Wednesday, August 15, 2007

Kemahiran Yang Perlukan Keberanian

Jika diikutkan rasa badan, ingin terus melelapkan mata. Menempuh perjalanan dari
Iskandariah ke Aiport kaherah sejauh lebih 400 km pergi dan balik selama lebih
kurang 9 jam untuk menghantar sahabat-sahabat seperjuangan yang pulang ke Malaysia,
dengan menaiki kenderaan yang agak ta'ban dan ditambah terpaksa melayan karenah
nakal dan manja dua putera dan puteri, segalanya sungguh menguji ketahanan fizikal
dan mental. Tetapi tidak selesa rasanya melelapkan mata dan membiarkan blog ini
tanpa posting terbaru.

Sekadar berkongsi cerita, sedang saya rehat-rehat di rumah sambil melayari internet
beberapa hari yang lepas, saya disapa oleh seorang sahabat melalui ym...

Sahabat: salam
Sahabat: nk mtk tlg (tolong) se (satu).

Sahabat: nk bkongsi kmahiran ngan ust salimi sekali bleh (boleh)?

Saya: wslm
Saya: yer
Sahabat: camne nk buat bila bhadapan didepan org dlm konteks mngajar iaitu care
nk bina ayat spontan

Sahabat: hehehe
Sahabat: saje nk tau

Sahabat: ana ni xpngalaman mane dlm mngajar2 ni

Sahabat : biase ngajar quran blehlh

Sahabat: klu ceramah2 ni susah sikit

Sahabat: maklumlh bukan bidang ana

Saya: ooo
Saya: ana pun tak pandailah
Saya: ana cakap mcm baca buku
Saya: tak pandai nk berbual


Sahabat saya itu sebenarnya ditaklifkan untuk menyampaikan ceramah bagi satu
program. Kesungguhan yang ditunjukkannya amat mengkagumkan saya. Silapnya
hanya satu, bertanyakan tentang cara-cara berceramah kepada orang yang bukan
ahlinya.

Tidak dinafikan, penyampaian dakwah melalui lisan merupakan uslub yang penting dalam menyampaikan dakwah. Bukanlah rahsia lagi bahawa para nabi dan rasul itu dipilih
di kalangan yang paling fasih dari kaumnya. Bacalah al-Quran dan anda akan menemui
banyak kisah-kisah yang menceritakan bagaimana para Rasul terutamanya berhujah
dan berdebat dengan kaum masing-masing.

Meminjam kata-kata Saudara Mohamad Sabu "Islam itu menang dengan hujah".
Kerap kali lidah musuh Islam kelu saat berhadapan dengan hujah-hujah yang dibawa
oleh golongan penegak kebenaran. Sebaliknya kelemahan para daei berhujah akan
menyebabkan bukan setakat kebenaran itu tidak terserlah bahkan akan membuka
peluang kepada musuh Islam untuk memperlekehkan dan mempermainkan Islam.
Kerana itu kemahiran ini mesti cuba dipupuk dan dilatih oleh setiap pencinta Islam.

Berdasarkan pemerhatian saya ditambah sedikit pengalaman serta maklumat-
maklumat yang saya temui dalam buku-buku, saya cuba senaraikan beberapa tips
penting dalam memastikan ucapan yang disampaikan berkesan dan menarik
perhatian pendengar. Antaranya :

1.Cuba baca kisah ini:

Seorang pakar racun tikus menghadiri satu parti sosial bersama isterinya.
Selepas beberapa waktu, dia berdiri seorang diri. Isterinya pun menghampirinya
dan berkata: "Mengapa awak tidak bergaul dengan orang lain? Pergi dan
bercakaplah dengan mereka." Dia menjawab, "Apabila saya bercakap dengan
mereka tentang racun tikus, mereka berpaling dan meninggalkan saya."

Malang sekali dia hanya boleh bercakap tentang kepakarannya sahaja. Penceramah
hendaklah mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang dan banyak membaca.
Dia hendaklah mampu memulakan dan mengadakan perbincangan yang baik dalam
pelbagai perkara di luar bidang kepakaran yang dimilikinya. Hal ini akan
memberikanya imej yang baik. Dia juga hendaklah mempunyai minat yang
mendalam terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.

2. Suatu ketika saya dijemput untuk memberi pengisian dalam satu program yang
diadakan di satu muhafazah di sini. Apabila tiba di tempat yang dijanjikan, saya dapati
pengisi bagi slot sebelum saya masih lagi menyampaikan ucapannya, sedangkan waktu
slot saya sudah sampai. Rupa-rupanya ada kesilapan dari beberapa pihak sehingga menyebabkan perjalanan program tidak menepati perancangan. Saya memahami
keadaan itu kerana pengalaman-pengalaman terlibat dalam menguruskan beberapa
program seumpama itu. Saya terus menunggu, akhirnya slot itu hanya berakhir
melewati masa slot yang sepatutnya diisi oleh saya. Akhirnya, selepas diadakan
perbincangan, penganjur meminta maaf kerana slot saya terpaksa dibatalkan dan saya
diminta untuk menjadi salah seorang ahli panel forum dengan tajuk yang baru!

Apa yang ingin saya utarakan di sini, seseorang penceramah itu hendaklah sentiasa
bersedia menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang tidak dijangka. Dia juga
mestilah sedaya upaya melatih dirinya sehingga berkebolehan menyampaikan misinya
walau secara mengejut dan tidak bersedia. Ini boleh dilakukan dengan mengamalkan pembacaan dan pencarian ilmu secara berterusan dan tidak bermusim.

3. Jangan sesekali membuat pengakuan dan penilaian dalam sebarang keadaan
sekalipun terhadap penyampaian anda sendiri seperti : Saya meminta maaf kerana
tidak bersedia, ucapan saya tidak baik dan sebagainya. Elakkan dari membuat kenyataan-
kenyataan seperti di atas sebaliknya terus masuk ke dalam tajuk perbincangan dengan
memberikan penyampaian yang terbaik yang mampu anda lakukan. Jangan menilai
diri anda di hadapan penonton; mereka yang akan memberikan anda gred. Anda
mungkin membuat penyampaian yang terbaik tanpa anda menyedarinya.

Diriwayatkan bahawa suatu hari khalifah yang ketiga, Uthman bin Affan tidak dapat
memberikan khutbah Jumaat di mimbar. Semasa melangkah turun, beliau berkata


ان الله يزع بالسلطان مالايزع بالقران
"Allah menyempurnakan sesuatu melalui tangan pemerintah sesuatu yang tidak
dapat
disempurnakan melalui Al-Quran sahaja."

Mendengar kata-kata ini, hadirin berteriak, "Kalaulah beliau mengucapkan kata-kata
ini di atas mimbar, ucapan itu akan menjadi satu khutbah yang terbaik pernah
diucapkan."

4. Melatih bagaimana tidak bercakap. Kebiasaannya kita menekankan kepada
pelatih-pelatih bagaimana hendak bercakap. Kadang-kadang sangat penting untuk
melatih bagaimana hendak berhenti bercakap. Sebagai contoh, jika anda sedang
memberikan ucapan dan sebahagian hadirin berada dalam hujan atau duduk di bawah
cahaya matahari yang panas terik. Ucapan anda mesti ringkas dan pendekkan ucapan
anda ke tahap yang minimum. Begitu juga; jika alat pendingin hawa tidak berfungsi
dan menyebabkan pendengar lemas, anda mesti berhenti berucap.

5. Anda juga harus sedar dan memahami kedudukan dan peranan anda. Jika anda
sebagai pengerusi, jangan bersikap 'lebih sudu dari kuah'. Biasa kita jumpai pengerusi
yang 'syok sendiri' dan berceramah lebih banyak dari penceramah sebenar. Jika anda
sebagai ahli panel forum contohnya, lalu anda telah terlewat dan pengerusi meminta
anda berhenti, anda mesti mendengar dan mengikutinya. Malang sekali sesetengah
daripada kita keras kepala dan terus berucap sehingga habis tanpa mengira
perubahan suasana. Pada masa inilah pemikiran yang dinamik dan sentiasa
mengikuti perubahan terkini dalam program diperlukan. Kadang-kadang kita tidak
mengira objektifnya. Apa yang penting bukan setakat menyampaikan mesej tetapi
supaya pendengar menerimanya. Jika kita mempunyai bungkusan untuk dihantar
dankita tidak menemui alamat yang betul, kita tidak perlu membuang bungkusan itu
begitu saja. Kita mesti menyimpannya dan menghantarnya pada waktu lain untuk
memastikan bungkusan itu diterima oleh tuannya.

6. Manusia boleh mendengar lebih cepat dari kebolehan kita berucap (puratanya
800 perkataan seminit berbanding 250) dan jika mereka dibiarkan tanpa mendengar
apa-apa untuk jangka masa yang lama, perhatian mereka akan menerawang.
Kadang-kadang kita dikehendaki bercakap lebih cepat daripada perbualan harian.
Di sini tidak ada satu kadar yang terbaik untuk penceramah, tetapi kita hendaklah
bercakap secepat yang kita mampu tanpa tersekat dengan perkataan atau tidak
jelas. Dalam hal ini, kejelasan adalah sangat penting, setiap perkataan dan setiap
ungkapan mesti difahami.

Penuturan adalah jantung kepada penyampaian yang baik. Kita mesti menuturkan
setiap patah perkataan dengan jelas dan mengelakkan ungkapan-ungkapan yang
berulang dan mengganggu seperti "maksud saya", "anda tahu", "uh","hmm" dan
"em".

7. Kebanyakan orang biasa mengambil perincian dan maklumat baru dari bahan
bercetak supaya dapat memberikan ruang ucapan untuk mereka bernafas. Dan agak
sukar untuk mengambil maklumat melalui apa yang didengar. Kerana itu kita
hendaklah bijaksana dalam menyampaikan maklumat. Contohnya, jika kita menyatakan
fakta yang penting, kita hendaklah diam agak lama dari biasa di akhir ayat supaya
pendengar dapat menyerap maklumat. Diam di tempat yang kritikal menambah minat
dan reaksi si pendengar.

Demikianlah beberapa tips yang saya boleh bawa di sini. Sebenarnya banyak lagi tips-
tips yang boleh digunakan. Apapun tips-tips itu tidak berguna jika tidak didasari dengan
pengalaman.

Pandangan saya sejak dari dulu, kebanyakan manusia dilahirkan dengan kebolehan
untuk menjadi penceramah atau pemidato yang baik. Cuma perlukan keberanian
untuk bermula dan mengasah apa yang dimiliki. Contoh yang terdekat bagi saya, seorang
sahabat saya sendiri, yang sering mengelak jika diminta untuk memberi pengisian
dalam program-program. Jika diminta, lekas-lekas dia mencadangkan orang lain.
Sedangkan saya pernah melihat dia memberikan ucapan dan rupa-rupanya dia
mempunyai kebolehan untuk berceramah dengan baik (saya melihat cara ucapannya
ketika itu ala-ala TG Haji Abdul Hadi). Kerana itu, saya sering mengusiknya (sebenarnya membakar semangat) supaya berceramah dan mengatakan dia mampu berceramah
seperti TG Haji Hadi. Barangkali sahabat saya itu mungkin tersenyum keseorangan andai terbaca komentar saya ini.

Akhirnya, kuatkanlah semangat. Persiapkanlah diri dengan pelbagai wasilah
dakwah. Hakikatnya kita mampu melakukannya! Bukankah Allah telah berjanji untuk
membantu mereka yang mambantu agamaNya?

Atau mungkinkah kita masih ragu-ragu dengan janji Allah?

0 comments: