Wednesday, October 17, 2007

Akibat Meninggalkan Ajaran Agama.

Maklumat ini saya perolehi ketika bersembang dengan Us Yahya -suami kepada Puan
Habibah (pegawai atase pendidikan (khas) Iskandariah Jabatan Penuntut Malaysia
Kaherah) -di majlis jamuan Hari Raya jiran saya Us Shah. Katanya, rasa sakit hati
membaca komen-komen pembaca berita العربية berkenaan berita satu kes yang berlaku
di Malaysia. Bila saya baca, memang betul menyakitkan hati! Sahabat-sahabat bacalah
sendiri, sampai ada yang menyatakan inilah caranya orang Malaysia melayan tetamu!

Apapun, sebenarnya, berpandukan berita yang ditulis (walaupun rasa ragu dan rasa tak
masuk akal kes seperti ini boleh berlaku), kita dapat membuat membuat kesimpulan
inilah akibatnya apabila ajaran Islam ditinggalkan. Seorang lelaki bersendirian dengan
seorang perempuan yang bukan mahramnya, bukankan Rasulullah jelas melarang
perbuatan sedemikian. Kerana pasti ketika itu ada yang ketiga, iatu SYAITAN yang
akan mengambil peluang untuk menggoda mereka.

Saya bawakan berita asalnya dalam bahasa Melayu yang saya petik dari Metro Online,
dan untuk membaca komen (dalam bahasa Arab), sila klik link di bawah.

'Lembaga' rogol wanita

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

KUALA TERENGGANU: Akibat terlalu letih membungkus tapai untuk menyambut
Aidilfitri, seorang suri rumah mendakwa dirogol seorang buruh yang menumpang di
rumahnya.

Menurut sumber, dalam kejadian di rumah mangsa di Kemaman, Jumaat lalu, suri rumah
itu yang berusia 40-an itu dikatakan berjaga hingga lewat malam untuk membungkus
tapai sebelum masuk ke bilik tidurnya kira-kira jam 5 pagi.

Katanya, mangsa turut dikatakan ternampak buruh terbabit menonton televisyen di
ruang tamu rumah berkenaan.

Suspek yang berusia 29 tahun itu didakwa tinggal bersama keluarga mangsa sejak dua
bulan lalu

“Mangsa dikatakan terus terlelap sejurus berada di bilik sebelum suspek menyelusup
masuk.

“Ketika itu, mangsa dikatakan terbangun dan menyangkakan suaminya sudah pulang
kerja, tetapi tidak dapat mengecam kerana keadaan bilik gelap.

“Tetapi, mangsa menyedari ada sesuatu yang tidak kena kerana gaya berpakaian
‘lembaga’ yang masuk ke bilik itu berbeza dengan suaminya,” katanya.

Namun, kata sumber itu, disebabkan terlalu letih, suri rumah itu tidak mempedulikannya
lalu terus menyambung tidur.

Suspek kemudian didakwa ‘berlakon’ sebagai suami mangsa lalu melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, sumber itu menyatakan suami mangsa sempat melihat buruh terbabit
keluar dari bilik itu ketika dia tiba dari tempat kerja kira-kira jam 9 pagi.

Ini membuat si suami bertanyakan sama ada isterinya menyedari ada orang masuk ke
bilik berkenaan.

Mangsa terkejut kerana mendapati dia tidur bersama dengan lelaki yang bukan suaminya.

Justeru, kedua-dua mereka membuat laporan polis kira-kira jam 5.30 petang hari yang
sama.

Selepas itu, polis menahan suspek di rumah berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan ketika mengesahkan kes terbabit, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana berkaitan rogol.

Untuk membaca komen: http://www.alarabiya.net/articles/2007/10/16/40382.html#000

Monday, October 15, 2007

Songkok Hitam Atau Kopiah Putih?

Sambil-sambil makan lemang atau ketupat cicah rendang di hari raya ini, artikel di
bawah elok kita sama-sama fikirkan. Jangan di sebabkan kecenderungan kita terhadap
sesuatu golongan, manyebabkan kita silap menghukum. Seperti dalam artikel ini,
menganggap orang lain tidak bersikap patriotik sedangkan patriotik itu lebih luas
maknanya dari pakaian yang dipakai. Apa gunanya berbaju melayu dan bertanjak
malah menghunus keris sekalipun andai jati diri dan peribadi kian terhakis sementara
negara dan kedaulatannya kian hari kian tergadai ke tangan orang asing....

Bila songkok hitam jadi bahan kempen Menteri Penerangan di pagi raya
Oleh: Ahmad Tajdid


Apabila Zainuddin Maidin (Zam) yang juga Menteri Penerangan memberikan ucapan di Nasional FM pada hari raya pertama, saya tidak berapa berminat mendengarnya.
Tetapi apabila beliau mula bercakap tentang songkok hitam dan betapa beliau gembira
kerana semakin ramai umat Islam Melayu Malaysia memakai songkok hitam sewaktu
Aidilfitri, naluri ingin tahu saya mendorong telinga saya 'melekap' di corong radio.

Menurut Zam, meningkatnya bilangan umat Melayu yang bersongkok hitam sewaktu
Aidilfitri adalah suatu perkembangan yang baik kerana orang Melayu sudah mula
kembali kepada identiti Nusantara dengan bersongkok hitam. Beliau juga secara sinis mengkritik orang Melayu yang berkopiah putih dan menganggap kopiah yang dipakai
tidak melambangkan 'budaya Melayu' tetapi budaya yang datang dari Timur Tengah!

Hati saya berdetik: "Orang tua ni buat dah!"

Saya termenung sejenak memikirkan pandangan Zam itu. Di pagi Aidilfitri ini,
sepatutnya Menteri Penerangan bercakap tentang sesuatu yang lebih utama daripada
isu songkok hitam. Kenapa tidak disebut tentang soal mengukuhkan persaudaraan, memperbaiki hubungan, menghidupkan amalan ziarah menziarahi (daripada duduk di
hadapan tv menonton rancangan hiburan!). Zam boleh bercakap tentang seribu satu
macam topik yang lebih utama daripada songkok hitam!

Bagaimanapun, apabila direnung kembali rekod perkhidmatan Zam, beliau memang
terkenal dengan kontroversi-kontroversi tidak perlu - contohnya mewajibkan semua penceramah agama yang keluar di kaca tv memakai songkok hitam! Seorang prof
akademi pengajian Islam pernah merungut di dalam ceramahnya tentang arahan
tersebut.

"Saya bukan tak mahu pakai songkok hitam, tetapi tak berapa selesa kerana penari
zapin pun pakai songkok hitam," katanya berseloroh.

Benarkah songkok hitam budaya Melayu Nusantara?

Ada dua isu yang timbul daripada kenyataan Zam ini. Pertama: Adakah benar songkok
hitam adalah budaya asal Melayu dan Nusantara yang wajib dipertahankan. Kedua:
Adakah budaya Timur Tengah (Islam) yang diamalkan oleh sebahagian bangsa Melayu
seperti berkopiah putih (menurut pandangan Zam) tidak boleh diterima sebagai budaya
Melayu dan Nusantara?

Ketika sebahagian wakil-wakil rakyat PAS muncul di Dewan Rakyat dengan berbaju
Melayu lengkap pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat selepas pilihan
raya umum 1999, penampilan itu mendapat pujian pelbagai pihak. Mantan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam dilapor melahirkan kekaguman dengan identiti
yang ditunjukkan wakil-wakil rakyat PAS itu. Memang mereka, terutamanya Presiden
PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor tampil segak berbaju Melayu dan bersongkok. Penulis
diberitahu, Almarhum Ustaz Fadzil sebenarnya lebih selesa bersongkok hitam ketika menghadiri sidang Dun dan Parlimen. Mantan Yang Dipertua Agung PAS, Dr
Buhanuddin al-Helmi dan Timbalannya, Prof Zulkifli Muhammad juga bersongkok
hitam. Oleh itu tidak timbul isu kopiah putih dan songkok hitam dalam PAS kerana ia
isu remeh yang tidak harus diangkat menjadi isu nasional.

Bagaimanapun untuk memperbetulkan tanggapan Zam tentang songkok hitam dan
kopiah putih, rasanya elok kita menelusuri sepintas lalu sejarah pemakaian songkok
hitam dan kopiah putih umat Melayu Islam negara ini.

Dalam pemerhatian penulis, songkok hitam tidak menjadi pakaian orang-orang Melayu
sebelum abad ke-20. Lihat sahaja lukisan dan foto berhubung bangsa Melayu yang
dipamerkan di muzium dan buku-buku sejarah Melayu seawal pemerintahan
kesultanan Melayu Melaka. Apa yang dapat kita lihat, orang Melayu lebih gemar
memakai ikat kepala (dipanggil semutar di Kelantan dan Terengganu). Bagi golongan
kerabat dan bangsawan Melayu, setanjak dipakai bagi menggambarkan status
kedudukan.

Filem-filem klasik Melayu juga tidak pernah menunjukkan songkok hitam sebagai
pakaian Melayu. Daripada filem Hang Tuah, Laksamana Bentan, Panglima Harimau
Berantai, Batu Belah Batu Bertangkup, Singapura Dilanggar Todak dan seumpamanya,
tidak seorang pun aktor Melayu yang memakai songkok hitam! Takkanlah Zam tak
perasan?

Sebaliknya, pemakaian serban dan kopiah putih sudah tercatat dalam sejarah Melayu
sejak kedatangan pedagang dan pendakwah Islam daripada Timur Tengah ke Melaka.
Lihat sahajalah filem klasik Siti Zubaidah yang menggambarkan sebuah keluarga alim berketurunan Raja di sebuah pulau yang ketua keluarganya berserban dan berjubah.
Dalam filem itu, aktor-aktor Melayunya tidak langsung bersongkok hitam!

Bapa persuratan Melayu, Abdullah Abdul Kadir Munsyi (1796-1854) digambarkan
sebagai seorang lelaki yang gemar memakai tarbus dan bukan berkopiah hitam. Karya
Abdullah yang terkenal, Hikayat Abdullah dan Pelayaran Abdullah, yang banyak
menceritakan perihal kehidupan orang Melayu pada zamannya tidak menyebut
langsung tentang songkok hitam sebagai pakaian orang Melayu pada abad ke-19.

Sehubungan itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa songkok putih lebih sinonim
dengan budaya Melayu dan Nusantara berbanding songkok hitam yang hanya muncul
dalam sejarah peradaban Melayu di awal abad ke-20!

Dari mana datangnya songkok hitam? Dalam pemerhatian penulis, budaya memakai
songkok hitam di bawa oleh pendatang India Muslim benua India yang berhijrah ke negeri-negeri selat semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Dalam erti kata lain,
kaum kerabat Zam yang dikategorikan Abdul Rahim Kajai - seorang pengasas sastera
Melayu moden - sebagai "Melayu DKK" membawa budaya songkok hitam ke Tanah
Melayu. (Untuk lebih memahami tentang "Melayu DKK" dan "Melayu DKA", sila baca tulisan-tulisan Abdul Rahim Kajai).

Berdasarkan pemerhatian penulis, foto sejarah Melayu paling awal yang menggambarkan seorang Melayu berkopiah hitam adalah foto Syed Syeikh al-Hadi. Syed Syeikh al-Hadi
pun bukanlah anak Melayu tulen Tanah Melayu tetapi termasuk dalam kategori "Melayu
DKA" tafsiran Kajai.

Untuk pengetahuan Zam juga, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak bersongkok
hitam mahupun berbaju Melayu lengkap ketika melaungkan "Merdeka" di Stadium
Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman berpakaian "baju MUscat" -
berasal daripada Oman - dengan bersetanjak. Raja-raja Melayu yang berada di
pentas juga tidak mengenakan songkok hitam malah bersetanjak.

Di benua India - tempat asalnya songkok hitam - pakaian itu tidak melambangkan
agama pemakainya. Dalam filem biografi 'Ghandi' - filem yang memenangi kategori
kustom terbaik Festival Filem Amerika, para penganut Hindu asal India di Afrika Selatan
dan penyokong parti KOngres India pimpinan Pandit Jawharlal Nehru memakai songkok sebagai pakaian harian.

Untuk pengetahuan Zam juga, para anggota sayap pemuda parti Nasionalis India,
Barathiya Janata (BJP) yang dikenali sebagai Rhang Savak Sangh (RSS) memakai
songkok sebagai pakaian rasmi. RSS adalah salah satu persatuan ekstremis Hindu
yang bertanggung jawab meruntuhkan Masjid Babri di India!

Sepupu penulis yang berkhidmat dengan tentera Malaysia pernah menasihati penulis.
Beliau yang berpengalaman berkhidmat di Sarawak dan negara jiran Indonesia
mengingatkan penulis supaya berhati-hati apabila ingin menjamu selera di beberapa
bandar di Sumatera dan pulau Jawa.

Beliau pernah masuk ke 'rumah makan' yang tuan punyanya bersongkok hitam tetapi terperanjat melihat 'kerbau pendek panggang' bergantungan di bahagian dapur restoran
itu apabila mahu ke tandas. Mujurlah beliau belum menjamah makanan dan memohon
maaf kepada tuan punya kedai kerana tidak tergamak makan di situ!

Terimalah songkok hitam mahupun kopiah putih

Seperti ditekankan di awal penulisan ini, bukan niat penulis untuk menjadikan songkok
hitam mahupun kopiah putih sebagai polemik Aidilfitri. Bukan juga niat penulis untuk mengkategorikan Melayu sebagai Melayu tulen, Melayu DKK dan Melayu DKA. Apa yang penulis hajatkan adalah meletakkan budaya pemakaian songkok hitam dan kopiah putih
pada perspektif yang betul apatah lagi apabila isu ini disinggung Menteri Penerangan
dalam saluran rasmi radio kerajaan di hari pertama Aidilfitri.

Dalam konteks Malaysia, songkok hitam, kopiah putih, Melayu tulen, Melayu DKK
mahupun Melayu DKA sebenarnya diikat oleh satu unsur kesamaan iaitu Islam. Islam
adalah agama universal yang merentasi budaya, bangsa dan warna kulit. Menteri
Penerangan perlu menginsafi hakikat ini kerana tiada siapa pun yang mahu Islam
disempitkan dan umatnya dikurung di bawah songkok hitam!

Friday, October 12, 2007

Salam Lebaran







Image Hosting by PictureTrail.com





Image Hosting by PictureTrail.com







Image Hosting by PictureTrail.com







Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com





Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com





















Khas buat ayahbonda,keluarga tercinta dan saudara mara,guru-guru,teman-teman seperjuangan dalam PMRAM,UMI,DPMI,KPT dan pelajar-pelajar perubatan serta sahabat-sahabat yang mengenali kami.

Juga tak dilupakan buat semua pengunjung blog ini dan Taman Ilmu Islam yang
telah memberikan semangat untuk kami terus melangkah...

SALAM LEBARAN PENUH MAKNA DI AIDILFITRI DARI KAMI
SEKELUARGA DI PERANTAUAN BUAT KALIAN SEMUA!

Masak rendang dengan santan
Bangkitkan selera tetamu semua
Di sini kami mengambil kesempatan
Memohon maaf pada semua

Semoga Ramadhan yang berlalu memberi keinsafan dan pengajaran yang
berharga buat diri kita guna sebagai bekalan dalam meneruskan hari2
mendatang..

..dan semoga kehadiran Aidil fitri kali ini memberi erti dalam mengeratkan
lagi silaturrahim,menghidupkan budaya saling bermaafan, bantu membantu
sekaligus menyuburkan penyatuan dikalangan umat Islam.


Mudah2an takbir yang dilaungkan sebagai simbolik kejayaan kita melawan
hawa nafsu dan mengingatkan kita kepada kejayaan tentera Islam
menentang
tentera Ahzab (bersekutu) Musyrikin lantas menyemarakkan
semangat jihad dalam diri2 kita.


Takbir!!!

Iklan-Iklan Raya

Iklan raya terbaru 2007 petronas



Iklan Raya PROTON - 2007



Iklan Raya TV3 - 2007

"Kaabah Fein?" ( Mana Kaabah?)

Malam ni malam raya. Tadi saya sempat mengikuti siaran RTM1 yang membuat liputan lintas langsung tentang perkembangan angkasawan kita yang pertama.Rasa sedikit kesal apabila mendengar ucapan pengacara wanita yang menyatakan sebentar lagi, tepat jam 12.00 malam, kita akan melangkah ke 1 Syawal. Sedangkan Islam mengajar umatnya bahawa terbenamnya matahari akhir Ramdhan menandakan masuknya 1 Syawal. Keranaitu kita dianjurkan mula bertakbir raya ketika itu. Inilah silapnya apabila feqh Islam ditinggalkan dan kita lebih selesa berkiblatkan budaya asing.


Teringat tahun lepas, malam sebegini kami pergi ke pasar Asofiroh untuk membeli kelengkapan raya. Sikap bertangguh menyebabkan malam raya barulah tergerak untuk ke pasar. Dalam perjalanan sudah terasa 'zahmah' (kesibukan) nya. Sampai di pasar, terpaku seketika melihat ramainya manusia. Fikir punya fikir, terpaksalah mengharungi lautan manusia yang begitu ramai kerana tiada pilihan lain. Lalu terpaksalah kami bersabar mengikut arus pergerakan manusia yang lambat sambil bersesak dengan orang Arab, untuk sampai ke tempat yang ditujui. Dalam bersesak-sesak itu,
saya tergelak besar apabila seorang Arab yang berada di belakang kami sempat
berjenaka dengan katanya: "Kaabah Fein?" (maksudnya Mana Kaabah?) Disebabkan
terlalu luar biasa ramainya manusia pada malam itu, sehinggakan Arab itu
mengumpamakan suasana ketika itu seperti suasana Masjidil Haram ketika tawaf haji!

Menghidupkan Malam Hari Raya Dengan Ibadah

Itulah yang biasa berlaku pada malam raya. Biasanya kita sibuk dengan persediaan fizikal
dan luaran sahaja untuk menyambut hari yang ditunggu-tunggu. Menyediakan kuih muih
dan juadah hari raya, menghias rumah, dan lain-lain persiapan terakhir hari raya
biasanya menyibukkan kita pada malam raya. Dan biasa juga, kesibukan kita pada malam
raya mungkin menyebabkan kita lupa kepada suatu perkara yang lebih penting. Iaitu
gesaan Nabi saw agar kita menghidupkan malam raya dengan ibadah sama ada
mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana
terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;



من أحيا ليلة الفطر وليلة الأضحى لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
“Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya
korban,
nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati”.
(Riwayat Imam
at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Dimaksudkan menghidupkan malam itu ialah dengan bangun beribadah di kebanyakan
malam tersebut sebagaimana bermalam di Mina. Namun menurut Ibnu ‘Abbas r.a.; paling kurang yang dinamakan menghidupkan malam ialah mengerjakan solat Isyak berjemaah
dan berazam untuk mengerjakan solat subuh berjemaah. Yang dimaksudkan mati hati
ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi
kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa
pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya
al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima
malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam
hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”.

Menghidupkan Malam Raya Ialah Bidaah?

Justeru, usahakanlah untuk menghidupkan malam hari raya dengan ibadah-ibadah.
Mungkin itu boleh dijadikan ukuran setakat manakah tarbiyah dan didikan Ramadhan membekas dalam diri. Ucapan Syeikh Yusuf Qardhawi elok kita jadikan renungan
bersama:

من كان يعبد رمضان فإن رمضان قد ولى
ومن كان يعبد رب رمضان فإن رب رمضان حي لا يموت

"Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan
telah berlalu, (sebaliknya) barang siapa yang menyembah Tuhan Ramadhan
(Allah), sesungguhnya Tuhan Ramadhan (Allah) itu bersifat Hayyu
(Maha Hidup) dan tidak mati (selama-lamanya)"


Cuma di sana ada satu pendapat yang menyatakan menghidupkan malam raya itu satu
perkara yang bidaah dan tidak dilakukan oleh Nabi. Barangkali ada sahabat yang
mempunyai maklumat berkenaan pendapat ini? Kalau saya tak sibuk berhari raya, Insya
Allah saya akan ulas serba sedikit berkenaan pendapat ini :)

Thursday, October 11, 2007

Teman Nak Jadi Angkasawan!

Artikel ini saya copy dari tulisan Saiful Islam. Saya telah masukkan dalam Taman Ilmu
Islam untuk dikongsi oleh sahabat-sahabat semua, malangnya server laman
menghadapi masalah yang mungkin menyukarkan sahabat untuk memasuki laman.
Jadi saya bawakannya di sini untuk dikongsi oleh sahabat-sahabat.

Untuk makluman semua, apabila server laman Taman Ilmu Islam menghadapi masalah,
sahabat-sahabat boleh melayari blog ini sebagai ganti buat seketika. Sesiapa yang ingin
menghantar artikel ketika itu, boleh menghantarnya melalui email kepada ummu_urwah@yahoo.com. Insya-Allah saya akan masukkan di sini dahulu, kemudian
apabila server kembali ok, saya akan masukkan di sana. Cuma untuk berforum terpaksalah
menunggu laman kembali semula.

Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Saya selalu sebut apabila sahabat-sahabat
menyuarakan kesukaran mereka untuk melayari laman; "Belajar itu perlu pengorbanan
dan kesabaran". Maklumlah, bila laman free ni, masalah-masalah sebegini akan timbul.
Walaubagaimanapun, kami akan cuba mengatasi masalah ini. Kalau ikut webmaster
Abu Handzolah mudah je. Katanya "Kan anta nak balik tahun ni, nanti anta kerja
antalah bayar untuk server". Apapun, saya belum berjanji apa-apa, Insya Allah kami
akan cuba mengatasi masalah ini. Harap sahabat-sahabat semua dapat bersabar dan
memberikan komitmen pada laman ini.

Akhirnya, hayati tulisan Saiful Islam ini. Kisah sedih yang banyak pengajaran. Antaranya
supaya kita menghayati persahabatan, kerana kita akan benar-benar merasai kehadiran
dan menghargai mereka hanya apabila mereka telah tiada. Isteri saya menangis ketika membaca cerita ini -kalau dia tahu saya bongkar rahsia ni, habislah saya nanti:). Dan
untuk menambah feeling, sila baca sambil diiringi nasyid dalam klip dibawah :D




Teman Nak Jadi Angkasawan!

Oleh Saiful Islam


Shariman, saya, Faisal, Dzulkhairi, Ziad, Harith dan Fazrin, Blok B SIS, 1990

“Kenapa mike sugul ni?”, saya menyapa Fazrin.

“Mike tengok tu. Yang sana tu Bintang Utara, yang sebelah sini Buruj Pari”, katanya
sambil menunding jari ke langit.

Angin malam di tepi padang sekolah, terasa nyaman sekali.

“Habis, apa yang anta sugulkan?”, saya masih belum faham.

“Idak le. Teman nak jadi angkasawan. Tapi ayah teman suruh teman jadi cikgu aje!”,
jawab Fazrin. Bersungguh benar dia bercerita.

”Ayah mike kan cikgu. Dia tentu le suka mike jadi cikgu”, saya membalas.

”Itu le. Masalahnya, teman nak jadi angkasawan”, kata Fazrin lagi.

Saya ketawa.

Jam sudah hampir pukul 11 malam. Saya dan Fazrin sama-sama beredar ke asrama.

Tuesday, October 9, 2007

Korban Kemajuan?

Kedatangan Aidilfitri kian terasa. Sana-sini perbualan mula berkisar pada Aidilfitri
yang bakal menjelang, bagaimana sambutan dan persiapannya bergantung kepada
kemampuan serta kemahuan masing2. Media massa elektronik mahupun bercetak
saling bersaing menyiarkan iklan dan program berkaitan raya. Bukan setakat itu saja,
blog-blog dan laman-laman sahabat yang saya lewati juga tidak ketinggalan untuk
memeriahkan dan menghangatkan lagi suasana, masing-masing mula mencoretkan
ucapan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

Golongan yang boleh dikatakan sibuk pada ketika ini, tentulah para isteri, ibu dan
surirumah. Setelah hampir sebulan menyediakan juadah untuk berbuka dan bersahur
(alangkah banyaknya pahala yang mereka dapat- terima kasih isteriku), tumpuan
mereka kini terarah kepada persiapan dan sambutan raya. Isteri saya sendiri sudah
beberapa kali mengajak saya ke pasaraya Fathallah untuk membeli bahan-bahan untuk membuat kuih muih. Malangnya, disebabkan halangan yang tak bisa dielak, ajakan itu
sudah beberapa kali saya biarkan. Mujurlah si dia insan yang memahami.

Tahun ni, kami bercadang untuk beraya ala-kadar saja. Rumah terbuka yang biasa kami
buat tahun-tahun yang lepas pun, belum tahu nak dibuat atau tidak. Dua permata hati
kami yang masih kecil, belum lagi memahami keseronokan hari raya. Cukuplah melihat
mereka berbaju baru, itu sudah membuatkan hati kami berbunga riang, walaupun diri
sendiri sudah 2-3 tahun memakai baju yang sama di pagi raya.

Dalam keghairahan kita menyambut hari mulia ini, kekadang kita terlupa ada insan-
insan lain yang nasibnya tidak seperti kita. Banyak kisah-kisah penderitaan,kemiskinan
dan tekanan hidup yang membuatkan kita sedar dan terfikir betapa kemewahan dan
kemajuan yang diwar-warkan itu, hanya retorik semata. Apalah faedahnya kepada
rakyat, andai kemewahan dan kemajuan itu hanya berlegar kepada satu-satu golongan
saja. Projek berjuta-juta kenaikan saham, keuntungan agensi-agensi dan syarikat-
syarikat milik kerajaan mahupun swasta, golongan atasan yang kerap mengadakan
lawatan kerja (baca: bercuti) ke luar negara dan lain-lain yang di katakan bukti kemajuan
dan kemewahan yang di kecapi dan mesti disyukuri oleh rakyat. Hakikatnya, rakyat
semakin hari semakin menderita dihimpit kemiskinan dan kesempitan hidup.

Apa yang pasti, Islam telah membuktikan, hanya sistem pemerintahan Islam yang
boleh menjamin keadilan dalam pembahagian kekayaan dan kemewahan. Bukankah
kita mendengar kisah kegemilangan pemerintahan Islam di zaman Khalifah Umar Bin
Abd Aziz, berkat keadilan dan amanah dalam melaksanakan tugas pemerntahan,
menjadikan negara Islam kaya raya. Sehinggakan sukar dicari orang yang layak
menerima zakat di wilayah kekuasaannya. Ini telah membenarkan hadis Nabi S.A.W
yang diriwayatkan oleh Adi ibn Hatim sebelum beliau menjadi Muslim

" 'Adi ibn Hatim! Barangkali yang menghalangi engkau memasuki Islam adalah
dengan kemelaratan kaum muslimin. Akan tiba masanya nanti di suatu zaman
di mana seluruh umat Islam tidak layak menerima zakat lantaran kekayaan
yang telah mereka miliki"

Berkata 'Adi ibn Hatim setelah dia menjadi seorang Muslim

"Aku telah melihat dua perkara yang dinyatakan oleh Nabi dan aku
bersumpah perkara ketiga mengenai kekayaan umat Islam pasti berlaku"

Yahya ibn Said (salah seorang gabenor Umar bin Abd Aziz berkata,

"Umar bin Abd Aziz mengutus aku ke Afrika Utara untuk membahagi zakat.
Lalu kucari fakir miskin tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin.
Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya!"

Sekalipun memastikan kekayaan diperolehi oleh rakyatnya, Umar bin Abd Aziz tidak
sesekali menggunakan kekayaan untuk kepentingan dirinya. Segala hartanya diserahkan
untuk kepentingan kaum muslimin. Diceritakan, harta kekayaannya sebelum menjadi
khalifah melimpah-limpah. Dia memiliki tanah ladang di Hijaz, Syam, Mesir dan
Bahrain, yang mengeluarkan hasil yang besar tidak kurang dari 40 000 dinar setiap
tahun. Belum lagi pendapatan gajinya sebagai khalifah. Semuanya itu diserahkannya ke
Baitul Mal untuk kepentingan kaum muslimin, dan dia hanya menggunakan 2 dirham
saja dari kekayaannya itu.

Inilah satu contoh Khalifah Islam yang adil dan amanah dalam melaksanakan
tanggungjawabnya. Dan ini terpancar dalam satu kata hikmahnya:

"Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku
melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati
aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah
aku daripada melakukannya."

Akhirnya, moga Syawal yang tiba ini mengingatkan kita akan penderitaan mereka yang
kurang bernasib baik. Barangkali ketika kita bergembira di pagi raya, ada yang hanya
saban waktu menitiskan air mata. Ketika kita berpakaian baru dan cantik, ada yang
hanya memakai pakaian yang koyak dan buruk. Ketika kita kenyang menjamu selera
dengan hidangan yang lazat, barangkali ada yang hanya mampu mengalas perut dengan
biskut kering atau meminum air paip.

Saya bawakan di sini, satu artikel tulisan Saudara Roslan SMS, moga-moga kita sedar,
selama ini kita hanya disuakan dengan kemewahan dan kemajuan hidup yang semata-
mata fatamorgana!


Jenguk-jenguklah mereka yang kurang bernasib baik

Hari ini adalah hari yang ke 26 kita berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.
Kita dijangka merayakan Aidil Fitri pada hari Sabtu ini. Sudah pastilah anak-anak kita terutamanya, ceria dan gembira menantikan saat kedatangkan Hari Raya yang ditunggu-
tunggu walaupun bagi mereka yang faham, akan meratapi pemergian Ramadhan iaitu
bulan Allah swt yang menjanjikan syurga dan keampunan bagi layak dan berjaya.

Dalam suasana sebegini saya sedih apabila membaca beberapa berita dalam akhbar
tempatan hari ini yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat kita di dunia yang
serba mencabar ini.Kita bersyukur dengan apa yang kita ada, rupanya ramai yang
menderita dalam kesempitan.

Muka hadapan Berita Harian contohnya kita dipaparkan dengan kisah seorang kanak-
kanak perempuan 18 bulan rentung mati terbakar di sebuah bilik rumah kedai di Jalan
San Peng yang disewa oleh ibunya. Dua orang abangnya tiga dan lima tahun walaubagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran berdekatan. Kejadian berlaku kira-
kira jam 1.30 petang setelah ketiga-tiga beranak ini ditinggalkan oleh ibunya di dalam
bilik berkenaan.

Ke mana ibu mereka?

Ibu mereka 37 tahun, adalah seorang ibu tunggal. Bekerja sebagai pembantu kedai di
Jalan Pudu. Sebelumnya, menurut laporan, anak-anaknya ditinggalkan untuk dijaga
oleh pengasuh, akan tetapi kerana kesempitan kewangan beliau terpaksa meninggalkan anak-anaknya tanpa pengawasan semasa beliau keluar bekerja.

Bayangkan masih ada rakyat Malaysia, anak Melayu beragama Islam, yang terpaksa
hidup perit sebegini, menderita sehingga terkorban anaknya, bukan kerana kecuaiannya
tetapi kerana tekanan hidup yang dihadapi.

Di muka belakang akhbar yang sama pula disiarkan kisah seorang ibu Hasnah
Mohamad, 51 tahun, yang terpaksa mengurus dan menanggung suaminya, 62 tahun,
yang lumpuh separuh badan dan anaknya Siti Hafizzah, 15 tahun yang cacat. Beliau
juga mempunyai seorang anak, 13 tahun yang sempurna dan masih bersekolah.
Mereka sekeluarga tinggal di Port Dickson.

Menurut Hasnah beliau bergantung hidup pada pencen suaminya sebanyak RM400
sebulan. Bagi menambahkan pendapatan wanita tua ini turut bekerja mencari siput laut
dan menanam sayur-sayuran tetapi hasilnya sangat sedikit.

Jika berbuka puasa di hotel lima bintang di Kuala Lumpur RM400 ini boleh dihabiskan
dalam semalaman untuk buffet berbuka sekitar 6 ke 7 orang. Tetapi ibu tua ini terpaksa berbelanja jumlah itu untuk sebulan bagi menanggung makan-minum, belanja sekolah, perubatan dan lain-lain untuk keluarganya. Apa persaan anda bila membaca kisah ini?

Dalam akhbar The Star pula muka 10 disiarkan juga di Port Dickson tentang Zulkifli
Abdul Rashid, 49 tahun, yang menanggung isteri dan lima orang anak. Akibat tekanan
hidup beliau sekeluarga telah berhijrah dari Ipoh ke Kampung Chokra, PD untuk
memulakan hidup baru. Dilaporkan sejurus tiba di PD mereka sekluarga tinggal dalam
khemah yang dibina berhampiran pantai PD. Apabila khmeah tersebut rosak mereka sekeluarga menjadikan stesyen bas sebagai tempat perteduhan. Dari situ seorang
pemandu teksi telah membawa mereka tinggal ke rumah mereka kini yang tidak ada
bekalan letrik.

Kata Zulkifli hidup mereka memang susah, beliau baru sahaja mendapat kerja sebagai
pengawal keselamatan bulan ini manakala isterinya mengambil upah mencuci pinggan
mangkuk di sebuah restoran dengan upah RM20 sehari. Itupun tidak kerap oleh kerana kesihatannya sering terganggu.

Susah hidup mereka menurut Zulkifli sehingga anak bongsunya Zulkhalid, 8 bulan
terpaksa diberi minum susu pekat manis oleh kerana mereka tidak mampu membeli
susu bayi.

The Star melaporkan, yang nasib mereka ini sampai kepengetahuan Persatuan Belia
Sikh di sana. Lalu persatuan tersebut baru-baru ini atas dasar perikemanusiaan telah menyerahkan wang tunia, peralatan, barang dan bahan makanan, tilam yang
kesemuanya berjumlah RM3,000 untuk keluarga ini. Ahli-ahli persatuan juga telah
membawa anak-anak tidak bernasib baik ini membeli-belah pakaian Hari Raya.

Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada Negeri Sembilan Sikh Naujawan Sabha
ini. Sepatutnya masyarakat Islamlah yang tampil ke hadapan membantu dan
meringankan beban keluarga ini.

Kesimpulannya lihatlah, ini mungkin contoh-contoh kecil yang dapat kita pungut
kerana kebetulan terbit dalam akhbar, bagaimana dengan ratusan atau mungkin ribuan
kes lagi yang tidak kita ketahui? Kita mendabik dada sudah 50 tahun Merdeka, 13 tahun
lagi mahu mencapai status negara maju, mana pergi badan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab? Duit zakat yang kita bayar ke pusat-pusat zakat, ke mana
dibelanjakan? Kenapa masih ramai yang menderita tanpa pembelaan seperti ini
sedangkan mereka dikalangan anak-anak bangsa sendiri?

Malaysiaku Gemilang tetapi rupa-rupanya masih ramai dikalangan anak-anak bangsanya
yang merempat dan menderita, tanpa pembelaan.