Wednesday, September 5, 2007

Biarpun Sibuk...

'Sakit misteri' saya belum sembuh. Rasa 'beku' itu masih menghantui saya. Rentetan
tulisan saya berkenaan 'sakit' ini, beberapa sahabat saya yang prihatin ada memberikan
respon bagi mengatasi ke'beku'an saya itu. Ada yang mencadangkan saya pergi bersiar-
siar menenangkan fikiran. Ada yang bimbangkan dirinya menjadi penyebab kerana
sebelum saya menulis berkenaan sakit misteri itu, saya makan nasi dagang di rumahnya. Bimbang betul dia kalau-kalau saya menjadi sedemikian kerana tak puas hati makan nasi dagang lantaran mengetahui gemarnya saya pada nasi dagang. Maaf andai tulisan saya
semakin mengarut. Bukankah saya telah katakan, saya masih 'sakit'? Orang sakit ni
banyak karenahnya, oleh itu bersabarlah!

Bertujuan membina kekuatan diri, saya jelajah blog-blog yang saya minati. Konon-
kononnya ingin menyerap semangat dan kesungguhan yang tersirat di balik tulisan-
tulisan mereka. Alhamdulillah ada juga hasilnya. Dalam 'penjelajahan maya' saya itu,
saya benar-benar terharu membaca satu artikel tulisan Us Nasaruddin Tantawi
berkenaan TG Haji Abdul Hadi Awang.

Telah sekian lama saya menganggap TG sebagai idola saya. Mengimbau kenangan di
Thanawi, saya dan sahabat-sahabat seperjuangan ketika itu benar-benar terpengaruh
dengan TG. Kalau boleh segala yang terbit dari beliau ingin kami tiru. Dari cara
berjalan, lengang-lengguk suara dan pergerakan badan ketika berpidato sehinggalah
cara duduk dan bangun ketika solat! Pernah satu ketika, apabila TG menggunakan tali
pengikat kaca mata(maaf saya tak pasti apa istilahnya), cepat-cepat saya ke bandar
untuk membeli tali pengikat kaca mata sepertimana beliau.Itu belum diceritakan lagi
bagaimana kami satu van mengejar jip yang membawa TG pulang dari ceramah.
Entah apa tujuannya, kami pun tidak pasti. Mungkin mengharapkan TG menyedari
kehadiran kami walaupun apalah layaknya kami untuk mendapat perhatian dari
seorang yang begitu kami kagumi dan hormati..

Dulu saya gembira kerana merasakan telah menunaikan 'kewajipan' kami terhadap
idola kami. Sebaliknya, apabila membaca tulisan Us Nasaruddin itu, saya terhenyak
di timpa kekesalan. Rupa-rupanya saya telah melupakan perkara terpenting yang
sepatutnya ditiru dari beliau. Iaitu SEMANGAT JUANG dan PENGORBANAN.
TG memang hebat dari segi luaran, tetapi yang lebih hebat dan lebih penting untuk
dteladani dan di'copy-paste' ialah apa yang ada di dalam jiwanya. Bukankan
Rasulullah pernah menyatakan:

إن الله لا ينظرإلى أجسامكم ولا إلى صوركم ولكن ينظر إلى قلوبكم وأعمالكم

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan dan rupa paras
kamu tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu.”
( Riwayat Muslim).

Diri ini terasa sungguh kerdil tika membaca kisah beliau. Selalu merasakan diri sibuk,
telah banyak berjuang dan berkorban, namun hakikatnya hanyalah mainan perasaan semata-semata. Apabila diminta 'memberi', sering menyenaraikan alasan yang berjela-
jela. Tentu seorang sahabat saya merasa jengkel mendengar alasan-alasan saya apabila
diminta memberi pengisian. Bukanlah saya ingin membenarkan tindakan sendiri, tetapi
saya menganggap medan di sini lebih sebagai latihan, andai latihan tertumpu kepada
individu tertentu, alangkah ruginya mereka yang lain. Saya tak pasti, bolehkah alasan
ini diterima?

Yang pastinya, setelah membaca artikel tersebut, saya sedar bahawa saya tidak boleh
pasrah dengan 'sakit misteri' ini. Saya mesti bangkit melawannya! Tiada gunanya saya
berpeluk tubuh mengikut rasa hati..

Untuk anda semua, saya bawakan artikel yang dimaksudkan. Hayatilah ia dengan
sepenuh hati, mungkinkah akan berlinangan air mata anda?

BIAR PUN SIBUK

Ternyata sangkaan saya meleset teruk apabila menyangka jadual aktiviti harian saya bersama jamaah terlalu ketat dan padat.

Manakan tidak , sewaktu saya berkesempatan dalam satu majlis ceramah bersama Ayahanda Datuk Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi di DUN Kemasik Kemaman , jelas dan ketara raut wajah beliau yang sangat keletihan tetapi beliau tidak pernah tahu untuk menolak permintaan orang ramai .

Pada malam tersebut sejurus selasai solat berjamaah dan makan , Tok Guru di minta
untuk tahnik empat bayi yang baru lahir ( 2 pasang bayi kembar ) . Tok guru pantas
menerima laksana itu sebahagian dari kewajipan utama beliau dan cukup membuatkan
kedua - kedua ibu bapa bayi tersebut tersenyum puas dan berterima kasih kepada Tok
Guru.

Setelah selesai majlis tahnik , kami berangkat pula ke
tapak ceramah yang dijadualkan akan berlangsung jam
9.30 malam sempena hari keluarga PASTI DUN Kemasik .

Saya sempat bertanya Tok Guru : " Ayah Chik ! lepas
ceramah nanti , Ayah Chik tidur di sini ker ? " Tok Guru
perlahan menjawab : " Ana akan terus ke Kuala Lumpur,
pagi esok ada program di sana ."

Saya tidak memberi sebarang reaksi kerana sangat memahami tugas Tok Guru yang
sangat banyak sebagai Presiden parti.

Apabila tiba giliran Tok Guru menyampaikan ceramah , ( setelah 45 minit saya
mengambil tempat sebagai penceramah pertama yang diundang pada malam itu ) saya
agak tersentuh mendengar suara Tok Guru . Suara yang pertama berjaya menusuk
sanubari ini lantas menimbulkan kesedaran untuk menuntut ilmu dan berjuang pada
tahun 1986 yang lalu ( di Masjid Rusila )

Saya tersentuh mendengar suara Tok Guru yang kian garau dan serak. Terkadang
hampir tidak keluar suaranya di permulaan ceramah demikian juga sekali sekala
tenggelam suaranya di pertengahan ceramah.

Keadaan fizikalnya yang telah berusia , kelihatan Tok Guru seperti memaksa untuk mengeluarkan suara bagi melontarkan lafaz dan kata yang berintonasikan semangat
dan ketegasan seorang pemimpin .

Sebaik sahaja selesai ceramah , saya menghampiri Tok Guru lantas sekali lagi berkata:
"Ayah Chik , teruk sangat dah suara Ayah Chik nih" Tok Guru kata : "Nak buat
macam mana , kebelakangan ini , 4 atau 5 program sehari dan semuanya nak kena
pakai suara "

Saya diam sambil cuba untuk menahan air mata ini mengalir.

0 comments: