Kali ini saya bawakan satu klip video Kuliyah Maghrib Ustaz Azhar Idrus Di Surau Flat
Gelong Bilal pada 02 September 2007.
Masa dulu-dulu ketika saya masih di sekolah menengah, saya dan sahabat-sahabat seperjuangan kerap keluar asrama (tentunya tanpa izin warden-'tembo asrama' kalau
istilah kami) untuk mengikuti ceramah, kuliah dan kelas pengajian yang disampaikan
oleh beliau dan ustaz-ustaz lain. Memanjat pagar, keluar ikut lubang di taman sains,
atau pintu depan ketika tiada mata melihat sudah menjadi rutin.
Dengan menaiki motosikal2 yang telah diletakkan diluar kawasan sekolah, tempat-
tempat itu kami jejaki. Habis majlis atau program, kami singgah di kedai-kedai makan
untuk menjamu selera - orang kata sambil menyelam minum air :). Biasanya pilihan
kami ialah sepinggan nasi lemak dan air jagung gerai depan sekolah (saya dah lupa
nama gerai itu). Selepas itu, untuk mengelakkan di tangkap oleh warden atau pak
guard, kami akan bermalam di surau-surau berdekatan di temani nyamuk dan
diselimuti kesejukan malam. Menjelang subuh, barulah kami menyelinap masuk ke
asrama.
Pada masa tu, Ustaz Azhar ni belum lagi famous seperti sekarang. Kadangkala yang
ikuti kelas pengajiannya, hanyalah kami dan 2-3 orang murid yang setia. Alhamdulillah,
berkat kesabaran, kesungguhan dan keikhlasannya dalam menyampaikan ilmu, dia kini
bukan saja terkenal di bumi Terengganu, tetapi juga di negeri-negeri sekitarnya
(berdasarkan maklumat tidak rasmi yang saya terima). Majlis2 yang disampaikannya
penuh dihadiri oleh orang ramai. Sahabat-sahabat boleh lihat sendiri dalam klip video
tersebut.
Apa yang menarik berkenaan Ustaz Azhar ini, sekalipun dia berpendidikan pondok
(walaupun asalnya dia bukanlah dari bidang agama, tetapi kesedaran telah mengubah
halatuju hidupnya untuk mendalami bidang agama di pondok) tetapi kupasan sesuatu
masalah dan isu, kerapkali di ambil dari ulama'-ulama' moden dan fatwa-fatwa terkini.
Pendek kata, seorang yang menggabungkan antara turath dan semasa. Ditambah lagi
dengan ketegasan dan kelantangannya dalam menyatakan satu-satu pendapat dan
pendirian, diselangi pula dengan lawak dan kelakar yang boleh membuatkan anda tergolek-golek ketawa :D, semua ini menjadikan majlis-majlisnya menambat hati
pendengar.
Untuk memperkenalkan beliau (bagi yang belum mengenali) saya bawakan klip video ini
untuk tatapan semua. Cuma sahabat-sahabat yang luar dari Terengganu atau Kelantan, mungkin terpaksa membelek kamus-kamus loghat 'Tranung Kite' untuk memahami penyampaian beliau yang amatlah pekat ke'terengganuang'nye itu. Juga secara tidak
langsung sebagai menjawab satu persoalan sahabat saya berkenaan hukum mengutuk
dan mengata orang yang berbuat zalim.
Insya Allah, jika ada kesempatan, saya akan cuba masukkan video-video beliau yang
lain di Taman Ilmu Islam.
Moga semua dapat manfaat dan faedah dari klip video ini..Insya Allah.
Sunday, October 7, 2007
Ustaz Azhar, Panjat Pagar Dan Nasi Lemak..
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 5:28 PM 13 comments
Saluran-Saluran Informasi di Taman Ilmu Islam
Alhamdulillah, setelah diadakan perbincangan dengan mod-mod
Taman Ilmu Islam, keputusan telah dicapai untuk menyediakan
ruangan bagi membolehkan pengunjung untuk menonton siaran
tv dan mendengar radio secara online.
Harapan kami semoga pengunjung dapat menggunakan
kemudahan ini dengan sebaik-baiknya. Ingatlah bahawa kita semua
akan dipersoalkan di atas semua gerak geri dan perlakuan kita.
Untuk memilih siaran-siaran, sila ke bahagian SALURAN INFORMASI yang berad
a di
bahagian bawah kanan anda. Insya Allah, kami akan menambah saluran-saluran dari
masa ke semasa. Untuk memasuki laman, sila [ klik sini ]
Sebagai menjelaskan lagi hukum menonton tv dan mendengar radio, saya nukilkan jawapan Dr Yusuf Al-Qardhawi berkenaan masalah ini.
Puasa dan Televisyen Dari Fatwa Muasyirah Dr Yusuf Qardhawi
Soalan: Apakah pendapat syarak mengenai orang yang menonton televisyen dalarn bulan Ramadan sedangkan dia berpuasa?
Jawapan: Televisyen adalah salah satu alat media massa. Padanya terdapat kebaikan
dan keburukan. Setiap media massa mempunyai matalamat tersendiri. Televisyen adalah
alat media massa yang sama dengan radio dan akhbar, yang mana terdapat kebaikan
dan keburukan.
Kita digalakkan mengambil yang bermanfaat sahaja dan menjauhi perkara-perkara
yang keji, tidak kira sama ada seseorang itu berpuasa atau tidak. Tetapi jika dia sedang berpuasa, dia mesti lebih berhati-hati agar tidak merosakkan puasanya dan hilang
pahalanya di sisi Allah.
Saya tidak mengatakan menonton televisyen itu haram atau halal secara mutlak.
Hukum ini tertakluk kepada siaran rancangan yang disiarkan. Harus menontonnya jika rancangannya baik, iaitu samalah hukumnya dengan mendengar syarahan agama, berita
dan program-program yang tujuannya untuk kebaikan... tetapi seandainya program itu melalaikan dan merosakkan seperti tarian bogel atau seumpamanya, hukumnya haram
dalam semua keadaan, apatah lagi pada bulan Ramadan.
Ada juga siaran yang makruh menontonnya, andainya ia masih belum sampai ke
peringkat haram. Setiap media massa yang menjauhkan kita daripada mengingati Allah
dan melalaikan, hukumnya haram.
Menonton televisyen, mendengar radio atau seumpamanya sehingga melalaikan kita
daripada menunaikan kewajipan terhadap Allah seperti sembahyang, hukumnya haram.
Haram kita meninggalkan sembahyang dengan sebab urusan lain...
Firman Allah:
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian
di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu
daripada mengingati Allah dan bersembahyang; maka berhentilah kamu (daripada
mengerjakan pekerjaan itu).” Al-Maidah: 91
Pihak yang terlibat dengan penyiaran rancangan televisyen hendaklah takut kepada
Allah terhadap sebarang program yang akan disiarkan kepada orang ramai,
terutamanya pada bulan Ramadan.
la bertujuan untuk menghormati bulan yang diberkati ini, menggalakkan manusia taat
kepada Allah, di samping menambahkan amalan kebaikan. Sedangkan mereka sendiri
tidak berdaya menanggung dosa mereka sendiri, bagaimana pula dengan dosa orang
yang menonton televisyen itu?
Firman Allah:
"(Ucapan mereka) menyebabkan mereka memikul dosa dengan sepenuh penuhnya
pada hari kiamat, dan sebahagian dosa orang yang mereka sesatkan yang tidak
mengetahui sedikit pun (bahawa mereka disesatkan). Ingatlah, amat buruk dosa yang
mereka pikul itu." An-Nahl: 25
Tambahan sedikit dari saya: Saya pernah terbaca jawapan Syeikh Sya'rawi terhadap
soalan yang sama. Syeikh mengibaratkan tv itu seumpama pisau, jika digunakan untuk
kebaikan, baiklah jadinya, jika digunakan untuk keburukan, buruklah akibat dan kesan
yang diperolehi.
Kesimpulan dari saya, jangan gunakan pisau itu untuk memotong jari anda :)
Wallahua'lam.
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 6:00 AM 0 comments
Saturday, October 6, 2007
Lailatul Qadar malam 20 Ramadhan / Isnin 1 Oktober 2007?
Maklumat ini saya perolehi dari seorang pengunjung blog ini yang menggunakan nama
Abdullah. Jazakallahu Khairan Kathiran. Dan seorang sahabat saya juga berkata
demikian berdasarkan pemerhatiannya. Katanya cuaca pagi tersebut tenang, damai
dan menakjubkan.
Apa pun, ini hanya satu ramalan, kita dibolehkan meramal dan mengagak, tetapi
hakikat sebenarnya hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Tugas kita ia terus mencari
Lailatul Qadar sehingga ke akhir Ramadhan..Moga-moga kita mendapat kelebihan
malam tersebut, Amin.
Saya bawakan artikel tersebut untuk maklumat kita bersama:
Lailatul Qadar malam 20 Ramadhan / Isnin 1 Oktober 2007?
Gambar bulan yang dirakamkan pada hari isnin malam selasa, 1 oktober 2007 bersamaan
19 malam 20 Ramadhan di Desa Makmur, Sg. Merab, Bangi pada jam 3 pagi. Adakah
Lailatul Qadar berlaku malam tersebut? Ranting pokok ceri di halaman rumah berada di
paras pinggang sedangkan keesokkan paginya ia berada melangkaui paras kepala. Esok
paginya sememangnya matahari agak lemah pancarannya. Bulan ketika dirakam hanya
separa bulat kerana bukan berada pada pertengahan bulan yang menjadi purnama
penuh. Namun, apabila ditatapi di skrin ia kelihatan bulat bagaikan purnama
sepenuhnya. Adakah mungkin berlaku sedangkan malam tersebut adalah malam genap?
Namun perlu diingat disetengah negeri yang berpuasa lebih awal sehari malam tersebut
adalah malam ganjil bagi mereka.
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 2:07 PM 0 comments
Friday, October 5, 2007
Keputusan Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Berkenaan Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa Di Dalam Bidang Perubatan
Keputusan Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Berkenaan Perkara-Perkara Yang
Membatalkan Puasa Di Dalam Bidang Perubatan
Keputusan nombor 99\1\D10
Berkenaan Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa Di Dalam Bidang Perubatan
Sesungguhnya Majlis Himpunan Fiqh Islam yang bersidang pada perhimpunan
muktamarnya yang kesepuluh di Jeddah, Kerajaan Saudi Arabia, sepanjang jangka masa
dari 23 sehingga 28 Safar 1418H (bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1998M);
Setelah ia meninjau kajian-kajian yang dikemukakan di dalam tajuk perkara-perkara
yang membatalkan Puasa di dalam skop perubatan, dan [meninjau] penyelidikan, kajian
dan saranan yang datang daripada Forum Fiqh Perubatan Ke-9 yang diadakan oleh
Badan Islam bagi Sains Perubatan, dengan kerjasama Perhimpunan ini dan pihak-pihak
lain, di Dar Baidho’ di Kerajaan Maghribi, di dalam tempoh bermula 9 hingga 12 Safar
1418H (bersamaan 14 – 17 Jun 1997M), serta mendengar kepada perbahasan yang
berlaku sekitar tajuk dengan penyertaan para Fuqaha dan para Doktor, dan melihat
kepada dalil-dalil dari Kitab dan Sunnah, serta kepada kata-kata para Fuqaha;
Ia telah memutuskan apa yang berikut:
Pertama: Perkara-perkara berikut tidak dianggap termasuk dari pembuka-pembuka
Puasa:
1.Titis mata, atau titis telinga, atau pencuci telinga, atau titis hidung, atau semburan
hidung, sekiranya dielak menelan apa yang sampai ke tekak.
2.Pil-pil ubat yang diletakkan di bawah lidah untuk menangani sesak nafas dan
selainnya, sekiranya dielak menelan apa yang sampai ke tekak.
3.Apa yang memasuki faraj daripada supositori(*), atau cucian, atau teropong faraj,
atau jari untuk pemeriksaan perubatan.
4.Memasukkan teropong atau spring(**) dan selainnya ke dalam rahim.
5.Apa yang memasuki kemaluan, iaitu saluran kencing yang zahir pada lelaki dan
wanita, dari titis (saluran halus), atau teropong, atau bahan yang dikenakan sinaran,
atau ubat, atau larutan untuk mencuci pundi [kencing].
6.Menebuk gigi, atau mencabut geraham, atau membersihkan gigi, atau bersugi dan
memberus gigi, sekiranya dielak menelan apa yang sampai ke halkum.
7.Membilas mulut, berkumur, dan semburan ubat yang diletakkan pada mulut,
sekiranya dielak menelan apa yang sampai ke halkum.
8.Suntikan ubat pada kulit atau otot atau urat, kecuali cecair-cecair dan suntikan berzat
nutrien.
9.Gas oksigen.
10.Gas-gas anestetik (bius) selama mana tidak diberikan pesakit tersebut cecair-cecair (larutan-larutan) nutrien.
11.Apa yang memasuki tubuh secara diserap melalui kulit; seperti minyak, salap, pelekat-pelekat berubat pada kulit yang membawa bahan-bahan berubat atau kimia.
12.Memasukkan tiub (saluran halus) ke dalam saluran darah untuk mengambil gambar
atau merawat saluran jantung atau anggota-anggota lain.
13.Masukkan teropong melalui dinding perut untuk memeriksa usus atau menjalankan
operasi pembedahan terhadapnya.
14.Mengambil sampel (cebisan) hati atau anggota-anggota lain, selama mana tidak
diiringi dengan pemberian larutan.
15.Teropong perut, sekiranya tidak mengiringinya pemasukan cecair-cecair
(larutan-larutan) atau bahan-bahan lain.
16.Masuk apa-apa alat atau bahan rawatan ke dalam otak atau saraf tunjang.
17.Muntah tidak sengaja, berlainan dengan yang sengaja (memuntahkan).
Kedua: Seseorang doktor Muslim harus menasihatkan pesakit untuk menanggungkan
apa yang tidak memudharatkan penangguhannya, sehingga sesudah berbuka,
bentuk-bentuk rawatan yang disebut sebentar tadi.
Ketiga: Penangguhan menerbitkan keputusan di dalam bentuk-bentuk yang berikut,
kerana keperluan untuk tambahan kajian dan penyelidikan berkenaan kesannya
terhadap Puasa, berserta penumpuan terhadap apa yang datang di dalam hikmah-
hikmatnya daripada hadith-hadith Nabi dan athar-athar daripada para Sahabat:
a-Pembekaman dan bekam.
b-Mengambil sampel darah makmal untuk pemeriksaan, atau memindahkan dari
daripada orang yang menderma, atau menerima darah yang dipindahkan.
c-Suntikan yang digunakan di dalam merawat kegagalan buah pinggang dengan
menyuntik pada membran yang melapik dinding rongga abdomen (peritoneum) atau
pada buah pinggang buatan.
d-Apa yang memasuki dubur daripada suntikan dubur, atau supositori, atau teropong,
atau jari untuk pemeriksaan perubatan.
e-Operasi-operasi pembedahan dengan anestetik am, sekiranya pesakit telah berniat
puasa sejak malam, dan dia tidak diberikan sedikit pun cecair-cecair (larutan-larutan) bernutrien.
Nota Kaki :
(*) Ubat pejal berbentuk silinder atau kon yang dimasukkan ke dalam dubur atau faraj supaya larut
dan melepaskan bahan aktifnya.
(**) IUD : Alat daripada logam atau plastik, berbentuk lingkaran, gelung, segi tiga atau T, yang
dimasukkan ke dalam rongga uterus untuk mencegah penghamilan.
Rujukan :
1-الصيام حكم وأحكام
Oleh Syeikh Abdul Majid Aziz Az-Zindani
2-Permaya Online
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 4:42 PM 3 comments
Wednesday, October 3, 2007
Ramalan Lailatul Qadar..
Baru-baru ni saya dengar satu tazkirah yang disampaikan seorang sahabat. Sahabat
saya itu mengutarakan satu pendapat berkenaan malam lailatul qadar. Jika berdasarkan pendapat itu, tahun ini lailatul qadar jatuh malam yang ke 25. Tambahnya lagi, pendapat
ini ada dinaqalkan oleh Imam Nawawi dalam kitab Majmu'nya.
Alhamdulillah, saya terjumpa pendapat itu dalam satu blog sahabat. Jimat masa saya,
tak perlu belek kitab :). Saya bawakan pendapat itu di sini untuk panduan kita semua.
LAILATUL QADAR
Pesan Nabi Muhammad S.A.W bahawa malam QADAR berlaku pada satu malam
daripada 10 malam terakhir (hari ganjil) bulan Ramadhan. Petua Imam Ghazali dan
lain-lain ulama untuk mencari malam LAILATUL QADAR. Jika awal Ramadhan jatuh
pada hari:
v AHAD @ RABU
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan
v ISNIN
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan
v SELASA @ JUMAAT
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan
v KHAMIS
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan
v SABTU
Malam Qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan
Kata Sheikh Abu Hassan (As-Syazuli) bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat
menghidupkan LAILATUL QADAR pada malam yang tepat mengikut petua di atas.
Berdasarkan petua di atas, insyaALLAH malam qadar jatuh pada malam ke-25
Ramadhan bersamaan dengan malam selepas siang 6 Oktober 2007.
Walaubagaimanapun janganlah beribadat pada malam ini sahaja. Carilah Al-Qadar
pada malam-malam lain di 10 terakhir ramadhan ini.
Tanda malam Al-QADAR ialah:
§ Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas
§ Siangnya cahaya matahari warnanya pucat
§ Malaikat jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya
ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudian menangis teresak-esak secara
tiba-tiba
MARILAH KITA MEMERIAHKAN SUASANA 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN
DENGAN MENINGKATKAN AMAL DAN IBADAT KEPADA ALLAH DENGAN
IKHLAS DAN PENUH KEIMANAN. MUDAH-MUDAHAN KITA DIKURNIAKAN
KELEBIHAN PAHALA MELEBIHI 1000 BULAN ATAU 83 TAHUN UMUR KITA…
AMIIN
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 1:34 AM 0 comments
Tuesday, October 2, 2007
Catatan Jihad Ramadhan Dalam Sejarah Islam
Selain digelar sebagai 'bulan ibadat' dan 'bulan Al-Quran', Ramadhan juga boleh digelar
sebagai 'bulan jihad' bertepatan rentetan perang-perang jihad umat Islam yang
mewarnai bulan yang penuh mulia ini. Walaupun puasa pada zahirnya melemahkan
tubuh badan kerana menahan makan dan minum, Islam membuktikan betapa kekuatan
umat Islam yang sebenar adalah pada iman dan komitmennya terhadap perintah Allah.
Menghayati sejarah yang agung ini akan menyedarkan kita akan perlunya diteruskan
usaha dakwah dan perjuangan Islam. Puasa dan bulan Ramadhan bukannya tiket untuk mengasingkan diri dan meninggalkan kerja-kerja Islam. Apatah lagi di zaman serangan
musuh Islam bukan lagi terlihat secara mata kasar dan lebih berbentuk saraf dan
pemikiran. Kita mestilah sentiasa berwaspada dan mengatur gerakan untuk memastikan
tiada ruang-ruang yang terbuka untuk musuh menyelusup masuk.
Al-Imam Abdullah bin mubarak pernah menulis kepada sahabatnya Al-Qadhi Fudhail
Bin Iyadh yang beriktikaf di Makkah dengan meninggalkan tugas jihad ;
من كان يخضب خده بدموعه … فنحورنا بدمائنا تتخضب
أو كان يتعب خيله فى باطل … فخيولنا يوم الصبيحة تتعب
ريح العبير لكم ونحن عبيرنا … رهج السنابك والغبار الأطيب
ولقد أتانا من مقال نبينا … قول صحيح صادق لا يكذب
لا يستوى غبار خيل الله فى … أنف امرىء ودخان نار تلهب
هذا كتاب الله ينطق بيننا … ليس الشهيد بميت لا يكذب
nescaya engkau akan mengetahui bahawa engkau sedang
bermain dengan ibadatmu
Sesiapa yang berlumuran air mata dipipinya,
maka tengkuk - tengkuk kami pula berlumuran darah.
Atau ada yang kudanya keletihan sia-sia,
Sedang kuda kami keletihan di pagi hari.
Kalian dipenuhi oleh bau wewangian,
Sedangkan wewangian kami adalah debu-debu nan indah yang
diterbangkan teracak kuda kejam dan gersang, serta debu.
Kami dianugerahi untaian kata Nabi kami,
Kalimat Shahih yang benar … bukan dusta.
Tak ‘kan sama, debu yang bersarang di hidung hamba Allah,
dengan asap neraka! … bukan dusta.
Inilah Kitabullah, berucap kepada kami,
Orang syahid tak pernah mati! … bukan dusta.
kita untuk bangkit mengibarkan panji Rasulullah SAW.
PERISTIWA_PERISTIWA PENTING BULAN RAMADHAN
1.Antara peristiwa berlaku pada Ramadhan ialah `Ammul Hazan' atau `tahun kedukaan'
iaitu pada Ramadan tahun ke-10 daripada kerasulan Nabi Muhammad (tahun ke-3
sebelum hijrah).
Bulan mulia itu menyaksikan kewafatan bapa saudara Baginda, Abu Talib, dan Ummul Mukminin Khadijah Khuwailid.
2.Pada tahun 1H, Rasulullah SAW menghantar Hamzah bin Abd Muttalib RA bersama
30 orang pengiring ke Saif Al-Bahr menyiasat 300 tentera Quraish yang berhimpun di
sana. Baginda juga telah memerintahkan supaya Masjid Dhirar yang dibina oleh kaum
Munafiq dirobohkan.
3.Pada tahun 2H, Zakat fitrah mula disyariatkan.
4.Pada 17 Ramadhan tahun yang sama, untuk kali pertama, berlaku peperangan Badar
al-Kubra antara kaum Muslimin dengan Musyrikin. Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah bersama pejuang Islam
berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadan dan pada 17 Ramadhan
berlaku peperangan Badar al-Kubra.
Perang itu menjadi titik awal kebangkitan kaum Muslimin ke atas kekuatan Musyrikin
dan kesesatannya.
5.Bulan Ramadan pada tahun kelima Hijrah pula adalah bulan persediaan tentera
Muslimin menghadapi peperangan Khandak, salah satu peperangan terbesar pada zaman Rasulullah.
Ia berlaku pada Syawal berikutnya dengan kemenangan tentera Muslimin.
6.Pada tahun 6H, Zaid bin Harithah RA dihantar ke Wadi Al-Qura untuk bertemu dengan Fatimah bt Rabiah, permaisuri di kawasan berkenaan. Pihaknya telah merompak
rombongan Zaid RA sebelum itu. Fatimah terbunuh di bulan Ramadhan semasa
berhadapan dengan tentera muslimin ini. Ramadhan 7H pula, Ghalib bin Abdullah
Al-Laithi RA mengepalai 130 gerombolan tentera Islam menentang Bani 'Awâl dan
Bani 'Abd bin Tha'lbah.
7. 10 Ramadhan 8H, Nabi SAW mula melancarkan tentera untuk membebaskan Mekah
dari kekufuran dan syirik, ekoran dari pencabulan perjanjian Hudaibiyah. 20 Ramadhan
tahun itu, Mekah akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Nabi SAW. Peristiwa Futuh Al-
Makkah ini memberikan anjakan paradigma kepada Islam dan kekuasaannya. Sejurus
selepas itu, Baginda SAW mengutus beberapa kumpulan sahabat untuk merobohkan berhala-berhala yang terkenal pada masa itu. Khalid bin al-Walid diutus merobohkan
berhala al-‘Uza, Amr bin al-‘Ash merobohkan berhala Suwa’ dan Sa’d bin Zaid al-Asyhali
merobohkan berhala al-Manat.
8. Manakala pada bulan Ramadhan tahun 9H, Baginda SAW telah pulang bersama tentera
Islam daripada Peperangan Tabuk yang berlangsung selama 50 hari. Ia merupakan
peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda SAW. Delegasi Tsaqif kemudiannya
bertemu dengan Nabi SAW sekembalinya Baginda SAW dari Tabuk dengan tujuan untuk menyatakan keIslaman mereka. Pada bulan itu juga Raja Himyar tiba di Madinah untuk mengisytiharkan Islam mereka. Mereka menjadi tetamu Baginda dan Baginda menuliskan beberapa panduan tentang hak dan kewajiban mereka. Catatan ini merupakan salah satu dokumen penting di dalam sejarah perundangan Islam
9. Nabi Muhammad menghantar Ali Abi Talib dan angkatan kaum Muslimin ke negeri
Yaman pada Ramadan tahun ke-10 Hijrah dan membawa bersama surat Baginda kepada penduduk di situ.
Dalam satu hari saja, penduduk Yaman khususnya kabilah Hamdan memeluk Islam dan bersembahyang jemaah dengan Ali.
Ramadhan tahun itu juga Baginda SAW telah mengasingkan dirinya selama 20 hari, tidak
10 hari sebagaimana kebiasaan yang Baginda SAW lakukan pada Ramadhan tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah petanda utama kembalinya Baginda SAW ke rahmatullah beberapa bulan berikutnya.
10. Siti Fatimah, puteri Baginda yang juga isteri kepada Saidina Ali Abi Talib dan ibu
kepada Hassan dan Hussain, wafat pada Ramadan tahun ke-11 Hijrah.
11. Satu lagi peperangan berlaku pada Ramadhan tahun ke-15 Hijrah. Dalam peperangan Qadisiah itu, orang Islam mendapat kemenangan daripada kerajaan Parsi.
Kejayaan itu memberi erti cukup besar dan membolehkan bendera kedaulatan Islam
berkibar di Parsi.
12. Tahun 53H, pejuang Arab Islam telah berjaya menakluki pulau Rudes.
13. Pada tahun 91H, Pejuang Islam di bawah kepimpinan Tariq ibn Ziyad mula mendarat di Selatan Andalus. 28 Ramadhan 92H, Tariq bin Ziyad dan tenteranya dapat mengalahkan
King Roderic of the Visigoths di dalam satu peperangan sengit.
Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Tariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat
di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.
14. Pada 1 Ramadhan 114H, Peperangan Balat Asy-Syuhada berlaku.
15. Ramadhan 132H, berakhirnya pemerintahan Bani Umaiyyah. Abu al ‘Abbas dilantik
sebagai khalifah al-‘Abbasiyyah yang pertama.
16. 6 Ramadhan 222H, merupakan tarikh pembukaan Islam di kawasan Amouriah.
Universiti Al-Azhar telah siap dibina pada Ramadhan 361H.
17. Pada 585 Hijrah, Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian).
Ketika tiba Ramadhan, penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab: "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa
mengancam." Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan Ramadan.
Tentera Islam pula telah berjaya mengalahkan tentera Perancis yang dipimpin oleh Louis
the 9th. Louis telah dipenjarakan di Mansurah pada tahun 647H.
18. 25 Ramadhan 658H, Peperangan Ain Jalut berlaku. Saifuddin Al-Qutuz berjaya mengalahkan tentera Tatar yang telah menghancurkan Baghdad daripada bergerak ke
Mesir bagi menawan Kaherah.
19. 14 Ramadhhan 666H, kawasan Antakya yang menjadi pusat Kristian telah berjaya
ditawan.
20. Pada Ramadhan 1393 atau Oktober 1973, tentara Mesir yang sudah mendapat
gemblengan Islam dari para ulama, di bawah komando Presiden Anwar Sadat, berhasil mengalahkan pasukan Israel di Sinai.
Sesungguhnya masih banyak lagi cacatan mengenai peristiwa-peristiwa seumpama ini
yang boleh dicatatkan, terutamanya di zaman pemerintahan Khilafah Othmaniyyah
sendiri. Walau bagaimana pun, apabila penggunaan kalender Islam mengalami
perubahan, catatan juga telah dilakukan dengan menggunakan taqwim yang berbeza.
Selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924, umat Islam secara rasminya
mula menggunakan kalender Gregorian dan meninggalkan kalendar Islam mahu pun
kalender Othmaniyyah sendiri. Namun Insya Allah, masalah ini boleh diatasi dengan
usaha gigih kita untuk mengembalikan identiti Islam di dalam segenap aspek kehidupan,
individu, keluarga, masyarakat mahu pun negara.
Semoga Ramadhan yang dilalui oleh kita kali ini dapat menyemarakkan semangat jihad
dan perjuangan dalam diri.
Rujukan: Laman-laman web
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 2:51 PM 0 comments
Al-Quran Diturunkan 7 Huruf
Saya akan cuba menjelaskan sedikit sebanyak berkenaan perkara ini.
Banyak hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat mengenai Al-Quran diturunkan
dalam tujuh huruf. Al-Sayuti menyebut ia diriwayatkan oleh 21 orang sahabat. Manakala
Abu ‘Ubayd al-Qasim bin Salam menaskan bahawa ia hadis yang mutawatir. Antaranya, Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Al-Quran ini diturunkan atas tujuh huruf, maka bacalah
kamu mana yang mudah daripadanya.”
(HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaei, Ahmad dll).
Para ulama berselisih pendapat mengenai makna tujuh huruf tersebut. Menurut Ibnu
Hibban, beliau mengatakan ulama berbeza pendapat tentang makna tujuh huruf sehingga
35 pendapat . Manakala Al-Sayuti mengatakan sehingga 40 pendapat.
Kebanyakan pendapat-pendapat ini tiada beza antara satu sama lain. Saya akan cuba
bawakan beberapa pendapat yang penting dan lebih mendekati kebenaran:
i. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab yang mempunyai satu erti atau
makna. Maksudnya apabila berlaku perbezaan antara bahasa-bahasa Arab dari segi penggunaan lafaz untuk sesuatu makna, Quran akan diturunkan dengan lafaz-lafaz
tersebut. Apabila tiada perbezaan, Quran akan diturunkan dengan satu lafaz atau lebih.
Ulama juga khilaf pada menentukan tujuh bahasa tersebut, satu pendapat menyatakan: Quraisyi, Huzail, Saqif, Hawazin, Kinanah, Tamim dan Yaman;
ii. Tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab dengan ia Al-Quran diturunkan. Maksudnya Quran secara keseluruhannya tidak terkeluar dari menggunakan tujuh
bahasa ini.
iii. Tujuh wajah iaitu: amr(perintah), nahyu (larangan), wa’d (janji) ‘ wa’id (ancaman),
‘jadal (perdebatan); atau Qasas (cerita) dan masal (perumpamaan) atau amr, nahyu,
halal, haram, muhkam, mutashabih, dan amsal;
iv. Tujuh huruf adalah tujuh macam hal yang di dalamnya terjadi ikhtilaf (perbezaan)
iaitu Ikhtilaf al-asma’ (perbezaan Kata benda) dalam bentuk mufrad, muzakkar dan cabang-cabangnya seperti tasniyah jamak dan ta’nis; Perbezaan dalam segi I’rabb
(harakat akhir kata); Perbezaan dalam tasrif; Perbezaan dalam takdim (mendahulukan)
dan ta’khir (mengakhirkan); Perbezaan dalam segi ibdal (penggantian) baik pengertian
huruf dengan huruf; Perbezaan kerana ada penambahan dan pengurangan ikhtilaf
(ziadah); dan Perbezaan lahjah seperti bacaan tafkim (menebalkan) dan tarqiq
(menipiskan) fathah dan imalah, izhar dan idgham, hamzah dan tashil, isymam dan
sebagainya;
v. Bukan pengertian harfiah tetapi lebih kepada isyarat lambang kesempurnaan bahasa
Arab, kerana lafaz ‘Sab’ah’ digunakan untuk jumlah yang banyak bilangan satuan
seperti ‘70’ dalam bilangan puluhan, ‘700’ dalam bilangan ratusan dan bukannya
bilangan 1 hingga 10. Kata ‘Sab’ah’ bukan ditujukan pada bilangan tertentu.
vi. Tujuh huruf bermakna Qiraat Tujuh.
Pendapat yang paling masyhur mengenai pentafsiran Sab’atu Ahruf adalah pendapat
Ar- Razi dikuatkan oleh Az-Zarkani dan didukung oleh jumhur ulama. Perbezaan yang
berkisar pada tujuh wajah;
i. Perbezaan pada bentuk isim , antara mufrad, tasniah, jamak muzakkar atau
mu’annath. Contohnya,
وَالَّذِينَ هُمْ لأمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (Al-Mukminun: 8)
Lafaz bergaris dibaca secara jamak لأمَانَاتِهِمْ dan mufrad لأمَانتِهِمْ.
ii) Perbezaan bentuk fi’il madhi , mudhari’ atau amar. Contohnya,
فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَاٍ (Saba’ : 19)
Sebahagian qiraat membaca lafaz ‘rabbana’ dengan rabbuna, dan dalam kedudukan
yang lain lafaz ‘ba’idu’ dengan ‘ba’ada’.
iii) Perbezaan dalam bentuk ‘irab. Contoh, lafaz إِذَا تَبَايَعْتُمْ وَلا يُضَارَّ كَاتِبٌ (Al-Baqarah: 282)
dibaca dengan disukunkan huruf ‘ra’ sedangkan yang lain membaca dengan fathah.
iv) Mendahulukan (taqdim) dan mengakhirkan (ta’khir). Contoh,
وَجَاءَتْ سَكْرَةُ الْمَوْتِ بِالْحَق (Surah Qaf: 19) dibaca dengan didahulukan ‘al-haq’ dan
diakhirkan ‘al-maut’, وَجَاءَتْ سَكْرَةُالْحَق بِالْمَوْتِ . Qiraat ini dianggap lemah.
v) Perbezaan dalam menambah dan mengurangi. Contoh ayat 3, Surah al-Lail,
وَمَا خَلَقَالذَّكَرَ وَالأنْثَى
Ada qiraat yang membuang lafaz ‘ma kholaqo’(bergaris).
vi) Perbezaan ibdal (ganti huruf). Contoh, kalimah ‘nunsyizuha’ dalam ayat 259 Surah al-Baqarah dibaca dengan ‘nunsyiruha’ (‘zai’ diibdalkan dengan huruf ‘ra’).
vii) Perbezaan lahjah seperti dalam masalah imalah, tarqiq, tafkhim, izhar, idgham dan sebagainya. Perkataan ‘wadduha’ dibaca dengan fathah dan ada yang membaca dengan
imalah (teleng) dengan bunyi ‘wadduhe’ (sebutan antara fathah dan kasrah).
PENDAPAT YANG PALING RAJIH
Pendapat yang paling rajih dari semua pendapat di atas adalah pendapat pertama yang menyatakan tujuh huruf sebagai tujuh macam bahasa daripada bahasa-bahasa Arab
yang mempunyai satu erti atau makna, contohnya :اقبل، وتعال، وهلم، وعجل، وأسرع
Semuanya lafaz-lafaz berbeza yang mempunyai makna yang satu. Pendapat ini
dipegang oleh Sufyan bin ‘Uyainah, Ibnu Jarir, Ibnu wahb dan lain-lain.
Ibn Abdil Barr menisbahkan pendapat ini kepada sebahagian besar ulama dan dalilnya
terdapat dalam hadis Abu Bakrah; “Jibril mengatakan: “Wahai Muhammad , bacalah
Quran dengan satu huruf.” Lalu Mikail mengatakan: ‘Tambahkan’ “Jibril berkata lagi .”
Dengan dua huruf!” Jibril terus menambahnya hingga sampai enam atau tujuh huruf.
Lalu ia berkata : “ semua itu ubat penawar yang memadai, selama ayat azab tidak
ditutup dengan ayat rahmat , dan ayat rahmat tidak ditutup dengan ayat azab .
Ibn ‘Abdil Barri menyebut: “ Maksud hadis ini hanyalah sebagai contoh bagi huruf-huruf
yang dengannya Al-Quran diturunkan . Ketujuh huruf itu mempunyai makna yang sama pengertiannya, tetapi berbeza di segi bunyi ucapannya. Tidak satu pun di antaranya yang mempunyai makna yang saling berlawanan atau satu sudut yang berbeza makna dari
sudut lain secara berlawanan . Misal rahmat lawan dari azab .
Pendapat pertama ini disokong oleh banyak hadis lain.
HIKMAH DITURUNKAN DENGAN TUJUH HURUF
Hikmah di sebalik Allah menurunkan Al-Quran dengan tujuh huruf ialah:
1. Memudahkan kaum-kaum Arab yang ummi (tidak pandai membaca dan menulis)
yang diturunkan Quran ke atas mereka untuk membaca dan menghafalnya.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
dengan bacaan yang mudah daripadanya.”
Dalam hadis riwayat Muslim juga diterima menerusi Ubay, beliau bersabda yang
bermaksud, “Wahai Ubai! Aku diperintahkan agar membacakan Al-Quran dengan satu
huruf, maka aku memohon kepada malaikat Jibril agar diberi kemudahan bagi umatku
dan dia menjawab agar aku membacanya dengan dua huruf . Aku masih mengulangi lagi permintaan agar diberi lagi keringanan untuk umatku . Maka dia menjawab untuk yang
ketiga kalinya . “ Bacalah Al-Quran itu dengan tujuh huruf.”
2. Sebagai menguatkan mukjizat Al-Quran. Penurunan Al-Quran dengan 7 bahasa Arab
sebagai cabaran untuk seluruh Arab, bukan kepada kabilah yang tertentu.
3. Mukjizat Quran pada makna-makna dan hukum-hakam. Perubahan-perubahan
bentuk lafaz pada beberapa huruf dan kalimah menyediakan Al-Quran untuk proses
istinbat (pengeluaran) hukum dan menjadikan hukum Al-Quran sesuai sepanjang masa
dan zaman. Kerana itulah ulama perlu kepada 7 qiraat dalam proses istinbat dan ijtihad.
Oleh itu bacaan Al-Quran tujuh huruf itu bukanlah rekaan atau ciptaan Nabi
Muhammad SAW, tetapi malaikat Jibril yang mengajarnya mengikut kesesuaian perintah
Allah, Rasulullah SAW diperintahkan supaya tidak tergesa-gesa bila membaca Al-Quran
tetapi dikehendaki setelah sempurna diwahyukan dan ikut cara Jibril membacanya.
Rasulullah SAW juga dilarang oleh Allah meniru Jibril membaca ayat dari ayat sebelum
Jibril a.s selesai membacakannya agar baginda dapat menghafal dan memahaminya
dengan betul setiap ayat yang diturunkan.
Allah SWT berfirman :
Ertinya : “ Dan jangan lah kamu tergesa gesa dalam membaca Al-Quran
Sebelum disempurnakan mewahyukannya .” (Taha: 114)
FirmanNya lagi:
Ertinya “ Apabila Kami telah selesai membacakannya, maka ikutilah bacaannya.
(Al-Qiamah: 18).
Posted by Abu Urwah Dan Ummu Hana' at 2:41 AM 0 comments


