Sunday, November 4, 2007

Terimalah Realiti

Di Mesir ini, waktu akan bertukar mengikut musim. Ditambah 1 jam pada musim panas dan 1 jam pula akan ditolak apabila masuknya musim sejuk. Cuma musim sejuk ni saya buat-buat 'degil', tak mahu tambah waktu jam-jam di rumah, kononnya lebih selesa dengan waktu lama.

Disebabkan 'kedegilan' saya itu, saya telah menerima padahnya semalam. Ceritanya, program usrah UMI dijadualkan pada jam 7 malam. Isteri saya dari awal-awal sudah menyiapkan anak-anak dan barang-barang yang nak dibawa. Beberapa kali dia mengajak saya pergi awal, kena tepati masa dan malu katanya kalau sampai waktu semua orang sudah berkumpul. Hanya saya yang terasa sedikit malas. Saya berdalih "Kalau kita pergi awal pun, orang lain datang lewat jugak". Sikap yang langsung tak boleh diteladani! Sepatutnya kita yang merubah keadaan, bukannya kita yang 'terubah' dengan keadaan! Kalau semua berpendapat sedemikian, sampai bila-bila pun perangai datang lewat ini akan terus menjadi budaya dan kebiasaan.

Kami keluar dari rumah 45 minit selepas azan maghrib. Kerana menyangka waktu sudah pukul 7 lebih, kami memilih untuk menaiki tramco untuk ke tempat pertemuan walaupun asalnya ingin berjalan kaki sahaja. Sampai di rumah yang dijanjikan, keadaan masih sunyi. Depan rumah gelap kerana lampu luar belum terpasang. Kasut diluar rumah hanya dua pasang yang saya fikir milik tuan rumah suami isteri. Bila pintu rumah dibuka, kami diberitahu yang kami adalah orang paling awal sampai. Rasa bangga dalam hati. Tapi bangga tu tak tahan lama dan saya ketawa besar sebagai mentertawakan kesilapan sendiri apabila diberitahu tuan rumah yang jam baru menunjukkan pukul 6.30 malam. Inilah padahnya kerana degil!

Dari peristiwa tu, saya dapat pengajaran. Saya mesti menerima realiti. Kerana itu hari ini jam-jam di rumah saya telah diubah waktunya. Sampai bila lagi saya mahu berkeras mempertahankan 'kedegilan' saya itu,

Sebut tentang 'terima realiti', saya ada menerima mesej ym dari seorang sahabat di Kaherah yang menjadi orang kuat Keluarga Penuntut Terengganu (KPT). Mesejnya sebagaimana di bawah:

Mesej 1:
mat yie (22/10/28 02:51:43 ã): assalamualaikum.... untuk makluman, hari sabtu ni (3/11/07) ijtima' HEWI kpt dan ahad (4/11/07) MAT (Mesyuarat Agung Tahunan). masa 8.00 pagi. tempat, setakat ni di dewan rumah terengganu hayyu asyier, tp mungkin berlaku perubahan, sbb permohonan guna dewan masih blum diluluskan. yyan (yayasan) trg janji nk beri jawapan petang ni. kalau tk dapat mungkin buat di rumah kelantan. mintak maaf krn tergesa2. sebarang kesulitan amat2 dikesali. sila sebarkn kpd semua mutazawwijin trg di alex, trima kasih. salam

Mesej 2:
mat yie (22/10/28 03:04:06 ?): assalamualaikum.... Ijtima' HEWI dan MAT KPT akan diadakan di rumah Kelantan Baru di hayyu sabie. Jam 8.00 pagi start perasmian. pengangkutan disediakan dari hayyu asyier seawal jam 7.00 pg (bayar sendiri). buku MAT dan Buku laporan kewangan tahunan akan diedar semasa MAT nanti. harap maaf di atas segala kesulitan dan kelewatan yg brlaku. salam.

Saya tak pasti kenapa tempat itu akhirnya ditetapkan di rumah Kelantan. Adakah kerana tidak mendapat kebenaran Yayasan Terengganu (jika difahami dari mesej pertama begitulah kesimpulannya) atau sebab-sebab lain. Saya cuba menghubungi sahabat di Kaherah untuk mendapatkan kepastian tetapi gagal.

Andai itulah sebabnya, saya tidak terperanjat. Kerana sebelum-sebelum ini pun, KPT telah banyak kali cuba dinafikan haknya. Sebelum ini dijanjikan pejabat di bangunan asrama tetapi sampai sekarang hanya tinggal janji. Program-program amat sukar untuk mendapat kebenaran jika ingin diadakan di asrama sehingga ada yang terpaksa dibatalkan. Ketika kedatangan MB Terengganu baru-baru ini, langsung tidak disebut nama KPT (sedangkan saya difahamkan yang kuat bekerja ialah pimpinan-pimpinan KPT juga). Baru-baru ini ada ditubuhkan persatuan baru, Ulul Albab , dengar-dengarnya sebagai pengganti KPT.

Nasihat untuk diri saya sendiri dan sesiapa jua yang rasakan dirinya hamba Allah yang sentiasa melakukan kesilapan dan patut menerima nasihat, terimalah realiti. Realitinya, KPT ialah wadah yang dipilih oleh anak-anak Terengganu di sini. Realitinya tiada sebab untuk menidakkan kewujudan KPT. Realitinya program-program dan majlis-majlis anjuran KPT berfaedah dan memberi manfaat kepada kami semua. Atas sebab apa lagi KPT ingin di hapuskan?

Saya tidak dapat melihat alasan yang lebih jauh melainkan alasan politik! Tetapi adakah alasan itu berasas? Selama ini KPT tidak pernah cenderung kepada mana-mana pihak atau parti. Setiap pimpinan yang datang akan dilayan dengan sebaik-baiknya dan diberi ruang seluas-luasnya untuk beramah mesra dengan pelajar. Program-program yang dianjurkan tidak berbentuk politik, semuanya ilmiah dan bersifat akademik serta memupuk persaudaraan. Jadi di mana salahnya?

Lagipun, apa salahnya mahasiswa berpolitik?


Mahasiswa Dan Politik.

Isu ini mungkin bagi sesetengah pihak terlalu menggerunkan untuk dibincangkan. Apatah
lagi seringkali mahasiswa diugut dan diberi amaran agar tidak terlibat dengan politik. Pelbagai akta dan peraturan digubal untuk memisahkan mahasiswa dari politik.

Kita perlu mempunyai kefahaman yang jelas mengenai politik. Kita jangan takut dengan bayang-bayang sehingga semua yang berkaitan dengan politik dianggap kotor dan semua
yang berkaitan dengan pembangkang dianggap berbahaya.

Memang ada perbezaan antara politik dengan parti politik, antara isu politik dengan isu parti politik, antara politik kepartian dengan politik non-kepartian dan antara politik partisan dengan politik non-partisan. Ini hanyalah sebahagian daripada ilmu politik.

Ilmu politik adalah sebahagian daripada disiplin yang perlu didedahkan kepada mahasiswa. Ia memerlukan pendidikan politik.

Golongan mahasiswa mewakili golongan muda yang enlightened - berilmu kerana mendapat peluang pendidikan di menara gading, disamping memiliki darah muda yang berani, idealistik dan tidak dipengaruhi pelbagai kepentingan sebagaimana graduan yang telah lama meninggalkan universiti. Universiti diiktiraf sejagat sebagai pusat ilmu yang terunggul bagi mana - mana masyarakat. Universiti sama ada di Cordova dan Al-Azhar bagi masyarakat Islam, ataupun universiti-universiti di Oxford dan Bologna di Eropah menjadi simbol keunggulan ketamadunan bangsa di mana berdirinya universiti-universiti tersebut.

Namun universiti menjadi simbol keunggulan ilmu dan ketamadunan sesuatu budaya bukanlah kerana menjadi tempat untuk mendapat segulung ijazah semata-mata -universiti mempunyai peranan yang jauh lebih besar. Setiap kali masyarakat memerlukan pimpinan yang berani menyuarakan kebenaran - ketika pihak lain gagal memainkan peranan tersebut secara efektif, mereka akan berpaling kepada golongan pelajar.

`Melayu mudah lupa' kata Dato' Seri Dr. Mahathir. Beliau bersama hampir keseluruhan saf kepimpinan negara kebanyakkannya dahulu pernah terlibat dengan aktivisme mahasiswa.
Ketika menuntut di Singapura, beliau sering menulis di dalam akhbar membicarakan isu-isu yang hampir dengan bangsa Melayu, dengan menggunakan nama samaran Che Det. Pada
zaman 60-an dan 70-an - ketika aktivisme siswa seluruh dunia menggelegak dengan semangat dan harapan yang besar di kalangan pejuang-pejuang gerakan pelajar, golongan siswa seringkali menjadi conscience masyarakat apabila pihak lain kelu membisu. Di pentas antarabangsa - nama-nama seperti Daniel Cohn-Bendit dan Abby Hoffman menjadi sebutan ramai kerana keberanian mereka mempersoal tindak-tanduk pemerintah. Gerakan mahasiswa sedunia menjadi antara barisan hadapan perjuangan anti-Perang di barat dan berani mendepani isu-isu masyarakat dengan liberal dan progresif.

Di negara kita, pemimpin mahasiswa seperti Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Adi Satria dan Ibrahim Ali mengisi vacuum yang terhasil dari penyertaan parti-parti pembangkang utama seperti PAS, Gerakan dan Parti Progressif Rakyat (PPP) ke dalam Barisan Nasional. Saf kepimpinan pelajarlah yang berani mendekati rakyat marhaen yang dilupakan, memperjuang nasib sejagat golongan tertindas oleh kuasa-kuasa imperialis dan akhirnya menjadi penggerak kebangkitan Islam di Malaysia. Ketika Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia memecat Dr. Mahathir dari UMNO, gerakan pelajar dan parti pembangkanglah yang memberinya ruang untuk menegakkan keadilan buat dirinya.

Akhirnya kegusaran pihak pemerintah menjelmakan dirinya di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kemudiannya dipinda pula untuk terus melemaskan suara-suara berani para mahasiswa. Persatuan Mahasiswa dirompak kebebasannya - menjadi Majlis Perwakilan Mahasiswa yang tidak lagi berpengaruh dan tidak lagi punya kuasa seperti era
pra-AUKU. Akhirnya kekuatan gerakan mahasiswa sudah lenyap sama sekali.


Sepanjang dekad 80an dan 90an, mana-mana mahasiswa yang agak berani sedikit menghadapi tindakan dibuang universiti. Universiti menyingkirkan suara-suara yang dapat mengembalikan martabat mereka di kalangan masyarakat. Akhirnya, bersama-sama liberalisasi dasar pendidikan negara yang memberi ruang kepada ratusan kolej-kolej swasta yang bermotifkan keuntungan untuk tumbuh di negara, fungsi institusi pengajian tinggi di negara cuma sebagai kilang-kilang untuk menghasilkan makhluk-makhluk konformis, lembik dan sekadar untuk memainkan peranan di dalam ekonomi kapitalis sejagat. Mereka bagaikan android yang tidak tahu berkata `tidak', yang terpisah dari isu-isu masyarakat, malah tidak dapat menghayati keseluruhan falsafah ilmu dan universiti itu sendiri.

Malaysia Dan Negara Lain

Isnin 24 September 2007, Universiti Columbia di New York mengundang Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berceramah kepada sekumpulan pelajar dan pensyarahnya.
Seperti dijangka, pelbagai pihak di Amerika Syarikat (AS) yang terpengaruh atau bersekongkol dengan Presiden Bush atau mempunyai kepentingan politik tertentu dan menuduh Ahmadinejad dengan perkara yang bukan-bukan mengecam penganjuran ceramah itu, malahan mendesak supaya ia dibatalkan.

Tetapi, ceramah itu tetap diadakan. Tidak mengapalah jika Presiden universiti itu, Lee Bollinger, memberikan ucapan pengenalan yang tidak sopan, manakala ucapan Ahmadinejad pula tidak sebaik yang disampaikannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada keesokan harinya.

Yang pentingnya ialah universiti itu berpegang teguh dengan kebebasan akademiknya dalam menganjurkan ceramah membabitkan pemimpin politik yang berhaluan bertentangan dan tidak tunduk kepada tekanan politik dari luar, manakala Ahmadinejad membuktikan keberaniannya berhadapan dengan mahasiswa, apalagi dalam keadaan yang diketahuinya akan menjadi panas baginya.

Ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia. sesetengah universiti kita takut mengundang dan membenarkan pemimpin pembangkang berucap di dalam kampus. Hanya sesekali ada universiti yang berani. Contohnya, pada Ogos 2003, Universiti Utara Malaysia (UUM) membenarkan sebuah forum mengenai pengurusan negara diadakan membabitkan pemimpin Pas, Datuk Husam Musa (ketika itu Ahli Parlimen Kubang Kerian) bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Nazri Aziz (ketika itu Menteri Pembangunan Usahawan).

Alasan untuk tidak membenarkan pemimpin pembangkang berucap di kampus ialah bimbang mahasiswa akan terpengaruh. Persoalannya, adakah mahasiswa semudah itu untuk dipengaruhi? Kalau begitu, jangan benarkan pemimpin pembangkang itu berucap seorang. Sebaliknya, adakan dalam bentuk debat. Undanglah pemimpin kerajaan untuk berdebat dengannya.

Banyak sebenarnya usaha-usaha yang dilakukan untuk memenjarakan kebebasan mentaliti dan idealisme mahasiswa. Antaranya yang dapat kita perhatikan pada pilihanraya-pilihanraya kampus. Mereka hanya diberikan dua pilihan sama ada mahu menjadi kumpulan Aspirasi yang dikuasai oleh Umno atau kumpulan yang didakwa propembangkang.

Di sinilah juga mereka berhadapan dengan situasi yang kacau apabila proses pilihan raya itu ditekan dan dicengkam sehingga matlamat sebenar mahu melahirkan pemimpin mahasiswa berwibawa dan bertanggungjawab hilang di celah-celah hiruk-pikuk emosi kepartain.
Seolah-olah yang hanya dibenarkan ialah aliran pemikiran yang selari (sebenarnya yang mengampu) dengan politik pemerintah. Siapa jua yang cuba menyanggah akan dilabelkan sebagai propembangkang yang perlu perlu dikalahkan.

Demikian juga berlaku di Mesir. Persatuan pilihan pelajar disingkirkan dan dianggap pro pembangkang. Dulu anak-anak Selangor mempunyai Badan Kebajikan Anak-Anak Selangor Mesir yang kini hanya tinggal nama. Dan kini KPT mungkin menerima nasib yang sama.

Kembalilah Kepada Realiti.

Menara gading dilihat sebagai pusat pendidikan yang lengkap dan holistik, bukan tempat lahirnya pelajar yang lemah, lesu dan gagal memperjuangkan agenda yang lebih besar
bagi manfaat ramai. Universiti menjadi jambatan antara alam remaja seseorang dan alam dewasanya - sekurang-kurangnya untuk majoriti mahasiswa. Maka sekiranya mahasiswa terus dilayan sebagai pelajar sekolah dengan pelbagai sekatan dan peraturan yang langsung tidak kena dengan kematangan yang dimilikki mereka, masa hadapan negara akan menjadi gelap. Tradisi kepimpinan untuk masa akan datang tidak dapat diwariskan dengan sempurna kepada pengganti-pengganti yang mampu. Disinilah potensi bakal pewaris kepimpinan negara akan dapat digilap dan dilihat oleh masyarakat.

Masih banyak potensi bakal kepimpinan negara dan bangsa berada di kampus-kampus samada dalam mahupun luar negara. Sayang sekali, mereka yang dapat bersuara, yang dapat mendepani pelbagai isu dicantas tanpa belas kasihan, untuk survival politik pihak-pihak tertentu. Di dalam era globalisasi ini, sekiranya kita gagal melahirkan mahasiswa yang berkualiti, berkepimpinan dan berfikiran terbuka dan kritis, maka kita tidak dapat bersaing di dalam arus semasa; dan akhirnya akan ketinggalan. Usah dipermainkan kematangan mahasiswa. Mereka bukan kanak-kanak kecil lagi. Layanilah mereka sebagai orang dewasa yang bertanggungjawab. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka sudah berhak untuk menentukan kepimpinan negara dan dasar-dasar negara menerusi penglibatan di dalam Pilihanraya. Maka tidak ada salahnya mereka untuk punyai pendapat yang tidak sehaluan dengan pihak kerajaan. Tidak sependapat bukanlah satu kedurjanaan kepada negara, tetapi rahmat buat semua.

Baju free yang saya terima ketika Majlis Perasmian Asrama Darul Iman Kaherah Mesir ada tertulis slogan yang selalu dilaung-laungkan oleh kerajaan Terengganu iaitu "MEMAHAT SEJARAH MENCIPTA TAMADUN". Buktikan slogan itu. Jangan pula ketika kita mendabik dada sambil mendakwa negara kita telah maju, mentaliti kita lebih teruk dari rakyat negara dunia ketiga!

Doa saya semoga KPT terus thabat dan kukuh..

Rujukan :

PERANAN MAHASISWA, POLITIK DAN IDEALISME
oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, Unit Pendidikan Politik - IKD.

Perspektif: Kampus medan terbaik debat politik
Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis
Belia Malaysia (1998-2002)

1 comments:

Monica Patricia said...

Situs Penyedia Layanan Sepak Bola Terbaik Sbobet Dan Bonus Member Baru Yang Besar, Agen Sepak Bola Sbobet Maxbet Yang Memberikan Pelayanan 24 Jam Nonstop, Bandar Judi Sepak Bola Sbobet Yang Di Dukung Oleh Bank Dengan Pelayanan CS Yang Ramah dan 24 Jam Nonstop, Penyedia Jasa Pembuatan ID Sbobet Judi Sepak Bola Yang Terkenal Dan Memiliki Grafis YangBagus, dan Kemudahan Dalam Bermain Dan Keamanan Saat Bertransaksi

Agen Sepak Bola Online

bonus besar Sepak Bola

Bandar judi Sepak Bola

Agen Sbobet Judi Bola

Judi Sepak Bola Terbaik

Agen Judi Online

Bandar judi ikan

Agen sabung ayam

judi sabung ayam

judi tembak Ikan

Agenjudi tembak ikan terbaik