Friday, July 27, 2007

Permusuhan Yang Tidak Pernah Padam.

Sejarah menyaksikan permusuhan kuffar terhadap Islam tidak pernah padam. Selepas kegagalan mereka dalam 7 siri Perang Salib, mereka terpaksa akur yang Islam tidak akan kalah dengan peperangan bersenjata. Justeru mereka telah mengatur strategi demi strategi untuk menghancurkan Islam. Antara strategi yang di atur oleh mereka:

1. Menghapuskan Pemerintahan Islam

Rancangan ini disusuli dengan gerak kerja sehingga jatuhnya kerajaan Islam Uthmaniah yang terakhir di Turki secara rasmi, tepatnya pada 3 Mac 1924, jam 6.30 pagi.

Seperti mana yang terpahat dalam catatan sejarahnya, pada abad ke-16 Turki merupakan sebuah kerajaan Islam yang terbesar menguasai dan memerintah Jazirah Arab hingga ke sempadan Eropah iaitu Afrika Utara dan Morocco serta sebahagian negara-negara Eropah barat yang terkenal sekarang dengan nama Romania, Bulgaria, Yunani, Yugoslavia dan Hungary. Mereka menjadikan Laut Hitam dan Laut Mediterranean sebagai lautan Islam malah ketua-ketua negara digelar Khalifah. Pada ketika itu kerajaan Bani Uthmaniah amat ditakuti oleh negara-negara Eropah dan kaum Masihi barat.

Sekalipun pemimpin Bani Uthmaniah ketika itu leka dan lalai hingga tenggelam dalam lautan kemewahan hidup, dan telah mabuk dengan segala macam kesenangan dan kenikmatan duniawi, tetapi musuh-musuh Islam tetap bimbang jika kerajaan Uthmaniah bertukar menjadi kerajaan Islam yang sebenar. Peluang keemasan mereka tiba apabila kerajaan Uthmaniah dan sekutunya Jerman kalah dalam Perang Dunia Pertama yang membawa jatuhnya daerah-daerah kerajaan Islam satu persatu ketangan penjajah Barat, sehingga diadakan perjanjian damai yang terkenal dengan persidangan Luzan. Dalam perjanjian itu, Inggeris telah mensyaratkan beberapa syarat kepada kerajaan Turki, jika mahu daerah-daerah yang dijajahnya dikembalikan. Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

1. Hapuskan Khilafah Islamiyah dan Khalifah mesti diusir dari Turki.

2.Turki mesti membasmi semua gerakan yang dilaksanakan oleh penyokong-penyokong khalifah.

3. Turki mesti memutuskan hubungan dengan Islam.

4. Turki dipaksa mengambil satu perlembagaan moden Barat bagi menggantikan perlembagaan yang berlandaskan Islam.

Segala syarat-syarat ini telah dilaksanakan oleh anak didik Barat, Kamal Atatturk. Sebagai ganjarannya, Inggeris telah memerdekakan daerah-daerah yang dijajah.

Apabila beberapa pihak mempersoalkan kenapa Britain memberikan kemerdekaan kepada Turki, Lord Curzon, Menteri Luar British dengan tegasnya menyatakan di hadapan House of Commons

"Kita mesti hapuskan apa-apa sahaja yang boleh membawa kepada penyatuan di kalangan umat Islam.Memandangkan kita telah berjaya menghancurkan Khilafah, jadi kita mesti pastikan yang umat Islam tidak akan bersatu kembali, samada secara intelektual atau kebudayaan… Faktanya sekarang adalah bahawa Turki telah mati dan ia tidak akan bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatan ruhnya (iaitu) Islam dan Khilafah."

2. Menghapuskan Quran dan memisahkannya dari umat Islam.

Musuh menyedari bahawa Quran merupakan sumber kekuatan bagi umat Islam. Jika dibiarkan mereka mendekati Quran, umat Islam akan kembali kepada kekuatan dan peradaban mereka.

Gladstone, Perdana Menteri Britain dalam satu persidangan Parlimen sambil memegang Al-Quran di tangan kiri berkata; “Selagi kitab ini masih berada (di dalam jiwa umat Islam), maka selama itulah Barat tidak akan berjaya menguasai Timur dan Barat tidak akan aman.”

Berkata pemerintah Perancis di Algeria dalam satu majlis meraikan 100 tahun penaklukan Algeria : "Kita mesti menghapuskan Quran dan bahasa Arab dari mereka agar kita dapat mengalahkan mereka."

3. Merosakkan akhlak orang Islam, pemikiran dan hubungan mereka dengan Allah.

Berkata Samuel Zwemer, Ketua gerakan Kristianisasi dalam Muktamar Quds yang diadakan pada tahun 1935:

"Misi kristianisasi di Negara-Negara Muhammadiyyah (Negara-Negara Islam) bukanlah untuk mengkristiankan mereka, kerana itu merupakan hidayah dan kehormatan buat mereka.

Tetapi misi sebenar ialah untuk mengeluarkan Muslim dari Islam sehingga menjadi makhluk yang tiada hubungan dengan Allah, dengan demikian hilanglah ciri akhlak yang merupakan pegangan umat-umat dari mereka. Dengan usaha ini, kamu telah menjadi pelopor kemenangan dalam penjajahan Negara-Negara Islam. Kamu telah berjaya mempengaruhi pemikiran mereka sehingga mereka menerima dan melaksanakan segala perancangan untuk mengeluarkan mereka dari Islam. Kamu membentuk satu generasi yang tidak mempunyai hubungan dengan Allah dan mereka pula tidak mahu mengenaliNya, kamu mengeluarkan mereka dari Islam dan tidak memasukkan mereka ke dalam Kristian, dengan itu jadilah mereka satu generasi yang diingini oleh penjajah yang tidak mengambil berat perkara-perkara penting, suka bersenang-senang, bersifat malas dan memburu hawa nafsu dengan apa cara sekalipun. Sehingga jadilah nafsu (syahwat) itu tujuan hidup mereka, apabila mereka belajar tujuannya adalah untuk nafsu, mengumpulkan harta untuk nafsu dan mendapat kedudukan tinggi juga untuk nafsu…mereka mengorbankan segala-galanya untuk nafsu. Wahai pengerak-pengerak kritianisasi; misi anda telah berjaya dengan sempurna!"

Beliau juga pernah berkata dalam bukunya 'Serangan Ke Atas Alam Islami' :

"Bagi peradaban Barat, kristianisasi mempunyai dua ciri; Meroboh dan membina.

Meroboh maksudnya mengeluarkam Muslim dari agamanya, sekalipun dia menjadi seorang Atheis (tidak beragama)

Adapun membina maksudnya mengkristiankan Muslim sehingga menjadi penolong Barat menghadapi kaumnya."

4. Meroboh kesatuan umat Islam.

Berkata Simon: "Sesungguhnya kesatuan berdasarkan Islam menghimpun cita-cita umat Islam dan membantu untuk bebas dari penguasaan Barat. Kristianisasi merupakan cara penting untuk memecahkan gerakan ini. Kerana itu, kita mesti menggunakan kristianisasi untuk memalingkan Umat Islam dari kesatuan Islam."

Dan mereka sentiasa bimbangkan Umat Islam bersatu kembali. Ini jelas dari tulisan Arnold Twinby dalam bukunya 'Islam, Barat dan Masa Depan': "Sesungguhnya kesatuan Islam sedang tidur, tetapi kita mesti meletakkan dalam perkiraan kita bahawa yang tidur itu barangkali akan terjaga."

Demikianlah antara bentuk-bentuk serangan yang sedang dihalakan kepada Umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Persoalannya, adakah kita telah termakan racun ini atau yang lebih buruk menjadi alat mereka untuk menjayakan misi jahat mereka? Atau kita menjadi orang yang sedar dan berhati-hati, serta mengatur serangan balas terhadap mereka?

Saidina Abu Bakar pernah menyatakan: "Adakah Islam akan mundur sedangkan aku masih hidup?"

Semoga kata-kata itu meniupkan semangat ruh jihad dalam diri kita!

Rujukan :

قادة الغرب يقولون: دمروا الإسلام أبيدوا أهله
Abdul Wadud Yusuf

0 comments: