Tuesday, July 31, 2007

Hukum Menyentuh Perempuan

Sudah lama saya berhasrat untuk menulis berkenaan tajuk ini. Malangnya keterbatasan ilmu dan masa menyebabkan hasrat itu sering tertangguh. Akhirnya saya terjumpa artikel ini dalam Tranung Kite Online. Bagi saya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang ditarjihkan di dalam artikel ini. Cuma saya ingin mendengar pendapat sahabat semua. Sudi-sudilah memberi komen.

Bimillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamiin, wabihi nasta’in.

 Muqaddimah: Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga terdekat yang haram dinikahi dan isteri) dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw:

لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد، خير له من أن يمس امرأة لا تحل له


Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. [HR At-Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921] Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri, adakah batal wudhu’ atau tidak?


Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang masyhurnya adalah tiga:

1) Pendapat pertama: Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wudhu’, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak.

Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar م . mazhab Syafei, mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain . Dalil dan hujah mereka; firman Allah:[أو لامستم النساء]

Maksudnya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan”. [An-Nisa’: 43].Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: “Al-Lams” iaitu sentuhan.

Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar:

Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan tangan adalah dikira “mulamasah”, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wudhu.” [Riwayat Imam Malik di dalam Al-Muwatta’].

Maka Imam Syafei menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wudhu’ dengan sebab itu. [Al-Umm: 1/63].

Manakala tentang hadis-hadis yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (ada di bawah ini), mazhab Syafei menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah saw sahaja.


2) Pendapat kedua: Tidak terbatal wudhu’ dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Sufyan Ath-Thauri.

Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wudhu’, kecuali dengan berjimak.

Dalilnya:

1) Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur di hadapan Rasulullah saw yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”. [HR Al-Bukhari : 382] .

2) Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wudhu’nya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah ra. Maksudnya: “Pada suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki Baginda ketika Baginda sedang sujud”. [HR Muslim: 486].


3) Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.” [HR Ahmad: 6/260, An-Nasa’ei: 166. Sahih.]


4) Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw mengucup salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda tidak pula mengambil wudhu”. [H.R Ahmad No. 25766, Abu Daud: 179. Sebahagian ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadis ini sahih, tetapi ramai juga yang mengatakan hadis ini dhaif].


Para ulama’ di kala menghuraikan hadis ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wudhu’; kerana sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi saw tidak pula memperbaharui wudhu’nya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra..”.

Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah tidak batal wudhu’, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat.


3) Pendapat ketiga: Bersyarat, iaitu terbatal wudhu’ jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wudhu’. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk MadinahPendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wudhu’.

Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wudhu’. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.


Kesimpulan: Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafei sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wudhu’. Sedangkan Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.

Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan wudhu’ ialah yang menimbulkan keinginan syahwat.

Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat jumhur yang mengatakan tidak batal wudhu’ dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra (Turjuman Al-Quran dan Habrul Ummah) dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir].

Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah saw dan Aisyah adalah dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: “Satu hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun secara umum kemudian dinukil oleh jenerasi umat ini…

Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wudhu’ kerana bersentuh dengan perempuan… kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wudhu’ kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74]Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, adalah lebih baik baginya untuk memperbaharui semula wudhu’nya, sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian ulama’..


Wallahua’lam.Akhukum:

Abu Anas Madani.
Sungai Durian,
19 Jun 2007.
http://www.abuanasmadani.com/

Rujukan:
1. Al-Majmu’, Imam An-Nawawi. 2/26-38.2. Fiqh At-Toharah, Al-Qardawi, 179-183.3. Syarh Bulughul Maram, Dr Salman Al-Audah, 2/821-827.4. Taudhih Al-Ahkam, Al-Bassam, 1/231-232.5. At-Tarjih fi masail At-Toharah wa As-Solah, Dr. Mohd Umar Bazamul.

Taman Ilmu Islam Ditutup Sementara

Atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan, Taman Ilmu Islam terpaksa ditutup buat sementara waktu. Insya Allah kami akan kembali dalam masa yang terdekat.

Maaf atas kesulitan.

Monday, July 30, 2007

Khabar dari Forum Taman Ilmu Islam

Alhamdulillah semalam forum menerima seorang lagi ahli. Setakat ini dah lima orang. Anda bila lagi?

Dan ada satu topik perbincangan dimasukkan memerlukan komen dan pendapat saudara-saudara semua. Saudara boleh klik di sini

Sudi-sudilah register sebagai ahli forum...

Sunday, July 29, 2007

Berusahalah Menjadi 'Doktor'

Seorang sahabat saya pernah membandingkan antara belajar di Mesir dan Madinah. Katanya " Di Mesir, masa talaqqi dengan syeikh dapat 10 ilmu, bila balik rumah tinggal 1 saja, di Madinah belajar dapat 1, bila sampai di rumah 1 itu menjadi 10 " Maksudnya, Mesir menawarkan ilmu-ilmu yang tidak ternilai sehingga dianggap kiblat ilmu, tetapi suasananya yang terpengaruh dengan Barat menyebabkan agak sukar untuk menjaga ilmu yang dicari memandangkan penuntut ilmu perlukan hati yang bersih dari perkara-perkara haram dan maksiat. Berbanding Madinah, sekalipun tidak dianngap sebagai kiblat ilmu sepertimana Mesir, tetapi ilmu yang didapati walaupun sedikit menjadi banyak kerana berkat kedudukannya sebagai bumi hijrah, tanah haram dan tempat bersemadinya Rasulullah SAW. Walaubagaimanapun, saya ingin ingatkan sebelum kenyataan ini didebatkan, ia hanyalah jenaka semata-mata.

Saya tiba-tiba teringat jenaka sahabat saya itu ketika saya keluar rumah untuk menunaikan solat Maghrib di masjid. Sebabnya, saya 'terpaksa' berjalan di belakang 2 gadis Arab yang berpakaian mendedahkan susuk badan. Niat ingin melakukan kebaikan tetapi teruji di tengan jalan. Apapun, sebagaimana kata 3 Pendekar Bujang Lapok : "Ujiannnn…"

Bercakap berkenaan ilmu Islam, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan Islam terhadap tamadun ilmu. Bahkan pada Zaman Pertengahan, para intelektual Islam menguasai kesemua disiplin ilmu daripada ilmu berkaitan hukum hakam hinggalah ilmu sains dan teknologi. Semangat yang dihayati daripada Al-Quran dan Al-Sunnah telah menghasilkan para intelektual Islam yang terbilang di dalam bidang kimia seperti Jabir Ibnu Hayyam, ilmu perubatan seperti Ibnu Sina, zoology seperti Al-Asmai, bidang matematik seperti Al-Khawarizmi, bidang sains politik dan perundangan seperti Al-Mawardi, bidang geografi seperti Al-Idrisi, bidang falsafah seperti Al-Farabi, bidang sosiologi seperti Ibnu Khaldun, bidang pembedahan seperti Al-Zahrawi, bidang optik seperti Ibnu Haitham dan lain-lain lagi. Kebanyakan hasil penemuan di dalam berbagai disiplin ilmu tersebut kini telah dikuasai oleh Barat. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada orang-orang Islam untuk menguasainya semula.

Apa yang lebih mengkagumkan, para ilmuan Islam ini tidak meletakkan hanya satu cabang ilmu untuk dipelajari. Mereka bersikap 'ambil tahu' dan mahir di dalam berbagai disiplin ilmu sungguhpun tahap kepakaran dan penguasaan mereka terhadap berbagai disiplin ilmu yang mereka kuasai itu berbeza. Sebagai contoh, Amr Ibnu Bakr al-Jahiz bukan sahaja menguasai ilmu Nahu dan Balaghah bahkan beliau juga menguasai bidang zoology. Ibnu Sina bukan sahaja pakar dalam bidang perubatan malah menguasai ilmu falsafah, matematik dan astronomi. Al-Farabi yang digolongkan sebagai ahli falsafah Islam terbilang turut menguasai bidang sosiologi, mantiq, sains politik dan muzik.

Demikianlah hakikat yang harus dipelajari oleh orang-orang islam sekarang, betapa perlunya kita mempelajari dan menguasai sebanyak mungkin ilmu-ilmu alat di samping tidak mengabaikan ilmu-ilmu wahyu.

Namun kita akur, hal itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Cuma jangan pula kita berputus asa. Paling kurang, pastikan bidang yang kita ceburi benar-benar dikuasai. Bercakap dalam konteks pelajar agama, kadangkala amat menyedihkan kita kerana kita tak mampu untuk mengusai bidang kita sendiri. Sedangkan keberadaan kita di Mesir ini sememangnya menjanjikan peluang yang besar untuk menambahkan ilmu kerana banyak sumber-sumber ilmu yang terdapat di sini.

Kerana itulah saya mengajak saudara semua untuk berusaha menjadi 'doktor'. Maksud saya, cuba saudara perhatikan apabila seseorang doktor merawat penyakit. Dengan mudah dia mengetahui apakah rawatan dan nama-nama ubat yang diperlukan tanpa perlu merujuk mana-mana kitab perubatan. Demikianlah kita sebagai seorang 'doktor' yang merawat kemusykilan masyarakat dan jiwa mereka, sepatutnya ilmu itu telah kita hadam betul-betul dan tidak perlu membelek kitab-kitab apabila ditanya.

Justeru, gunalah umur yang diberi ini untuk tujuan yang sebaik-baiknya. Wasilah ilmu itu pelbagai, sama ada melalui pengajian secara terus dengan syeikh-syeikh, secara bermuzakarah dengan sahabat-sahabat atau melalui pembacaan.Kepesatan teknologi juga seperti internet, komputer, alat-alat komunikasi dan lain-lain sebenarnya meluaskan lagi peluang yang ada. Hanya terpulang kepada kita sendiri untuk menggunakannya kearah kebaikan atau sebaliknya.

Suatu ketika dulu ketika Maharaja Frank (Perancis), Charlemenge hairan dengan tulisan yang diperkenalkan kepadanya, cendekiawan Khalifah Harun al-Rasyid di Baghdad sudah pun mempunyai kepandaian mengukur garisan lintang dan bujur Bumi.

Hari ini keadaan sudah terbalik ibarat dunia yang sentiasa berubah. Ketika orang Baghdad bermati-matian berusaha mendapatkan sesuap makanan disebabkan penjajahan Amerika dan sekutunya, orang –orang Barat sudah ke angkasa lepas dan menjelajah angkasaraya.

Semoga semangat dan usaha kita yang sedikit itu mempunyai saham dalam mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu Islam…

Berusahalah Menjadi 'Doktor'

Seorang sahabat saya pernah membandingkan antara belajar di Mesir dan Madinah. Katanya " Di Mesir, masa talaqqi dengan syeikh dapat 10 ilmu, bila balik rumah tinggal 1 saja, di Madinah belajar dapat 1, bila sampai di rumah 1 itu menjadi 10 " Maksudnya, Mesir menawarkan ilmu-ilmu yang tidak ternilai sehingga dianggap kiblat ilmu, tetapi suasananya yang terpengaruh dengan Barat menyebabkan agak sukar untuk menjaga ilmu yang dicari memandangkan penuntut ilmu perlukan hati yang bersih dari perkara-perkara haram dan maksiat. Berbanding Madinah, sekalipun tidak dianngap sebagai kiblat ilmu sepertimana Mesir, tetapi ilmu yang didapati walaupun sedikit menjadi banyak kerana berkat kedudukannya sebagai bumi hijrah, tanah haram dan tempat bersemadinya Rasulullah SAW. Apapun saya ingin ingatkan sebelum kenyataan ini didebatkan, ia hanyalah jenaka semata-mata.

Saya tiba-tiba teringat jenaka sahabat saya itu ketika saya keluar rumah untuk menunaikan solat Maghrib di masjid. Sebabnya, saya 'terpaksa' berjalan di belakang 2 gadis Arab yang berpakaian mendedahkan susuk badan. Niat ingin melakukan kebaikan tetapi teruji di tengan jalan. Apapun, sebagaimana kata 3 Pendekar Bujang Lapok : "Ujiannnn…"

Bercakap berkenaan ilmu Islam, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan Islam terhadap tamadun ilmu. Bahkan pada Zaman Pertengahan, para intelektual Islam menguasai kesemua disiplin ilmu daripada ilmu berkaitan hukum hakam hinggalah ilmu sains dan teknologi. Semangat yang dihayati daripada Al-Quran dan Al-Sunnah telah menghasilkan para intelektual Islam yang terbilang di dalam bidang kimia seperti Jabir Ibnu Hayyam, ilmu perubatan seperti Ibnu Sina, zoology seperti Al-Asmai, bidang matematik seperti Al-Khawarizmi, bidang sains politik dan perundangan seperti Al-Mawardi, bidang geografi seperti Al-Idrisi, bidang falsafah seperti Al-Farabi, bidang sosiologi seperti Ibnu Khaldun, bidang pembedahan seperti Al-Zahrawi, bidang optik seperti Ibnu Haitham dan lain-lain lagi. Kebanyakan hasil penemuan di dalam berbagai disiplin ilmu tersebut kini telah dikuasai oleh Barat. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada orang-orang Islam untuk menguasainya semula.

Apa yang lebih mengkagumkan, para ilmuan Islam ini tidak meletakkan hanya satu cabang ilmu untuk dipelajari. Mereka bersikap 'ambil tahu' dan mahir di dalam berbagai disiplin ilmu sungguhpun tahap kepakaran dan penguasaan mereka terhadap berbagai disiplin ilmu yang mereka kuasai itu berbeza. Sebagai contoh, Amr Ibnu Bakr al-Jahiz bukan sahaja menguasai ilmu Nahu dan Balaghah bahkan beliau juga menguasai bidang zoology. Ibnu Sina bukan sahaja pakar dalam bidang perubatan malah menguasai ilmu falsafah, matematik dan astronomi. Al-Farabi yang digolongkan sebagai ahli falsafah Islam terbilang turut menguasai bidang sosiologi, mantiq, sains politik dan muzik.

Demikianlah hakikat yang harus dipelajari oleh orang-orang islam sekarang, betapa perlunya kita mempelajari dan menguasai sebanyak mungkin ilmu-ilmu alat di samping tidak mengabaikan ilmu-ilmu wahyu.

Namun kita akur, hal itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Cuma jangan pula kita berputus asa. Paling kurang, pastikan bidang yang kita ceburi benar-benar dikuasai. Bercakap dalam konteks pelajar agama, kadangkala amat menyedihkan kita kerana kita tak mampu untuk mengusai bidang kita sendiri. Sedangkan keberadaan kita di Mesir ini sememangnya menjanjikan peluang yang besar untuk menambahkan ilmu kerana banyak sumber-sumber ilmu yang terdapat di sini.

Kerana itulah saya mengajak saudara semua untuk berusaha menjadi 'doktor'. Maksud saya, cuba saudara perhatikan apabila seseorang doktor merawat penyakit. Dengan mudah dia mengetahui apakah rawatan dan nama-nama ubat yang diperlukan tanpa perlu merujuk mana-mana kitab perubatan. Demikianlah kita sebagai seorang 'doktor' yang merawat kemusykilan masyarakat dan jiwa mereka, sepatutnya ilmu itu telah kita hadam betul-betul dan tidak perlu membelek kitab-kitab apabila ditanya.

Justeru, gunalah umur yang diberi ini untuk tujuan yang sebaik-baiknya. Wasilah ilmu itu pelbagai, sama ada melalui pengajian secara terus dengan syeikh-syeikh, secara bermuzakarah dengan sahabat-sahabat atau melalui pembacaan.Kepesatan teknologi juga seperti internet, komputer, alat-alat komunikasi dan lain-lain sebenarnya meluaskan lagi peluang yang ada. Hanya terpulang kepada kita sendiri untuk menggunakannya kearah kebaikan atau sebaliknya.

Suatu ketika dulu ketika Maharaja Frank (Perancis), Charlemenge hairan dengan tulisan yang diperkenalkan kepadanya, cendekiawan Khalifah Harun al-Rasyid di Baghdad sudah pun mempunyai kepandaian mengukur garisan lintang dan bujur Bumi.

Hari ini keadaan sudah terbalik ibarat dunia yang sentiasa berubah. Ketika orang Baghdad bermati-matian berusaha mendapatkan sesuap makanan disebabkan penjajahan Amerika dan sekutunya, orang –orang Barat sudah ke angkasa lepas dan menjelajah angkasaraya.

Semoga semangat dan usaha kita yang sedikit itu mempunyai saham dalam mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu Islam…

Kisah Harta Berkat Dan Laknat

Saya tertarik dengan posting terbaru Us Zaharuddin dalam lamannnya zaharuddin.net. Jadi saya nak berkongsi dengan sahabat-sahabat semua. Moga dapat faedah darinya.

Kisah Harta Berkat & Laknat

Komentar Oleh

Zaharuddin Abd Rahman
Kisah ini saya petik dari kiriman ahli yahoogroup saya yang paling aktif, saya juga tidak pasti kebenaran kisah ini cuma atas rasa percaya dengan kisah yang diberikan oleh ahli yahoogroups saya dan juga inti ceritanya juga adalah baik dan amat boleh diterima. Saya memetik kisah ini dan memasukkannya ke web ini bagi menjadi tatapan dan difikirkan oleh semua pembaca. Isi kandungannya adalah bertepatan dengan pandangan Islam tentang barakah dalam harta.

Malah kisah yang diutarakan juga ada banyak persamaan dengan ramai orang yang saya kenali. Ada yang bergaji RM 30 sebulan tetapi masih cuba berhutang dengan saya. Hingga saya juga menjadi pelik sedangkan anaknya tidak ramai dan macam-macam lagi. Benar, kita tidak tahu untuk apakah keperluannya dan apakah masalahnya, tapi dengan gaji yang sebesar itu. Mungkin pengurusan kewangan peribadinya tidak cekap atau macam-macam lagi sebab, antara salah satunya adalah tiada keberkatan.


Baca seterusnya...

Friday, July 27, 2007

Permusuhan Yang Tidak Pernah Padam.

Sejarah menyaksikan permusuhan kuffar terhadap Islam tidak pernah padam. Selepas kegagalan mereka dalam 7 siri Perang Salib, mereka terpaksa akur yang Islam tidak akan kalah dengan peperangan bersenjata. Justeru mereka telah mengatur strategi demi strategi untuk menghancurkan Islam. Antara strategi yang di atur oleh mereka:

1. Menghapuskan Pemerintahan Islam

Rancangan ini disusuli dengan gerak kerja sehingga jatuhnya kerajaan Islam Uthmaniah yang terakhir di Turki secara rasmi, tepatnya pada 3 Mac 1924, jam 6.30 pagi.

Seperti mana yang terpahat dalam catatan sejarahnya, pada abad ke-16 Turki merupakan sebuah kerajaan Islam yang terbesar menguasai dan memerintah Jazirah Arab hingga ke sempadan Eropah iaitu Afrika Utara dan Morocco serta sebahagian negara-negara Eropah barat yang terkenal sekarang dengan nama Romania, Bulgaria, Yunani, Yugoslavia dan Hungary. Mereka menjadikan Laut Hitam dan Laut Mediterranean sebagai lautan Islam malah ketua-ketua negara digelar Khalifah. Pada ketika itu kerajaan Bani Uthmaniah amat ditakuti oleh negara-negara Eropah dan kaum Masihi barat.

Sekalipun pemimpin Bani Uthmaniah ketika itu leka dan lalai hingga tenggelam dalam lautan kemewahan hidup, dan telah mabuk dengan segala macam kesenangan dan kenikmatan duniawi, tetapi musuh-musuh Islam tetap bimbang jika kerajaan Uthmaniah bertukar menjadi kerajaan Islam yang sebenar. Peluang keemasan mereka tiba apabila kerajaan Uthmaniah dan sekutunya Jerman kalah dalam Perang Dunia Pertama yang membawa jatuhnya daerah-daerah kerajaan Islam satu persatu ketangan penjajah Barat, sehingga diadakan perjanjian damai yang terkenal dengan persidangan Luzan. Dalam perjanjian itu, Inggeris telah mensyaratkan beberapa syarat kepada kerajaan Turki, jika mahu daerah-daerah yang dijajahnya dikembalikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Hapuskan Khilafah Islamiyah dan Khalifah mesti diusir dari Turki.

2.Turki mesti membasmi semua gerakan yang dilaksanakan oleh penyokong-penyokong khalifah.

3. Turki mesti memutuskan hubungan dengan Islam.

4. Turki dipaksa mengambil satu perlembagaan moden Barat bagi menggantikan perlembagaan yang berlandaskan Islam.

Segala syarat-syarat ini telah dilaksanakan oleh anak didik Barat, Kamal Atatturk. Sebagai ganjarannya, Inggeris telah memerdekakan daerah-daerah yang dijajah.

Apabila beberapa pihak mempersoalkan kenapa Britain memberikan kemerdekaan kepada Turki, Lord Curzon, Menteri Luar British dengan tegasnya menyatakan di hadapan House of Commons

"Kita mesti hapuskan apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada penyatuan di kalangan umat Islam.Memandangkan kita telah berjaya menghancurkan Khilafah, jadi kita mesti pastikan yang umat Islam tidak akan bersatu kembali, samada secara intelektual atau kebudayaan… Faktanya sekarang adalah bahawa Turki telah mati dan ia tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan ruhnya (iaitu) Islam dan Khilafah."

2. Menghapuskan Quran dan memisahkannya dari umat Islam.

Musuh menyedari bahawa Quran merupakan sumber kekuatan bagi umat Islam. Jika dibiarkan mereka mendekati Quran, umat Islam akan kembali kepada kekuatan dan peradaban mereka.

Gladstone, Perdana Menteri Britain dalam satu persidangan Parlimen sambil memegang Al-Quran di tangan kiri berkata; “Selagi kitab ini masih berada (di dalam jiwa umat Islam), maka selama itulah Barat tidak akan berjaya menguasai Timur dan Barat tidak akan aman.”

Berkata pemerintah Perancis di Algeria dalam satu majlis meraikan 100 tahun penaklukan Algeria : "Kita mesti menghapuskan Quran dan bahasa Arab dari mereka agar kita dapat mengalahkan mereka."

3. Merosakkan akhlak orang Islam, pemikiran dan hubungan mereka dengan Allah.

Berkata Samuel Zwemer, Ketua gerakan Kristianisasi dalam Muktamar Quds yang diadakan pada tahun 1935:

"Misi kristianisasi di Negara-Negara Muhammadiyyah (Negara-Negara Islam) bukanlah untuk mengkristiankan mereka, kerana itu merupakan hidayah dan kehormatan buat mereka.

Tetapi misi sebenar ialah untuk mengeluarkan Muslim dari Islam sehingga menjadi makhluk yang tiada hubungan dengan Allah, dengan demikian hilanglah ciri akhlak yang merupakan pegangan umat-umat dari mereka. Dengan usaha ini, kamu telah menjadi pelopor kemenangan dalam penjajahan Negara-Negara Islam. Kamu telah berjaya mempengaruhi pemikiran mereka sehingga mereka menerima dan melaksanakan segala perancangan untuk mengeluarkan mereka dari Islam. Kamu membentuk satu generasi yang tidak mempunyai hubungan dengan Allah dan mereka pula tidak mahu mengenaliNya, kamu mengeluarkan mereka dari Islam dan tidak memasukkan mereka ke dalam Kristian, dengan itu jadilah mereka satu generasi yang diingini oleh penjajah yang tidak mengambil berat perkara-perkara penting, suka bersenang-senang, bersifat malas dan memburu hawa nafsu dengan apa cara sekalipun. Sehingga jadilah nafsu (syahwat) itu tujuan hidup mereka, apabila mereka belajar tujuannya adalah untuk nafsu, mengumpulkan harta untuk nafsu dan mendapat kedudukan tinggi juga untuk nafsu…mereka mengorbankan segala-galanya untuk nafsu. Wahai pengerak-pengerak kritianisasi; misi anda telah berjaya dengan sempurna!"

Beliau juga pernah berkata dalam bukunya 'Serangan Ke Atas Alam Islami' :

"Bagi peradaban Barat, kristianisasi mempunyai dua ciri; Meroboh dan membina.

Meroboh maksudnya mengeluarkam Muslim dari agamanya, sekalipun dia menjadi seorang Atheis (tidak beragama)

Adapun membina maksudnya mengkristiankan Muslim sehingga menjadi penolong Barat menghadapi kaumnya."

4. Meroboh kesatuan umat Islam.

Berkata Simon: "Sesungguhnya kesatuan berdasarkan Islam menghimpun cita-cita umat Islam dan membantu untuk bebas dari penguasaan Barat. Kristianisasi merupakan cara penting untuk memecahkan gerakan ini. Kerana itu, kita mesti menggunakan kristianisasi untuk memalingkan Umat Islam dari kesatuan Islam."

Dan mereka sentiasa bimbangkan Umat Islam bersatu kembali. Ini jelas dari tulisan Arnold Twinby dalam bukunya 'Islam, Barat dan Masa Depan': "Sesungguhnya kesatuan Islam sedang tidur, tetapi kita mesti meletakkan dalam perkiraan kita bahawa yang tidur itu barangkali akan terjaga."

Demikianlah antara bentuk-bentuk serangan yang sedang dihalakan kepada Umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Persoalannya, adakah kita telah termakan racun ini atau yang lebih buruk menjadi alat mereka untuk menjayakan misi jahat mereka? Atau kita menjadi orang yang sedar dan berhati-hati, serta mengatur serangan balas terhadap mereka?

Saidina Abu Bakar pernah menyatakan: "Adakah Islam akan mundur sedangkan aku masih hidup?"

Semoga kata-kata itu meniupkan semangat ruh jihad dalam diri kita!

Rujukan :

قادة الغرب يقولون: دمروا الإسلام أبيدوا أهله
Abdul Wadud Yusuf

Thursday, July 26, 2007

Catatan Ringkas Berkenaan Isra' Dan Mikraj



1. Maksud Isra' ialah Perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Adapun Mikraj ialah peristiwa Rasulullah diangkat ke langit ke tujuh dan sampai ke satu tempat yang tidak pernah sampai kepadanya mana-mana makhluk sama ada malaikat, manusia atau jin. Semua ini berlaku dalam satu malam.

2. Berlaku kekhilafan berkenaan tarikh berlakunya Isra' Mikraj, adakah ia berlaku pada tahun ke-10 dari kebangkitan baginda atau selepasnya. Menurut Ibnu Saad ia berlaku 18 bulan sebelum hijrah.

3. Isra' Mikraj berlaku dengan ruh dan jasad baginda.

Berkata Imam Nawawi dalam Syarah Muslim:

" والحق الذي عليه أكثر الناس ومعظم السلف وعامة المتأخرين من الفقهاء والمحدثين والمتكلمين أنه أسري بجسده، والأثار تدل عليه لمن طالعها وبحث عنها، ولا يعدل عن ظاهرها إلا بدليل ولا استحالة في حملها عليه فيحتاج إلى تأويل."

Pendapat sebenar yang dipegang oleh kebanyakan manusia, sebilangan besar salaf dan keseluruhan golongan terkemudian dari fuqaha', ahli hadis dan ahli tauhid bahawa baginda diisra'kan dengan jasadnya. Ini ditunjukkan oleh riwayat-riwayat athar dan tidak boleh berpaling dari zahirnya melainkan dengan dalil dan ia bukanlah perkara mustahil sehingga perlu ditakwil.

Demikianlah juga apa yang disebut oleh Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul Bari.

Antara dalil kuat yang menyokong pendapat ini ialah reaksi Musyrikin Quraisy apabila mendengar peristiwa ini. Mereka menjadi gempar, merasa takjub dan dengan segera mendustakannya. Secara logiknya, jika peristiwa ini berlaku secara mimpi, ia tidak akan menerima reaksi yang sebegitu kerana mimpi adalah perkara biasa dan apa sahaja boleh berlaku dalam mimpi.

Dan jika ia hanyalah satu mimpi, tentulah orang musyrikin tidak mencabar Nabi untuk menerangkan sifat-sifat Baitul Maqdis, jumlah pintu dan tiang serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan masjid tersebut. Ini menunjukkan bahawa apa yang difahami mereka ialah Rasulullah mengalami peristiwa ini dalam keadaan jaga dengan ruh dan jasad baginda.

4. Antara hikmah berlakunya Isra' dan Mikraj ialah untuk menghiburkan hati Nabi SAW. Jika dikaji sirah baginda, di dapati bahawa sebelum berlaku mukjizat agung ini, Rasulullah menghadapi tentangan hebat dari pihak Musyrikin Quraisy, terutamanya selepas meninggalnya dua penyokong kuat baginda, iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Thalib. Kemuncaknya ialah tentangan yang dialami oleh Rasulullah di Toif sehinggakan baginda dilempar batu yang telah melukakan kedua kakinya yang mulia.

Di tengah-tengah situasi ini, Allah menjemput Baginda dalam peristiwa Isra' dan Mikraj untuk memuliakan serta menguatkan semangat dan keazaman Baginda. Dan ia menjadi dalil bahawa apa yang dialami oleh Rasulullah dari kaumnya bukanlah disebabkan Allah Taala tidak mempedulikannya atau Allah murka kepadanya, tetapi ia merupakan sunnah Allah kepada kekasihNya dan seterusnya sebagai sunnah perjuangan dakwah Islam sepanjang zaman.

5. Simbolik dari peristiwa Isra' ke Baitul Maqdis :

- Bukti kemuliaan Baitul Maqdis di sisi Allah Taala

- Menunjukkan pertalian yang kukuh antara risalah Nabi Isa dan Nabi
Muhammad.

6. Pagi selepas belakunya Isra' Mikraj, Jibril datang berjumpa baginda dan mengajar cara-cara dan waktu solat. Sebelumnya, Rasulullah bersolat 2 rakaat pada waktu pagi dan petang sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

7. Apabila diceritakan kepada Saidina Abu Bakar berkenaan mukjizat ini, beliau tanpa ragu-ragu lantas berkata :

"إن كان فال ذلك لقد صدق، إني لأصدقه على أبعد من ذلك"

"Jika baginda telah menyatakan demikian, benarlah baginda. Aku mempercayainya (sekalipun dia menyatakan) lebih dari itu"


Rujukan:
Feqh As-Sirah An-Nabawiyyah
Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti

Monday, July 23, 2007

Bicara Ummi : Anak Sebagai Ujian



Alhamdulillah,hari ini genap sebulan tempoh pertapaan penulis di rumah sendiri (pantang) setelah selamat melahirkan anak kedua 25 Jun lalu.Pun begitu,penulis tidak begitu berminat untuk keluar rumah memandangkan lenguh2 badan masih lagi terasa.Cuma naluri untuk makan pelbagai makanan pantang sudah tidak dapat dikawal.

Sepertimana sahabat-sahabat yang senasib,fatrah seumpama ini merupakan satu tempoh yg agak lama untuk dihabiskan.Banyak masa dihabiskan bersama bayi baru dan ahli keluarga yg lain.Kekadang mengundang pelbagai emosi dan mainan perasaan yg sukar ditafsir lantaran diri dalam keadaan 'kotor',letih dan sebagainya.Hanya pergantungan dengan Allah shj yg mampu mengontrol semua dugaan ini.

Antara dugaan yg mungkin semua orang lalui ialah nikmat anak sebagai ujian.Perlu disedari bahawa hakikat kehadiran anak ke dunia ini kadangkala sbg penghibur hati,sbg perhiasan dunia,sbg musuh dan yg pastinya sbg ujian kepada ibubapa...sejauhmanakah kesabaran,kesungguhan dan kewibawaan mereka dlm mendidik anak2 sebagaimana yg dikehendaki syariat.Mereka yg belum memiliki anak mungkin tidak akan merasai semua ini.

Sedari kecil hinggalah besar pelbagai ragam anak yg kita hadapi.Yg kecil dgn perangainya dan yg besar dgn kerenahnya.Tidak cukup dgn itu,ditambah pula dengan penyakit2 yg boleh memeningkan kepala serta meresahkan si ibu dan ayah.Ujiaaan...Inilah salah satu hikmah perkahwinan,dapat merasai susah senang bersama.Kata orang,yang ringan dijinjing,yang berat sama2 dipikul.Seronok bukan?

Apa yang ingin penulis highligtkan di sini,setiap apa yang Allah takdirkan kepada kita bukanlah satu perkara yg sia2 dan berlalu begitu sahaja.Setiap ujian yang diturunkan mgkin bersamanya teguran langsung dari Allah sbg satu bukti sayangnya Allah kpd hambaNya.DiperingatkanNya didunia lagi sblm menerima hukuman di akhirat.Justeru,pabila si anak meragam,tak dengar cakap dan sebagainya yang boleh menaikkan darah kita.usah cepat melenting sebaliknya cuba2lah bertenang terus koreksi diri.Adakah kita terlalai dgn Allah atau sesama makhlukNya?Tanggungjawab kita sebagai seorang suami,isteri,anak...dan lain2 sudahkah ditunaikan? Adakah dosa2 kita yg belum lagi disusuli dgn taubat? Dan pelbagai lagi yg boleh dipersoalkan dan dimuhasabah.

Pendek kata,seorang mukmin sepatutnya sentiasa melazimi muhasabah diri.Tak perlu tunggu peringatan dari Allah.Bukankah Nabi Muhammad s.a.w beristighfar 70x sehari walaupun baginda ma'sum dari dosa yang akan dtg? Apatah lagi kita yg sering diselaputi dosa.

Konklusinya,ingatlah bahawa anak adalah amanah dr Allah.Setiap ujian yg datang anggaplah ia sebagai satu peluang untuk meraih pahala berganda drNya.Dan sememangnya ujian itu Allah datangkan untuk menguji siapakah antara hamba2Nya yg benar2 beriman.Perangai anak kdgkala menjadi cerminan ketaqwaan kita kpd Allah.

Mudah-mudahan anak soleh dan solehah yg menjadi idaman semua mampu kita lahirkan.Semoga apa yg ditulis memberi manfaat kpd diri penulis sendiri juga org lain.Cermin,cerminlah diri kita sentiasa...

Tambahan Menu Forum



Baru-baru ini ada seorang sahabat bertanya pendapat saya berkenaan satu video dalam youtube. Kerana itu saya terfikir youtube kini sudah menjadi satu sumber maklumat. Dan rasanya mungkin ada antara sahabat-sahabat yang pernah menjumpai video-video menarik yang ingin dikongsi bersama. Jadi saya sudah buka satu menu baru dalam Forum Taman Ilmu Islam iaitu menu Cyber Cafe. Saudara boleh post link-link youtube, download video/audio, lama-laman web, blog dan lain-lain yang ingin saudara kongsi dengan sahabat-sahabat yang lain.


Alhamdulillah, semalam kami telah menerima seorang lagi ahli berdaftar. Moga-moga laman ini akan terus meriah dengan kehadiran ahli-ahli baru.

Laman juga telah berubah wajah. Dan ada beberapa artikel baru telah dimasukkan. Saudara boleh klik di sini untuk memasuki laman.

Sunday, July 22, 2007

Anda ialah apa yang anda inginkan.

Saya mula meminati syair-syair arab ketika saya menuntut di peringkat thanawi di sekolah lama saya, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin. Cuma minat itu tenggelam timbul dan tidak berterusan. Pernah suatu ketika, ketika minat memuncak, saya menyelongkar kitab-kitab dan majalah-majalah arab semata-mata untuk mencari syair dan menulisnya dalam buku khusus. Setiap kali berpeluang untuk berucap di hadapan khalayak, sedaya upaya saya cuba menyelitkan serangkap dua syair. Dan setakat pemerhatian saya, ianya formula yang berkesan dalam menarik perhatian pendengar. Sehinggakan pernah seorang sahabat bertanyakan saya bagaimana cara-cara untuk memahami syair (walaupun sebenarnya saya juga tidak mampu untuk memahami bahasa syair yang begitu puitis dan simbolik)kerana melihatkan minat saya kepada syair.

Maaf jika anda merasakan catatan saya di atas terlalu peribadi. Apa yang ingin saya kongsi dengan sahabat-sahabat di sini, satu syair yang begitu menarik minat saya. Jika diikutkan hati, ingin diulang-ulang syair ini tiap kali berucap kalau tidak kerana bimbangkan jemu pendengar. Syair itu ditulis oleh Ahmad Syauqi yang berbunyi:

دقات قلب المرء قائلة له إن الحياة دقائق وثواني
فارفع لنفسك بعد موتك ذكراها فالذكر للإنسان عمر ثاني

Degupan jantung seseorang itu berbicara kepadanya
Sesungguhnya hidup itu (sementara seumpama) minit2 dan saat2
Tinggikanlah sebutan manusia kepada dirimu selepas matimu
Sebutan (orang ) itu umur kedua (bagi orang bagi yang disebut )


Apa yang saya sukakan pada syair ini, 'semangat' yang ia cuba terapkan pada manusia. Permulaannya diterangkan hakikat kehidupan adalah sementara seumpama minit-minit dan saat-saat. Saudara mungkin berkata, saya mungkin hidup 20, 30 atau 100 tahun lagi. Benar, tetapi jika ditoleh ke belakang, 10 atau 20 tahun yang dilalui seakan-akan minit-minit dan saat-saat yang berlalu. Demikianlah juga halnya apabila saudara telah berada 20,30 atau 100 tahun yang akan datang.

Di sini, Ahmad Syauqi telah 'merentap' semangat manusia untuk terus hidup. Apalah yang ingin direbut dalam minit-minit dan saat-saat yang sedikit. Akan tetapi manusia yang berjiwa besar akan memahami hidup manusia tidak terhenti dengan hentinya nafas. Tetapi hidup itu mempunyai makna yang lebih luas. Itulah 'semangat' yang cuba diterapkan oleh beliau dalam rangkap seterusnya:

فارفع لنفسك بعد موتك ذكراها فالذكر للإنسان عمر ثاني
Tinggikanlah sebutan manusia kepada dirimu selepas matimu
Sebutan (orang ) itu umur kedua (bagi orang bagi yang disebut )



Mesej yg jelas daripada syair di atas,betapa dunia yg sementara ini kan menjadi panjang bagi org yg mati walaupun jasadnya telah tiada tetapi nama dan kebaikannya senantiasa disebut2 orang.

Selama ini kita sering diingatkan berkenaan tokoh-tokoh agung yang telah mencorakkan dunia dengan sumbangan-sumbangan mereka dalam pelbagai bidang di era masing-masing. Persoalan yang timbul, apakah kita semata-mata mengenali dan mengagumi mereka. Tidak terdetikkah di dalam hati keinginan untuk mengikuti jejak langkah mereka, memberi sumbangan pada dunia seterusnya melakar nama kita pada kanvas sejarah dunia dengan tinta emas? Atau kita merasa cukup dgn kewujudan kita yang sementara di dunia ini yang akan dilupakan orang setelah kita meninggalkan dunia? Hanya saudara yang boleh menentukannya.

Mungkin saudara merasakan saya berangan-angan. Jawapan saya mudah, bukankah Rasulullah pernah menyatakan:

"Apabila kamu meminta syurga, mintalah syurga firdaus".

Apa yang tersirat dalam hadis itu, apabila kita meletakkan sesuatu matlamat, letakkan yang tertinggi sebagai satu motivasi untuk melakukan yang terbaik. Kita jadikan tokoh-tokoh unggul dunia sebagai teladan walaupun untuk mengulangi kegemilangan mereka seakan mustahil bagi kita. Yang penting, apa yang tidak mampu dicapai semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.

Tetapi ingatlah, cita-cita ini hanya akan menjadi angan kosong semata jika kita tidak menghayati dan bersedia untuk berkorban sebagaimana mereka berkorban. Kajilah sejarah hidup mereka, atau bacalah buku 'Berani Gagal' oleh Billy Lim,'Lembaran-lembaran Berkenaan Kesabaran Ulamak Menghadapi Keperitan Mendapatkan Ilmu' dan 'Nilaian Ilmu Di Sisi Ulamak' oleh Abdul Fattah Abu Ghuddah atau risalah 'Perancangan Kilat' oleh Solah Abdul Fattah Al-Kholidi, akan jelas kepada kita jerih payah yang mereka lalui. Jika meletakkan matlamat untuk menjadi seperti mereka, bersedialah berkorban sepertimana mereka.

Akhirnya, anda ialah apa yang anda inginkan. Ayuh, gendang telah dipalu, maralah ke hadapan. Bersediakah kita???

Saturday, July 21, 2007

Update Forum Taman Ilmu Islam..

Alhamdulillah, atas cadangan sahabat-sahabat yang prihatin, terutamanya Abu Hanzolah, saya telah membuat beberapa update pada laman Forum Taman Ilmu. Sahabat-sahabat boleh klik di bawah.

Kalam Admin

Diceritakan oleh Victor Rabinson di dalam bukunya The Story Of Medicine, ketika Eropah sedang malap di bawah pancaran sang mentari, Cordova kota bertamadun milik orang-orang Islam, sudah diterangi oleh lampu-lampu awam di jalan-jalan raya yang disediakan oleh kerajaan Islam yang sedar akan tanggungjawabnya. Di Eropah kota-kotanya dipenuhi dengan binatang-binatang seperti tikus yang membawa berbagai wabak dan merosakkan tanaman, orang-orang di Kota Cordova mampu menukar pakaian mereka setiap hari. Bandar-bandar di Eropah, jalan rayanya masih berlumpur, jalan-jalan di Cordova telah berturap. Ketika istana-istana di Eropah masih mepunyai lubang asap di atas siling, seni hiasan bangunan-bangunan di Cordova sudah mencapai tahap yang amat mempesonakan mata yang memandang. Ketika orang-orang ternama di Eropah masih belum mampu menandatangani nama mereka, kanak-kanak di Cordova sudahpun ke sekolah. Paderi-paderi di Eropah tidak boleh membaca teks untuk upacara baptis, guru-guru di Cordova sudah mewujudkan perpustakaan yang menyerupai perpustakaan di Alexandria.

Saya pasti, ramai yang tertarik dengan perbandingan yang dibuat oleh penulis tersebut. Menggambarkan betapa hebatnya kemajuan tamadun yang dicapai oleh...Baca Seterusnya.

Saya mengharapkan sahabat-sahabat semua dapat register sebagai ahli forum dan boleh menyebarkan pada kenalan-kenalan berkenaan laman berkenaan.

Sama-sama kita jadikan forum Taman Ilmu Islam milik kita bersama.

Wassalam.

Thursday, July 19, 2007

Sibukkah Anda?



"Saya sibuk" atau "tak de masa" ungkapan yang biasa kita dengar dan ucapkan. Sama ada anda mengangguk mengiyakan atau menggelengkan kepala menafikan, kenyataan saya; ucapan itu seakan 'wirid harian' buat kita semua. Soalnya, benarkah 'wirid harian' kita itu? Atau sekadar helah untuk membenarkan tindakan kita?

Benar atau tidak ucapan kita itu, hanya diri kita yang boleh menilainya. Benar atau tidak masa kita terisi hanya kita yang boleh menghakiminya. Jika benar-benar terisi, apakah pengisiannya? Jawapannya ada pada diri masing-masing.

Bukanlah maksud saya menjadi kesalahan jika merasakan diri sibuk, cuma jangan menjadikan sibuk sebagai alasan untuk mencuaikan ibadat kepada Allah dan pencarian ilmu atau tiket untuk menjauhkan diri dari perjuangan Islam.

Andai terasa sibuk dengan tanggungjawab, bandingkan dengan tanggungjawab Saidina Umar dalam memimpin 1/3 dunia. Andai sibuk kita disebabkan harta, adakah harta kita sebanyak harta Saidina Abdul Rahman bin Auf? Andai sibuk kita kita dengan anak pinak, adakah keluarga kita sebesar keluarga Saidina Anas bin Malik?

Diri manusia ibarat gelas yang kosong, jika tidak diisi air, udara akan mengambil ruang. Maksudnya jika tidak diisi dengan perkara berfaedah, akan terisi dengan perkara yang tak berfaedah. Justeru, jangan biarkan masa berlalu begitu saja tanpa diisi. Allah memberikan masa kepada kita 24 jam sehari. Bersamaan 1440 minit atau 86400 saat. Teringat waktu di zaman persekolahan dulu, tika peperiksaan masih jauh, hari menjadi kiraan, semakin hampir, masa dikira berpandukan jam, terlalu hampir, dikira dengan minit pula untuk menenangkan hati. Maaf kerana melencong sedikit, persoalannya di sini adakan 24 jam atau 1440 minit atau 86400 saat itu benar-benar telah terisi? Jika telah terisi, fikirkan apakah diisi dengan perkara yang berfaedah atau sebaliknya?

Sepatutnya, celik mata kita pada awal pagi diiringi apakah ibadah yang akan kita kerjakan, apakah ilmu yang akan kita dapat dan apakah sumbangan kepada Islam yang akan kita berikan pada hari ini. Dan pejam mata pada di malamnya dikunjungi muhasabah apakah ibadah yang telah dikerjakan, apakah ilmu yang telah diperolehi dan apakah sumbangan yang telah kita berikan kepada Islam. Bukankah mukmin yang tebaik itu, hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini?

Ingatlah! Andai merasa seronok dengan kejahatan, keseronokan akan hilang, kejahatan akan kekal. Sebaliknya andai merasa letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang tetapi kebaikan akan kekal.

Renung-renungkanlah!

Wednesday, July 18, 2007

Artikel Menarik Di Forum Taman Ilmu Islam

Gejala Riddah

Sejarah telah mencatatkan bahawa kemegahan dan keagungan Islam mula dicarikkan sedikit demi sedikit bersama runtuhnya Daulah Islamiah Uthmaniyyah pada tahun 1942. Daulah yang diamanahkan untuk menjaga hak asasi manusia telah hancur lebur. Malah hari ini kita menyaksikan akidah yang menjadi benteng kekuatan umat Islam juga mula diruntuhkan setelah 80 tahun runtuhnya ad-Daulah al-Islamiah.

Mutakhir ini gejala murtad mula menyerang orang-orang Islam di Malaysia. Apa yang menyedihkan.....Baca Seterusnya

Penngunaan Najis Dalam Perubatan

Mukadimah

Islam menganjurkan kepada umatnya kehidupan yang sihat dan menggalakkan
supaya berubat apabila mengalami kesakitan. Ini sejajar dengan hadis nabi s.a.w yang berbunyi...Baca Seterusnya

Fadhilat Puasa Sepanjang Rejab

REJAB bulan ketujuh dalam kalendar Islam muncul lagi. Rejab yang bermaksud ta'azim (kebesaran, keagungan, kemuliaan) kerana Allah akan melimpahkan rahmat-Nya dan kemurahan-Nya adalah bulan yang sangat mulia. Pada bulan itu mengandungi peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa daripada tangan tentera Salib dan ada berpendapat bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj....Baca Seterusnya

Ibadah Di Angkasa Lepas

PENGHANTARAN angkasawan pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Oktober ini mencatat sejarah kerana buat kali pertama, cara melaksanakan ibadah di angkasa lepas menjadi isu penting.
Sama ada Kapten Dr Sheikh Muszaphar Shukor atau Dr Faiz Khaleed, dipilih sebagai angkasawan, mereka bukan angkasawan Muslim pertama ke angkasa lepas....Baca Seterusnya

Rahsia Pemakanan Genius-Genius Islam

"Formula pemakanan genius-genius Islam silam yang menjadi rahsia keajaiban daya intelek mereka. Formula ini terpendam di dalam kitab-kitab tradisional dalam bahasa Arab. Tersembunyi dari pengetahuan orang Arab dan umat Islam sendiri. Namun akhir-akhir ini ada usaha-usaha untuk mengetengahkan kembali kepada umum....Baca Seterusnya

Kepimpinan Rasulullah Di Medan Perang

Menjadi hikmah yang besar Allah Taala mengutuskan para nabi dari golongan manusia. Antaranya agar para nabi dapat menunjukkan teladan yang terbaik dalam segala aspek kehidupan manusia. Ini bertepatan dengan sifat kesyumulan yang dimiliki oleh Islam sendiri. As-Syahid Imam Hassan Al Banna telah menyebut;

"Islam merupakan suatu nizom (sistem) yang menyeluruh, mencangkupi seluruh aspek kehidupan manusia. Ia merupakan negara dan watan atau kerajaan dan umat, akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan, pendidikan dan undang-undang atau ilmu dan perlaksanaan, material dan perbendaharaan harta atau pencarian dan kekayaan, jihad dan dakwah atau tentera dan pemikiran, sebagaimana ia merupakan aqidah yang lurus dan ibadah yang betul tanpa adanya perbezaan."

Justeru, Rasulullah sebagai model peribadi muslim yang teragung, telah menunjukkan kepada kita teladan yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan manusia. Sirah Rasulullah menjadi bukti hakikat ini. Baginda merupakan seorang anak yang taat, bapa yang mendidik, suami yang penyayang, teman yang dipercayai, guru yang murabbi, panglima yang berani dan pemimpin yang agung. Pendek kata, Rasulullah begitu sempurna dalam setiap aspek kehidupan.

Penulis tidaklah berhasrat untuk menyentuh seluruh aspek kehidupan yang dilalui oleh baginda lantaran peribadi baginda terlalu agung untuk diungkapkan di lembaran-lembaran yang terbatas ini. Insya Allah penulis akan cuba membincangkan satu daripada aspek kehidupan baginda, iaitu Rasulullah sebagai pemimpin di medan perang, dengan menghadkan perbincangan hanya berkenaan peperangan Badar.

Baca Selanjutnya

Tuesday, July 17, 2007

Forum 'Taman Ilmu Islam'.


Ramai antara kita menghafal hadis nabi yang bermaksud "Sampaikan dariku walau sepotong ayat". Ringkas zahirnya, hakikatnya mengandungi makna yang cukup mendalam. Sedar atau tidak, bertitik tolak dari hadis yang pendek ini, Islam menyimpan khazanah ilmu yang berjela-jela panjangnya.

Mengambil semangat dari hadis ini, blog ini menyediakan ruangan Forum 'Taman Ilmu Islam' untuk kita saling berkongsi ilmu. Diharap sudilah pengunjung blog ini meluangkan masa untuk menjenguk forum berkenaan, menambah dan membaca artikel yang ada dan barangkali boleh melibatkan diri dalam perbincangan.

Moga kita semua mendapat faedah dari forum berkenaan. Teruskan melibatkan diri dalam agenda menyemarakkan budaya thaqafah Islam.

Hikmah itu barang tercicir dari umat Islam, sama-samalah kita merebutnya...

Monday, July 16, 2007

Dengan Nama Allah..


Bagi saya, menulis bukanlah perkara yang mudah. Di samping sukarnya memilih perkatan, mengaturnya dan menjadikan ia satu ayat yang berfaedah kepada pembaca, yang paling sukar apabila mengingatkan kita semua akan dipertanggungjawab atas apa yang kita tulis. Berbanding apa yang diucap, ia barangkali hanya diingat orang buat seketika, tetapi apa yg ditulis akan kekal buat masa yang lama, akan dibaca oleh generasi kemudian. Benarlah kata pujangga "Mata pena lebih tajam dari mata pedang".

Walaubagaimanapun, melihat sahabat-sahabat menceburi bidang blog ini, hati saya turut terdetik untuk menuruti jejak langkah mereka. Sebagaimana saya memilih prasa " Sekali Kaki Melangkah" sebagai title blog ini, demikianlah saya berharap semoga blog ini menjadi medan latihan buat saya dalam penulisan. Semoga usaha yang kecil ini memperolehi rahmat dan keredhaan Allah.

Allah menyukai amalan hambanya yang berterusan sekali pun sedikit!

Selamat membaca..Wasalam

Isnin 11.30 mlm
2 Rejab 1428
16 Julai 2007
Alexandaria, Egypt.