Sunday, July 29, 2007

Berusahalah Menjadi 'Doktor'

Seorang sahabat saya pernah membandingkan antara belajar di Mesir dan Madinah. Katanya " Di Mesir, masa talaqqi dengan syeikh dapat 10 ilmu, bila balik rumah tinggal 1 saja, di Madinah belajar dapat 1, bila sampai di rumah 1 itu menjadi 10 " Maksudnya, Mesir menawarkan ilmu-ilmu yang tidak ternilai sehingga dianggap kiblat ilmu, tetapi suasananya yang terpengaruh dengan Barat menyebabkan agak sukar untuk menjaga ilmu yang dicari memandangkan penuntut ilmu perlukan hati yang bersih dari perkara-perkara haram dan maksiat. Berbanding Madinah, sekalipun tidak dianngap sebagai kiblat ilmu sepertimana Mesir, tetapi ilmu yang didapati walaupun sedikit menjadi banyak kerana berkat kedudukannya sebagai bumi hijrah, tanah haram dan tempat bersemadinya Rasulullah SAW. Walaubagaimanapun, saya ingin ingatkan sebelum kenyataan ini didebatkan, ia hanyalah jenaka semata-mata.

Saya tiba-tiba teringat jenaka sahabat saya itu ketika saya keluar rumah untuk menunaikan solat Maghrib di masjid. Sebabnya, saya 'terpaksa' berjalan di belakang 2 gadis Arab yang berpakaian mendedahkan susuk badan. Niat ingin melakukan kebaikan tetapi teruji di tengan jalan. Apapun, sebagaimana kata 3 Pendekar Bujang Lapok : "Ujiannnn…"

Bercakap berkenaan ilmu Islam, tiada siapa yang dapat menafikan sumbangan Islam terhadap tamadun ilmu. Bahkan pada Zaman Pertengahan, para intelektual Islam menguasai kesemua disiplin ilmu daripada ilmu berkaitan hukum hakam hinggalah ilmu sains dan teknologi. Semangat yang dihayati daripada Al-Quran dan Al-Sunnah telah menghasilkan para intelektual Islam yang terbilang di dalam bidang kimia seperti Jabir Ibnu Hayyam, ilmu perubatan seperti Ibnu Sina, zoology seperti Al-Asmai, bidang matematik seperti Al-Khawarizmi, bidang sains politik dan perundangan seperti Al-Mawardi, bidang geografi seperti Al-Idrisi, bidang falsafah seperti Al-Farabi, bidang sosiologi seperti Ibnu Khaldun, bidang pembedahan seperti Al-Zahrawi, bidang optik seperti Ibnu Haitham dan lain-lain lagi. Kebanyakan hasil penemuan di dalam berbagai disiplin ilmu tersebut kini telah dikuasai oleh Barat. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada orang-orang Islam untuk menguasainya semula.

Apa yang lebih mengkagumkan, para ilmuan Islam ini tidak meletakkan hanya satu cabang ilmu untuk dipelajari. Mereka bersikap 'ambil tahu' dan mahir di dalam berbagai disiplin ilmu sungguhpun tahap kepakaran dan penguasaan mereka terhadap berbagai disiplin ilmu yang mereka kuasai itu berbeza. Sebagai contoh, Amr Ibnu Bakr al-Jahiz bukan sahaja menguasai ilmu Nahu dan Balaghah bahkan beliau juga menguasai bidang zoology. Ibnu Sina bukan sahaja pakar dalam bidang perubatan malah menguasai ilmu falsafah, matematik dan astronomi. Al-Farabi yang digolongkan sebagai ahli falsafah Islam terbilang turut menguasai bidang sosiologi, mantiq, sains politik dan muzik.

Demikianlah hakikat yang harus dipelajari oleh orang-orang islam sekarang, betapa perlunya kita mempelajari dan menguasai sebanyak mungkin ilmu-ilmu alat di samping tidak mengabaikan ilmu-ilmu wahyu.

Namun kita akur, hal itu bukanlah mudah untuk dilaksanakan. Cuma jangan pula kita berputus asa. Paling kurang, pastikan bidang yang kita ceburi benar-benar dikuasai. Bercakap dalam konteks pelajar agama, kadangkala amat menyedihkan kita kerana kita tak mampu untuk mengusai bidang kita sendiri. Sedangkan keberadaan kita di Mesir ini sememangnya menjanjikan peluang yang besar untuk menambahkan ilmu kerana banyak sumber-sumber ilmu yang terdapat di sini.

Kerana itulah saya mengajak saudara semua untuk berusaha menjadi 'doktor'. Maksud saya, cuba saudara perhatikan apabila seseorang doktor merawat penyakit. Dengan mudah dia mengetahui apakah rawatan dan nama-nama ubat yang diperlukan tanpa perlu merujuk mana-mana kitab perubatan. Demikianlah kita sebagai seorang 'doktor' yang merawat kemusykilan masyarakat dan jiwa mereka, sepatutnya ilmu itu telah kita hadam betul-betul dan tidak perlu membelek kitab-kitab apabila ditanya.

Justeru, gunalah umur yang diberi ini untuk tujuan yang sebaik-baiknya. Wasilah ilmu itu pelbagai, sama ada melalui pengajian secara terus dengan syeikh-syeikh, secara bermuzakarah dengan sahabat-sahabat atau melalui pembacaan.Kepesatan teknologi juga seperti internet, komputer, alat-alat komunikasi dan lain-lain sebenarnya meluaskan lagi peluang yang ada. Hanya terpulang kepada kita sendiri untuk menggunakannya kearah kebaikan atau sebaliknya.

Suatu ketika dulu ketika Maharaja Frank (Perancis), Charlemenge hairan dengan tulisan yang diperkenalkan kepadanya, cendekiawan Khalifah Harun al-Rasyid di Baghdad sudah pun mempunyai kepandaian mengukur garisan lintang dan bujur Bumi.

Hari ini keadaan sudah terbalik ibarat dunia yang sentiasa berubah. Ketika orang Baghdad bermati-matian berusaha mendapatkan sesuap makanan disebabkan penjajahan Amerika dan sekutunya, orang –orang Barat sudah ke angkasa lepas dan menjelajah angkasaraya.

Semoga semangat dan usaha kita yang sedikit itu mempunyai saham dalam mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu Islam…

0 comments: