Thursday, July 19, 2007

Sibukkah Anda?



"Saya sibuk" atau "tak de masa" ungkapan yang biasa kita dengar dan ucapkan. Sama ada anda mengangguk mengiyakan atau menggelengkan kepala menafikan, kenyataan saya; ucapan itu seakan 'wirid harian' buat kita semua. Soalnya, benarkah 'wirid harian' kita itu? Atau sekadar helah untuk membenarkan tindakan kita?

Benar atau tidak ucapan kita itu, hanya diri kita yang boleh menilainya. Benar atau tidak masa kita terisi hanya kita yang boleh menghakiminya. Jika benar-benar terisi, apakah pengisiannya? Jawapannya ada pada diri masing-masing.

Bukanlah maksud saya menjadi kesalahan jika merasakan diri sibuk, cuma jangan menjadikan sibuk sebagai alasan untuk mencuaikan ibadat kepada Allah dan pencarian ilmu atau tiket untuk menjauhkan diri dari perjuangan Islam.

Andai terasa sibuk dengan tanggungjawab, bandingkan dengan tanggungjawab Saidina Umar dalam memimpin 1/3 dunia. Andai sibuk kita disebabkan harta, adakah harta kita sebanyak harta Saidina Abdul Rahman bin Auf? Andai sibuk kita kita dengan anak pinak, adakah keluarga kita sebesar keluarga Saidina Anas bin Malik?

Diri manusia ibarat gelas yang kosong, jika tidak diisi air, udara akan mengambil ruang. Maksudnya jika tidak diisi dengan perkara berfaedah, akan terisi dengan perkara yang tak berfaedah. Justeru, jangan biarkan masa berlalu begitu saja tanpa diisi. Allah memberikan masa kepada kita 24 jam sehari. Bersamaan 1440 minit atau 86400 saat. Teringat waktu di zaman persekolahan dulu, tika peperiksaan masih jauh, hari menjadi kiraan, semakin hampir, masa dikira berpandukan jam, terlalu hampir, dikira dengan minit pula untuk menenangkan hati. Maaf kerana melencong sedikit, persoalannya di sini adakan 24 jam atau 1440 minit atau 86400 saat itu benar-benar telah terisi? Jika telah terisi, fikirkan apakah diisi dengan perkara yang berfaedah atau sebaliknya?

Sepatutnya, celik mata kita pada awal pagi diiringi apakah ibadah yang akan kita kerjakan, apakah ilmu yang akan kita dapat dan apakah sumbangan kepada Islam yang akan kita berikan pada hari ini. Dan pejam mata pada di malamnya dikunjungi muhasabah apakah ibadah yang telah dikerjakan, apakah ilmu yang telah diperolehi dan apakah sumbangan yang telah kita berikan kepada Islam. Bukankah mukmin yang tebaik itu, hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini?

Ingatlah! Andai merasa seronok dengan kejahatan, keseronokan akan hilang, kejahatan akan kekal. Sebaliknya andai merasa letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang tetapi kebaikan akan kekal.

Renung-renungkanlah!

0 comments: