Thursday, September 13, 2007

Geram, Sayu Dan Kesal..

Membaca satu artikel dalam laman web PMRAM, saya merasa sangat geram. Geram
kerana PMRAM dihalang hanya kerana ingin melakukan perkara-perkara baik dan
bermanfaat kepada ahlinya.

Walaubagaimanapun, saya akur dan sedar, itulah lumrah yang dihadapi oleh setiap
pejuang Islam sepanjang zaman tika berdepan kedegilan dan kebebalan musuh. Dengan
jelas Tuhan berfirman ketika menceritakan berkenaan Ashabul Ukhdud di dalam Surah Al-Buruj:

وما نقموا منهم الا أن يؤمنوا بالله العزيز الحميد
Dan mereka tidak marah dan tidak menyeksa orang-orang
beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada
Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.

Kata Sayyid Qutb : "Maka inilah (satu-satunya) jenayah mereka ; iaitu mereka beriman
kepada Allah". Ayat itu ditujukan kepada orang kafir yang membunuh orang Islam dalam
kisah tersebut, tetapi sebagaimana kaedah yang diguna pakai dalam ilmu tafsir:

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
Pengajaran berdasarkan umumnya lafaz, bukan dengan khusus sebab

Bukanlah sukar untuk difahami, kisah2 ini diceritakan agar kita tidak menjejaki sikap keji mereka. Orang Islam tidak sepatutnya merasa selamat andai sifat2 itu bersarang dalam
hati. Ayat-ayat terakhir surah berkenaan harusnya menimbulkan gentar dalam hati :

بل الذين كفروا في تكذيب والله من ورآئهم محيط
Bahkan orang-orang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan
mendustakan kebenaran. Sedang Allah dari belakang, melingkungi mereka
(dengan kekuasaanNya)


Mereka terlupa ilmu Allah dan kekuasaanNya. Hakikatnya mereka lebih lemah dari
tikus2 yang dilanda taufan yang menggila! Jika tidak percaya, saya ada maklumat
sejarah ribuan tahun untuk menyokong keyakinan ini.

Dalam geram saya itu, timbul rasa sayu dan kesal. Sayu mengenangkan sahabat-sahabat
yang terus menerus ditekan dan diuji. Kesal kerana saya hanya mampu menjadi
pemerhati dan tidak berjuang bersama-sama mereka.

Moga madrasah Ramadhan yang baru hadir ini akan menyemai semangat juang dan pengorbanan dalam diri kita. Sebagaimana pemurahnya Rasulullah di bulan Ramadhan seumpama angin yang bertiup, sama-samalah kita menderma untuk dana syaqah
PMRAM. Jika selama ini aneka juadah memenuhi meja untuk berbuka atau bersahur,
apa salahnya dikurangkan sedikit untuk menderma. Andai seronok berbelanja untuk
persiapan raya, kenangkan masa hadapan generasi kemudian di bumi Mesir ini. Selagi
mana Pmram tidak mempunyai tapak sendiri, selagi itulah program kebajikan dan
dakwah PMRAM tidak bergerak lancar.

Persoalannya, sanggupkah kita berkorban?

Sekatan Pengajian!
Rabu, 12 September 2007

Oleh: Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden PMRAM

Bahang Ramadhan semakin terasa. Kerinduan terhadapnya akan diubati dengan
menjelangnya Ramadhan tak lama lagi. Di samping Ramadhan, satu lagi perkara yang
istimewa juga akan turut menjelma. Suatu majlis yang setiap tahun menjadi tarikan yang
hebat kepada warga Azhari di Perlembahan Nil ini. Rata-rata para Azhari akan turun membanjiri kota usang Kaherah. Maka berduyun-duyunlah manusia memenuhi kota
yang sememangnya sentiasa sesak dengan penduduknya. Semuanya datang untuk
menantikan majlis pengajian Tafaquh Fiddin oleh Fadhilatul Syeikh Nuruddin Marbu
Al-Banjari Al Makki. Seorang guru yang tidak asing lagi bagi warga Azhari di sini.

Cuma suasana tahun ini pasti berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Jika dahulunya pengajian diadakan di rumah-rumah negeri di sekitar Hayyu Asyir, tetapi pada tahun ini keistimewaan itu sudah tiada dek kerana sebab-sebab yang sukar untuk diungkapkan.
Kenapa sukar benar untuk kita diizinkan untuk berguru, belajar dan menimba pusaka
para Nabi dan Rasul terdahulu?

Tengok sajalah apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Satu persatu program yang
diadakan di dataran dengan bazarnya, kejohanan futsalnya, dan yang terbaru, festival
nasyid asean. Tak mengapalah dengan program-progran tersebut, tapi apabila diminta
untuk mengadakan majlis pengajian, tak mendapat kebenaran. Apakah program-
program tersebut lebih baik daripada majlis pengajian, yang sehinggakan majlis khusus
untuk mengingati Allah tak dibenarkan, sedangkan program-progran berbentuk sukaria menjadi keutamaan?

Adakah cara berfikir golongan ini sudah terbalik? Salahkah mengadakan majlis pengajian?
Atau salahnya cara manusia berfikir? Bukankah dengan bercambahnya kelas-kelas dan majlis-majlis ilmu seperti program tahunan PMRAM bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari
akan mendekatkan lagi hati para pelajar untuk mencintai Allah dan RasulNya agar mereka sedar bahawa mereka punya tugas yang wajib untuk dibereskan. Tugas untuk memandu masyarakat menuju keredhaan Allah. Kenapa pengajian bersama Syeikh Nuruddin
Al-Banjari diperpayahkan?

Justeru, saya menyeru semua warga Azhari tak terkecuali walau seorang pun, cuba
renung sejenak apa yang telah saya tulis di atas. Jika benar kita seorang yang cintakan
kepada majlis-majlis seperti ini dan mahukan majlis ini kembali seperti dahulu, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah permudahkan urusan kita, kembalikan semula keistimewaan yang pernah kita kecapi sebelum daripada ini, dan Allah kembalikan
kepada kita cara berfikir yang sebenarnya yang sentiasa berpandukan wahyu bukan
nafsu. Sesungguhnya Allah itu Pemurah dan sentiasa mendengar doa hamba-hambanya.

Semoga kita semua dapat merasai nikmatnya majlis ilmu, lazat berada di dalamnya dan
sentiasa rindukan majlis-majlis sebegini. Semoga Allah menerima amalan dan kabulkan permintaan kita pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Alluhumma Amin.

Sumber : Laman Web PMRAM

0 comments: