonomi antara kaum. PAS khususnya tidak melihat ini sebagai peluang
untuk menyerang habis-habisan pihak kerajaan ekoran kegagalan mereka membina
perpaduan kaum. Adalah tidak dinafikan, pergolakan dalaman PAS merupakan penyebab kepada kegagalan mereka untuk berfungsi dengan sebaik mungkin.

1971 : Penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia sebenarnya ialah alternatif
kepada golongan muda yang benar-benar mahu merealisasikan tuntutan perjuangan Islam
ala Ikhwan. Pemikiran Sayyid Qiutb yang sebelum ini berkisar di kalangan ahli-ahli PAS
mula diambil alih oleh ABIM. Penubuhan ABIM sebenarnya banyak dipelopori oleh bekas tokoh-tokoh pelajar yang radikal seperti Anwar Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi, Sidiq Fadhil dan lain-lain. Ia juga turut menarik golongan ‘ustaz muda’ seperti
Haji Abdul Hadi, Abdul Ghani Shamsuddin dan Fadhil Nor. Secara tidak langsung, ABIM sebenarnya dilihat sebagai wadah terbaik bagai meneruskan kesinambungan perjuangan
Islam di Malaysia pada masa itu. Ini disebabkan oleh imej UMNO sebagai ultra-sekular
dan imej PAS yang masih dilihat sebagai nasionalis sukar untuk diterima oleh golongan
muda.

1973 : Penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional ekoran pelawaan yang dibuat oleh
Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdul Razak di atas nama perpaduan Melayu. Polemik
yang dicetuskan oleh ‘langkah merbahaya’ PAS ini telah memperhebatkan lagi pergolakan dalaman yang telah sedia wujud sebelum ini. Walaupun PAS masih mengekalkan dasar rasminya iaitu Islam, namun ia tidak lebih sebagai retorik ekoran pengiktirafan PAS
terhadap pendekatan UMNO/BN pada masa itu. Penyertaan PAS ke dalam BN juga
secara tidak langsung juga menyebabkan ramai tenaga muda menjadikan ABIM sebagai
pilihan utama.

1974 : Anwar Ibrahim memimpin demonstrasi besar-besaran pelajar di Baling bagi memperjuangkan isu kemiskinan. Beliau seterusnya mula muncul di persada politik
Malaysia dengan imej Islamik dan radikal[5].

1977 : Majlis Syura Tertinggi ABIM memutuskan penyertaan tiga orang ahli mereka ke
dalam PAS khusus bagi satu ‘misi khas’ iaitu memulakan kembali usaha-usaha tarbiyyah
atau dalam erti kata lain ‘menyelamatkan’ PAS dari terus hanyut dalam lautan
perjuangan kebangsaan. Tiga orang ahli tersebut ialah Haji Fadhil Noor selaku
Timbalan Presiden Abim, Haji Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman
yang kedua-duanya merupakan Exco ABIM Pusat.

1978 : Berlaku krisis dalaman yang hebat di dalam PAS antara Dato’ Asri selaku YDP
PAS dengan Mohamad Nasir selaku MB Kelantan. PAS Kelantan khususnya benar-benar berpecah. Akibat kekacauan yang timbul, darurat akhirnya distiharkan di Kelantan dan
PAS ditendang keluar dari BN. Dengan ‘tangan yang terikat’, PAS dipaksa untuk
bertarung dalam pilihanraya di Kelantan yang akhirnya menyaksikan Kelantan jatuh ke
tangan BN untuk kali pertama selepas kemerdekaan. Krisis dalaman PAS ini juga
membawa kepada terbentuknya parti Berjasa sebagai parti serpihan PAS.

1979: Revolusi Syiah di Iran[6] berjaya meruntuhkan diktator Shah melalui kuasa rakyat.
Ia mencetuskan kembali kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia. Dalam hal ini,
Malaysia tidak terkecuali. Walaupun sebenarnya, pembaharuan di dalam PAS bermula
lama sebelum itu, namun Revolusi di Iran mempercepatkan lagi langkah ke arah
pembersihan PAS dari sebarang ideologi yang bercanggah dengan kehendak perjuangan
Islam.

1981 : Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Hubungan peribadi
yang rapat antara bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir sebelum ini secara tidak langsung menjadikan ABIM bersikap lebih lembut terhadap kerajaan yang
sebelum ini telah dicop dengan pelbagai tuduhan.

1982 : Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO dengan misi
untuk merubah UMNO daripada dalam. Secara rasminya, ABIM yang sebelum ini
dianggap sebagai anti-kerajaan bertukar kepada pertubuhan Islam yang pro-kerajaan.
Ini ditambah lagi dengan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan baru Dr. Mahathir yang dianggap ultra-nasionalis sebelum ini menjalankan dasar Islamisasi di dalam kerajaan.

1983 : Ekoran desakan yang begitu kuat dari ahli-ahli PAS khususnya Dewan Pemuda
PAS Pusat yang benar-benar mahu mengalihkan hala tujua perjuangan PAS sebagai
sebuah gerakan Islam, Dato’ Asri akhirnya melepaskan jawatannya sebagai Yang
Dipertua PAS untuk memberikan laluan kepada kepimpinan ulama’. Bermula dari situlah,
PAS akhirnya didominasi oleh kepimpinan ulama’ sehinggalah hari ini.

Ulasan : Walaupun sebelum ini, PAS sebenarnya sudah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, namun sebenarnya PAS sebagai sebuah gerakan Islam hanya benar-benar
lahir pada tahun 1983 iaitu selepas ideologi pemikiran Sayyid Qutb benar-benar mendasari perjuangan PAS. Sebelum daripada itu di bawah kepimpinan non-ulama’, PAS tidak lebih
dari sebuah parti politik yang hanya mempunyai nama Islam tetapi tidak berbeza dengan UMNO dari segi pembawaan dan pelaksanaan dasar. Dan sejarah menyaksikan, proses pembersihan itu mengambil masa yang begitu panjang.

Pada peringkat inilah juga, lahirnya ABIM selaku penyebar pemikiran hakimiyyah
ala-ikhwan. Peranannya dalam membantu kelahiran semula PAS sama sekali tidak boleh diperkecilkan. Namun, ‘ijtihad’ bekas pemimpinnya untuk menyertai UMNO telah
merubah segala-galanya. Perlu disebut bahawa tidak seikit yang menitiskan air mata
akibat tindakan Anwar Ibrahim[7]. Ekoran daripada itu, selepas tahun 1983, ABIM yang sebelum ini menjadi pendokong kuat pemikiran Sayyid Qutb mula bersikap lembut
dengan kerajaan manakala PAS yang sebelum ini merupakan parti politik nasionalis
Islamik berubah wajah menjadi gerakan Islam yang mendokong kuat cita-cita untuk menegakkan sebuah negara Islam yang sebenarnya. Saya mengira, di sinilah
bermulanya pertarungan sebenar antara PAS sebagai sebuah gerakan atau jemaah
Islam dengan pihak pemerintah.

Laluan PAS seterusnya di Malaysia pada masa ini sememangnya terlalu sukar ekoran kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Akibatnya, masyarakat menerima proses Islamisasi sederhana dan beransur-ansur yang dibawa bersama penyertaannya ke dalam kerajaan. Kerana itulah, PAS sebenarnya menghadapi laluan yang benar-benar getir dan mencabar.




1983- 1997

PAS pasca kepimpinan ulama’ lebih banyak berusaha untuk memantapkan kepimpinan
ulama seterusnya memperkenalkannnya kepada masyarakat umum. Usaha-usaha PAS
lebih kepada untuk menyaingi proses Islamisasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim ke
dalam UMNO. Ternyata, dalam banyak perkara, PAS lebih banyak ketinggalan. Faktor
UMNO sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai segala-gala kemudahan adalah
merupakan faktor yang terbesar. Oleh yang demikian, PAS khususnya hanya terpaksa
menanti dan mengharap agar UMNO menghadapi krisis dalaman untuk diambil
kesempatan daripada berusaha memberikan penerangan kepada rakyat tentang
perjuangan PAS. Dan pembangkang khususnya PAS selalunya bernasib baik dalam
penantian ini. Secara umumnya kronologi di peringkat ini adalah seperti berikut :

1985 : Peristiwa berdarah Memali di Kedah yang mengorbankan sejumlah penyokong
PAS dan seorang anggota polis. PAS seterunya dilabel sebagai parti yang mahu
menggulingkan kerajaan dengan kekerasan. Bagi saya, peristiwa Memali hanyalah sebagai
satu langkah awal untuk melihat setakat manakah PAS boleh ditangani melalui kekerasan.
Ia adalah cubaan yang benar-benar menguji tahap kematangan pimpinan PAS pada masa
itu.

1986 : Pilihanraya Umum menyaksikan PAS kalah teruk dengan hanya memenangi satu
kerusi parlimen. Namun, pada pilihanraya ini buat pertama kali gagasan pakatan antara pembangkang dilaksanakan walaupun ternyata ia maish lagi kabur dan tidak mempunyai kesepaduan yang jelas.

1987 : Ekoran pertandingan jawatan tertinggi di dalam UMNO, mereka berpecah kepada
dua pasukan (team A dan team B). Tengku Razaleigh yang hanya kalah sebanyak 43 undi kepada Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO membawa pengkutnya yang tidak
sedikit keluar daripada UMNO dan memberntuk Semangat 46. Krisis ini berakhir dengan pengharaman UMNO dan kelahiran semula UMNO Baru di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Manakala Semangat 46 pula muncul sebagai pembangkang yang hebat dan mampu
menggugat kerajaan Dr. Mahathir pada masa itu.

1989 : PAS sebagai sebuah gerakan Islam membentuk kerjasama politik dengan Semangat
46 untuk menghadapi UMNO/BN di dalam pilihanraya. Kerjasama yang dinamakan
Angkatan Perpaduan Ummah ini adalah merupakan gagasan pakatan pembangkang yang terbesar di dalam sejarah pilihanraya tanahair. Namun, kerjasama yang dibentuk oleh PAS
ini ditentang oleh sebahagian ahli peringkat bawahan. Ini membawa peristiwa keluarnya sebahagian daripada ahli-ahli PAS membentuk parti Islah.

1990 : Pilihanraya Umum diadakan. UMNO/BN masih berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan. Pakatan APU pula berjaya menawan Kelantan dengan tidak memberikan sebarang kerusi kepada UMNO/BN. Ekoran daripada kejayaan inilah, Kelantan kembali dikuasai oleh pembangkang dengan PAS sebagai peneraju utamanya. Kejayaan menawan Kelantan juga adalah merupakan kejayaan pertama PAS di bawah kepimpinan ulama’. Seterusnya, PAS dilihat berjaya membina dan mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan ulama’.

1993 : Di dalam UMNO, Anwar Ibrahim dikatakan mencapai kemuncak kejayaannya
apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Seterusnya Anwar Ibrahim dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri
Malaysia. Hampir keseluruhan ramalan politik pada masa itu mengatakan Anwar
Ibrahim adalah bakal Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

1994 : Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan. Para pemimpinnya dikenakan tahana ISA.
Segala kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam yang bergiat cergas sebelum ini
dipantau dan ditamatkan dengan pukulan ‘maut’ oleh kerajaan yang diketuai oleh Pusat
Islam. Dalam hal ini, PAS lebih kepada bersikap tunggu dan lihat. Manakala tuduhan sesat
yang dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh pimpinan PAS.

1995 : Pilihanraya Umum sekali lagi menyaksikan UMNO/BN mengekalkan majoriti 2/3
untuk membentuk kerajaan. Manakala pakatan pembangkang pula tidak menunjukkan sebarang kemajuan selain daripada mengekalkan penguasaan di Pantai Timur khususnya
di Kelantan. Masa depan pakatan pembangkang dan kemampuannya pada masa itu mula dicurigai oleh para pemerhati politik.

1996 : Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya mengambil keputusan untuk membubarkan Semangat 46 dan membawa ahli-ahlinya kembali semula kepada UMNO. Sekali lagi PAS
dilihat sebagai tergugat. Ini kerana dengan kemasukan Adun-adun dari Semangat 6 ke
dalam UMNO, maka PAS gagal untuk membetuk majoriti 2/3 di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Walaupun demikian, kemenangan tipis PAS dalam pilihanraya kecil di
Pulai Chondong sejurus selepas pembubaran Semangat 46 memberikan sedikit bukti
bahawa rakyat Kelantan tetap bersama dengan kepimpinan ulama’.

Ulasan : Sebelum daripada kemenangan PAS di Kelantan, PAS dilihat gagal untuk
meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan ulama’ adalah yang terbaik untuk mereka.
Malah untuk meyakinkan ahli-ahlinya sendiri juga merupakan satu cabaran yang besar
bagi PAS. PAS juga dilihat masih tercari-cari arah yang sesuai untuk berhadapan dengan
UMNO yang memperhebatkan proses Islamisasi. Selain daripada seruan Islam, maka
tidak ada isu yang boleh digunakan untuk menyerang kekuatan UMNO/BN. Saya lebih
suka untuk mengatakan, seandainya UMNO/BN tidak dilanda dengan perpecahan,
maka adalah sukar sama sekali bagi PAS untuk meraih undi rakyat.

Namun, selepas percakaran sesama pemimpin UMNO, mereka dilanda perpecahan yang
begitu hebat. Dalam peringkat ini, PAS sekali lagi bertindak bijak untuk mengambil
kesempatan daripada keadaaan dengan menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46.
Walaupun berlaku kekeliruan di kalangan ahli-ahli PAS, namun ia tidak lebih dari kocakan
air di kolam yang tenang. Sejarah seterusnya membuktikan bahawa langkah PAS adalah
tepat. Faktor Semangat 46 dan Istana Kelantan adalah merupakan faktor penting yang membantu kemenangan PAS di Kelantan. Manakala di Pantai Barat, Gagasan Rakyat iaitu pakatan Semangat 46-DAP gagal untuk meraih kejayaan. Seandainya Gagasan Rakyat
juga berjaya di Pantai Barat, maka sudah tentulah perjalanan politik tanahair akan
berubah sama sekali. Dengan andaian bahawa dengan kemenangan Gagasan Rakyat,
kerajaan UMNO/BN akan mengalami kejatuhan, Tengku Razaleigh Hamzah pasti akan
dilantik mengetuai kerajaan baru. Dalam masa yang sama, PAS masih belum berjaya menyebarkan fikrahnya secara menyeluruh. Dalam masa itulah, pasti berlakunya pertembungan ideologi antara PAS dan DAP dalam kerajaan. Kedua-duanya terlalu kuat berpegang dengan ideologi masing-masing. Umpama minyak dan air, adalah menjadi kemustahilan untuk kedua-duanya melakukan kompromi. Adalah menjadi satu
kemungkinan yang hampir pasti bahawa perpecahan akan berlaku seandainya barisan pembangkang berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada tahun 1990. Namun,
ketentuan Allah adalah sebaik-baik ketentuan. Allah hanya menghadiahkan Kelantan
kepada PAS sebagai satu persediaan untuk satu kemenangan yang pasti akan diberikan
satu hari nanti, Insya-Allah.

Walapun perkahwinan politik antara PAS dan Semangat 46 tidak dapat bertahan lama,
namun sekurang-kurangnya pakatan itu memberikan hadiah berupa negeri Kelantan
kepada PAS. Hadiah itulah yang menjadi pengkalan kepada PAS untuk melebarkan pengaruhnya ke seluruh tanahair. Walaupun demikian, kerajaan PAS dilihat masih gagal menjadi contoh kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalannya untuk meningkatkan
prestasi dalam pilihanraya 1995. Kerana itulah, sebenarnya PAS hanya menunggu agar
UMNO dilanda krisis dalaman untuk meraih kemenangan. Tanpa krisis dalaman UMNO,
sukar sekali untuk PAS memperolehi kejayaan. Antara faktor yang menyumbang ke arah berlakunya senario sebegini ialah kegagalan PAS untuk menyebarkanluaskan fikrah dan ideologinya kepada masyarakat umum. PAS masih disaluti imej kolot, kekampungan dan fanatik.



1997 – sekarang

Sebagaimana yang sudah dijelaskan, perkembangan dan perjuangan PAS dalam arena
politk tanah air bersifat statik dan stereotaip semata-mata. Namun, untuk melihat
perpecahan berlaku di dalam PAS khususnya dalam masa kepimpinan ulama’ ini adalah
amat sukar tidak sebagaiman UMNO yang sering bergolak dengan politik terajangnya.

Kedudukan UMNO selepas kemasukan kembali Tengku Razaleigh bolehlah dikategorikan sebagai agak mantap. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan, kerajaan PAS di
Kelantan mempunyai kemungkinan untuk dijatuhkan seandainya senario selepas
kemasukan Tengku Razaleigh ke dalam UMNO berterusan sehingga pilihanraya yang berikutnya. Namun, tiada siapa dapat menghalang ketentuan dari Allah SWT. Kronologi seterusnya terus meletakkan PAS sebagai pihak yang sentiasa bernasib baik.

1997: Pada bulan Julai, Malaysia dan negara-negara sekitar mengalami kejatuhan nilai
mata wang yang teruk. Pada masa itulah, timbulnya desas-desus akan mengenai
percakaran yang berlaku di dalam UMNO khususnya antara Anwar Ibrahim (Timbalan Presiden) dengan Dr. Mahathir Mohamad (Presiden).

1998 : Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan Kerajaan di atas beberapa tuduhan
yang sama sekali tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Sekali lagi senario politik di
Malaysia menjadi panas. Demonstrasi jalanan menjadi popular dengan tiba-tiba. UMNO
berada pada tahap yang paling teruk selepas kemerdekaan. Pemecatan Anwar bertepatan dengan era teknologi maklumat menjadikan UMNO tidak sempat untuk menangkis
pelbagai tuduhan yang dilemparkan dari pelbagai sudut.

Ekoran dari pemecatan Anwar, secara imej Islamik yang selama ini membayangi UMNO walaupun tidak banyak hilang secara tiba-tiba. Ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh
masyarakat yang selama ini merupaka penyokong UMNO keluar beramai-ramai ke
barisan pembangkang. UMNO kembali kepada imej ultra sekular nasionalisnya seperti
era 70-an.

Hasil daripada pemecatan Anwar, PAS tidak gagal untuk memanipulasi keadaan sebaik mungkin. Dengan diketuai oleh PAS, barisan pembangkang digabungkan sebaik mungkin
untuk menjatuhkan UMNO/BN dalam pilihanraya. Apa yang menarik, kali pertama
dalam sejarah politik tanah air, PAS berjaya menjalinkan kerjasama rasmi dengan DAP
di samping penyokong-penyokong Anwar berada di dalam parti Keadilan Nasional.
Kerana itulah, gabungan pembangkang kali ini boleh disifatkan sebagai yang terbaik di
dalam sejarah politik tanahahir. Namun tidak dapat dinafikan bahawa ia masih
mempunyai banyak kelemahan. Halatuju yang ingin dibawa masih kabur dan tidak
jelas.

1999 : PAS berjaya menawan Terengganu dalam pilihanraya umum. Manakala sokongan orang-orang Melayu kepada UMNO/BN merosot dengan begitu teruk. Di beberapa buah
negeri, majoriti kekalahan PAS hanyalah tipis. Para pemerhati politik ramai yang
berpendapat bahawa seandainya hak lebih 600,000 orang pengundi baru tidak dinafikan
dalm pilihanraya kali ini, maka sudah pasti kerajaan UMNO/BN sudah ditalkinkan.
Namun, perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

2000 : Pilihanraya kecil di Lunas pada akhir tahun 2000 menyaksikan kemenangan
calon Keadilan, Saifuddin Nasution dengam majoriti yang agak selesa. Oleh kerana
pengundi Lunas kebanyakannya bukan terdiri dari orang Melayu, maka senario ini harus
dilihat sebagai sokongan orang bukan Melayu kepada pembangkang. Oleh yang demikian, seharusnya PAS melihat ini sebagai peluang terbaik untuk menjatuhkan kerajaan
UMNO/BN pada pilihanraya yang akan datang.

Ulasan :Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa pemecatan Anwar Ibrahim adalah merupakan pencetus kepada kebangkitan rakyat di Malaysia. Walapun pemecatan itu
bukanlah satu-satunya faktor, tetapi ia tetap merupakan faktor utama. Rakyat kembali memperkatakan soal keadilan, ketelusan dan kejujuran pemimpin. Isu rasuah, kronisme
dan lain-lain diperkatakan dengan hebatnya oleh pembangkang termasuklah PAS.

Melihat dari konteks PAS, jika sebelum ini, isu yang diutarakan ialah soal perjuangan dan
negara Islam, maka pada hari ini, PAS lebih banyak memperkatakan isu-isu nasional dan
cuba untuk tidak memperlihatkan perbezaan ideologi dengan rakan-rakan pembangkang
yang lain. Ini tidak sukar bagi PAS kerana sedikit demi sedikit PAS sudah mula dikenali
sebagai parti intelektual ekoran penyertaan beramai-ramai ahli akademik ke dalam PAS.
Imej kampung, kolot dan konservatif sebelum ini boleh dikatakan telah tiada dalam PAS.

Namun, adakah dalam masa yang sama, PAS sudah mula melupakan aliran pemikiran
Sayyid Qutb yang dijunjungnya dengan begitu kuat sebelum ini? Tentu sekali tidak
Melihat kepada corak kepimpinan dan organisasi PAS, maka sama sekali tidak boleh
dikatakan bahawa PAS sudah mula meninggalkan ideologinya sebagai sebuah jemaah
Islam. Namun, usia setengah abad telah mematangkan PAS agar sentiasa berhati-hati.

Sesungguhnya hari ini, PAS berada dalam kedudukannya yang paling selesa untuk
membentuk kerajaan selepas ini. Namun, satu persoalan yag harus dijawab. Adakah
sokongan rakyat kepada pembangkang khususnya PAS ialah kerana rakyat menerima
konsep perjuangan Islam atau hanya sekadar sebagai satu alternatif kepada UMNO/BN?
Bagi saya, PAS sebenarnya masih gagal untuk menyajikan ideologi perjuangan Islamnya
dengan baik. Oleh yang demikian, sokongan rakyat yang meningkat pada hari ini
bukanlah satu bukti bahawa ideologi PAS mula diterima. Ia sebenarnya tidak lebih dari manifestasi kebencian rakyat kepada UMNO/BN. Kebencian rakyat ini diterjemahkan
dalam bentuk sokongan kepada pembangkang khususnya PAS. Dalam erti kata lain, jika
hanya kerana ideologi Islam yang ada pada PAS, sebenarnya PAS masih tidak berjaya
sekalipun tidak gagal seratus peratus.

Ya, kedudukan UMNO/BN sudah tidak selamat, namun adakah itu secara automatik merupakan janji selesa kepada perjuangan Islam? Bersediakah sebenarnya
PAS khususnya menangani kemenangan dengan sebaik mungkin?


Peranan seterusnya generasi tunas bagi memastikan kemenangan sebenar
Islam


Sesungguhnya perjuangan Islam pasti akan memperolehi kemenangan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah para muslimin memerangi orang Yahudi.
Para muslimin memerangi mereka menyebabkan orang Yahudi bersembunyi di belakang
batu dan pokok. Maka batu atau pokok berkata: Wahai para muslimin! Wahai hamba
Allah! Ada Yahudi di belakangku. Datanglah ke sini dan bunuhlah dia melainkan pokok
yang berduri, kerana pokok itu adalah di atara pokok kaum Yahudi . (Hadis riwayat
Bukhari, Muslim & Ahmad)

Namun, adakah kemenangan Islam itu akan diberikan seperti mana turunnya hujan?
Adakah Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada perjuangan Islam secara
percuma? Tentu sekali tidak.[8] Allah SWT berfirman yang bermaksud :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata
kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?[9]

Dalam konteks Malaysia, generasi tunas khususnya mereka yang mempunyai kesedaran
agama yang tinggi seharusnya memainkan peranan yang penting bagi memastikan
kemenangan kepada Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Ini kerana seandainya kita menerima tanggapan bahawa kemenangan Islam sudah semakin hampir
di Malaysia, maka tidak dapat tidak yang akan menangani dan mengisi kemenangan
tersebut ialah generasi muda yang ada pada hari ini. Adalah menjadi satu kepincangan
yang maha hebat seandainya kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah hanya
menyebabkan pejuang-pejuang Islam lalai untuk terus berjuang. Sesungguhnya kita tidak
mahu saat-saat kemenangan yang paling berharga dicemari dengan ‘tragedi Uhud yang
kedua’. Akhirnya, kemenangan yang diberikan tidak lebih hanyalah merupakan
penghinaan daripada Allah SWT.

Hari ini, generasi pemuda harus bersedia dengan seribu kemungkinan. Cabaran di
hadapan terlalu hebat untuk dihadapi. Dunia tanpa pesempadanan menguji sejauh
mana kekentalan semangat generasi tunas megharungi dugaan hidup untuk muncul
sebagai tentera Allah. Generasi tunas hari ini seharusnya :

? Mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang[10].

? Mengasuh dan mendidik jiwa agar boleh beristiqomah dengan perjuangan Islam. Sesungguhnya sudah ramai bersemangat untuk berjuang sebelum ini akhirnya gagal di
tengah jalan apabila bertemu dengan dugaan dan cabaran yang berupa penderitaan.
Seandainya generasi tunas hanya mampu bersemangat untuk waktu yang sementara dan
layu di tengah jalan, maka kita akan melihat perjuangan Islam akan terus berada dalam perjalanan yang sukar. Memetik kata Said Zahari (tahanan poltik tanpa bicara selama
17 tahun) dalam bukunya, Meniti Lautan Gelora : “Saya tidak pernah menangis dan tidak
akan menangis hanya kerana saya ditahan”.[11]

? Mempelajari teknik-teknik dakwah yang terbaik. Segala macam bentuk dakwah Islam
perlu didalami sebaik mungkin. Konsep tarhib wa targhib dan dakwah bilhikmah
perlulah sentiasa dijadikan panduan kepada para pejuang khususnya generasi tunas. Ini
penting bagi memastikan masyarakat memahami konsep penjuangan Islam yang sebenar. Seterusnya, masyarakat akan memilih Islam kerana merasakan bahawa Islam adalah merupakan plihan yang terbaik bukan didorong oleh kebencian terhadap sistem yang ada
paad hari ini.

? Generasi tunas haruslah sentiasa menyedari bahawa hidup dan mati mereka hanyalah
untuk Islam. Setiap langkah yang dibuat haruslah disertakan bersama keikhlasan kepada
Allah. Ini kerana merupakan aib yang terlalu besar seandainya mereka yang mengaku
sebagai pejuang Islam namun perjuangan yang didokong masih terpalit dengan niat
duniawi.


Penutup

Sesungguhnya perjuangan Islam di Malaysia khususnya melalui politik telah melalui ranjau-ranjaunya yang tidak sedikit. Walaupun sering mengalami kekalahan, namun
kekentalan para pendokong menjadikan PAS semakin matang menghadapi pelbagai
cabaran. Oleh kerana kita melihat bahawa tahun-tahun kebelakangan ini, sokongan
rakyat begitu mendadak meningkat, maka seharusnya langkah-langkah bagaimana
untuk menangani kemenangan dibincangkan sejak daripada awal lagi. Perlu diingatkan, kemenangan kadang kala merupakan satu anugerah namun kebanyakannya lebih kepada
ujian.

Manakala generasi tunas pua harus sentiasa bersiap sedia untuk tampil ke hadapan
mendepani cabaran-cabaran yang akan mendatang. Islam pasti akan bangkit semula
sebelum berlakunya kiamat dan sudah pasti generasi tunas pada hari ini perlu bersiap
sedia ke arah itu.

Semoga Allah memberkati setiap usaha kita dalam memperjuangkan kalimahNya di
muka bumi ini. Amin Ya rabbal ‘alamin.




AHMAD FADHLI SHAARI adalah siswa tahun 1, Jabatan Dakwah Wal Qiadah, KIAS.

[1] Surah Fusilat, ayat 33.

[2] Mohamad Fauzi Zakaria, Aqidah Yang Menggoncang Dunia : Pemikiran Sayyid Qutb. Hal. 197

[3] Said Zahari, Meniti Lautan Gelora

[4] Zabidi Mohammad, Al-Arqam : Tersungkur Di Pintu Syurga. Hal : 18

[5] Ahmad Lutfi Othman, Wajah Baru Politik Malaysia, hal. 18

[6] Saya berpendapat gelaran ini lebih sesuai sekalipun kebanyakan penulis lebih gemar menggunakan gelaran Revolusi Islam Iran.

[7] Sayuti Omar, Siapa Pencabar Anwar? Hal. 50.

[8] Persoalan yang sama ditimbulkan dan dikupas dengan lebih lanjut oleh Abdullah Al-Qari Haji Salleh, Kemenangan Islam dan Para Wali Allah.

[9] Surah Ali-Imran, ayat 142

[10] Ini ialah sifat pendakwah yang pertama sekali digariskan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul Dakwah.

[11] halaman 231
1


Friday, October 26, 2007

Serba-Salah

Susah juga nak membuat keputusan. Kalau diletakkan, bimbang di salah guna. Kalau tak
letak, rugi pula tak dapat berkongsi dengan sahabat-sahabat perkara yang berfaedah
darinya.

Akhirnya, setelah lebih kurang 2 hari berfikir, menimbangkan buruk baiknya, saya
letakkan juga. Terpulang pada sahabat-sahabat untuk memilih yang terbaik. Saya
letakkan kerana saya yakin dan percaya, kita semua ada pertimbangan dan memahami
apa yang memberi faedah pada diri, dan apa yang merugikan bahkan merosakkan diri.

Saudara boleh masuk dalam Taman Islam [sila klik sini], terletak di kedudukan kanan
bawah, bahagian SALURAN INFORMASI, ada TV-TV DUNIA. Klik situ, dan ada
pelbagai pilihan. Pilihlah yang membina minda dan yang dibenarkan oleh syarak..

Sebagaimana saya telah katakan dulu, anggaplah saya letakkan pisau di tangan sahabat
semua, terpulanglah pada sahabat semua untuk gunakannya kearah kebaikan atau
sebaiknya.

Untuk membaca hukum menonton TV, sila klik [ sini ]

Dr. Sheikh Muszaphar Terkejut Beliau Angkasawan Kedua Malaysia

STAR CITY, Russia- Angkasawan Malaysia, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, mengakui
terkejut apabila mengetahui beliau adalah orang kedua dari Malaysia yang berjaya ke
angkasa. Sheikh Muszaphar yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama
10 hari, selamat mendarat di Bumi pada pukul 2.37 petang kelmarin waktu tempatan
(6.37 petang waktu Malaysia) selepas menempuh perjalanan selama tiga jam 23 minit
dengan kapsul Soyuz TMA-10. Selain beliau, turut berada dalam kapsul tersebut adalah
dua angkasawan Rusia iaitu Fyodor Yurchikhin dan Oleg Kotov.

Untuk rekod, angkasawan pertama Malaysia ialah seorang rakyat Terengganu yang
berasal dari Besut iaitu Ayah Pin Pemerintah kerajaan langit.

Hehe..Hidup Tranung Kite!! :D

Thursday, October 25, 2007

1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia

Dalam entri saya sebelum ini, saya telah menyebut berkenaan kes-kes jenayah di
Amerika, yang dianggap bangsa yang paling maju dengan undang-undang jenayah yang
ketat dan polis yang cekap, tetapi kes jenayah seperti pembunuhan di New York bukan
lagi mengikut hari tetapi mengikut jam. Melalui tulisan Roslan SMS yang memetik
kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan
Rakyat semalam, tanpa sedar negara kita juga semakin menuju ke arah itu..

Jelas, tiada alasan lagi untuk kita menolak perlaksanaan Islam secara menyeluruh dan
menolak sistem-sistem asing yang terbukti nyata tidak memberi faedah bagi manusia.
Memetik tulisan Subky Latif

"Kezaliman dan kekejaman yang berlaku ketara sekitar satu dua dekad ini adalah
'bayaran tunai' dari Allah tentang penolakan janji-janji-Nya itu. Dulu ia tidak
sebegitu teruk, justeru pendedahan peraturan Allah itu diketahui semua. Tetapi
setelah semuanya diketahui, maka ingkar juga, lalu Allah beri laluan
kepada jenayah besar bermaharajalela."

Tak pelu kita berdakwah sehingga ke angkasa lepas andai di bumi kita masih belum
sempura. Malaysia BOLEH tetapi pastikan BOLEH itu menguntungkan agama, bangsa
dan negara..

1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia
Oleh Roslan SMS

Jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat
semalam seolah menggambarkan keadaan jenayah dalam negara kita terkawal.
Umpamanya beliau berkata indek jenayah di empat buah negeri iaitu Johor, Negeri
Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pada tahun 2005, terdapat 9,617 kes ragut, 15,409
kes rompak dan 497 kes bunuh. Tahun 2006, 9,551 kes ragut (turun 66 kes), 21,419
kes rompak (naik 6,010) dan 604 kes bunuh(naik 107).

Lebih membimbangkan lagi adalah kes rogol. Tetapi menurut Timbalan Menteri
berkenaan walaupun terdapat 1,206 kes rogol (yang dilaporkan) untuk 7 bulan pertama
tahun ini, 86% telah diselesaikan. Saya tidak nampak kes yang diselesaikan itu, yang
saya nampak adalah jumlah kes iaitu 1,206 dari Januari ke Julai 2007, bermakna
terdapat purata 172 kes rogol sebulan ataupun 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun
hampir 1 kes rogol setiap 4 jam!

Angka ini ternyata membayangkan betapa tidak selamatnya suasana dalam negara. Dan
kita sudah pasti tidak tahu berapa pula bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan sama-
sekali mungkin kerana malu, takut, diugut dan sebagainya.

Dimanakah silap kita?

Menurut Timbalan Menteri itu lagi punca berlaku kes jenayah termasuk menjadikan
wanita sebagai mangsa disebabkan faktor ekonomi seperti pengangguran, penggunaan
dadah yang serius,dan kehadiran pekerja asing. Lalu apakah langkah yang telah kita
ambil? Apakah usaha kita untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang
berkahlak dan bertaqwa?

Saya selitkan disini sebuah artikel dari laman web IKIM bertajuk: ISLAM HADHARI
BENTUK MODAL INSAN BERKUALITI karangan salah seorang Fellow di sana:

Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi sekarang ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.

Menerusi gagasan Islam Hadhari sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang
bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.

Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya
usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran
dan kesejahteraan negara banyak begantung kepada penduduknya. Jadi jika setiap orang
di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu
ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.

Jelasnya konspe pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk
membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya malahan
masyarakat, agama dan negara.

Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti itu, pasti
kejayaan akan menjadi kenyataan.

Sememangnya inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman Nya bermaksud:

Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan
membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah
berkatnya dari langit dan bumi (al Ahzab: 96)

Saya paparkan disini konsep yang dicetuskan oleh PM Dollah Badawi sebagai iktibar kepada
kita sejauh manakah keberkesanan langkah dan usaha yang kita ambil untuk membentuk masyarakat Malaysia yangcemerlang. Lihat angka-angka jenayah di atas dan lihat konsep
yang cuba diperkenalkan ini.

Rupanya semakin kita maju dan membangun, kadar jenayah seolah bangkit seiringan
dengan kemajuan dan pembanguna kita, begitukah sepatutnya?

Di Dewan Rakyat juga Ketua Pembangkang menyarankan kerajaan agar membenteras
dan menghapuskan budaya Mat Rempit yang sejak kebelakangan ini semakin berani
dan menjadi-jadi. Itu pun satu gejala baru yang jelas kita semakin gagal tangani (walaupun
ada usaha satu ketika oleh Putera Umno untuk memuluhkan mereka ini kononnya,
nampaknya bilangan mereka semakin menjadi-jadi dengan perangai yang semakin liar
dan membahayakan masyarakat).

Dimanakah silap kita? Benarkah PM dan kerajaan seakan gagal membendung dan
mengatasi masalah ini?

Nurin..Nama Itu Kembali Menghantui!

Nurin..Nama itu kembali menghantui kotak fikiran saya secara tiba-tiba tika membaca satu berita yang terdapat dalam Berita Harian (baca:Berita Hairan :D). Berita berkenaan satu kes kehilangan seorang budak perempuan yang menyerupai kisah kehilangan Nurin. Saya yakin dan pasti, banyak hati yang membaca berita ini berdoa moga-moga kisah tragis itu tidak berulang.

Sebelum ini, saya sering teringatkan Nurin.Seorang yang tak pernah dikenali, tiba-tiba dirasakan seperti amat dekat dengan keluarga kami. Mungkin disebabkan isteri saya yang sering mengulang-ngulang kisahnya. Dan saya pula kadang kala tak perlu mengikuti perkembangannya melalui dada-dada akhbar, cukup mendengar kisahnya di sertai komentar dan huraian sepenuh hati oleh isteri saya :). Saya memahami jiwa isteri saya. Bukankah pepatah mengatakan, "Hanya Wanita Yang Memahami Wanita"? Apatah lagi statusnya sebagai seorang ibu, lagi-lagilah hati kewanitaanya itu tersentuh. Saya yakin, di luar sana, ramai lagi hati wanita dan ibu yang tersentuh.

Keseronokan menyambut hari raya yang tiba baru-baru ini, melupakan seketika kita
kepada Nurin. Tetapi takdir Allah, ketenangan itu berkocak kembali dengan berita ini.
Adakah kisah tragis dan sedih ini akan berulang kembali?Ikutilah perkembangan
selanjutnya..

Bagi saya pula, tipulah kalau saya katakan saya tidak tersentuh dengan kisah Nurin ini.
Setiap yang masih ada perasaan kemanusiaan dalam dirinya, tak mungkin boleh
menganggap kisah ini satu perkara biasa. Apatah lagi, saya yang kini mempunyai seorang
anak perempuan, hati ini tak dapat lari dari memikirkan apakah nasib dan cabaran yang
akan dihadapinya dihari mendatang. Dan kegusaran itu makin bertambah dan
membesar tatkala mengingatkan kami akan pulang ke Malaysia insya Allah pada akhir
tahun ini. Kadangkala, saya terfikir juga, rasa lebih aman, selamat dan selesa berada di
bumi Mesir ini (seorang sahabat saya yang berada di Malaysia ketika ini juga berkata demikian!). Sekurang-kurangnya, tak pernah terdengar jenayah yang sebegitu teruk
berlaku di sini.

Mesti Kembali Kepada Islam.

Kes-kes jenayah seperti ini, sepatutnya menyedarkan kita, pentingnya kembali kepada
ajaran Islam. Hanya Islam yang boleh menangani dari bercambahnya jenayah-jenayah
seperti ini. Andai kita belum bersedia untuk kembali kepada Islam, kes-kes seperti ini
akan terus berulang.Tambahlah askar dan polis sekali ganda, penyakit sosial seumpama
yang terjadi pada Nurin itu tidak akan berakhir.

Semuanya mengutuk kejadian dialami Nurin Jazlin. Perdana Menteri dan Ketua Polis
Negara berjanji untuk mengejar dan menghukum si bedebah. Semuanya tidak
menghilang ketakutan semua kerana tiada janji jenayah kejam tidak berulang.

Padahal negara ada undang-undang dan ada polis. Semuanya tidak menjamin nyawa, keselamatan dan harta rakyat.

Inilah ketakutan yang dialami oleh manusia di bawah sistem jahiliyah sebelum, semasa
dan selepas kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mengapa? Kerana jahiliyah tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Yang
menjamin keamanan dan keselamatan ialah Islam dan segala peraturannya. Panduannya
ada dalam al-Quran dan sunah nabi-Nya. Siapa yang berpandu dengan pusaka
peninggalan Rasulullah s.a.w. - al-Quran dan sunah - insya Allah sejahtera dunia akhirat.
Nabi Muhammad s.a.w. sudah menjanjikan begitu.

Kekejaman yang menimpa Nurin tidaklah sekejam yang dialami masyarakat jahiliyah
Makkah sebelum kedatangan Islam. Sekalian penjenayah yang berhati binatang semasa
itu telah menjadi orang taqwa dengan mengamalkan peraturan Islam. Antaranya
menjadi manusia yang mulia seperti Sayidina Umar al-Khatab.

Cara Islam Menangani Jenayah

Dalam Islam ada amar makruf dan nahi munkar. Ada targhib (menggembirakan) dan ada
tarhib (menakutkan). Ada unsur mendidik dan ada unsur pencegahan. Semua ini mesti dilaksanakan untuk memastikan Islam itu berkesan sebagai ubat. Mendidik tanpa
adanya pencegahan akan menyebabkan manusia leka. Manakala cegahan tanpa didikan, menutup keindahan Islam dan memberi imej buruk serta mungkin menyebabkan
manusia lari dan memberontak!

Dalam konteks mendidik, agenda menyedarkan masyarakat berkenaan ajaran Islam
mesti diutamakan.Program dan aktiviti ke arah itu perlu dipertingkat dan disemarakkan.
Tak perlu disekat-sekat atau dianggap serong jauh sekali sesat. Malangnya realiti yang
ada adalah sebaliknya.Sekatan dan halangan adalah perkara biasa yang berlaku.
Sebaliknya, program-program hiburan dan melalaikan terus di suburkan. Mungkinkah
ini acuan Islam Hadhari?

Dalam Islam juga ada unsur pencegahan. Adanya undang-undang Islam yang boleh
mencegah manusia dari melakukan jenayah. Di dalam al-Quran, Allah telah menyatakan
secara jelas bahawa hukuman potong tangan itu adalah satu pencegahan (nakalan
minallah) dari Allah. Ini bermakna terdapat campurtangan Allah dari segi pencegahan
dan mengawal jenayah tersebut. Hukuman yang digubal manusia bagi dikenakan ke
atas pencuri tidak mendapat jaminan pengawalan dan pencegahan daripada Allah.
Malahan hukuman itu dimurkai oleh Allah. Maka tidak hairanlah kadar kecurian akan
terus meningkat selagi kita masih sombong dan bongkak dengan hukuman yang kita
gubal.

Penggunaan undang-undang ciptaan Barat sebenarnya telah terbukti gagal dalam
membendung atau mengurangkan kes-kes jenayah di mana juga tempat yang mendaulatkannya. Contohnya,pada tahun 2006 sahaja,kes jenayah kekerasan dan harta
benda di negara kita adalah 198 622 kes;meningkat daripada 157,459 kes dalam tahun
2005 dan 156,455 kes pada 2004.Jumlah jenayah terus meningkat,tanpa ada tanda-
tanda untuk turun.Justeru,sampai bila kita mahu terus hidup dalam ketakutan?

Perlaksanaan Undang-undang Islam juga akan membawa keamanan dan kesan yang
mendalam kepada kesejahteraan negara. Adalah satu fenomena biasa di Arab Saudi terutamanya di Makkah atau Madinah, para peniaga meninggalkan jualan mereka
(termasuk peniaga matawang) dengan hanya menutup dengan sehelai kain ketika
meninggalkan premis untuk menunaikan solat.Langsung tiada kebimbangan. Ianya amat
kontra dengan situasi yang berlaku di negara Malaysia dan negara-negara lain yang mengamalkan hukum ciptaan Barat. Amerika sendiri yang dianggap bangsa yang paling
maju dengan undang-undang jenayah yang ketat dan polis yang cekap, tetapi
pembunuhan di New York bukan lagi mengikut hari tetapi mengikut jam.
Setiap jam ada pembunuhan.
Di Malaysia pula, mengikut perangkaan tahun 2003 dan
tahun 2004, jumlah kes bunuh bagi kedua-dua tahun ini adalah sama iaitu sebanyak
565 kes setiap tahun
[Rujukan lanjut:http://www.kehakiman.gov.my/buku_laporan/LaporanBM/JD115585%
20Tek%2004.pdf [www.kehakiman.gov.my].

Ini jauh berbeza dengan Arab Saudi yang hanya 35 orang dihukum bunuh/pancung pada
2004. Dan harus diingat,hukuman pancung ini turut dikenakan kepada pesalah kes rogol, mengedar dadah dan rompakan bersenjata. Kes-kes jenayah lain juga turun dengan
mendadak semenjak pelaksanaan semula Hukum Hudud di Arab Saudi yang dilaksanakan berdasarkan mazhab Hambali bermula sekitar 1920-an. Angka rasmi menunjukkan
hukuman potong tangan tidak pernah dijalankan di Arab Saudi kecuali dua kali setahun.
Perkara ini diperkuatkan lagi dalam satu Persidangan Arab mengenai Jenayah dan
Pemulihan Penjenayah yang dilangsungkan di Kuwait pada tahun 1970.

Satu perkara yang menarik di satu derah di wilayah Ardoyne, Belfast iaitu salah satu
wilayah di Ireland Utara, hukuman ke atas pencuri dijalankan oleh I.R.A dan ianya
dilaporkan di dalam majalah TIME (8/4/1971) yang mengatakan bahawa kadar jenayah
di wilayah tersebut telah menurun dengan perlaksanaan hukuman tersebut. Majalah
TIME menyifatkan hukuman tersebut sebagai "Rough Justice".

Tambah menarik lagi, seorang professor di Amerika iaitu Prof. Ducasse C.J. di dalam
bukunya Philosophy and Wisdom in Punishment berkata bahawa jika penyeluk saku
dibakar tangannya atau dipotong tangannya, maka mereka akan berhenti daripada
melakukan perbuatan menyeluk saku.

Tugas Semua

Justeru, kedua-dua elemen ini mesti diterapkan dalam masyarakat. Ini tanggunjawab
kita, dan kita akan dipersoalkan di akhirat kelak atas kemampuan yang kita cuaikan.

Bagi pihak pemerintah, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan
dan keselamatan rakyatnya. As-Syeikh Abdullah bin Omar bin Sulaiman Ad-Damiji menyatakan, tujuan kepimpinan Islam adalah melaksanakan suruhan Allah di bumi atas
bentuk yang telah disyariatkan, melaksanakan tugasan amar makruf dan nahi Munkar,
menyebarkan kebaikan dan mengangkat kebaikan itu setinggi-tingginya. Juga, melarang
dari berlakunya kemungkaran dan kefasadan dalam hukuman dan memberi
keselamatan kepada harta dan ahlinya [Al-Imamah Al-Uzma : m/s 79.]

Kerana itu, hendaklah kembali kepada sistem pemerintahan Islam, dan ditinggalkan sistem-sistem jahiliyyah, kerana hanya dengan perubahan itu, tanggungjawab ini akan
tertunai.

Bagi orang awam dan kebanyakan, kita juga bertanggungjawab berusaha sekadar
kemampuan masing-masing untuk menyedarkan masyarakat agar kembali kepada
Islam. Tidak perlu ditunding kepada sesiapa, jika ad kesedaran dan sayangkan generasi
akan datang,bangkit dan berjuanglah. Inilah pesanan saya kepada sahabat-sahabat, pelajar-pelajar Al-Azhar mahupun Perubatan lewat pertemuan saya dengan mereka
dalam program-program.

Moga Islam kembali tertegak, dan keamanan kembali bersinar!


Berita di petik dari Berita Harian

Lagi kes hilang mirip Nurin
Oleh Faiza Zainudin dan Rudy Syareme Sheriffudin


Rekha Abdullah

Murid tak pulang selepas beli VCD di pasar malam


GEORGETOWN: Belum pun selesai siasatan kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya dijumpai dalam beg pakaian sukan selepas hilang selama 27 hari, seorang lagi budak
perempuan dilaporkan tidak pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam
berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini, empat hari lalu.


Malah, kehilangan Rekha Abdullah (gambar), 10 , juga menyamai kes Nurin yang tidak
pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen
1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui hampir
sebulan selepas itu.


Rekha, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut di
sini, dikatakan ke pasar malam berhampiran rumahnya, kira-kira jam 9 malam Isnin
lalu untuk membeli cakera padat video (VCD).


Bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, seorang peniaga barang lusuh, berkata Rekha meminta
RM5 untuk membeli VCD di pasar malam serta mengajak abang sulungnya
menemaninya.


Bagaimanapun, abang Rekha yang berusia belasan tahun, ada urusan lain.

Berikutan itu, Rekha yang berbaju-T dan seluar panjang putih, keluar seorang diri
dengan membawa wang RM5. Ketika itu, ibunya, Salmah Sellamah Abdullah, 41, seorang
warga India bertaraf pemastautin tetap, bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.


Ahamad yang ditemui di rumahnya di sini semalam, berkata beliau sekeluarga bimbang
apabila Rekha tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam dan dengan bantuan beberapa jiran, mencarinya di sekitar tapak pasar malam, rumah rakan serta tempat
permainan anak tirinya itu, tetapi menemui jalan buntu.


Selepas empat jam mencari dan gagal menemui Rekha, Ahamad membuat laporan di
Balai Polis Central di sini, kira-kira jam 4 pagi.


"Sehingga kini, kami tidak mendengar sebarang berita mengenainya," katanya.

Salmah yang tidak tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, hanya menitiskan air
apabila menunjukkan potret anak keenamnya itu. Pasangan Salmah dan Ahamad
mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka, tiga tahun lalu.


Ahamad berkata, sebelum ini Rekha sering ke pasar malam, tetapi bersama abang atau rakannya.

"Sebelum ini tidak masalah kerana dia balik selepas ke pasar malam atau ke rumah
rakannya," katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Samah Mat,
berkata gerakan mencari Rekha dilancarkan sebaik polis menerima laporan mengenai kehilangannya.


Operasi mencari kanak-kanak itu diketuai Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten
Komisioner Azam Abdul Hamid.


Beliau berkata, usaha mencari di rumah sanak saudara kanak-kanak itu setakat ini
gagal menemui mangsa atau mendapat sebarang petunjuk. Gerakan mencari Rekha juga diperluaskan bukan saja ke seluruh Pulau Pinang, malah ke negeri lain termasuk Kuala
Lumpur.


Abdul Samah menegaskan, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan, terutama ia membabitkan kanak-kanak perempuan kerana khuatir berlaku kejadian
tidak diingini.


"Siasatan masih dijalankan dan setakat kini masih tidak ada perkembangan, itu yang
kita bimbangkan. Terlalu awal untuk buat andaian (diculik)," katanya.


Beliau turut mempersoalkan tindakan bapa tiri Rekha yang membenarkan budak itu
keluar seorang diri untuk membeli VCD di pasar malam.


"Budak itu minta duit daripada bapa tirinya untuk beli VCD. Bagaimana kanak-kanak
itu boleh dibenarkan keluar seorang diri pada waktu malam... itu yang menghairankan.


"Masih ada keluarga yang tiada kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak.
Keluarganya juga kata kanak-kanak ini sering keluar seorang diri dan tiada masalah
pulang ke rumah," katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Rekha diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2292222 atau balai polis berhampiran.