Saturday, November 10, 2007

TAMAN ILMU ISLAM kembali!

Alhamdulillah, TAMAN ILMU ISLAM kini telah kembali beroperasi..

Teruskan menyokong dan memeriahkan TAMAN ILMU ISLAM!

Monday, November 5, 2007

Motivasi Diri- Duit Bukan Segala-Galanya..

Saya cadangkan sahabat-sahabat semua baca artikel tulisan Us Zaharuddin Abdul Rahman di bawah. Memberi motivasi yang bukan sedikit bagi kita. Terutamanya bagi mereka yang bersiap-sedia untuk berkhidmat secara praktikal kepada masyarakat setelah sekian lama menghadam teori-teori di medan-medan ilmu.

Antara yang dapat dikutip, duit itu bukan segala-galanya. Hidup biar berprinsip. Saudara UZAR satu contoh dari contoh-contoh yang banyak di sekeliling kita. Baru-baru ini kita mendengar pengakuan TG Nik Abdul Aziz yang menolak rasuah berjuta-juta kerana mempertahankan maruah diri dan agama. Jika sahabat membaca buku DILEMA SEORANG WARTAWAN ISLAM karangan Roslan Hamid (kini wartawan di Harakah dengan nama penanya LANH), beliau menceritakan bagaimana beliau meletakkan jawatan sebagai Pengarang Luar Negara, Berita Harian yang menerima gaji lebih RM4,000 sebulan dan kemudian menubuhkan sebuah pusat tuisyen dengan mengenakan bayaran paling minimum (RM2.00 setipa kali seorang pelajar mengikuti pengajian) bagi membantu pembelajaran bahasa Inggeris murid sekolah rendah di kampungnya- Semabok, Melaka. Alasannya, walaupun berpendapatan lumayan, corak kewartawanan masa kini tidak serasi dengan jiwanya. Penggunaan gambar-gamabar tidak sopan, pemberitaan yang terpesong, wujudnya keputusan nombor ekor dan pelbagai unsur lain dalam dunia persuratkhabaran yang tidak selari dengan jiwanya. Dan kerap-kali, dalam kesibukan menjalankan tugas sebagai wartawan yang berdedikasi, dirinya gagal mencari masa untuk melakukan 'kerja-kerja berfaedah' untuk bekalan di akhirat kelak.

Rasa begitu terharu dan kagum dengan pengorbanan-pengorbanan mereka. Sama-sama
kita contohi pejuangan mereka, pastikan hidup kita berprinsip, jangan kita dikhayalkan dengan harta benda dunia.

Dan akhirnya, pastikan hidup kita tidak sia-sia dan memberi jasa kepada Islam.
Wallaua'lam.

Bertugas Di Tempat Baru : UIA
Oleh: Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net


Saya memang tidak pandai dan kurang minat untuk berkongsi cerita peribadi di web saya ini. Malah anda juga pastinya kurang minat untuk membacanya. Cuma kali ini saya berhasrat untuk berkongsi tentangnya buat julung kali kerana dirasakan ada beberapa faedah yang boleh dikongsikan.

Alhamdulillah, hari ini (5 Oktober 2007 bersamaan 23 Ramadhan 1428 H pada hari Jumaat) adalah hari pertama secara rasmi saya bertugas sebagai ‘Academic Fellow' atau secara mudahnya sebagai Pensyarah di Jabatan Ekonomi Islam, Kulliyyah of Economics & Management Sciences, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.

Cita-cita

Sejak kecil, cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pensyarah di sebuah Universiti. Kini cita-cita tersebut menjadi kenyataan. Syukur kepada Allah s.w.t yang memberikan ruang dan peluang ini menjadi kenyataan.

Jawatan terakhir yang saya sandang sebelum menyertai dunia Akademik adalah Ketua Jabatan Syariah dan Setiauasaha Majlis Penasihat Syariah, Qatar Islamic Bank Malaysia ( Asian Finance Bank Berhad . sila buka http://www.asianfinancebank.com/)

Mengapa Tinggalkan Bank?

Ramai juga rakan yang bertanya mengapa berhenti sedangkan pendapatan yang diperolehi di dunia perbankan dan korporat telah mencecah 5 angka sebulan dan masuk ke dunia akademik yang berpendapatan 4 angka semula.

Malah ketika interview UIAM sebanyak 3 peringkat iaitu Jabatan, Kulliyyah dan Universiti. Pasti tidak terlepas soalan ini, hampir semua panel yang meng'interview' saya menjadi kehairanan dan pelik dengan sikap saya yang sanggup turun pendapatan dari 5 angka ke 4 angka.

Saya lagi pelik dengan kepelikkan mereka. Apakah begitu sukar untuk difahami?. Saya tidak pelik langsung kerana saya telah pastikan kerjaya saya ada hala tuju dan objektif tertentu.

Anatara jawapan mudah saya untuk dikongsikan bersama pengunjung web ini adalah :-

Pertama : Duit bukanlah matlamat saya ketika menyertai industri perbankan Islam ini, cuma tanpa dirancang. telah menjadi budaya korporat apabila anda kerja dengan tekun dan memenuhi 'expectation' mereka, secara sukarela mereka mengganggap anda penting lalu menaikkan pendapatan anda sebagai penghargaan.

Terus terang, saya sertainya adalah kerana inginkan ilmu praktikal dan operasi perbankan Islam. Saya tidak ingin menjadi seorang yang tidak adil dalam menghukumi sesebuah bank Islam tanpa mengetahui hakikat operasi mereka secara ‘live'.

Ia amat penting bagi membolehkan saya mengaplikasikan ilmu Syariah dari Kitab turath ke dalam dunia praktikal..bukan sekadar teori dan cakap-cakap semata-mata. Saya berpeluang menghidupkan teori Fiqh yang tersimpan di dalam kitab-kitab Fiqh silam dan moden dalam bentuk hidup nyata di dunia perbankan Islam bagi menyelamatkan umat Islam dari dosa sebesar Riba. Saya amat gembira dengan tugas demikian.

Islam adalah penyelesai masalah semasa, tetapi jika ia tidak mampu diterjemahkan dalam kehidupan ekonomi dan perbankan semasa, Islam akan dilihat tidak ‘up to date' , malah
peranan ilmuan Syariah untuk menonjolkan Islam juga semakin malap dalam dunia yang berkembang pantas ini.

Hasilnya dalam tempoh tiga tahun yang saya peruntukan untuk proses ini, saya telah berjaya memperolehi pengalaman bermakna tatkala membina dan membetulkan produk-produk bank Islam, menyemak seluruh syarat dan dokumen perbankan dan kewangan Islam merangkumi sebuah bank Islam tempatan ( iaitu RHB Islamic Bank) dan juga mempelajari operasi sebuah bank Islam antarabangsa ( iaitu Qatar Islamic Bank @ Asian Finance Bank Berhad) dari mula ia ditubuhkan di Malaysia. Kata orang putih "from the scratch", kerana saya merupakan kakitangan kedua di Asian Finance Bank yang dilantik selepas CEO.

Kedua : Saya juga ingin menyumbang Ilmu Islam kepada semua tanpa ikatan ‘office hours' dan organisasi tertentu. Sebagai pensyarah UIA, saya bebas untuk memberikan manfaat ilmu kepada mana-mana organisasi kewangan Islam dalam satu masa. Waktu saya lebih fleksible untuk menyumbang dan membuat kajian mendalam.

Benar, saya amat ingin jadikan ilmu yang dianugerahi Allah s.w.t ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seramai mungkin, bukan hanya untuk dimanfaatkan oleh sesebuah organisasi sahaja.

Kerjaya sebagai Pensyarah universiti adalah tugas yang terbaik bagi melaksanakan tugasan ini.

Perancangan Tercabar

Saya telah meletakkan pelan untuk berkhidmat dalam operasi perbankan & kewangan Islam selama 3 tahun sahaja, akan tetapi saya perlu pastikan ilmu yang saya perolehi menyamai tempoh 10-15 tahun bekerja di industri ini.

Tidaklah begitu sukar untuk mencari jalan mengetahui bagaimana tahap ilmu kita dalam hal ini. Ajak sahaja seorang Senior Islamic Banker yang punyai pengalaman 15 tahun bersembang dengan anda perihal teknikal perbankan. Jika anda faham bahasa perbankan dan istilah yang digunakan serta anda boleh pula memberikan idea, soalan dan komentar yang dianggap standard oleh mereka. Saya kira ilmu anda sudah hampir dengan pengalaman 15 tahun dari satu sudut paling kurang.

Ia bukan tugas mudah dan memang meletihkan, tapi saya mesti mencapainya, saya nekad. Dalam tempoh sederhana singkat itu telah saya senaraikan ilmu operasi yang perlu saya perolehi termasuk semua ilmu pelaburan Islam, perbankan runcit, perbendaharaan (Treasury), Pasaran Modal Islam seperti Sukuk and Unit Saham Amanah, ‘Structured Products' dan lain-lain.

Tempoh perancangan ini mestilah dijaga sebaiknya walaupun terdapat agak banyak gangguan-gangguan yang mendatang. Tawaran bertugas di Qatar Islamic Bank di Doha Qatar, dan sebuah Syarikat Kewangan Islam di Dubai adalah antara tawaran yang paling menggoda. Terutamanya dari sudut ganjaran kewangan peribadi yang boleh melonjak sehingga 3 ke 4 malah 5 kali ganda dari pendapatan saya di Malaysia.

Bagi saya, sekali saya sudah membuat pelan yang teliti, tidak tepat kiranya saya mengkhianati perancangan teliti saya hanya kerana lumayannya tawaran itu.

Pelan dakwah dan penyebaran ilmu buat rakyat Malaysia menjadi keutamaan saya, Saya mungkin akan gagal memaksimumkan tenaga dan ilmu saya untuk rakyat Malaysia jika saya berkhidmat di Dubai atau Doha, Qatar.

Umat Islam di Malaysia Keutamaan Saya

Saya jadikan umat Islam di Malaysia sebagai sasaran dakwah yang paling utama bagi memenuhkan bekalan akhirat saya.

Agenda menyelamatkan mereka dari kejahilan kewangan Islam, prejudis terhadap perbankan & kewangan Islam tanpa ilmu lengkap serta memandang rendah dosa Riba perlu saya utamakan daripada mendapat pendapatan lumayan untuk diri sendiri di Dubai atau Qatar.

Terutamanya di waktu fahaman anti perbankan Islam yang sebahagiannya dibawa oleh segelintir ahli Akademik dari beberapa buah Universiti. Mereka kelihatan syok sendiri dengan teori idealis yang biasanya tidak menjejak ke bumi, tidak praktikal, serta langsung tidak meraikan kaedah 'tadarruj hakiki' yang diiktiraf Islam.

Sebahagian yang lain pula muncul dari kalangan individu yang membenci kewangan Islam kerana pengalaman peribadi buruk di satu bank lalu di ‘generalize' kepada seluruh sistem kewangan Islam dan bank-bank Islam.

Sebahagian lain pula muncul disebabkan ketidak telitian individu terbabit dalam bidang Syariah dan operasi semasa perbankan dan kewangan tetapi agak malang berlagak lebih alim dari ulama sedunia yang telah membincangkannya di persidangan Fiqh dunia,

Sebahagian lagi datang dari kelompok ahli politik yang tidak habis-habis mencari modal untuk mempolitikkan segala ruang dari sekecil perkara sehingga ke besarnya. Perbankan dan Kewangan Islam tidak terlepas dari modalnya hanya kerana objektif politik yang ingin dicapai, habis ingin diruntuhkan semuanya. Mereka tidak sedar tindakan tidak berhati-hati bakal membawa manusia ke perbankan riba yang nyata haram. Saya tidak nafikan ada kelemahan, tetapi ia masih boleh di 'adjust' bagi memenuhi tuntutan Syariah.

Sesuaikah untuk saya berhijrah bertugas di Timur Tengah dengan pendapatan lumayan dalam keadaan masyarakat yang sedemikian? .

Apalah gunanya pendapatan besar dan berseronok sendiri sedangkan masyarakat di negara sendiri lemas dalam dosa riba sebesar peperangan dengan Allah s.w.t. dan
RasulNya.

Moga Allah menetapkan pendirian ini dalam keikhlasan yang tidak perlu dibuktikan kepada mana-mana manusia. Cukuplah Allah sw.t sebagai saksi.

Jangan Fikir Semua Orang Macam Anda ?

Saya teringat kata-kata seorang Atok yang muncul di sebuah stesyen radio berkata :

"Jika seorang penasihat Syariah itu kerja di dalam syarikat, tak mungkin dia berani tegur boss jika salah dari sudut Syariat sekalipun, nak kena potong gaji?!, sebab tu perlu penasihat Syariah luaran"

Demikianlah antara intipati dakwaannya yang liar dan cuba di ‘generalize'kan sesuka hati.

Malanglah kita jika sentiasa mengganggap semua orang lemah macam kita atau kuat dan bijak macam kita. Keadaan ini boleh menimbulkan perpecahan, tidak puas hati dan kemarahan.

Sebagaimana contoh di atas, jika kita tergolong dalam golongan yang boleh dibeli, jangan dengan mudah mengganggap semua orang lain juga boleh dibeli seperti kita.

Saya agak pelik dengan dakwaan liar seperti ini, ia seolah meremeh fungsi Penasihat Syariah yang bertugas di dalam sesebuah syarikat yang pada masa sama mengawal selianya urusan kepatuhan Syariahnya. Samada ia sebuah bank Islam, syarikat MLM, ataupun sebuah kilang pengeluar makanan tertentu.

Dalam masa yang sama individu bergelar 'atok' ini cuba memuji penasihat Syariah luaran.

Padahal jika itu sifirnya, sudah tentu semua Penasihat Syariah luaran juga boleh dibeli, kerana mereka juga dibayar elaun oleh bank, syarikat dan kilang yang sama juga. Kemungkinan juga, jika mereka tidak meluluskan satu-satu produk, mereka juga boleh ditamatkan tempoh ‘appointment' mereka.

Justeru, dakwaan ini hanyalah bersifat menghancur tanpa asas, padahal ramai rakan-rakan saya di bank Islam yang berdebat dengan CEO mereka kerana isu Syariah, saya juga banyak pengalaman dalam hal ini, sehingga adakala saya bawa isu Syariah ke peringkat yang lebih tinggi dari CEO bagi memastikan kepatuhan Syariah dijaga. Malah apabila dibuat demikian, CEO makin hormat dan sayang ke kita kerana ketegasan dan amanah dalam menjalankan semakan Syariah. Tidak seperti yang dijangkakan oleh Atok tadi.

Malah ada penasihat Syariah yang saya kenali pernah menarik diri dan meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan sesuatu struktur kewangan yang ingin dilaksanakan. Walaupun projek itu memperuntukan penghargaan wang sebanyak RM 50,000 jika ia berjaya dilulus dan dilaksanakan.

Justeru, jangan mudah menyangka buruk secara umum kepada ahli agama sebagai menjual agama mereka kerana duit. Tidak saya nafikan jumlah ahli agama yang menjual agama mereka kian bertambah dari hari ke hari tetapi untuk dipukul rata kesemuanya bersifat demikian adalah tidak harus sama sekali.

Fatwa Rakan

Rakan saya berkata : "Wah, ustaz dah keluar dari bank, lepas ini susahlah orang yang benci kat ustaz nak guna hujjah.."ustaz bank tu mestilah pertahan bank Islam. Bank suap dia.", kerana ustaz bukan lagi disuap oleh bank...."

Saya hanya mampu tersenyum, tapi yang pasti saya akan pertahan perbankan Islam dalam perkara yang benar sahaja.

Sekian coretan ringkas di kesempatan waktu di 7 hari terakhir Ramadhan mulia ini.

Moga Allah mengampunkan saya dan anda semua dari sebarang perasan sangka buruk, tuduhan liar dan fitnah tanpa hak di bulan berkat ini.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
23 Ramadhan 1428 H
5 Oktober 2007

Selamat Berjuang!

Berita yang saya petik dari laman Info KPT ini membenarkan telahan saya semalam. Jelas Yayasan Terengganu tidak membenarkan MAT diadakan di dewan asrama. Menarik untuk difikirkan, Kedutaan Malaysia melalui Jabatan Penuntut Kaherah menghantar wakilnya untuk merasmikan MAT kali ini. Secara tidak langsung, mereka mengiktiraf kewujudan dan fungsi KPT sebagai wadah penyatuan anak-anak Terengganu di bumi Mesir ini.

Selamat berjuang untuk pimpinan yang baru dilantik dan bagi pimpinan yang lalu, jasamu tetap kami kenang sehingga selama-lamanya...

MAT 07 medan bermuhasabah
Sunday, November 4, 2007

Kaherah (4 November 2007) : Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu dengan jayanya telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan yang ke 43 dan Ijtimak HEWI yang ke 8. Mesyuarat ini terpaksa di adakan dirumah Asrama Pelajar Kelantan Baru, Hayyu Sabik selepas dijadualkan di Asrama Darul Iman terpaksa di batalkan selepas tidak mendapat kebenaran dari pihak Yayasan Terengganu.


Pihak AJK Pelaksana terpaksa berhadapan dengan pelbagai kesulitan kerana kelewatan diberitahu tentang larangan menggunakan dewan Asrama Darul Iman. Namun begitu, berkat usaha dan kesungguhan AJK Pelaksana MAT pada tahun ini, MAT dapat dilaksanakan demi meneruskan kelangsungan perjuangan KPT sebagai wadah persatuan pelajar di Mesir ini.



MAT dimulakan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh wakil di Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, Encik Amri. Presiden PMRAM , saudara Khairul Nizam turut hadir didalam majlis perasmian tersebut memberikan sokongan kepada perjalanan MAT dan KPT tahun ini.

Pada sesi rehat , pihak pelaksana program HIKMAT 07 mengambil kesempatan untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Hadiah disampaikan oleh saudara YDP KPT, saudara Nik Rosdi.Tahniah diucapkan kepada individu-individu yang bejaya.

Pihak KPT amat berterima kasih kepada semua perwakilan kerana pernglibatan mereka dalam memberikan muhasabah dan idea-idea baru sepanjang berlangsungnya MAT . Pelbagai permasalahan dan soal jawab yang ditimbulkan oleh perwakilan terhadap AJKT sesi 2006/7. YDP sesi tersebut saudara Nik Rosdi dan barisan AJKT dan HEWI memberikan penjelasan dan respon terhadap semua persoalan yang ditimbulkan.

Rata-rata perwakilan mengutarakan persoalan kebajikan, kecemerlangan pelajaran, hubungan KPT dengan pihak-pihak yang berwajib, masalah KPT menggunakan kemudahan di Asrama Darul Iman disamping masalah penempatan bagi pejabat KPT yang terpaksa menyewa rumah luar selepas tidak dibenarkan berpejabat di Asrama Darul Iman seperti mana biasa.

Banyak persoalan yang lebih bersifat muhasabah kepada barisan AJKT dan HEWI sesi lepas yang diutarakan dan sepatutnya dijadikan sebagai satu pedoman dan panduan kepada barisan AJKT dan HEWI yang baru dilantik.

Selepas sesi perbahasan dan soal jawab antara perwakilan dan pimpinan, SPR yang di Pengerusikan oleh saudara Mahyuddin menggumumkan barisan EXCO dan HEWI yang menang dalam pilihanraya . Barisan AJKT dan HEWI bagi sesi 2007/08 diketuai oleh YDP KPT baru, saudara Abd Hakim selaku bekas exco Dakwah bagi sesi lepas.

Pada akhirnya, ucapan penangguhan dari YDP yang baru . Beliau mengharapkan satu komitmen dan kerjasama yang didasarkan dengan jalinan ukuwah yang padu didalam menjayakan segala agenda KPT pada sesi akan datang.Bacaan doa oleh saudara Zahari, selaku penasihat KPT mengakhiri mensyuarat agung tahunan pada kali ini.
Pihak INFOKPT dan semua warga KPT mengucapkan selamat menjalankan amanah buat AJKT dan HEWI baru dan sekalung penghargaan buat AJKT dan HEWI bagi sesi lepas. Semoga Allah mengurniakan balasan yang setimpal atas pengorbanan mereka.

"GEMBLING KEKUATAN, PASAK KEILMUAN "

Sunday, November 4, 2007

Terimalah Realiti

Di Mesir ini, waktu akan bertukar mengikut musim. Ditambah 1 jam pada musim panas dan 1 jam pula akan ditolak apabila masuknya musim sejuk. Cuma musim sejuk ni saya buat-buat 'degil', tak mahu tambah waktu jam-jam di rumah, kononnya lebih selesa dengan waktu lama.

Disebabkan 'kedegilan' saya itu, saya telah menerima padahnya semalam. Ceritanya, program usrah UMI dijadualkan pada jam 7 malam. Isteri saya dari awal-awal sudah menyiapkan anak-anak dan barang-barang yang nak dibawa. Beberapa kali dia mengajak saya pergi awal, kena tepati masa dan malu katanya kalau sampai waktu semua orang sudah berkumpul. Hanya saya yang terasa sedikit malas. Saya berdalih "Kalau kita pergi awal pun, orang lain datang lewat jugak". Sikap yang langsung tak boleh diteladani! Sepatutnya kita yang merubah keadaan, bukannya kita yang 'terubah' dengan keadaan! Kalau semua berpendapat sedemikian, sampai bila-bila pun perangai datang lewat ini akan terus menjadi budaya dan kebiasaan.

Kami keluar dari rumah 45 minit selepas azan maghrib. Kerana menyangka waktu sudah pukul 7 lebih, kami memilih untuk menaiki tramco untuk ke tempat pertemuan walaupun asalnya ingin berjalan kaki sahaja. Sampai di rumah yang dijanjikan, keadaan masih sunyi. Depan rumah gelap kerana lampu luar belum terpasang. Kasut diluar rumah hanya dua pasang yang saya fikir milik tuan rumah suami isteri. Bila pintu rumah dibuka, kami diberitahu yang kami adalah orang paling awal sampai. Rasa bangga dalam hati. Tapi bangga tu tak tahan lama dan saya ketawa besar sebagai mentertawakan kesilapan sendiri apabila diberitahu tuan rumah yang jam baru menunjukkan pukul 6.30 malam. Inilah padahnya kerana degil!

Dari peristiwa tu, saya dapat pengajaran. Saya mesti menerima realiti. Kerana itu hari ini jam-jam di rumah saya telah diubah waktunya. Sampai bila lagi saya mahu berkeras mempertahankan 'kedegilan' saya itu,

Sebut tentang 'terima realiti', saya ada menerima mesej ym dari seorang sahabat di Kaherah yang menjadi orang kuat Keluarga Penuntut Terengganu (KPT). Mesejnya sebagaimana di bawah:

Mesej 1:
mat yie (22/10/28 02:51:43 ã): assalamualaikum.... untuk makluman, hari sabtu ni (3/11/07) ijtima' HEWI kpt dan ahad (4/11/07) MAT (Mesyuarat Agung Tahunan). masa 8.00 pagi. tempat, setakat ni di dewan rumah terengganu hayyu asyier, tp mungkin berlaku perubahan, sbb permohonan guna dewan masih blum diluluskan. yyan (yayasan) trg janji nk beri jawapan petang ni. kalau tk dapat mungkin buat di rumah kelantan. mintak maaf krn tergesa2. sebarang kesulitan amat2 dikesali. sila sebarkn kpd semua mutazawwijin trg di alex, trima kasih. salam

Mesej 2:
mat yie (22/10/28 03:04:06 ?): assalamualaikum.... Ijtima' HEWI dan MAT KPT akan diadakan di rumah Kelantan Baru di hayyu sabie. Jam 8.00 pagi start perasmian. pengangkutan disediakan dari hayyu asyier seawal jam 7.00 pg (bayar sendiri). buku MAT dan Buku laporan kewangan tahunan akan diedar semasa MAT nanti. harap maaf di atas segala kesulitan dan kelewatan yg brlaku. salam.

Saya tak pasti kenapa tempat itu akhirnya ditetapkan di rumah Kelantan. Adakah kerana tidak mendapat kebenaran Yayasan Terengganu (jika difahami dari mesej pertama begitulah kesimpulannya) atau sebab-sebab lain. Saya cuba menghubungi sahabat di Kaherah untuk mendapatkan kepastian tetapi gagal.

Andai itulah sebabnya, saya tidak terperanjat. Kerana sebelum-sebelum ini pun, KPT telah banyak kali cuba dinafikan haknya. Sebelum ini dijanjikan pejabat di bangunan asrama tetapi sampai sekarang hanya tinggal janji. Program-program amat sukar untuk mendapat kebenaran jika ingin diadakan di asrama sehingga ada yang terpaksa dibatalkan. Ketika kedatangan MB Terengganu baru-baru ini, langsung tidak disebut nama KPT (sedangkan saya difahamkan yang kuat bekerja ialah pimpinan-pimpinan KPT juga). Baru-baru ini ada ditubuhkan persatuan baru, Ulul Albab , dengar-dengarnya sebagai pengganti KPT.

Nasihat untuk diri saya sendiri dan sesiapa jua yang rasakan dirinya hamba Allah yang sentiasa melakukan kesilapan dan patut menerima nasihat, terimalah realiti. Realitinya, KPT ialah wadah yang dipilih oleh anak-anak Terengganu di sini. Realitinya tiada sebab untuk menidakkan kewujudan KPT. Realitinya program-program dan majlis-majlis anjuran KPT berfaedah dan memberi manfaat kepada kami semua. Atas sebab apa lagi KPT ingin di hapuskan?

Saya tidak dapat melihat alasan yang lebih jauh melainkan alasan politik! Tetapi adakah alasan itu berasas? Selama ini KPT tidak pernah cenderung kepada mana-mana pihak atau parti. Setiap pimpinan yang datang akan dilayan dengan sebaik-baiknya dan diberi ruang seluas-luasnya untuk beramah mesra dengan pelajar. Program-program yang dianjurkan tidak berbentuk politik, semuanya ilmiah dan bersifat akademik serta memupuk persaudaraan. Jadi di mana salahnya?

Lagipun, apa salahnya mahasiswa berpolitik?


Mahasiswa Dan Politik.

Isu ini mungkin bagi sesetengah pihak terlalu menggerunkan untuk dibincangkan. Apatah
lagi seringkali mahasiswa diugut dan diberi amaran agar tidak terlibat dengan politik. Pelbagai akta dan peraturan digubal untuk memisahkan mahasiswa dari politik.

Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai politik. Kita jangan takut dengan bayang-bayang sehingga semua yang berkaitan dengan politik dianggap kotor dan semua
yang berkaitan dengan pembangkang dianggap berbahaya.

Memang ada perbezaan antara politik dengan parti politik, antara isu politik dengan isu parti politik, antara politik kepartian dengan politik non-kepartian dan antara politik partisan dengan politik non-partisan. Ini hanyalah sebahagian daripada ilmu politik.

Ilmu politik adalah sebahagian daripada disiplin yang perlu didedahkan kepada mahasiswa. Ia memerlukan pendidikan politik.

Golongan mahasiswa mewakili golongan muda yang enlightened - berilmu kerana mendapat peluang pendidikan di menara gading, disamping memiliki darah muda yang berani, idealistik dan tidak dipengaruhi pelbagai kepentingan sebagaimana graduan yang telah lama meninggalkan universiti. Universiti diiktiraf sejagat sebagai pusat ilmu yang terunggul bagi mana - mana masyarakat. Universiti sama ada di Cordova dan Al-Azhar bagi masyarakat Islam, ataupun universiti-universiti di Oxford dan Bologna di Eropah menjadi simbol keunggulan ketamadunan bangsa di mana berdirinya universiti-universiti tersebut.

Namun universiti menjadi simbol keunggulan ilmu dan ketamadunan sesuatu budaya bukanlah kerana menjadi tempat untuk mendapat segulung ijazah semata-mata -universiti mempunyai peranan yang jauh lebih besar. Setiap kali masyarakat memerlukan pimpinan yang berani menyuarakan kebenaran - ketika pihak lain gagal memainkan peranan tersebut secara efektif, mereka akan berpaling kepada golongan pelajar.

`Melayu mudah lupa' kata Dato' Seri Dr. Mahathir. Beliau bersama hampir keseluruhan saf kepimpinan negara kebanyakkannya dahulu pernah terlibat dengan aktivisme mahasiswa.
Ketika menuntut di Singapura, beliau sering menulis di dalam akhbar membicarakan isu-isu yang hampir dengan bangsa Melayu, dengan menggunakan nama samaran Che Det. Pada
zaman 60-an dan 70-an - ketika aktivisme siswa seluruh dunia menggelegak dengan semangat dan harapan yang besar di kalangan pejuang-pejuang gerakan pelajar, golongan siswa seringkali menjadi conscience masyarakat apabila pihak lain kelu membisu. Di pentas antarabangsa - nama-nama seperti Daniel Cohn-Bendit dan Abby Hoffman menjadi sebutan ramai kerana keberanian mereka mempersoal tindak-tanduk pemerintah. Gerakan mahasiswa sedunia menjadi antara barisan hadapan perjuangan anti-Perang di barat dan berani mendepani isu-isu masyarakat dengan liberal dan progresif.

Di negara kita, pemimpin mahasiswa seperti Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Adi Satria dan Ibrahim Ali mengisi vacuum yang terhasil dari penyertaan parti-parti pembangkang utama seperti PAS, Gerakan dan Parti Progressif Rakyat (PPP) ke dalam Barisan Nasional. Saf kepimpinan pelajarlah yang berani mendekati rakyat marhaen yang dilupakan, memperjuang nasib sejagat golongan tertindas oleh kuasa-kuasa imperialis dan akhirnya menjadi penggerak kebangkitan Islam di Malaysia. Ketika Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia memecat Dr. Mahathir dari UMNO, gerakan pelajar dan parti pembangkanglah yang memberinya ruang untuk menegakkan keadilan buat dirinya.

Akhirnya kegusaran pihak pemerintah menjelmakan dirinya di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kemudiannya dipinda pula untuk terus melemaskan suara-suara berani para mahasiswa. Persatuan Mahasiswa dirompak kebebasannya - menjadi Majlis Perwakilan Mahasiswa yang tidak lagi berpengaruh dan tidak lagi punya kuasa seperti era
pra-AUKU. Akhirnya kekuatan gerakan mahasiswa sudah lenyap sama sekali.


Sepanjang dekad 80an dan 90an, mana-mana mahasiswa yang agak berani sedikit menghadapi tindakan dibuang universiti. Universiti menyingkirkan suara-suara yang dapat mengembalikan martabat mereka di kalangan masyarakat. Akhirnya, bersama-sama liberalisasi dasar pendidikan negara yang memberi ruang kepada ratusan kolej-kolej swasta yang bermotifkan keuntungan untuk tumbuh di negara, fungsi institusi pengajian tinggi di negara cuma sebagai kilang-kilang untuk menghasilkan makhluk-makhluk konformis, lembik dan sekadar untuk memainkan peranan di dalam ekonomi kapitalis sejagat. Mereka bagaikan android yang tidak tahu berkata `tidak', yang terpisah dari isu-isu masyarakat, malah tidak dapat menghayati keseluruhan falsafah ilmu dan universiti itu sendiri.

Malaysia Dan Negara Lain

Isnin 24 September 2007, Universiti Columbia di New York mengundang Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berceramah kepada sekumpulan pelajar dan pensyarahnya.
Seperti dijangka, pelbagai pihak di Amerika Syarikat (AS) yang terpengaruh atau bersekongkol dengan Presiden Bush atau mempunyai kepentingan politik tertentu dan menuduh Ahmadinejad dengan perkara yang bukan-bukan mengecam penganjuran ceramah itu, malahan mendesak supaya ia dibatalkan.

Tetapi, ceramah itu tetap diadakan. Tidak mengapalah jika Presiden universiti itu, Lee Bollinger, memberikan ucapan pengenalan yang tidak sopan, manakala ucapan Ahmadinejad pula tidak sebaik yang disampaikannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada keesokan harinya.

Yang pentingnya ialah universiti itu berpegang teguh dengan kebebasan akademiknya dalam menganjurkan ceramah membabitkan pemimpin politik yang berhaluan bertentangan dan tidak tunduk kepada tekanan politik dari luar, manakala Ahmadinejad membuktikan keberaniannya berhadapan dengan mahasiswa, apalagi dalam keadaan yang diketahuinya akan menjadi panas baginya.

Ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia. sesetengah universiti kita takut mengundang dan membenarkan pemimpin pembangkang berucap di dalam kampus. Hanya sesekali ada universiti yang berani. Contohnya, pada Ogos 2003, Universiti Utara Malaysia (UUM) membenarkan sebuah forum mengenai pengurusan negara diadakan membabitkan pemimpin Pas, Datuk Husam Musa (ketika itu Ahli Parlimen Kubang Kerian) bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Nazri Aziz (ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan).

Alasan untuk tidak membenarkan pemimpin pembangkang berucap di kampus ialah bimbang mahasiswa akan terpengaruh. Persoalannya, adakah mahasiswa semudah itu untuk dipengaruhi? Kalau begitu, jangan benarkan pemimpin pembangkang itu berucap seorang. Sebaliknya, adakan dalam bentuk debat. Undanglah pemimpin kerajaan untuk berdebat dengannya.

Banyak sebenarnya usaha-usaha yang dilakukan untuk memenjarakan kebebasan mentaliti dan idealisme mahasiswa. Antaranya yang dapat kita perhatikan pada pilihanraya-pilihanraya kampus. Mereka hanya diberikan dua pilihan sama ada mahu menjadi kumpulan Aspirasi yang dikuasai oleh Umno atau kumpulan yang didakwa propembangkang.

Di sinilah juga mereka berhadapan dengan situasi yang kacau apabila proses pilihan raya itu ditekan dan dicengkam sehingga matlamat sebenar mahu melahirkan pemimpin mahasiswa berwibawa dan bertanggungjawab hilang di celah-celah hiruk-pikuk emosi kepartain.
Seolah-olah yang hanya dibenarkan ialah aliran pemikiran yang selari (sebenarnya yang mengampu) dengan politik pemerintah. Siapa jua yang cuba menyanggah akan dilabelkan sebagai propembangkang yang perlu perlu dikalahkan.

Demikian juga berlaku di Mesir. Persatuan pilihan pelajar disingkirkan dan dianggap pro pembangkang. Dulu anak-anak Selangor mempunyai Badan Kebajikan Anak-Anak Selangor Mesir yang kini hanya tinggal nama. Dan kini KPT mungkin menerima nasib yang sama.

Kembalilah Kepada Realiti.

Menara gading dilihat sebagai pusat pendidikan yang lengkap dan holistik, bukan tempat lahirnya pelajar yang lemah, lesu dan gagal memperjuangkan agenda yang lebih besar
bagi manfaat ramai. Universiti menjadi jambatan antara alam remaja seseorang dan alam dewasanya - sekurang-kurangnya untuk majoriti mahasiswa. Maka sekiranya mahasiswa terus dilayan sebagai pelajar sekolah dengan pelbagai sekatan dan peraturan yang langsung tidak kena dengan kematangan yang dimilikki mereka, masa hadapan negara akan menjadi gelap. Tradisi kepimpinan untuk masa akan datang tidak dapat diwariskan dengan sempurna kepada pengganti-pengganti yang mampu. Disinilah potensi bakal pewaris kepimpinan negara akan dapat digilap dan dilihat oleh masyarakat.

Masih banyak potensi bakal kepimpinan negara dan bangsa berada di kampus-kampus samada dalam mahupun luar negara. Sayang sekali, mereka yang dapat bersuara, yang dapat mendepani pelbagai isu dicantas tanpa belas kasihan, untuk survival politik pihak-pihak tertentu. Di dalam era globalisasi ini, sekiranya kita gagal melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berkepimpinan dan berfikiran terbuka dan kritis, maka kita tidak dapat bersaing di dalam arus semasa; dan akhirnya akan ketinggalan. Usah dipermainkan kematangan mahasiswa. Mereka bukan kanak-kanak kecil lagi. Layanilah mereka sebagai orang dewasa yang bertanggungjawab. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka sudah berhak untuk menentukan kepimpinan negara dan dasar-dasar negara menerusi penglibatan di dalam Pilihanraya. Maka tidak ada salahnya mereka untuk punyai pendapat yang tidak sehaluan dengan pihak kerajaan. Tidak sependapat bukanlah satu kedurjanaan kepada negara, tetapi rahmat buat semua.

Baju free yang saya terima ketika Majlis Perasmian Asrama Darul Iman Kaherah Mesir ada tertulis slogan yang selalu dilaung-laungkan oleh kerajaan Terengganu iaitu "MEMAHAT SEJARAH MENCIPTA TAMADUN". Buktikan slogan itu. Jangan pula ketika kita mendabik dada sambil mendakwa negara kita telah maju, mentaliti kita lebih teruk dari rakyat negara dunia ketiga!

Doa saya semoga KPT terus thabat dan kukuh..

Rujukan :

PERANAN MAHASISWA, POLITIK DAN IDEALISME
oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Unit Pendidikan Politik - IKD.

Perspektif: Kampus medan terbaik debat politik
Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis
Belia Malaysia (1998-2002)

Rehat-Rehatkan Minda

Kelas yang tadi bercempera tiada guru, kini menjadi senyap sunyi. Ini adalah kerana guru yang paling digeruni telah masuk ke dalam kelas. Wajahnya garang seperti Jin yang tidak ada Shamsudin. Kalau hendak tahu ikutilah pelajaran cikgu ini. Nama cikgu ialah ?

Murid-murid: Selamat pagi, cikgu.
Cikgu: (Menengking) Mengapa selamat pagi sahaja? Petang dan malam awak doakan saya
tak selamat?
Murid-murid: Selamat pagi,petang dan malam cikgu!
Cikgu: Panjang sangat! Tak pernah dibuat oleh orang! Kata selamat sejahtera! Senang
dan penuh bermakna. Lagipun ucapan ini meliputi semua masa dan keadaan.
Murid-murid: Selamat sejahtera cikgu!
Cikgu: Sama-sama, duduk! Dengar sini baik-baik. Hari ini cikgu nak uji kamu semua
tentang perkataan berlawan. Bila cikgu sebutkan perkataannya, kamu semua mesti
menjawab dengan cepat, lawan bagi perkataan-perkataan itu, faham?
Murid-murid: Faham, cikgu!
Cikgu: Saya tak mahu ada apa-apa gangguan.
Murid-murid: (senyap)
Cikgu: Pandai!
Murid-murid: ( perkataan tidak sesuai )!
Cikgu: Tinggi!
Murid-murid: Rendah!
Cikgu: Jauh!
Murid-murid: Dekat!
Cikgu: Berjaya!
Murid-murid: Usno!
Cikgu: Salah!
Murid-murid: Betul!
Cikgu: ( perkataan tidak sesuai )!
Murid-murid: Pandai!
Cikgu: Bukan!
Murid-murid: Ya!
Cikgu: Oh Tuhan!
Murid-murid: Oh Hamba!
Cikgu: Dengar ini!
Murid-murid: Dengar itu!
Cikgu: Diam!
Murid-murid: Bising!
Cikgu: Itu bukan pertanyaan, ( perkataan tidak sesuai )!
Murid-murid: Ini ialah jawapan, pandai!
Cikgu: Mati aku!
Murid-murid: Hidup kami!
Cikgu: Rotan baru tau!
Murid-murid: Akar lama tak tau!
Cikgu: Malas aku ajar kamu!
Murid-murid: Rajin kami belajar cikgu!
Cikgu: Kamu gila!
Murid-murid: Kami siuman!
Cikgu: Cukup! Cukup!
Murid-murid: Kurang! Kurang!
Cikgu: Sudah! Sudah!
Murid-murid: Belum! Belum!
Cikgu: Mengapa kamu semua ( perkataan tidak sesuai ) sangat?
Murid-murid: Sebab saya seorang pandai!
Cikgu: Oh! Melawan!
Murid-murid: Oh! Mengalah!
Cikgu: Kurang ajar!
Murid-murid: Cukup ajar!
Cikgu: Habis aku!
Murid-murid: Kekal kami!
Cikgu: O.K. Pelajaran sudah habis!
Murid-murid: K.O. Pelajaran belum bermula!
Cikgu: Sudah, ( perkataan tidak sesuai )!
Murid-murid: Belum, pandai!
Cikgu: Berdiri!
Murid-murid: Duduk!
Cikgu: Saya kata USNO salah!
Murid-murid: Kami dengar BERJAYA betul!
Cikgu: Bangang kamu ni!
Murid-murid: Cerdik kami tu!
Cikgu: Rosak!
Murid-murid: Baik!
Cikgu: Kamu semua ditahan tengah hari ini!
Murid-murid: Dilepaskan tengah malam itu!
Cikgu: (Senyap dan mengambil buku-bukunya keluar.)

Sebentar kemudian, loceng pun berdering. Murid-murid merasa lega kerana guru yang paling ditakuti oleh mereka telah keluar. Walau bagaimanapun, mereka merasa bangga kerana telah dapat menjawab kesemua soalan cikgu tadi, tetapi esok masih ada. Cikgu itu pasti akan datang lagi.

Friday, November 2, 2007

Makanan Segera Vs. Ilmu Segera


Artikel Saiful Islam di bawah elok untuk dijadikan renungan. Realitinya, apa yang ditimbulkan olehnya tiada siapa dapat menafikan. Kita semakin 'selesa' mencari seterusnya 'absorb' maklumat dari internet.Bahkah lebih parah, ada yang menganggap tidak perlu lagi menghadiri majlis-majlis ilmu, cukup dengan mengadap pc berjam-jam (sungguhpun jarang kita lihat masa yang berjam-jam di depan pc itu itu di isi dengan tujuan ilmu).

Mungkin ini boleh diterima andai yang melakukannya ialah golongan yang tidak terpelajar. Tetapi apabila yang melakukannya ialah golongan terpelajar, di antaranya masih berada di madrasah dan universiti yang dianggap gedung-gedung ilmu, apatah lagi yang berada di Mesir yang dianggap kiblat ilmu, ia satu perkara yang benar-benar dikesali. Sepatutnya kita menggunakan 'fursoh zahabiah' (peluang keemasan) kita di bumi Mesir ini untuk mengaut sebanyak mana yang termampu permata-permata ilmu yang bertaburan di bumi Anbiya' ini.

Kini kita melihat majlis-majlis ilmu yang ditawarkan oleh syeikh-syeikh arab di sini tidak lagi semeriah seperti dulu. Berbeza dengan dulu, padam-padam (gelaran bagi pelajar lelaki yang telah berkahwin di sini) memenuhi kelas-kelas berkenaan. Demikian juga kelas-kelas tafaqquh anjuran DPMI ( Dewan Perwakilan Mahasiswa Iskandariah) semakin lengang. Mengikut cerita seorang padam di sini, dia mula menjadi tenaga pengajar kelas tafaqquh untuk mahasiswi- mahasiswi di sini pada tahun 2002. Ketika itu dapat dilihat semangat berkobar-kobar mereka untuk belajar. Kehadiran mereka memenuhi dewan, sehinggakan terpaksa dihampar tikar-tikar di luar dewan. Dan sekarang, setelah berkahwin dan menetap di sini, dia masih mengajar. Malangnya, keadaan sudah amat berbeza. Kelas lengang seumpama pantai dilanggar tsunami. Yang hadir boleh dibilang dengan jari. Adakah di sebabkan sekarang ini dia sudah berpunya? (hehe saya hanya bergurau!).

Mungkin sahabat menyatakan cara itu lebih mudah dan manjimatkan masa. Tidak perlu bersusah-susah untuk manahan 'tramco' (van) atau bas. Tidak membuang masa terperangkap dalam 'zahmah' (jam). Tiada risiko demam disebabkan bahang matahari musim panas atau sejuk yang menggigit di musim sejuk. Kenapa perlu bersusah payah andai ada cara yang lebih mudah! Benar, saya tak menyangkal kelebihan-kelebihan itu. Tetapi susah payah itu satu bukti cinta kita pada ilmu. Susah payah itulah letaknya nilaiannya di sisi Allah. Bukankah Allah telah menjanjikan dengan setiap satu kesusahan itu akan ada kesenangan. Ilmu itu milik Allah, buktikan kepadaNya kesungguhan kita!

Demikian juga dari segi keberkatan ilmu itu sendiri. Takkan sama orang yang merenungi jernih cahaya muka para ulama' dan orang yang silau matanya kerana cahaya pc. Kita sedia maklum betapa majlis-majlis itu dipayung oleh sayap-sayap para malaikat. Tersebut di dalam kitab Irsyad-ul ‘Ibad oleh asy-Syaikh Utsman bin Shihabuddin al-Funtiani, pada halaman 4: Bersabda Nabi SAW:

عليكم بمجالسة العلماء واستماع كلام الحكماء فإن الله تعالى يحيى القلب الميت
بنور الجكمة كما يحيى الارض الميتة بماء المطر


Hendaklah kamu duduk bersama para ulama' dan mendengar perkataan para hukama', maka bahwasanya Allah Ta’ala menghidupkan Ia akan hati yang mati dengan nur hikmah seperti menghidupkan Ia akan bumi yang mati dengan air hujan.

Keberkatan inilah yang dicari oleh penuntut ilmu yang ikhlas sepanjang zaman. Maka siapakah kita dengan ilmu yang ada? Apakah peranan kita untuk umat ini? Apakah ilmu yang kita miliki berkat, bermanfaat bagi diri, keluarga dan umat?

Maaf kerana ter'panjang-lebar' pula saya menulis muqaddimah. Di bawah ini saya bawakan tulisan Saiful Islam, jadikanlah ia renungan kita bersama. Usahakanlah agar ilmu kita bukan ilmu segera, kerana sebagaimana mee segera, ia mudah dan enak, tetapi mudharat sebaliknya...Wallahua'lam.

Makanan Segera Vs. Ilmu Segera

marah.gif

“Boleh saya tanya sesuatu?”, saya cuba meramahkan diri.

“Silakan!”, kata Yilmaz, ketua kumpulan itu.

“Saya perhatikan saudara-saudara semua membaca Risalah al-Nur dari pagi hingga ke malam. Kenapa tidak ada buku lain yang dibaca sama?”, saya meluahkan apa yang terbuku di hati.

Yilmaz tersenyum.