Friday, November 2, 2007

Makanan Segera Vs. Ilmu Segera


Artikel Saiful Islam di bawah elok untuk dijadikan renungan. Realitinya, apa yang ditimbulkan olehnya tiada siapa dapat menafikan. Kita semakin 'selesa' mencari seterusnya 'absorb' maklumat dari internet.Bahkah lebih parah, ada yang menganggap tidak perlu lagi menghadiri majlis-majlis ilmu, cukup dengan mengadap pc berjam-jam (sungguhpun jarang kita lihat masa yang berjam-jam di depan pc itu itu di isi dengan tujuan ilmu).

Mungkin ini boleh diterima andai yang melakukannya ialah golongan yang tidak terpelajar. Tetapi apabila yang melakukannya ialah golongan terpelajar, di antaranya masih berada di madrasah dan universiti yang dianggap gedung-gedung ilmu, apatah lagi yang berada di Mesir yang dianggap kiblat ilmu, ia satu perkara yang benar-benar dikesali. Sepatutnya kita menggunakan 'fursoh zahabiah' (peluang keemasan) kita di bumi Mesir ini untuk mengaut sebanyak mana yang termampu permata-permata ilmu yang bertaburan di bumi Anbiya' ini.

Kini kita melihat majlis-majlis ilmu yang ditawarkan oleh syeikh-syeikh arab di sini tidak lagi semeriah seperti dulu. Berbeza dengan dulu, padam-padam (gelaran bagi pelajar lelaki yang telah berkahwin di sini) memenuhi kelas-kelas berkenaan. Demikian juga kelas-kelas tafaqquh anjuran DPMI ( Dewan Perwakilan Mahasiswa Iskandariah) semakin lengang. Mengikut cerita seorang padam di sini, dia mula menjadi tenaga pengajar kelas tafaqquh untuk mahasiswi- mahasiswi di sini pada tahun 2002. Ketika itu dapat dilihat semangat berkobar-kobar mereka untuk belajar. Kehadiran mereka memenuhi dewan, sehinggakan terpaksa dihampar tikar-tikar di luar dewan. Dan sekarang, setelah berkahwin dan menetap di sini, dia masih mengajar. Malangnya, keadaan sudah amat berbeza. Kelas lengang seumpama pantai dilanggar tsunami. Yang hadir boleh dibilang dengan jari. Adakah di sebabkan sekarang ini dia sudah berpunya? (hehe saya hanya bergurau!).

Mungkin sahabat menyatakan cara itu lebih mudah dan manjimatkan masa. Tidak perlu bersusah-susah untuk manahan 'tramco' (van) atau bas. Tidak membuang masa terperangkap dalam 'zahmah' (jam). Tiada risiko demam disebabkan bahang matahari musim panas atau sejuk yang menggigit di musim sejuk. Kenapa perlu bersusah payah andai ada cara yang lebih mudah! Benar, saya tak menyangkal kelebihan-kelebihan itu. Tetapi susah payah itu satu bukti cinta kita pada ilmu. Susah payah itulah letaknya nilaiannya di sisi Allah. Bukankah Allah telah menjanjikan dengan setiap satu kesusahan itu akan ada kesenangan. Ilmu itu milik Allah, buktikan kepadaNya kesungguhan kita!

Demikian juga dari segi keberkatan ilmu itu sendiri. Takkan sama orang yang merenungi jernih cahaya muka para ulama' dan orang yang silau matanya kerana cahaya pc. Kita sedia maklum betapa majlis-majlis itu dipayung oleh sayap-sayap para malaikat. Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani, pada halaman 4: Bersabda Nabi SAW:

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت
بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


Hendaklah kamu duduk bersama para ulama' dan mendengar perkataan para hukama', maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.

Keberkatan inilah yang dicari oleh penuntut ilmu yang ikhlas sepanjang zaman. Maka siapakah kita dengan ilmu yang ada? Apakah peranan kita untuk umat ini? Apakah ilmu yang kita miliki berkat, bermanfaat bagi diri, keluarga dan umat?

Maaf kerana ter'panjang-lebar' pula saya menulis muqaddimah. Di bawah ini saya bawakan tulisan Saiful Islam, jadikanlah ia renungan kita bersama. Usahakanlah agar ilmu kita bukan ilmu segera, kerana sebagaimana mee segera, ia mudah dan enak, tetapi mudharat sebaliknya...Wallahua'lam.

Makanan Segera Vs. Ilmu Segera

marah.gif

“Boleh saya tanya sesuatu?”, saya cuba meramahkan diri.

“Silakan!”, kata Yilmaz, ketua kumpulan itu.

“Saya perhatikan saudara-saudara semua membaca Risalah al-Nur dari pagi hingga ke malam. Kenapa tidak ada buku lain yang dibaca sama?”, saya meluahkan apa yang terbuku di hati.

Yilmaz tersenyum.

Beliau adalah ketua di asrama Nurcular yang saya tumpangi. Nurcular merujuk kepada mereka yang mengikut gerakan Nurcu yang dipimpin oleh Fethullah Gulen, yang dianggap sebagai kesinambungan warisan Badiuzzaman Said al-Nursi.

“Saudaraku, tidakkah kamu berasa hairan? Kita hanya ada satu Tuhan, satu Nabi dan satu Kitab, tetapi bagaimanakah boleh terjadinya begitu banyak pandangan dan mazhab?”, kata Yilmaz.

Saya menggaru kepala.

“Badiuzzaman Said al-Nursi telah belajar dengan beribu-ribu ulama sebelum beliau menulis Risalah al-Nur ini. Semua jawapan kepada semua masalah ada dalam Risalah ini. Apabila kita membaca Risalah al-Nur, bermakna kita telah belajar dengan beribu-ribu ulama, tanpa perlu berselisih pendapat!”, jawab Yilmaz dengan penuh yakin.

Saya hampir pitam mendengar jawapan beliau. Pening dan terus mohon izin masuk ke bilik untuk ketawa dan menangis.

Cerita itu sudah lama berlaku. Sekitar tahun 1995 di Konya.

BENGANG BALIK

Tetapi hari ini bengang itu timbul kembali. Bengang kerana adik-adik di kampus tidak habis-habis bertelagah. Dari satu isu kepada satu isu.

Bid’ah Hasanah vs. Bid’ah Dhalalah, Sunni vs. Syiah, Al-Ghazzali vs. Ibn Taimiyyah dan senarai itu berterusan.

Apabila perbalahan menuntut sandaran, ada pula yang mencadangkan kepada seterunya agar membaca artikel Ustaz Hasrizal yang ini dan yang itu. Tanpa disedari, saya diheret ke perdebatan sesama mereka walaupun sering benar apa yang saya tulis, berlainan dengan apa yang mereka perbalahkan.

Lantas perbuatan menyandarkan diskusi kepada artikel saya, atau mana-mana artikel lain menimbulkan pelbagai reaksi.

Ada pendidik yang mencela penulis artikel. Kata mereka kepada pelajar yang hobinya berbalah ini, “kamu kenal siapa penulis artikel itu? Apa sejarahnya, siapa dia dahulunya? Mahu mengutamakan penulis artikel ini berbanding Imam-imam dan ilmuan Islam yang muktabar?”

Ada pula pelajar yang cabar mencabar bertanya, “apakah kamu sangka kamu sudah tahu benar, hanya kerana sudah membaca artikel Ustaz Hasrizal dan penulis-penulis yang lain?”. Malah peribadi saya pun diperkatakan sama… sejauh mana kredibiliti saya sebagai ahli sejarah? Setakat mana buku yang saya baca… dan macam-macam lagi.

Membanding dan melagakan artikel dengan buku, adalah suatu kebodohan dalam tradisi menuntut ilmu. Jarang saya menggunakan perkataan seperti ini.

Kadang-kadang saya rasa dunia ini sudah gila. Kemudahan menulis di internet ini sudah menjadi seperti gula. Semasa sikit-sikit jadi pemanis. Tetapi bila dah banyak, jadi pembunuh dan ramai yang mati.

ARTIKEL BUKAN BUKU

Di dalam mana-mana artikel sekali pun, penulis tidak mungkin dapat dibebankan dengan nota kaki dan salinan rujukan. Ia bukan format artikel. Lainlah kalau jurnal akademik. Kesemua editor majalah meletakkan had perkataan dan skop penulisan yang mesti dipatuhi oleh penulis, sesuai dengan ruang majalah yang amat terhad.

Oleh yang demikian, artikel bukan gelanggang ilmu. Ia adalah medan mencetus idea. Dalam erti kata yang lain, kita tidak sepatutnya menganggap yang kita telah tahu, hanya kerana kita telah membaca artikel di majalah tertentu. Menamatkan ’sandaran tahu’ hanya kepada artikel di majalah, menjadikan kita ini taqlid kepada penulis semata.

Artikel hanya pencetus idea. Ia merumuskan pembacaan, pengalaman dan analisa penulis. Tetapi artikel itu jauh daripada berupaya mendatangkan semua pengalaman penulis sebelum dan semasa menulis.

Misalnya, apabila saya menulis artikel “ AKHIRNYA KU TEMUI AL-GHAZZALI“, ia adalah rumusan kepada pembacaan saya yang melibatkan beberapa buah buku, dan saya mengambil masa beberapa bulan sebelum berasa yakin dengan apa yang saya fikir. Tiba-tiba, ramai yang membaca artikel saya turut sama BERTEMU DENGAN AL-GHAZZALI mereka. Walhal mereka hanya berjumpa dengan al-Ghazzali saya, bukan al-Ghazzali mereka!

Maksud saya, gunakanlah artikel saya untuk melakar usaha masing-masing pula dalam pembacaan tentang al-Ghazzali.

Begitu juga, apabila saya menulis tentang gerakan Wahhabi, ia adalah rumusan saya terhadap pembacaan saya yang melibatkan banyak buku dan banyak tahun. Termasuk juga salinan-salinan dokumen pegawai British, manuskrip Othmaniyyah, dan sumber-sumber kawan juga lawan. Maka gunakanlah artikel saya itu untuk anda pula membaca.

SALAHKAN PEMBACA, BUKAN PENULIS

Jika mahu salah menyalahkan sesama kita, janganlah fenomena ini dibebankan ke atas penulis artikel. Sepatutnya pembaca sedar, apa tanggungjawab mereka. Bagi peminat Majalah I, apa yang ditulis oleh penulis, jadikan ia sebagai alat untuk diri anda mengkaji. Tidak wajar bagi seorang murid ilmu, menyandarkan ibadah dan perjuangannya kepada artikel.

Saya masih ingat, semasa saya masih belajar di peringkat undergraduate, saya hidup di dunia yang berlainan dari dunia sekarang. Tanpa internet, telefon bimbit dan khidmat sms, dunia saya sudah amat berlainan dengan dunia hari ini.

Pada masa itu, untuk saya membuat pertimbangan tentang satu-satu hukum dan ilmu, jalannya payah. Kerana kepayahan itu, dan demi cinta saya kepada menambah TAHU, saya redah padang pasir yang memisahkan Mu’tah dengan Amman sekira-kira 250km, setiap minggu bertahun-tahun, demi untuk belajar, walaupun hasil belajar itu hanya selembar ilmu.

Tetapi saya yakin, perjalanan yang payah dalam usaha mendapatkan ilmu juga maklumat, telah secara tidak langsung menyedarkan diri dengan banyak perkara. Dapat ilmu pun sedikit demi sedikit, seminggu demi seminggu. Sempatlah dalam senggang seminggu itu, ilmu minggu lalu direnung dan ditimbang, sebelum datang ilmu baru.

Namun hari ini, keadaan sudah jadi rumit. Jika dahulu, saya diberi masa sebulan untuk selesaikan Takhrij Hadith. Tetapi hari ini, takhrij siap hanya dengan sepunat tekan di hujung jari. Semua yang dahulunya payah, kini di internet bersepah-sepah.

Sebagaimana orang sekarang sakit kerana makanan segera, begitu jugalah agaknya siswa siswi hari ini berpenyakit kerana menjamah ‘ilmu segera’.

Serabut…. serabut…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
10 Mac 2007

1 comments:

Mardihah said...

TAJUK : EMPAT KUNCI KEBAHAGIAAN
Dari : Riwayat Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa."
Huraian :
• Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam di mana kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:

a) Wanita yang solehah- iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.

b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.

c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah kelurga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat di antara satu sama lain.

d) Kenderaan yang selesa kerana ia memberikan kemudahan dalam segala urusan.
• Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
• Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.