Sunday, July 22, 2007

Anda ialah apa yang anda inginkan.

Saya mula meminati syair-syair arab ketika saya menuntut di peringkat thanawi di sekolah lama saya, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin. Cuma minat itu tenggelam timbul dan tidak berterusan. Pernah suatu ketika, ketika minat memuncak, saya menyelongkar kitab-kitab dan majalah-majalah arab semata-mata untuk mencari syair dan menulisnya dalam buku khusus. Setiap kali berpeluang untuk berucap di hadapan khalayak, sedaya upaya saya cuba menyelitkan serangkap dua syair. Dan setakat pemerhatian saya, ianya formula yang berkesan dalam menarik perhatian pendengar. Sehinggakan pernah seorang sahabat bertanyakan saya bagaimana cara-cara untuk memahami syair (walaupun sebenarnya saya juga tidak mampu untuk memahami bahasa syair yang begitu puitis dan simbolik)kerana melihatkan minat saya kepada syair.

Maaf jika anda merasakan catatan saya di atas terlalu peribadi. Apa yang ingin saya kongsi dengan sahabat-sahabat di sini, satu syair yang begitu menarik minat saya. Jika diikutkan hati, ingin diulang-ulang syair ini tiap kali berucap kalau tidak kerana bimbangkan jemu pendengar. Syair itu ditulis oleh Ahmad Syauqi yang berbunyi:

دقات قلب المرء قائلة له إن الحياة دقائق وثواني
فارفع لنفسك بعد موتك ذكراها فالذكر للإنسان عمر ثاني

Degupan jantung seseorang itu berbicara kepadanya
Sesungguhnya hidup itu (sementara seumpama) minit2 dan saat2
Tinggikanlah sebutan manusia kepada dirimu selepas matimu
Sebutan (orang ) itu umur kedua (bagi orang bagi yang disebut )


Apa yang saya sukakan pada syair ini, 'semangat' yang ia cuba terapkan pada manusia. Permulaannya diterangkan hakikat kehidupan adalah sementara seumpama minit-minit dan saat-saat. Saudara mungkin berkata, saya mungkin hidup 20, 30 atau 100 tahun lagi. Benar, tetapi jika ditoleh ke belakang, 10 atau 20 tahun yang dilalui seakan-akan minit-minit dan saat-saat yang berlalu. Demikianlah juga halnya apabila saudara telah berada 20,30 atau 100 tahun yang akan datang.

Di sini, Ahmad Syauqi telah 'merentap' semangat manusia untuk terus hidup. Apalah yang ingin direbut dalam minit-minit dan saat-saat yang sedikit. Akan tetapi manusia yang berjiwa besar akan memahami hidup manusia tidak terhenti dengan hentinya nafas. Tetapi hidup itu mempunyai makna yang lebih luas. Itulah 'semangat' yang cuba diterapkan oleh beliau dalam rangkap seterusnya:

فارفع لنفسك بعد موتك ذكراها فالذكر للإنسان عمر ثاني
Tinggikanlah sebutan manusia kepada dirimu selepas matimu
Sebutan (orang ) itu umur kedua (bagi orang bagi yang disebut )



Mesej yg jelas daripada syair di atas,betapa dunia yg sementara ini kan menjadi panjang bagi org yg mati walaupun jasadnya telah tiada tetapi nama dan kebaikannya senantiasa disebut2 orang.

Selama ini kita sering diingatkan berkenaan tokoh-tokoh agung yang telah mencorakkan dunia dengan sumbangan-sumbangan mereka dalam pelbagai bidang di era masing-masing. Persoalan yang timbul, apakah kita semata-mata mengenali dan mengagumi mereka. Tidak terdetikkah di dalam hati keinginan untuk mengikuti jejak langkah mereka, memberi sumbangan pada dunia seterusnya melakar nama kita pada kanvas sejarah dunia dengan tinta emas? Atau kita merasa cukup dgn kewujudan kita yang sementara di dunia ini yang akan dilupakan orang setelah kita meninggalkan dunia? Hanya saudara yang boleh menentukannya.

Mungkin saudara merasakan saya berangan-angan. Jawapan saya mudah, bukankah Rasulullah pernah menyatakan:

"Apabila kamu meminta syurga, mintalah syurga firdaus".

Apa yang tersirat dalam hadis itu, apabila kita meletakkan sesuatu matlamat, letakkan yang tertinggi sebagai satu motivasi untuk melakukan yang terbaik. Kita jadikan tokoh-tokoh unggul dunia sebagai teladan walaupun untuk mengulangi kegemilangan mereka seakan mustahil bagi kita. Yang penting, apa yang tidak mampu dicapai semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.

Tetapi ingatlah, cita-cita ini hanya akan menjadi angan kosong semata jika kita tidak menghayati dan bersedia untuk berkorban sebagaimana mereka berkorban. Kajilah sejarah hidup mereka, atau bacalah buku 'Berani Gagal' oleh Billy Lim,'Lembaran-lembaran Berkenaan Kesabaran Ulamak Menghadapi Keperitan Mendapatkan Ilmu' dan 'Nilaian Ilmu Di Sisi Ulamak' oleh Abdul Fattah Abu Ghuddah atau risalah 'Perancangan Kilat' oleh Solah Abdul Fattah Al-Kholidi, akan jelas kepada kita jerih payah yang mereka lalui. Jika meletakkan matlamat untuk menjadi seperti mereka, bersedialah berkorban sepertimana mereka.

Akhirnya, anda ialah apa yang anda inginkan. Ayuh, gendang telah dipalu, maralah ke hadapan. Bersediakah kita???

0 comments: