Tuesday, October 23, 2007

Isu Ayam Berenzim Babi

Ayam oh Ayam

Gempar seketika apabila isu ini timbul. Seperti biasa isu-isu seperti ini mengundang
reaksi yang pelbagai dari masyarakat. Ada yang menganggap ia hanyalah satu khabar
angin. Ada pula yang mempercayainya 100% (seorang sahabat terus tidak menjamah
ayam selepas isu ini timbul). Sebaliknya, tak kurang juga yang tak ambil kisah langsung.

Alhamdulillah berita dan ulasan daripada us Zaharuddin di bawah boleh melenyapkan kesamaran dan keraguan yng mungkin timbul. Bagi kita sebagai orang awam, kenyataan
yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sudah cukup untuk menidakkan kebenaran
dakwaan itu. Justeru tidak perlulah lagi kita ragu-ragu.

Kata ibu saya, makan ayam daging menyebabkan risiko kegemukan. Walaubagaimanapun,
saya tak pasti pulak sama ada ia telah dibuktikan secara saintifik atau tidak :)

Isu Ayam Berenzim Babi

Komentar Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Teks akhbar harian berikut adalah dirujuk.

Rujuk di sini.

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas
untuk menyiasat dakwaan mengenai penggunaan bahan yang status halalnya diragui
dalam produk makanan ayam yang diternak di negara ini.

Jawatankuasa khas itu, yang turut dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan
(JPH) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), bertanggungjawab mengumpul sampel
makanan ayam digunakan penternak untuk dianalisis Jabatan Kimia dan Institut
Penyelidikan Halal.

Sumber Jakim berkata, jawatankuasa khas berkenaan ditubuhkan berikutan tersebarnya
emel, antara lain membangkitkan persoalan sejauh mana ayam yang diternak di Malaysia
bebas daripada diberi makanan mengandungi enzim tidak halal terutama babi.

Bagaimanapun, katanya, maklumat awal yang diperoleh menunjukkan ayam diternak
dan dijual di pasaran tempatan bebas daripada bahan makanan meragukan
kerana penternak menggunakan produk yang dikeluarkan pekilang tempatan.


Beliau berkata, JPH mengawal ketat kemasukan makanan ayam dari luar negara
malah pemantauan juga mendapati tiada makanan ayam dari Eropah yang mengandungi
enzim babi diimport ke Malaysia.

"Sehubungan itu, umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang kerana ayam di pasaran tempatan sekarang adalah halal dan tidak diberi makan bahan yang diragui status halalnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam

KOMEN UST ZAHARUDDIN ABD RAHMAN :

Alhamdulillah, inilah yang tindakan yang dinantikan. Hanya pihak berkuasa seperti JAKIM
yang mempunyai kredibiliti dan kuasa untuk membuat kajian susulan.

Bantuan dan informasi dari Jabatan Haiwan dan lain-lain Jabatan yang mempunyai
kemudahan penyelidikan hanya dapat diperolehi dengan mudah oleh sebuah agensi
kerajaan yang berwajib.

Inilah tugas utama sesebuah kerajaan, iaitu memberikan khidmat yang diperlukan oleh
rakyat, sebagaimana disebutkan dalam sebuah athar atau hadis yang diperbezakan
tarafnya:-

سيد القوم خادمهم
Ertinya : "Pemimpin sesuatu kaum itu adalah khadam bagi kaumnya (rakyatnya)"
(Riwayat Al-Hakim & Abu Nuaim ; Terdapat inqita' dalam sanadnya; Hadis
Mursal; Al-‘Ajlouni : Hasan Lighayrihi dalam Kasyf Al-khifa, 1/562 ; Kanzul
‘Ummal ; Asna Al-Matalib, 1/162 ; Al-Maqasid Al-Hasanah (Dinilai sebagai
Hadis Dhoif), 1/395)

Hasil dari kenyataan JAKIM tersebut, ia secara jelas telah memberikan pengesahan awal bahawa semua ayam yang terdapat di Malaysia adalah selamat dan bersih dari enzim babi tersebut.

Bagi orang awam, kenyataan tersebut adalah cukup bagi orang awam untuk membeli
dan menggunakan ayam yang berada di pasaran kerana semuanya telah ditanggung oleh
pihak berwajib yang mengeluarkan kenyataan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab
adalah yang akan dipertanggungjawabkan didunia, alam barzakh dan akhirat.

Adapun bagi pihak berkuasa dan mana-mana pihak yang punyai kredibiliti dan
kemampuan untuk membuat kajian lanjut, mereka amat digalakkan untuk membuat kajian
dan pendedahan kepada JAKIM dengan kadar segera demi manfaat seluruh umat Islam. Ia
juga amat digalakkan dalam Islam kerana ia bersifat 'check and balance' atau sebagai penyemak kedua kepada hasil kajian yang dibuat oleh JAKIM atau Jawatankuasa khas
tersebut.

Ia amat baik kerana dapat mencegah mana-mana pihak berwajib dari membuat kerja
secara 'melepaskan batuk di tangga' atau 'janji siap'.

Sudut Hukum

Dari sudut hukum pula, saya tidak sempat untuk membuat semakan dan rujukan dengan
teliti. Cuma salah satu pandangan yang pernah diwarwarkan adalah jika bahan-bahan tumbesaran itu dibuat dari salah satu bahan dari babi seperti enzim, kemudian ia
digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran tanaman dan sayuran.

Sebahagian ulama kontemporari memberi fatwa ianya adalah halal dan harus untuk menggunakan sayuran itu. Ini adalah kiranya enzyme babi itu hanya menjadi salah satu komponen kecil dari seluruh proses penumbuhan dan tumbesaran tanaman itu.

Ulama kumpulan ini berpegang kepada fatwa berkenaan proses ‘istihalah' atau
'transformasi' bahan dari babi kepada menjadi bahan lain yang bukan lagi babi disebabkan molekul dan susunan zarah babinya sudah bercampur aduk dengan zarah-zarah bahan lain. Hasilnya, ia bertukar sifat kepada bahan lain dan menghilangkan sifat ‘babi' nya itu.

Fatwa ini juga menyatakan jika bahan enzyme babi itu merupakan kandungan utama
kepada proses, tatkala itu tanaman yang terhasil adalah tidak halal untuk digunakan oleh
umat Islam.

Bagaimanapun, sebahagian ulama lain seperti Dr Md al-Hawari (Mesir), Dr Abd Naseer
Abul Basal (Jordan) dan lain-lain menganggap juzuk, zarah atau molekul dari seekor babi mengikut kajian mereka yang bertawliah, tidak boleh berubah walaupun melalui proses 'istihalah' atau 'transformasi' berbeza dengan molekul dari haiwan-haiwan lain.
Wallahu 'alam.

Jika dilihat dalam keputusan persidangan ulama Islam bagi isu-isu perubatan di
Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Mereka ada membincangkan tajuk "Bahan-bahan
Haram dan Najis di dalam makanan dan ubat" yang mana keputusannya menyebut :-

Istihalah adalah proses berubahnya sesuatu 'ain kepada 'ain yang lain dimana
berlaku perubahan dalam sifatnya sehingga menjadikan sesuatu yang najis
berubah kepada bahan baru yang suci dan sebaliknya.

Justeru,

a) Gelatin yang terbentuk dari proses 'istihalah' tulang, daging dan kulit haiwan
najis
adalah dikira suci dan halal dimakan.

b) Sabun yang dibuat hasil proses 'istihalah' lemak babi atau bangkai telah menjadi
suci melalui proses istihalah dan halal digunakan.

c) Krim, gel, minyak dan bahan kecantikan yang mengandungi bahan dari lemak
babi adalah tidak harus digunakan kecuali apabila dapat dipastikan proses istihalah
lemak babi tadi telah berlaku sehingga 'ainnya ( atau molekul ain) telah berubah ke
satu sifat baru. Selagi tidak dapat dibuktikan, ia adalah najis.

( Tamat terjemahan keputusan persidangan di atas)

Kita serahkan kepada Panel kajian hukum JAKIM untuk membuat keputusan dalam hal ini disebabkan mereka lebih mempunyai kemudahan untuk menyemak beberapa hal teknikal
di atas.


Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

6 Syawwal 1428 H
18 Oktober 2007

0 comments: