Thursday, October 25, 2007

1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia

Dalam entri saya sebelum ini, saya telah menyebut berkenaan kes-kes jenayah di
Amerika, yang dianggap bangsa yang paling maju dengan undang-undang jenayah yang
ketat dan polis yang cekap, tetapi kes jenayah seperti pembunuhan di New York bukan
lagi mengikut hari tetapi mengikut jam. Melalui tulisan Roslan SMS yang memetik
kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan
Rakyat semalam, tanpa sedar negara kita juga semakin menuju ke arah itu..

Jelas, tiada alasan lagi untuk kita menolak perlaksanaan Islam secara menyeluruh dan
menolak sistem-sistem asing yang terbukti nyata tidak memberi faedah bagi manusia.
Memetik tulisan Subky Latif

"Kezaliman dan kekejaman yang berlaku ketara sekitar satu dua dekad ini adalah
'bayaran tunai' dari Allah tentang penolakan janji-janji-Nya itu. Dulu ia tidak
sebegitu teruk, justeru pendedahan peraturan Allah itu diketahui semua. Tetapi
setelah semuanya diketahui, maka ingkar juga, lalu Allah beri laluan
kepada jenayah besar bermaharajalela."

Tak pelu kita berdakwah sehingga ke angkasa lepas andai di bumi kita masih belum
sempura. Malaysia BOLEH tetapi pastikan BOLEH itu menguntungkan agama, bangsa
dan negara..

1 kes rogol setiap 4 jam di Malaysia
Oleh Roslan SMS

Jawapan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, di Dewan Rakyat
semalam seolah menggambarkan keadaan jenayah dalam negara kita terkawal.
Umpamanya beliau berkata indek jenayah di empat buah negeri iaitu Johor, Negeri
Sembilan, Sabah dan Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.

Dalam pada itu beliau menjelaskan pada tahun 2005, terdapat 9,617 kes ragut, 15,409
kes rompak dan 497 kes bunuh. Tahun 2006, 9,551 kes ragut (turun 66 kes), 21,419
kes rompak (naik 6,010) dan 604 kes bunuh(naik 107).

Lebih membimbangkan lagi adalah kes rogol. Tetapi menurut Timbalan Menteri
berkenaan walaupun terdapat 1,206 kes rogol (yang dilaporkan) untuk 7 bulan pertama
tahun ini, 86% telah diselesaikan. Saya tidak nampak kes yang diselesaikan itu, yang
saya nampak adalah jumlah kes iaitu 1,206 dari Januari ke Julai 2007, bermakna
terdapat purata 172 kes rogol sebulan ataupun 5.7 kes sehari di Malaysia ataupun
hampir 1 kes rogol setiap 4 jam!

Angka ini ternyata membayangkan betapa tidak selamatnya suasana dalam negara. Dan
kita sudah pasti tidak tahu berapa pula bilangan kes rogol yang tidak dilaporkan sama-
sekali mungkin kerana malu, takut, diugut dan sebagainya.

Dimanakah silap kita?

Menurut Timbalan Menteri itu lagi punca berlaku kes jenayah termasuk menjadikan
wanita sebagai mangsa disebabkan faktor ekonomi seperti pengangguran, penggunaan
dadah yang serius,dan kehadiran pekerja asing. Lalu apakah langkah yang telah kita
ambil? Apakah usaha kita untuk membentuk dan melahirkan masyarakat yang
berkahlak dan bertaqwa?

Saya selitkan disini sebuah artikel dari laman web IKIM bertajuk: ISLAM HADHARI
BENTUK MODAL INSAN BERKUALITI karangan salah seorang Fellow di sana:

Konsep Islam Hadhari yang dibawa kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi sekarang ini turut memberi tumpuan kepada pembangunan manusia.

Menerusi gagasan Islam Hadhari sumber manusia ini akan melalui satu skim program pendidikan menyeluruh yang turut merangkumi aspek kerohanian agar insan yang
bakal dihasilkan nanti adalah insan yang berkualiti dan dinamik.

Strategi yang diambil kerajaan untuk mencapai kemajuan yang dimulakan dengan daya
usaha pembangunan sumber manusia adalah selaras dengan ajaran Islam. Kemakmuran
dan kesejahteraan negara banyak begantung kepada penduduknya. Jadi jika setiap orang
di negara ini mempunyai kualiti seperti beriman, bertakwa dan berakhlak mulia, tentu
ia akan memudahkan proses untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang kehidupan.

Jelasnya konspe pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses untuk
membentuk insan yang baik dan berguna. Ia bukan saja kepada dirinya malahan
masyarakat, agama dan negara.

Jika manusia mempunyai ciri keperibadian yang digariskan Islam seperti itu, pasti
kejayaan akan menjadi kenyataan.

Sememangnya inilah yang dijanjikan oleh Allah dalam firman Nya bermaksud:

Sekiranya penduduk suatu negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya Kami akan
membuka kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah
berkatnya dari langit dan bumi (al Ahzab: 96)

Saya paparkan disini konsep yang dicetuskan oleh PM Dollah Badawi sebagai iktibar kepada
kita sejauh manakah keberkesanan langkah dan usaha yang kita ambil untuk membentuk masyarakat Malaysia yangcemerlang. Lihat angka-angka jenayah di atas dan lihat konsep
yang cuba diperkenalkan ini.

Rupanya semakin kita maju dan membangun, kadar jenayah seolah bangkit seiringan
dengan kemajuan dan pembanguna kita, begitukah sepatutnya?

Di Dewan Rakyat juga Ketua Pembangkang menyarankan kerajaan agar membenteras
dan menghapuskan budaya Mat Rempit yang sejak kebelakangan ini semakin berani
dan menjadi-jadi. Itu pun satu gejala baru yang jelas kita semakin gagal tangani (walaupun
ada usaha satu ketika oleh Putera Umno untuk memuluhkan mereka ini kononnya,
nampaknya bilangan mereka semakin menjadi-jadi dengan perangai yang semakin liar
dan membahayakan masyarakat).

Dimanakah silap kita? Benarkah PM dan kerajaan seakan gagal membendung dan
mengatasi masalah ini?

0 comments: