Saturday, September 29, 2007

Ralat Dalam Takwim Solat JAKIM


Maklumat dalam artikel di bawah bagi saya agak mengejutkan. Apatah lagi ia
berdasarkan kajian-kajian pakar falak dan universiti. Mungkin ini antara hikmahnya
Islam menganjurkan:

1. Menunggu waktu solat.
2. Solat berjemaah di masjid.
3. Tidak solat di akhir waktu.
4. Menjaga waktu imsak ketika bersahur (diriwayatkan jarak masa antara nabi
brhenti sahur dan solat ialah kadar bacaan 50 ayat)

Wallahua'lam.


Assalamu'alaykum..

Pada 13-14 Julai baru-baru ini, saya telah menghadiri (sebenarnya lebih kepada dipaksa
hadir :P) Seminar Ilmu Falak sempena 20 tahun Persatuan Falak Syari'e Malaysia
(PFSM) anjuran bersama PFSM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).Terdapat
kira-kira 23 kertas kerja telah dibentangkan oleh pembentang-pembentang dari Malaysia,Indonesia dan Brunei dan dibahagikan kepada 2 sesi selari (bermakna 2 pembentangan serentak dalam satu masa).Kertas-kertas kerja yang dibentangkan
adalah berkenaan asal-usul dan sejarah ilmu falak, kepentingannya, kemajuan (teknologi)
ilmu falak kini serta perancangan masa hadapan.


Namun 2 kertas kerja telah menarik perhatian saya untuk sama-sama saya kongsikan
bersama para sahabat sekalian.Yakni berkenaan isu dalam perhitungan waktu solat.
Menurut para pembentang,waktu solat yang terdapat di dalam takwim yang disediakan
oleh JAKIM tidak mempunyai ketepatan yang jitu serta mempunyai ralat.

Ralat pada waktu siang berlaku kerana kedudukan altitud matahari dan kecepatan
pergerakan matahari iaitu pada kadar 900"/minit (sumber web JPL,NASA,2007).
Jesteru matahari memerlukan kira-kira 1 minit bagi melepasi kawasan keraguan.Oleh itu,secara teori waktu Zohor juga mempunyai ralat sebanyak 1 minit.

Ralat pada waktu malam pula berlaku kerana sifat langit yang mempunyai kecerahan
yang berbeza pada setiap malam. Ianya berlaku dek kerana kewujudan bulan, planet,
awan dan objek angkasa lainnya. Oleh itu, menurut kajian USM, ralat antara 4-7 minit
telah diperolehi bagi waktu Isya' dan bagi waktu fajar adalah antara 8 hingga 32 minit.

Waktu IKHTIATI

Waktu ikhtiati adalah sejumlah masa tertentu yang ditambah atau dikurangkan daripada
waktu yang diperolehi (daripada kajian) atau kiraan untuk menambahkan keyakinan.
(Saupi,Zakuwa:2007)

Konsep waktu ikhtiati ini diterima oleh semua pihak berkuasa agama negeri.Namun
terdapat perbezaan dari segi penggunaannya. Menurut Mufti Pahang dan Johor,
penambahan pada waktu kiraan tidak diperlukan kerana ketepatan kiraan astronomi
adalah diyakini. Menurut Mufti Terengganu pula, waktu kiraan perlu digenapkan kepada
minit besar yang tehampir. Contoh,jika waktu Asar mengikut kiraan adalah 4:32:12,
maka waktu yang perlu dijadualkan adalah 4:33 petang. Namun pada waktu syuruk,
sebagai langkah keselamatan, waktu ikhtiati dipercepatkan. Contoh: jika waktu syuruk mengikut kiraan adalah 7:02:33, maka waktu yang perlu dijadualkan adalah 7:02 pagi.
Secara majoritinya (minit mesyuarat JAKIM,2004), waktu Zohor ditambah 2 minit dan
waktu syuruk ditolak 1 minit. Bagi Sabah dan Sarawak,setiap waktu ditambah pada
julat 1 dan 2 minit dan waktu syuruk ditolak sebanyak 1 minit.

Kesimpulan

Kesimpulan dari entri pendek ini, para pengunjung dan diri sendiri diingatkan agar tidak melewat-lewatkan waktu solat kerana dibimbangi waktu solat sudahpun luput pada saat
solat dikerjakan dan tidak tergopoh-gopoh menunaikan solat sebaik sahaja masuk waktu
di dalam takwim (kerana mengejar masuk waktu bekerja,kelas dsb). Seelok-eloknya
solat dikerjakan selepas selesai azan dikumandangkan.

Wallahua'lam..

Assalamua'laykum..

Rujukan :
1. Beberapa Isu Dalam Perhitungan Waktu solat ,Prof Madya Dr.Abdul Halim Abdul Aziz (USM),2007
2. Waktu Solat Berasaskan Zon Di Malaysia,Mohamad Saupi (UTM) Dan Muhamad
Zakuwa (Jakim),2007

(tulisan ihsan ibnu zack )

Friday, September 21, 2007

Golongan Yang Tak Faham-Faham

Hari ini internet di rumah saya terputus. Terpaksalah saya ke cc. Sebaik 'online'kan
ym, saya menerima mesej offline ini:

jcuyzss (20/09/2007 06:54:13 ã): hai ada tadarus je jemput
jcuyzss (20/09/2007 06:54:29 ã): buat makan2 x jemput pulak
jcuyzss (20/09/2007 06:55:07 ã): ada klas2 pulak (mungkin dimaksudkan kelas dengan
pelajar tib)
jcuyzss (20/09/2007 06:57:46 ã): yelah sbb anta sorang je yg blaja agama kat sini yg
boleh tarbiah adik2 tu
jcuyzss (20/09/2007 06:57:58 ã): yg lain x blaja agama kot

Saya tak pasti siapa jcuyzss. Tiada dalam senarai kenalan ym saya. Dan saya juga tak tahu
apa tujuan mesej ini. Adakah kerana tidak puas hati? Dendam?

Saya tak mahu ulas panjang. Lagi diulas lagi sakit hati dibuatnya. Apatah lagi sekarang ni
bulan Ramadhan. Cuma saya minta kepada diri saya sendiri dan jcuyzss supaya
menghayati bulan Ramadhan yang tiba ini. Perbanyakkan amalan-amalan. Usahakanlah
membuang sifat-sifat mazmumah dari dalam hati. Moga-moga dengan itu, kita keluar dari madrasah Ramadhan ini sebagai pelajar yang cemerlang.

Sekarang bukan lagi masa untuk kita saling bercakaran, sekarang masanya untuk kita
membina kekuatan. Jangan disebabkan kita, Islam menjadi lemah.

Salam ramadhan buat jcuyzss.

Tuesday, September 18, 2007

Pengajian Syeikh Nuruddin Online Di Taman Ilmu Islam


Krew mymkkkTV dengan kerjasama DARULBAYAN akan mengadakan siaran secara
langsung pengajian bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari terus dari Dewan
Ibnu Sina, Rumah Johor

Taman Ilmu Islam merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada mereka
kerana membenarkan kami menyiarkan lintas lansung tersebut di laman kami.

Untuk mengikuti pengajian tersebut, sila masuk [sini ]

Jadual Pengajian Penuh

Sesi 1 : 4 Petang (Egypt) - 10 mlm (Malaysia
Sesi 2 : 8.45 mlm (Egypt) - 2.45 pagi (Malaysia)

ليلا (8,15 )

مساء(4,00 – نصف

الساعة قبل المغرب)

اليوم/الوقت

نصائح الدينية / الإعتبار /خصوصات الرسول

مشكاة المصابيح

السبت

نصائح الدينية / الإعتبار /خصوصات الرسول

مشكاة المصابيح/ العبر

الأحد

نصائح الدينية / الإعتبار /خصوصات الرسول

مشكاة المصابيح/ العبر

الإثنين

نصائح الدينية / الإعتبار /خصوصات الرسول

مشكاة المصابيح/ العبر

الثلاثاء

نصائح الدينية / الإعتبار /خصوصات الرسول

مشكاة المصابيح/ العبر

الأربعاء

نصائح الدينية / الإعتبار /خصوصات الرسول

مشكاة المصابيح/ العبر

الخميس

Monday, September 17, 2007

Khabar Gembira Dari Taman Ilmu Islam

Alhamdulillah, saya telah buat beberapa update di Taman Ilmu Islam.

Sekarang anda boleh melihat video ceramah, nasyid dan video-video pilihan yang
dirasakan menarik. Moga memberi manfaat buat semua.

Insya Allah saya akan tambah lagi video-video ini selepas ini. Jika ada yang ingin
membantu, boleh letakkan link-link video (dari youtube) di dalam forum bahagian
video/audio menarik.

Bagi yang belum menjadi ahli, sudi-sudilah register untuk bersama-sama kami dalam merealisasikan agenda menyamarakkan intelektualisme Islam.

Untuk masuk ke laman, sila klik [sini]

Anda boleh memilih video-video itu dari senarai link yang berada di kiri laman.

Kalimah 'Allah' Di Langit Putrajaya

8.57 pm

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

8.58 pm

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

8.59 pm
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Gambar-gambar ini saya ambil dari satu artikel yang dihantar oleh seorang ahli Taman Ilmu Islam. Terpulang pada masing-masing untuk mempercayainya atau tidak. Untuk membaca artikel penuh, sila masuk [sini]

Sunday, September 16, 2007

Masyhur Tapi..


Antara hadis yang 'famous' dan masyhur di bulan Ramadhan, yang sering dibaca di atas mimbar-mimbar masjid dan di tulis di dalam tulisan-tulisan ialah hadis yang berbunyi:

أوله رحمة واوسطه مغفرة وآخره عتق من النار
Maksudnya: "Awalnya (bulan Ramadhan) rahmat, pertengahannya
keampunan dan penghujungnya perlepasan dari api neraka"

Apakah kedudukan hadis tersebut?

Hadis tersebut merupakan sebahagian dari hadis yang panjang yang berbunyi:

ثنا علي بن حجر السعدي ثنا يوسف بن زياد ثنا همام بن يحيى عن علي بن زيد بن جدعان
عن سعيد بن المسيب عن سلمان قال خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان فقال

أيها الناس قد أظلكم شهرعظيم شهر مبارك شهر فيه ليلة خير من ألف شهر جعل الله صيامه فريضة
وقيام ليله تطوعا من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه ومن أدى فيه فريضة
كان كمن أدى سبعين فريضة فيما سواه

وهو شهر الصبر والصبر ثوابه الجنة وشهر المواساة وشهر يزداد فيه رزق المؤمن من فطر
يه صائما كان مغفرة لذنوبه وعتق رقبته من النار وكان له مثل أجره من غير ان ينتقص من أجره شيء

قالوا ليسكلنا نجد ما يفطر الصائم فقال يعطي الله هذا الثواب من فطر صائما على تمرة أو شربة
ماء أو مذقة لبن

وهو شهر أوله رحمة واوسطه مغفرة وآخره عتق من النار"

صحيح ابن خزيمة ج3/ص191 باب فضائل شهر رمضان إن صح الخبر

Maksudnya: Daripada Salman telah berkata: "Telah berkhutbah Rasuullah kepada'
kami pada akhir hari bulan syaaban,. Maka, bersabda baginda s.a.w:


"Wahai manusia sesungguhnya kamu telah dipayungi bulan agung, bulan berkat,
bulan yang padanya malam yang lebih baik dari seribu bulan. Allah telah jadikan
puasa padanya fardu dan solat pada malam sebagai ketaatan.

Barangsiapa menghampirinya, maka berhasillah kebaikan seperti mereka yang
melakukan fardu dengan apa yang seumpamanya. Dan barangsiapa yang menunaikan
yang fardu, seolah-olah dia telah menunaikan tujuh puluh kefarduan dengan apa yang seumpamanya. Iaitu bulan kesabaran dan kesabaran ganjarannya syurga.

Bulankebahgiaan dan bulan ditambah padanya rezki orang mukmin.

Barangsiapa menyediakan makanan untuk berbuka orang yang berpuasa, maka
diampunkan dosanya dan
diberi kelepasan dari api neraka dan adalah baginya
ganjaran puasa (orang yang berbuka itu) yang tidak akan
dikurangkan sesuatu apa pun.

Mereka berkata: Tidak ada di sisi kami apa yang oleh dibuat berbuka bagi orang yang
berpuasa.

Maka, jawab Baginda s.a.w: Allah memberikan ganjaran ini kepada sesiapa
menyediakan judah bagi orang yang berpuasa walau dengan sesuap tamar, seteguk a
ir
dan seteguk susu.


Iaitu bulan yang awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dan
penghujungnya perlepasan dari api neraka.

Berdasarkan kajian ahli hadis, hadis di atas lemah (dhoif) dari segi sanad dan matan.

Dari segi sanad;

Pertama: hadis ini dianggap dhoif kerana sanadnya terputus. Ini kerana hadis ini
diriwayatkan oleh Said bin Musayyab (atau Musayyib) dari Salman Al-Farisi. Sedangkan
tidak diketahui Said bin Musayyab pernah meriwayatkan hadis dari Salman Al-Farisi.

Kedua: Antara perawi hadis ini ialah Ali ibn Zaid ibn Jad'an. Sebahagian ahli hadis
men'dhoif'kan riwayatnya, antaranya Al-Hafiz Ibn Hajar, Ahmad, Nasaei dan Ibn
Khuzaimah.

Adapun dari segi matan;

Hadis ini menimbulkan keraguan kerana menghadkan rahmat pada 10 hari, keampunan
pada 10 hari selepasnya, dan kebebasan dari azab neraka pada 10 terakhir. Sedangkan,
rahmat dan keampunan Allah itu tidak terputus serta janjinya untuk membebaskan
hambanya dari azab neraka berterusan dari awal hingga berakhirnya bulan Ramdhan.

Kesimpulannya; Seelok-eloknya dielakkan menggunakan hadis ini. Lebih-lebih lagi,
sebahagian ahli hadis menghukum hadis ini sebagai hadis 'munkar'. Antaranya
Abi Hatim Ar-Razi, Al-Imam Al-'Aini dan Syeikh AlBani.

Jika hendak digunakan juga, hendaklah di jelaskan kedudukannya dan
diterangkan perkara-perkara yang menjadi kesamaran itu.

Dalam Sunan Tirmizi, dari Abu Hurairah, Rasulullah telah bersabda:

إذا كان أول ليلة من رمضان صفدت الشياطين ومردة الجن، وغلقت أبواب النار،
فلم يفتح منها باب، وفتحت أبواب الجنة فلم يغلق منها باب،
وينادي مناد كل ليلة يا باغي الخير أقبل، ويا باغي الشر أقصر

ولله عتقاء من النار وذلك كل ليلة

"Apabila (masuknya) malam pertama Ramadhan, dibelenggu syaitan-syaitan
dan jin-jin yang derhaka, ditutup pintu-pintu neraka tanpa terkecuali
walau satu intu pun, sebaliknya dibuka pintu-pintu syurga tanpa terkecuali
walau satu pintu un. Pada setiap malam adanya penyeru yang menyeru:

"Wahai pelaku kebaikan, berusahalah! Wahai pelaku kejahatan, berhentilah!".

Serta Allah Taala membebaskan beberapa orang dari neraka.
Hal itu terjadi pada setiap malam".


Wallahua'lam

Rujukan:
اسلام اون لين.نت



Saturday, September 15, 2007

12 persoalan besar di Batu Buruk belum terjawab

Untuk renungan dan bahan fikir bersama, berikut diperturunkan beberapa persoalan dan tandatanya tersebut:

1. Kerosakan harta awam dianggarkan RM500 ribu oleh pihak Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT). Exco Datuk Rosol Wahid pula dalam kenyataan berasingan mendakwa nilai kerosakan itu mencecah RM1 juta (biasa lah tu, pemimpin BN memang selalu melebih-lebih dalam hal seumpama ini). Kerosakan itu didakwa dibuat “perusuh” yang dikaitkan dengan para penyokong PAS yang hadir malam itu.

Anehnya, segala kerosakan yang berlaku seperti papantanda jalan, lampu isyarat, pasu bunga dan lain-lain itu sebenarnya terletak di dalam zon yang dikawal polis. Sepanjang kekecohan memuncak, tidak ada orang awam dibenarkan memasuki kawasan jalan sepanjang 200 meter dari persimpangan lampu isyarat merentasi depan Kediaman Seri Iman hingga ke stesen minyak Esso di situ. Maka menjadi tanda tanya, siapa bertanggungjawab memecah dan merosakkan harta awam itu?

2. Puluhan buah motosikal dan kereta dilaporkan mengalami kerosakan teruk kesan pukulan benda tumpul (kayu atau batu). Gambar-gambar sebahagian kenderaan yang rosak itu turut disiarkan akhbar. Antara gambar itu menunjukkan lokasi motosikal yang rosak itu hanya beberapa depa dari sepasukan polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berkawal.

Apakah munasabah orang awam melakukannya dan dilihat sahaja oleh anggota FRU? Lagi pun, kenderaan yang rosak itu adalah milik orang awam, bukan milik anggota FRU atau polis. Sedangkan pertembungan malam itu antara polis dan orang awam. Apakah munasabah orang awam merosakkan kenderaan mereka sendiri? (Bunyinya macam tuduhan Datuk Seri Anwar Ibrahim tumbuk muka dia sendiri dululah!)

3. Ada orang awam menceritakan telah melihat sekumpulan anggota polis mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang (pasar utama di tengah bandar Kuala Terengganu) beberapa hari sebelum kejadian. Mereka itu dikatakan telah memborong kesemua ‘bidas’ (lastik, orang Kedah sebut ‘terbir’, orang Putih kata ‘catapult’). Untuk apa lastik-lastik itu diborong polis?

4. Insiden bakar bendera negara turut dipertikaikan. Gambar disiarkan akhbar Berita Harian, 10 September menunjukkan seorang pemuda lengkap bertopi keledar sedang membakarnya di tengah jalanraya yang agak lengang. Berdasarkan gambar itu, dipercayai jurugambar yang merakamkan insiden itu berada tidak jauh dari si pembakar itu.

Mungkin jurugambar tersebut adalah orang paling wajar disoalsiasat, siapa sebenarnya pemuda itu? Apakah gambar tersiar itu satu-satunya gambar dirakamnya ketika itu, atau ada lagi gambar-gambar lain yang merakamkan imej lebih jelas mengenai pembakar bendera itu?

5. Lebih dipersoalkan banyak pihak, apakah pemuda itu sebahagian dari kumpulan pemuda yang datang untuk mendengar ceramah PAS atau dari kumpulan lain? Bajunya tidak menampakkan sebarang tanda basah atau berpeluh, menunjukkan dia belum begitu lama di situ, tidak sebagaimana yang lain.

6. Ada juga eyewitness mendakwa melihat seseorang dari dalam sebuah kereta menghulurkan bendera negara yang menjadi bahan bakar itu kepada pemuda tersebut dan menyuruhnya membakar. Jika benar begitu, bermakna bendera itu bukan disentap di situ ketika kekecohan berlaku, tetapi sengaja dibawa dari tempat lain oleh orang misteri yang berkereta itu.

7. Ada juga eyewitness menyaksikan kedatangan sekumpulan mat rempit sejurus selepas keadaan agak reda. Mereka ini memang menjadikan laluan yang terlibat dengan kekecohan itu sebagai track perlumbaan mereka saban malam. Tidak payah diberitahu, mereka ini memang menyimpan dendam dengan pasukan polis kerana sering mengganggu akvititi malam mereka.

Mereka ini dikatakan tumpang sekaki “mengamuk” dan melakukan kekacauan sebagai melepas geram terhadap pasukan polis. Apakah mustahil mereka ini turut terlibat membakar bendera, kon polis dan melakukan kerosakan-kerosakan lain itu?

8. Keengganan pihak Polis Daerah Kuala Terengganu mengeluarkan permit untuk perhimpunan malam itu turut dipertikaikan. Pertama, telah beberapa kali lokasi sama dijadikan pentas ceramah melibatkan nama-nama besar dalam pembangkang seperti Mohamad Sabu, Anwar dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. Majlis-majlis tersebut berjalan lancar dan aman, tiada kekacauan atau gangguan keselamatan, selagimana tiada kacau ganggu pihak polis.

9. Pihak polis memberikan alasan tidak mengeluarkan permit ceramah kononnya kawasan perumahan itu didiami golongan elit, pegawai kerajaan dan orang ternama. Justeru sebarang majlis ceramah akan menghasilkan gangguan bunyi kepada penghuni taman itu.

Juga dibangkitkan soal gangguan kepada para pelancong yang menginap di chalet dan resort berdekatan. Sedangkan lokasi sama terletak hanya beberapa ratus meter dari pentas utama Pantai Batu Buruk. Di situ saban bulan (kekadang tu saban minggu), berbagai bentuk bunyi bising dikumandangkan, tidak kira siang mahu pun malam. Mengapa tidak ditimbulkan soal gangguan bunyi dari pesta hiburan itu?

10. Soal bantahan yang didakwa dari penduduk setempat juga tidak sukar difahami. Mana ada orang Umno yang suka ceramah PAS diadakan berdekatan rumah mereka? Jadi, jika diraikan setiap bantahan orang Umno, nescaya tidak akan ada peluang bagi PAS untuk menganjurkan majlisnya di kawasan-kawasan awam. Apakah polis tidak pernah mengeluarkan permit untuk majlis Umno/BN jika dibantah penduduk setempat dari kalangan PAS?

11. Tindakan FRU melepaskan gas pemedih mata tanpa mengira tempat juga amat dikesalkan. Ia dihalakan bukan sahaja ke arah orang ramai yang cuba disuraikan, tetapi turut disasarkan ke arah kedai makan yang sedang dipenuhi pelanggan. Kanak-kanak yang berada di dalam kedai itu, termasuk anak-anak pemilik kedai, turut menerima kesan gas tersebut.

Apakah aspek keselamatan orang awam yang tidak ada kena-mengena dengan kekecohan itu tidak diambil kira terlebih dahulu oleh polis? Apakah semata-mata atas alasan menyuraikan perhimpunan haram, polis dihalalkan bertindak apa cara sahaja?

12, Tindakan seorang anggota polis melepaskan ‘peluru hidup’ sehingga mencederaparahkan dua orang awam sangat dipertikaikan. Anggota polis itu mendakwa kononnya beliau diserang, lalu memaksanya melepaskan tembakan demi mempertahankan diri.

Apa pun alasan dan dakwaan yang cuba dikemukakan, rakyat tidak dapat menerima ia sebagai tindakbalas yang wajar. Lain lah kalau orang yang didakwanya menyerangnya itu juga bersenjata. Apatah lagi diambilkira sebab kenapa beliau “diserang” itu, ialah kerana orang ramai melihat beliau cuba melakukan provokasi di tengah-tengah hadirin.

Setakat ini, persoalan dan tandatanya disebutkan tadi masih menguasai perbualan umum dan sembang kedai kopi di Terengganu. Segala persoalan itu pada hakikatnya lebih banyak memberikan kesan negatif kepada parti pemerintah.

Ringkasan Artikel '12 persoalan besar di Batu Buruk belum terjawab' oleh Mat Zain Mat Isa

Robohnya Rumah Allah..Bilakah Umat Akan Bangkit?

BABRI MASJID DI INDIA



BUJAL MASJID DI MALAYSIA

Friday, September 14, 2007

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Kadangkala kita terdengar cakap-cakap sebegini:
"Tak naklah ikut tadarus, lambat, baik baca sendiri, cepat sikit habis"

Atau kita sendiri atau sahabat-sahabat kita tergesa-gesa membaca Al-Quran sama ada secara berseorangan mahupun berkumpulan, dengan tidak menjaga hak-hak Al-Quran dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya semata-mata untuk mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan. Apakah khatam itu tujuan sebenarnya kita bertadarus?

Moga-moga tulisan saya ini boleh menjawab sedikit sebanyak berkenaan masalah tersebut.

Pendahuluan

Antara ibadah yang menjadi kelaziman di bulan Ramadhan ialah tadarus Al-Quran. Ini bertepatan dengan bulan Ramadhan yang dianggap sebagai 'Bulan Al-Quran', yang
diturunkan padanya Al-Quran. Insya Allah saya cuba mengupas secara ringkas
berkenaan ibadah ini.

Makna Tadarus

Asasnya, tadarus bermaksud memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan seseorang
yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan.

Diriwayatkan, Rasulullah bertadarus Al-Quran dengan Jibril sendiri.

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ـ أي أكرم الناس ـ
وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن، فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة) متفق عليه

“Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan,
dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan.Jibril a.s.
menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan
Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah
amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
(Riwayat:Al-Bukhari dan Muslim).

Kelebihan Tadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Selain kelebihan-kelebihan yang
dijanjikan bagi sesiapa yang membaca Al-Quran, Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ
مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca
dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan
(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat”.

Tadarus Di Kalangan Orang-Orang Soleh

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para
sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an
sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya
seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Seorang ulama' lain bernama Mujahid, khatam Quran antara Maghrib dan Isyak
pada setiap malam di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam.

Selain itu, ulama terdahulu telah menangguhkan majlis majlis ilmu mereka di bulan
Ramadhan bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Qur’an. Imam Az-Zuhri misalnya
apabila tiba bulan yang berkat ini, beliau menangguhkan sebarang majlis ilmu, bagi
menghayati tilawah dan mendalami Al-Qur’an. Beliau membacanya pada mashaf.

Demikian juga Imam Malik r.a. beliau meninggalkan buat sementara waktu sebarang
aktiviti pengajian hadis dan fekah bagi mentadabbur Al-Qur’an. Sehubungan ini beliau
pernah menyatakan: “ هذا شهر القرأن ”. Ertinya, ini ialah bulan Al-Qur’an.

Perhatian: Mengikut Imam Nawawi, sebahagian Ulama' menghukum makruh
mengkhatamkan Al-Quran dalam sehari semalam. Mereka berdalilkan hadis sahih dari Abdullah bin Amru bi Al-A'ss katanya:

قال رسول الله : لا يفقه من قرأ القرأن في أقل من ثلاث
Maksudnya: Tidak dianggap faqih seseorang yang mengkhatamkan
Quran kurang dari 3 hari.

Cara Tadarus

Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun
antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil.

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau
atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.

Kelebihan Membaca Al-Quran Pada Malam Hari

Digalakkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada waktu malam dan ketika solat
malam.

Firman Allah Taala:

ومن أهل الكتاب أمة قآئمة يتلون ايات الله ءانآء الليل وهم يسجدون

Berkata Imam Nawawi (kesimpulannya): Digalakkan solat dan membaca Al-Quran pada
malam hari kerana ialah lebih menumpukan hati, jauh dari kesibukan dan perkara-perkara yang melalaikan, lebih terjaga dari riya' dan lain-lain yang menggugurkan amalan.

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Kembali kita kepada persoalan asal. Pandangan saya, khatam bukanlah tujuan asal tadarus
yang dilakukan oleh Nabi. Berikut sebab-sebab saya berpendapat demikian.

1- Perkataan tadarus yang berasal dari 'darasa' yang bermakna mempelajari.Jika khatam dijadikan tujuan utama, maksud mempelajari ini biasanya tidak tercapai.

2- Tujuan Rasulullah bertadarus dengan Jibril ialah untuk memperdengarkan dan
menyemak bacaan. Jika khatam itu tujuan yang utama, tentulah tidak berlaku tadarus melainkan selepas Quran itu sempurna diturunkan.

3- Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Saidatina Fatimah radhiallahu‘anha berkata:

“Sesungguhnya Jibril datang kepada Rasulullah untuk memperdengarkan
bacaannya kepada Rasulullah setiap tahun sekali. Dan Jibril telah melaksanakan
yang demikian pada tahun Nabi wafat, dua kali”.

Jika khatam merupakan tujuan utama, nescaya Nabi mengkhatamkan Al-Quran dalam tadarusnya bersama Jibril paling kurang 2 kali dalam setahun sebagaimana yang
dilakukan pada akhir hayatnya.

Kesimpulannya: Tujuan asal tadarus ialah untuk memperelokkan dan menyemak kembali bacaan. Dan sebaiknya bacaan itu difahami. Kerana itu,lebih elok jika tadarus itu diadakan secara berkumpulan untuk sama-sama mendapat manfaat. Dan elok juga dilakukan perbincangan ringkas selepas tadarus berkenaan ayat-ayat yang di baca.

Walaubagaimanapun,jika mampu, sewajarnya seorang Muslim berusaha mengkhatamkan Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadhan dengan menjaga adab-adab dan
hak-hak Al-Quran itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :"Ramai orang membaca Al-Quran,
sedangkan Al-Quran itu melaknatnya"

Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan itu.

Wallahua'lam.

Rujukan:

1. التبيان في اداب حملة القران
Oleh Imam Nawawi
2. Risalah Berkenaan Tadarus
Yayasan Terengganu

Husnul Khotimah ~ Ketika Sujud Di Masjid Nabawi

Gambar ini saya jumpa dalam satu blog. Khabarnya dari seorang rakan di Riyadh.
Alangkah indahnya hidup jika dapat mati dalam keadaan sebegini. Rasulullah pernah
bersabda (lebih kurang maksudnya) : "Dibangkitkan manusia pada hari kiamat
mengikut sebagaimana keadaan dia dimatikan"


اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا بسوء الخاتمة

Manusia lahir disambut dengan azan, mati manusia diiringi dengan solat...
Antara azan dan solat, alangkah singkatnya hidup ini!

Thursday, September 13, 2007

Geram, Sayu Dan Kesal..

Membaca satu artikel dalam laman web PMRAM, saya merasa sangat geram. Geram
kerana PMRAM dihalang hanya kerana ingin melakukan perkara-perkara baik dan
bermanfaat kepada ahlinya.

Walaubagaimanapun, saya akur dan sedar, itulah lumrah yang dihadapi oleh setiap
pejuang Islam sepanjang zaman tika berdepan kedegilan dan kebebalan musuh. Dengan
jelas Tuhan berfirman ketika menceritakan berkenaan Ashabul Ukhdud di dalam Surah Al-Buruj:

وما نقموا منهم الا أن يؤمنوا بالله العزيز الحميد
Dan mereka tidak marah dan tidak menyeksa orang-orang
beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada
Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji.

Kata Sayyid Qutb : "Maka inilah (satu-satunya) jenayah mereka ; iaitu mereka beriman
kepada Allah". Ayat itu ditujukan kepada orang kafir yang membunuh orang Islam dalam
kisah tersebut, tetapi sebagaimana kaedah yang diguna pakai dalam ilmu tafsir:

العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب
Pengajaran berdasarkan umumnya lafaz, bukan dengan khusus sebab

Bukanlah sukar untuk difahami, kisah2 ini diceritakan agar kita tidak menjejaki sikap keji mereka. Orang Islam tidak sepatutnya merasa selamat andai sifat2 itu bersarang dalam
hati. Ayat-ayat terakhir surah berkenaan harusnya menimbulkan gentar dalam hati :

بل الذين كفروا في تكذيب والله من ورآئهم محيط
Bahkan orang-orang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan
mendustakan kebenaran. Sedang Allah dari belakang, melingkungi mereka
(dengan kekuasaanNya)


Mereka terlupa ilmu Allah dan kekuasaanNya. Hakikatnya mereka lebih lemah dari
tikus2 yang dilanda taufan yang menggila! Jika tidak percaya, saya ada maklumat
sejarah ribuan tahun untuk menyokong keyakinan ini.

Dalam geram saya itu, timbul rasa sayu dan kesal. Sayu mengenangkan sahabat-sahabat
yang terus menerus ditekan dan diuji. Kesal kerana saya hanya mampu menjadi
pemerhati dan tidak berjuang bersama-sama mereka.

Moga madrasah Ramadhan yang baru hadir ini akan menyemai semangat juang dan pengorbanan dalam diri kita. Sebagaimana pemurahnya Rasulullah di bulan Ramadhan seumpama angin yang bertiup, sama-samalah kita menderma untuk dana syaqah
PMRAM. Jika selama ini aneka juadah memenuhi meja untuk berbuka atau bersahur,
apa salahnya dikurangkan sedikit untuk menderma. Andai seronok berbelanja untuk
persiapan raya, kenangkan masa hadapan generasi kemudian di bumi Mesir ini. Selagi
mana Pmram tidak mempunyai tapak sendiri, selagi itulah program kebajikan dan
dakwah PMRAM tidak bergerak lancar.

Persoalannya, sanggupkah kita berkorban?

Sekatan Pengajian!
Rabu, 12 September 2007

Oleh: Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden PMRAM

Bahang Ramadhan semakin terasa. Kerinduan terhadapnya akan diubati dengan
menjelangnya Ramadhan tak lama lagi. Di samping Ramadhan, satu lagi perkara yang
istimewa juga akan turut menjelma. Suatu majlis yang setiap tahun menjadi tarikan yang
hebat kepada warga Azhari di Perlembahan Nil ini. Rata-rata para Azhari akan turun membanjiri kota usang Kaherah. Maka berduyun-duyunlah manusia memenuhi kota
yang sememangnya sentiasa sesak dengan penduduknya. Semuanya datang untuk
menantikan majlis pengajian Tafaquh Fiddin oleh Fadhilatul Syeikh Nuruddin Marbu
Al-Banjari Al Makki. Seorang guru yang tidak asing lagi bagi warga Azhari di sini.

Cuma suasana tahun ini pasti berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Jika dahulunya pengajian diadakan di rumah-rumah negeri di sekitar Hayyu Asyir, tetapi pada tahun ini keistimewaan itu sudah tiada dek kerana sebab-sebab yang sukar untuk diungkapkan.
Kenapa sukar benar untuk kita diizinkan untuk berguru, belajar dan menimba pusaka
para Nabi dan Rasul terdahulu?

Tengok sajalah apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Satu persatu program yang
diadakan di dataran dengan bazarnya, kejohanan futsalnya, dan yang terbaru, festival
nasyid asean. Tak mengapalah dengan program-progran tersebut, tapi apabila diminta
untuk mengadakan majlis pengajian, tak mendapat kebenaran. Apakah program-
program tersebut lebih baik daripada majlis pengajian, yang sehinggakan majlis khusus
untuk mengingati Allah tak dibenarkan, sedangkan program-progran berbentuk sukaria menjadi keutamaan?

Adakah cara berfikir golongan ini sudah terbalik? Salahkah mengadakan majlis pengajian?
Atau salahnya cara manusia berfikir? Bukankah dengan bercambahnya kelas-kelas dan majlis-majlis ilmu seperti program tahunan PMRAM bersama Syeikh Nuruddin Al-Banjari
akan mendekatkan lagi hati para pelajar untuk mencintai Allah dan RasulNya agar mereka sedar bahawa mereka punya tugas yang wajib untuk dibereskan. Tugas untuk memandu masyarakat menuju keredhaan Allah. Kenapa pengajian bersama Syeikh Nuruddin
Al-Banjari diperpayahkan?

Justeru, saya menyeru semua warga Azhari tak terkecuali walau seorang pun, cuba
renung sejenak apa yang telah saya tulis di atas. Jika benar kita seorang yang cintakan
kepada majlis-majlis seperti ini dan mahukan majlis ini kembali seperti dahulu, marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah permudahkan urusan kita, kembalikan semula keistimewaan yang pernah kita kecapi sebelum daripada ini, dan Allah kembalikan
kepada kita cara berfikir yang sebenarnya yang sentiasa berpandukan wahyu bukan
nafsu. Sesungguhnya Allah itu Pemurah dan sentiasa mendengar doa hamba-hambanya.

Semoga kita semua dapat merasai nikmatnya majlis ilmu, lazat berada di dalamnya dan
sentiasa rindukan majlis-majlis sebegini. Semoga Allah menerima amalan dan kabulkan permintaan kita pada bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Alluhumma Amin.

Sumber : Laman Web PMRAM

Wednesday, September 12, 2007

10 Azam Di Awal Ramadan

1) Niatkan rasa sukacita kita dalam hati akan kedatangan bulan suci Ramadhan, “Barangsiapa yang dihatinya merasa gembira akan
kedatangan bulan Ramadhan, maka Allah haramkan jasadnya untuk
masuk neraka” – Al-hadith

2) Memohon ma’af kepada kedua orang tua, suami/isteri, anak,
saudara dan para sahabat atau kerabat anda, dimana setiap hari anda berhubungan
dengannya, lupakan kesalahan saudara Muslim anda yang pernah terjadi selama anda berhubungan

3) Bersihkan pakaian taqwamu dari hadas, najis mahupun penyakit hati (iri, dengki,
hasad, hasut, tamak, haloba, sombong, mencela, dendam, berbohong) sebelum , ketika
menjalankan ibadah puasa mahupun sesudahnya

4) Niatkan dalam hati untuk melaksanakan ibadah puasa ini dengan penuh kesungguhan
dan sekuat tenaga untuk menjalankan juga ibadah – ibadah nafila (tambahan)

5) Tingkatkan Iman dan Taqwa, selenggarakan & hadiri majlis ilmu Islam ditempat anda.

6) Perbanyak membaca dan memahami Al-Qur’an Al-Karim, kalau mampu upayakan khatam 1 (satu) Juz sehari selama ibadah puasa dan jadikan amalan dalam hidup setelah Ramadhan berlalu

7) Lakukan aktiviti biasa anda sehari-hari dan tingkatkan kualitinya selama ibadah puasa, tinggalkan perbuatan maksiat dan perbuatan yang sia-sia tanpa nilai pahala

8) Tingkatkan amar ma’ruf nahi munkar, saling nasihat menasihati di jalan Allah dan
perbanyakkan bersabar.

9) Usahakan anda beri’tikaf ( berdiam diri / menginap di dalam Masjid untuk
memperbanyakkan kegiatan ibadah) selama 10 (sepuluh) hari terakhir Ramadhan,
sesuai sunnah Rasulmu.

10) Ingatlah, bukan pakaian yang baru yang diterima disisi Allah SWT tetapi
kesempurnaan ibadah kita yang utama.

Ahlan Ya Ramadan!


~Sempena Ramadhan yang tiba ini, kami sekeluarga memohon ampun dan
maaf jika ada salah dan silap, terkasar bahasa, terguris hati dan perkara-perkara yang
sewaktu dengannya. Semoga Ramadan kali ini memberi makna yang mendalam dalam kehidupan kita semua dan menjadi medan tarbiah yang terbaik~

كل عام وأنتم بخير وإلى الله أقرب

Tuesday, September 11, 2007

KENYATAAN MEDIA BERSIH


KENYATAAN MEDIA

Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)


1) Pada 8 September 2007, Badan Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang menggabungkan parti-parti politik dan NGO merancang untuk mengadakan majlis perhimpuan aman berupa road show untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil di Batu Buruk, Kuala Terengganu.

2) Pihak penganjur telah membuat permohonan permit polis sebagaimana yang sewajarnya namun permit tidak dikeluarkan kepada pihak penganjur walaupun rayuan telah dibuat.
3) Pihak penganjur telah mendirikan pentas program namun pada jam 5 petang polis telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah yang digunakan pihak penganjur dan merobohkan pentas itu tanpa keizinan tuan rumah.

4) Polis kemudiannya membuat sekatan jalan dan halangan beberapa kilometer dari tempat majlis hendak diadakan agar orang ramai tidak masuk ke kawasan itu.

5) Pada sebelah malamnya, kira-kira jam 9.40 malam, para pemimpin BERSIH termasuk Dato’ Mustafa Ali telah dihalang dari masuk ke kawasan majlis itu. Mereka termasuklah Dr Syed Azman Syed Ahmad (wakil BERSIH), Haji Muhamad Sabu (wakil PAS), Tan Sri Khalid Ibrahim (wakil PKR), YB Leong Ngah Ngah (wakil DAP) dan Haji Azmi Hamid (Teras).

6) Perbincangan dibuat antara mereka dan polis namun program itu tidak dibenarkan untuk diadakan.

7) Ekoran dari itu, ketegangan telah timbul antara polis dan orang ramai yang berhimpun. Kemudiannya FRU mula menembak water canon dan gas pemedih mata ke arah orang awam secara membabibuta. Ia berterusan hingga jam 1.30 pagi.

8) Salah seorang anggota polis yang tidak beruniform didapati telah melepaskan beberapa das tembakan di tengah-tengah orang awam yang berhimpun secara aman. Ia telah terkena kepada seorang awam bernama Suwandi Abdul Ghani, 37, dan menembusi paru-parunya, Seorang lagi, Muhamad Azman Aziz, 21, telah terkena pada lehernya. Sehingga kini, Suwandi telah dipindahkan ke Hospital Kubang Kerian (dari Hospital Kuala Terengganu) untuk menerima rawatan lanjut.

9) Berpuluh-puluh orang awam telah tercedera dan empat dari mereka parah.

10) 23 orang dari orang awam telah ditangkap termasuk tiga wartawan akhbar tempatan. Dua dari mereka telah ditahan reman.

11) Ekoran huruhara ini, pelbagai kerosakan berlaku kepada harta awam. Ia hanya reda selepas polis meninggalkan kawasan ini kira-kira jam 1.30 pagi.

Kami dengan ini berpendirian:-

1) Peristiwa ini berlaku selepas polis melakukan provokasi dan bertindak secara tidak profesional dengan menembak gas pemedih mata dan memancut air ke atas orang ramai yang sedang beracun.

2) Bagi menghormati keputusan polis, pihak penganjur tidak bercadang untuk meneruskan program ceramah pada malam itu dan pimpinan yang hadir sedang menyelaraskan pembatalan itu dengan pihak tuan rumah dan petugas. Pihak penganjur juga telah memaklumkan kepada polis, majlis tidak akan diteruskan. Namun provokasi yang berterusan telah dilakukan oleh pihak polis.

3) Program Bersih yang dianjurkan pada malam itu bertujuan mengajak rakyat menuntut dan memahami hak mereka dalam sebuah negara demokrasi untuk mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih. Antara tuntutan Bersih adalah penggunaan dakwat kekal, pembersihan daftar pemilih, menghapuskan undi pos dan menjamin media yang adil dan tidak berpihak.

4) Malangnya, polis telah digunakan untuk menyekat program bagi menyedarkan rakyat tentang hak mereka dalam sebuah negara demokrasi padahal polis sepatutnya menjalankan tugas untuk menurunkan kadar jenayah yang begitu tinggi sekarang ini dan menjadi masalah sebenar kepada rakyat sekarang.

5) Yang malang lagi, ada polis telah menggunakan peluru hidup dalam mengendalikan perhimpunan aman sebegini. Penggunaan peluru hidup dalam mengendalikan program sebegini adalah tidak berasas dan sangat dikesali.

6) Bagi kami polis telah gagal mengendalikan perhimpunan tersebut berdasarkan prosedur undang-undang polis sendiri. Antaranya tiada pengumuman meminta orang ramai bersurai.

Kami dengan ini menuntut:

1) Penubuhan Suruhanjaya Diraja Bebas untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku di Batu Buruk pada 8 September.

2) Penjelasan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang juga Perdana Menteri serta Ketua Polis Negara terhadap penggunaan peluru hidup dalam mana-mana perhimpunan aman sebegini.

3) Segala perhimpunan aman yang dianjurkan oleh mana-mana badan yang sah tidak memerlukan permit polis dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak polis.

4) Polis tidak lagi diperalatkan oleh Umno/BN untuk kepentingan politik murahan mereka.

5) Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Idris Jusoh selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri agar bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian ini.

Maka kami yang mewakili BERSIH sekali lagi menegaskan pendirian bahawa kami terus komited memperjuangkan tuntutan untuk mendapatkan demokrasi dan pilihan raya yang adil secara aman di negara Malaysia yang tercinta ini.

Pada 10 September 2007

Monday, September 10, 2007

Apa yang sebenarnya berlaku di Kuala Terengganu?

Rentetan soalan Saudari Iman (sila lihat di shoutbox), saya bawakan artikel ini jawapan buat soalan itu.

Apa yang sebenarnya berlaku di Kuala Terengganu?

Ia sepatutnya menjadi majlis ceramah umum. Tuan rumah di tempat ceramah tersebut telah berpuluh kali membenarkan kawasan rumahnya dijadikan tempat cermah oleh PAS, dan sepanjang sejarah tidak pernah berlaku gangguan apabila majlis-majlis ceramah dianjurkan di situ.



Tiba-tiba pihak polis enggan memberikan permit apabila BERSIH atau Gabungan Pilihnaraya Bersih dan Adil (badanag dianggotai PAS, PKR, DAP dan beberapa NGO lain) mahu mengadakan ceramah di tempat yang sama. Alasan-alasan penolakkan yang diberikan semuanya bukan merupakan isu sebelum ini.

Lalu dipaksa batallah majlis tersebut. Yang menjadi isu adalah cara bagaimana ianya dibatalkan. Pihak polis melalui FRU menggunakan gas pemedih mata dan memancut air dari water canon nya. Itu taktik biasa, walaupun pada malam tersebut tindakan itu dirasakan amat keterlaluan kerana pihak penganjur telah pun berjanji akan memaklumkan dari hal pembatalan itu kepada yang hadir secara aman.

Isu yang paling besar adalah seorang anggota polis telah melepaskan tembakan dari senjatapinya, peluru hidup ke arah mereka yang hadir. Menurut laporan para pendokong PAS yang terlatih telah mengenal-pasti seorang penghasut dikalangan mereka, yang tidak dikenali. Dalam suasana haru-biru itu, seorang penghasut upahan memang mampu membakar semangat dan mencetuskan lagi ketegangan. Lalu beliau telah dipeganga dan didapati rupanya beliau seorang anggota polis yang tidak beruniform.

Apakah tindakan anda jika berada dalam situasi itu? Dahlah suasana tegang rupa-rupanya ada pula penghasut yang mahu menghasut agar para hadirin yang hadir melakukan keganasan! Bila diselidik, penghasut itu pula rupanya anggota polis yang sepatutnya memelihara keamanan. Lalu patilah mereka yang hadir akan marah.

Kalau sekadar hadir berunifrom seperti anggota FRU dan pegawai polis yang lain, tak mengapa, mereka dapat dicam dan dikenali dan mereka biasanya tidak membuat kerja-kerja biadap ini. Tetapi yang ini hadir semata-mata untuk membuat kacau.

Siapa pun yang waras yang hadir pada malam itu akan marah dan bertindak. Lalu si penghasut tadi dipegang, dan dalam kekalutan itu, beliau yang menempah penyakit, cuba melepaskan diri lalu dilepaskannya beberapa das tembakan dari senjatapi yang dibawanya.
Hasil dari tembakan itu terkena seorang bernama Suwandi Abdul Ghani di dadanya (diberitakan baru sahaj menjalani pembedahan di HUSM, Kubang Kerian) dan seorang lagi Muhamad Azman terkena dileher dan kini berada di Hsopital Kuala Terengganu.

Mengapa perlu ditembak dengan peluru hidup?

Tajuk akhbar hari ini sepatutnya bukan: 4 polis cedera rusuhan di Kuala Terengganu (Berita Harian) atau RM1 million damage 23 held (NST) 27 held and 7 injured in riot (The Sun) tetapi sepatutnya:

Polis tembak peluru hidup ke arah orang awam!

Sebentar tadi pihak BERSIH telah mengadakan sidang akhbarnya, dan tuntutan utama mereka agar satu Suruhanjaya Di Raja segera diadakan bagi menyiasat punca kejadian ini dan apa yang yang sebenarnya berlaku. Jangan kerongkong kita disumbat dengan versi pihak polis dan Umno/BN Terengganu. Biar siasatan terbuka dan adil dibuat. Kalau benar yang bersalah BERSIH atau PAS biar kita bongkar, sebagaimana kalau yang salah polis dan Umno/BN biar kita bongkar juga. Biar rakyat tahu yang sebenarnya.

Kerana kini ada pihak yang mengatakan rupanya kejadian ini sudah pre planned. Sengaja diadakan untuk menggagalkan ceramah BERSIH dan menghitamkan wajah pembangkang khasnya PAS dan PKR yangs emakin mendapat tempat di Terengganu.

Ayuh atas darah dua orang rakyat Malaysia yang tumpah di bumi Batu Burok ini kita tuntut agar Suruhanjaya Bebas Di Raja segera dibentuk biar rakyat Malaysia sendiri mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Oleh Roslan SMS

Wednesday, September 5, 2007

Dia Datang Lagi...

Dia datang lagi..Menyingkap kembali lembaran-lembaran cinta kami, menjanjikan
nostalgia-nostalgia indah yang baru..

Perasaan saya bercampur-baur. Gembira, sedih, tertawa, rindu dan sebak datang
bertimpa-timpa, bertali arus.

Pertama kali saya menemuinya, tahun 2004. Saya masih ingat (tak mungkin saya lupa kenangan itu) tika itu saya baru mendirikan rumahtangga. Entahlah, patutkah perasaan
ini timbul? Bumi Assofirah menjadi tempat cinta pertama kami bersemi. Di bawah hujan renyai-renyai, kami bersua. Benarlah, cinta dan sayang itu mengatasi segalanya, titisan-
titisan hujan itu tidak mematahkan semangat saya, bahkan dia menyaksikan betapa
hujan renyai-renyai tu saya harungi, semata-mata untuk membuktikan cinta yang
terpateri..

Saban tahun berlalu selepas itu. Dan saban tahun juga saya memendam perasaan rindu
untuk bergelak ketawa dan menangis bersamanya. Dari masa ke semasa, kami
memasang hasrat dan mengikat janji setia untuk bertemu walau seketika. . Hujan,
kemarau, panas, sejuk, semuanya tidak menghalang kami berjumpa.
Tidak cukup di
tempat terbuka kami bersemuka di tempat tertutup. C
inta dan sayang kami makin jitu,
tidak mampu di tahan-tahan lagi...

Dan kali ini dia datang lagi. Menjenguk saya. Mengintai saya dari jauh. Melambai-
lambai saya .Tak mungkin seorang perindu seperti saya mengabaikan jelingan matanya.
Tidak mungkin saya mampu berpaling dari lambaiannya..

Namun, tidak seperti pertemuan-pertemuan sebelum ini, saya lebih sebak dan
bimbang untuk berjumpanya. Saya sebak kerana mengingatkan ini mungkin pertemuan
kami yang terakhir. Dan saya bimbang kalau-kalau kenangan indah yang tercipta akan
menyakitkan jiwa saya apabila kami berpisah..

Dia datang lagi. Ya, SHKU datang lagi...dan selepas ini? Hanya Allah yang
mentaqdirkan...

Nota Kaki:

1. SHKU ialah Sambutan Hari Keluarga Unit Mutazawwjin Iskandariah.
2. SHKU pertama kali diadakan pada tahun 2004 bertempat di padang Bu'uth Asofirah.
Keadaan pada hari itu hujan renyai-renyai.
3. SHKU mempunyai dua kategori acara, acara padang (terbuka) dan acara dewan (tertutup).
3. Esok hari akan berlansung SHKU kali ke-7. Saya yakin dan pasti semua ahli UMI akan sama-sama melibatkan diri untuk memeriahkannya.





Biarpun Sibuk...

'Sakit misteri' saya belum sembuh. Rasa 'beku' itu masih menghantui saya. Rentetan
tulisan saya berkenaan 'sakit' ini, beberapa sahabat saya yang prihatin ada memberikan
respon bagi mengatasi ke'beku'an saya itu. Ada yang mencadangkan saya pergi bersiar-
siar menenangkan fikiran. Ada yang bimbangkan dirinya menjadi penyebab kerana
sebelum saya menulis berkenaan sakit misteri itu, saya makan nasi dagang di rumahnya. Bimbang betul dia kalau-kalau saya menjadi sedemikian kerana tak puas hati makan nasi dagang lantaran mengetahui gemarnya saya pada nasi dagang. Maaf andai tulisan saya
semakin mengarut. Bukankah saya telah katakan, saya masih 'sakit'? Orang sakit ni
banyak karenahnya, oleh itu bersabarlah!

Bertujuan membina kekuatan diri, saya jelajah blog-blog yang saya minati. Konon-
kononnya ingin menyerap semangat dan kesungguhan yang tersirat di balik tulisan-
tulisan mereka. Alhamdulillah ada juga hasilnya. Dalam 'penjelajahan maya' saya itu,
saya benar-benar terharu membaca satu artikel tulisan Us Nasaruddin Tantawi
berkenaan TG Haji Abdul Hadi Awang.

Telah sekian lama saya menganggap TG sebagai idola saya. Mengimbau kenangan di
Thanawi, saya dan sahabat-sahabat seperjuangan ketika itu benar-benar terpengaruh
dengan TG. Kalau boleh segala yang terbit dari beliau ingin kami tiru. Dari cara
berjalan, lengang-lengguk suara dan pergerakan badan ketika berpidato sehinggalah
cara duduk dan bangun ketika solat! Pernah satu ketika, apabila TG menggunakan tali
pengikat kaca mata(maaf saya tak pasti apa istilahnya), cepat-cepat saya ke bandar
untuk membeli tali pengikat kaca mata sepertimana beliau.Itu belum diceritakan lagi
bagaimana kami satu van mengejar jip yang membawa TG pulang dari ceramah.
Entah apa tujuannya, kami pun tidak pasti. Mungkin mengharapkan TG menyedari
kehadiran kami walaupun apalah layaknya kami untuk mendapat perhatian dari
seorang yang begitu kami kagumi dan hormati..

Dulu saya gembira kerana merasakan telah menunaikan 'kewajipan' kami terhadap
idola kami. Sebaliknya, apabila membaca tulisan Us Nasaruddin itu, saya terhenyak
di timpa kekesalan. Rupa-rupanya saya telah melupakan perkara terpenting yang
sepatutnya ditiru dari beliau. Iaitu SEMANGAT JUANG dan PENGORBANAN.
TG memang hebat dari segi luaran, tetapi yang lebih hebat dan lebih penting untuk
dteladani dan di'copy-paste' ialah apa yang ada di dalam jiwanya. Bukankan
Rasulullah pernah menyatakan:

إن الله لا ينظرإلى أجسامكم ولا إلى صوركم ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan dan rupa paras
kamu tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu.”
( Riwayat Muslim).

Diri ini terasa sungguh kerdil tika membaca kisah beliau. Selalu merasakan diri sibuk,
telah banyak berjuang dan berkorban, namun hakikatnya hanyalah mainan perasaan semata-semata. Apabila diminta 'memberi', sering menyenaraikan alasan yang berjela-
jela. Tentu seorang sahabat saya merasa jengkel mendengar alasan-alasan saya apabila
diminta memberi pengisian. Bukanlah saya ingin membenarkan tindakan sendiri, tetapi
saya menganggap medan di sini lebih sebagai latihan, andai latihan tertumpu kepada
individu tertentu, alangkah ruginya mereka yang lain. Saya tak pasti, bolehkah alasan
ini diterima?

Yang pastinya, setelah membaca artikel tersebut, saya sedar bahawa saya tidak boleh
pasrah dengan 'sakit misteri' ini. Saya mesti bangkit melawannya! Tiada gunanya saya
berpeluk tubuh mengikut rasa hati..

Untuk anda semua, saya bawakan artikel yang dimaksudkan. Hayatilah ia dengan
sepenuh hati, mungkinkah akan berlinangan air mata anda?

BIAR PUN SIBUK

Ternyata sangkaan saya meleset teruk apabila menyangka jadual aktiviti harian saya bersama jamaah terlalu ketat dan padat.

Manakan tidak , sewaktu saya berkesempatan dalam satu majlis ceramah bersama Ayahanda Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi di DUN Kemasik Kemaman , jelas dan ketara raut wajah beliau yang sangat keletihan tetapi beliau tidak pernah tahu untuk menolak permintaan orang ramai .

Pada malam tersebut sejurus selasai solat berjamaah dan makan , Tok Guru di minta
untuk tahnik empat bayi yang baru lahir ( 2 pasang bayi kembar ) . Tok guru pantas
menerima laksana itu sebahagian dari kewajipan utama beliau dan cukup membuatkan
kedua - kedua ibu bapa bayi tersebut tersenyum puas dan berterima kasih kepada Tok
Guru.

Setelah selesai majlis tahnik , kami berangkat pula ke
tapak ceramah yang dijadualkan akan berlangsung jam
9.30 malam sempena hari keluarga PASTI DUN Kemasik .

Saya sempat bertanya Tok Guru : " Ayah Chik ! lepas
ceramah nanti , Ayah Chik tidur di sini ker ? " Tok Guru
perlahan menjawab : " Ana akan terus ke Kuala Lumpur,
pagi esok ada program di sana ."

Saya tidak memberi sebarang reaksi kerana sangat memahami tugas Tok Guru yang
sangat banyak sebagai Presiden parti.

Apabila tiba giliran Tok Guru menyampaikan ceramah , ( setelah 45 minit saya
mengambil tempat sebagai penceramah pertama yang diundang pada malam itu ) saya
agak tersentuh mendengar suara Tok Guru . Suara yang pertama berjaya menusuk
sanubari ini lantas menimbulkan kesedaran untuk menuntut ilmu dan berjuang pada
tahun 1986 yang lalu ( di Masjid Rusila )

Saya tersentuh mendengar suara Tok Guru yang kian garau dan serak. Terkadang
hampir tidak keluar suaranya di permulaan ceramah demikian juga sekali sekala
tenggelam suaranya di pertengahan ceramah.

Keadaan fizikalnya yang telah berusia , kelihatan Tok Guru seperti memaksa untuk mengeluarkan suara bagi melontarkan lafaz dan kata yang berintonasikan semangat
dan ketegasan seorang pemimpin .

Sebaik sahaja selesai ceramah , saya menghampiri Tok Guru lantas sekali lagi berkata:
"Ayah Chik , teruk sangat dah suara Ayah Chik nih" Tok Guru kata : "Nak buat
macam mana , kebelakangan ini , 4 atau 5 program sehari dan semuanya nak kena
pakai suara "

Saya diam sambil cuba untuk menahan air mata ini mengalir.

Sunday, September 2, 2007

Entahlah..

Entahlah, kenapa saya rasa agak 'beku' untuk menulis. Apakah yang sebenarnya sedang
menimpa saya?

Jiwa saya meronta-ronta, mendesak agar jari jemari saya mengetuk keyboard buat
mencatatkan sesuatu sempena Hari Kemerdekaan. Otak sudah beberapa kali merangka-
rangka isi. Malangnya setelah beberapa kali saya mencuba, sudahnya saya hanya
merenung kosong monitor Samsung ini.

Entahlah, apa yang berlaku? Saya benar-benar tidak faham. Bersimpang-siur persoalan
dalam kepala saya.

Sungguh berat ujian kali ini. Doakan saya..