Monday, August 6, 2007

Berhati-Hati Dengan Apa Yang Didengar

Beberapa hari lepas, saya dikunjungi beberapa sahabat. Sesekali berjumpa (apatah lagi pergerakan saya ketika itu agak terbatas kerana menemani isteri yang sedang berpantang anak kedua) maka seronoklah kami bersembang. Dalam perbualan kami itu, salah seorang sahabat membuka cerita berkenaan nasib penyanyi lagu nasyid 'غرباء' yang telah dijatuhkan hukuman potong lidah.

Saya tak dapat pastikan kesahihan kisah tersebut. Apa yang terlintas di benak fikiran saya ketika mula-mula mendengar kisah tersebut, rasa tidak relevan dan melampaunya hukuman tersebut. Dan saya menganggap hukuman itu disebabkan kebimbangan yang tidak berasas. Apalah sangat yang ditakutkan dengan lagu dan nyanyian. Tak mungkin ia dapat memberi kesan yang menakutkan sehingga membenarkan hukuman yang sebegitu.

Namun, bila direnungi dengan lebih mendalam, saya mula dapat memahami dan menerima kebimbangan itu. Hakikatnya, nyanyian, muzik dan lagu-lagu sebenarnya sangat berkesan dalam mempengaruhi tindak-tanduk dan pendirian sesuatu umat. Dalam hal ini, pepatah cina kuno ada menyatakan "Sebelum anda khabarkan kepada saya siapa meletakkan undang-undang sesuatu bangsa, khabarkan dulu siapa yang mencipta nyanyiannya". Maksudnya - nyanyian lebih berkesan jika dibandingkan dengan undang-undang dalam mendidik dan mendisiplinkan masyarakat!

Ini kerana nyanyian itu bersifat memujuk dan membelai sebaliknya undang-undang bersifat memaksa dan mewajibkan. Manusia biasanya melawan dan memberontak dengan paksaan yang dikenakan, tetapi seringkali tersungkur dengan pujukan dan cumbuan! Apatah lagi apabila seseorang itu 'dipujuk' dan 'dibelai' secara berterusan oleh muzik dan lagu. Saudara bayangkanlah sendiri apa kesannya.

Berikut beberapa maklumat yang saya kutip dari kitab الإسلام karangan Ustaz Said Hawwa berkenaan muzik dan nyanyian:

1. Mendengar muzik secara berterusan akan menyebabkan diri seseorang itu dalam keadaan rehat berpanjangan yang seterusnya akan menguatkan kecenderungan kepada berseronok dan sukakan kerehatan serta pada masa yang sama bencikan bebanan dan kesukaran. Ia sebenarnya satu bahaya yang mengancam survival umat, rasa tanggungjawab dan kesediaan mereka untuk berkorban. Kajilah sejarah dan anda akan dapati bahawa tidaklah tenggelam dan mabuk sesuatu umat dengan nyanyian dan hiburan yang melalaikan melainkan akan hilang dari mereka sifat perjuangan, bahkan yang ada hanyalah sifat menyerah kalah

2. Muzik ialah puncak keseronokan, dan keseronokan itu puncak kehidupan dunia. Mabuknya seseorang dengan muzik dan nyanyian akan memesongkannya dan menyebabkan dia lupakan akhirat.Apa yang penting baginya hanyalah keseronokan dunia dan ini mengalihkan tumpuannya dari menunaikan tanggungjawabnya. Lihatlah kehidupan manusia yang mabuk dengan muzik, anda akan dapati mereka sukar untuk menerima tugasan, sekiranya melaksanakan sebahagiannya, sebahagian lagi dicuaikan.Muzik pada hakikatnya 'membius' sifat mulia manusia dan menanamkan cinta dunia dalam hati manusia.

Kerana itu, pilih-pilihlah apa yang anda dengar. Barangkali apa yang anda anggap sekadar berseronok atau mengisi masa lapang, sebenarnya memberi kesan yang besar pada sikap dan perilaku anda. Dan barangkali juga, kesan itu bukan tertentu kepada anda seorang, bahkan tempiasnya terkena kepada anak, isteri dan orang-orang disekeliling anda..

Berhati-hatilah!

Rujukan:

الإسلام
Ustaz Said Hawwa

0 comments: