Saturday, August 25, 2007

Adakah Kita Telah Benar-Benar Beriman?

Ibu saya selalu berkata kepada saya: "Mie ni murah rezeki". Saya kurang pasti, adakah kata-kata itu naluri seorang ibu atau ucapan doa daripadanya. Cuma ibu saya selalu berkata dia tak pernah mendoakan perkara-perkara buruk bagi anaknya. Walaubagaimana teruji dan tercabar hati dan perasaannya, tidak pernah saya dengar kata-kata buruk keluar dari mulutnya.

Barangkali, berkat doa ibu saya itu, semalam tanpa sengaja, asalnya hanya untuk berjumpa dengan seorang sahabat di rumah seorang sahabat yang lain, saya ditarik oleh tuan rumah untuk sama-sama menjamu selera. Rupa-rupanya ada program Muzakarah Berkelompok (usrah) yang diadakan di situ dan saya betul-betul 'langkah kanan' kerana tiba di waktu program sudah berakhir dan mereka sedang menjamu selera. Kerana ingatkan pepatah
'rezeki depan mata jangan ditolak' (hehe) dan untuk tidak menghampakan tuan rumah
(hehe kali kedua) saya dengan berat hati (hehe kali ketiga) menerima pelawaan tuan
rumah yang begitu bersungguh-sungguh mempelawa. Nasi berlaukkan ikan mabrukah
(sejenis ikan sungai di Mesir) yang dimasak singgang dan goreng, berulamkan kacang
buncis rebus dan terung goreng, ditambah sambal belacan, benar-benar membangkitkan
selera. Lupa sekejap yang saya sekarang berada di Mesir bukan di Malaysia.

Maaf jika saya mengecurkan liur anda. Sebenarnya itu bukanlah main point yang ingin
saya kongsi dengan sahabat-sahabat semua. Hidangan itu memang saya ingat
sehingga saat ini, tetapi yang lebih saya ingat ialah air muka ketua kumpulan dan tuan
rumah sendiri. Mereka tidak luahkan apa-apa, tetapi saya boleh selami perasaan
mereka. Bayangkan dari seramai 10 orang ahli, hanya 3 orang yang hadir (ketua, tuan
rumah dan seorang ahli). 2 orang lagi ialah seorang tetamu yang diundang dan seorang
tetamu yang tidak diundang ( sayalah tu!).

Saya tidaklah mahu menuduh sesiapa (tambahan lagi saya pun bukanlah seorang yang
komited menghadiri program-program) kerana saya yakin dan percaya ahli-ahli
kumpulan mempunyai hal-hal penting yang tidak dapat dielakkan, tetapi kadangkala
kita juga perlu menjiwai perasaan sahabat-sahabat kita. Begitu susah payah ketua
muzakarah menghubungi ahli-ahli dan saya difahamkan kalau diikutkan sibuk, ketua muzakarah mungkin tak dapat menghadiri program tersebut kerana mengambil
tender memasak untuk sekumpulan pelajar di sini.Tetapi segalanya ditinggalkan
semata-semata untuk bersama sahabat-sahabat lain. Demikian juga tuan rumah yang
berpenat lelah memasak juadah yang begitu menyelerakan. Andai kita berada di
tempat mereka, apakah perasaan kita? Tidak keterlaluan kalau dikatakan anda tidak
siuman lagi seandainya masih boleh bergembira..

Rasanya tidak perlulah saya ulas panjang berkenaan program itu, kerana rata-rata
sudah memahami kepentingan dan faedah yang kita dapati darinya. Lebih-lebih
lagi kita yang berstatuskan pelajar agama. Bagi saya, menjadi terlalu aib jika pelajar
jurusan agama liat untuk ke program-program seperti ini. Pernah saya bergurau
dengan Ustaz Hairul Nizam, presiden PMRAM, mencadangkan supaya bercuti usrah memandangkan ketika itu hari raya, dengan tegas beliau menjawab "Hanya mati yang
bolehkan kita cuti usrah". Satu jawapan yang menyebabkan saya tersentak dan malu
sendirian kerana meremehkan kepentingan usrah.

Kerana itu, cuba-cubalah berusaha luangkan masa kita untuk menghadiri program-
program. Cubalah dahulukan program-program itu dari hal-hal peribadi lain. Kerana
faedah yang diperolehi adalah untuk kepentingan diri sendiri khususnya dan ummah
amnya.

Andai rasakan program tidak diatur dengan baik, tidak bermanfaat, tidak ceria, tiada
hubungan yang mesra antara ahli-ahli dan sebagainya, libatkan diri, beri cadangan,
isikan program dengan ilmu anda, imarahkannya dan sebagainya untuk memperbaiki
dan memantapkan lagi program yang diadakan.Usah hanya pandai mengkritik dan
cakap-cakap belakang, segalanya tak akan selesai. Apatah lagi jika memencilkan diri
dari program-program. Jadilah orang yang berani, yang bersedia menghadapi dan menyelesaikan masalah, bukannya pengecut yang melarikan diri, atau hanya pandai
mengkritik dan mencari kesilapan orang, tanpa cuba untuk terlibat sama guna
menatijahkan sesuatu yang terbaik!

Akhirnya, buat pimpinan-pimpinan dan penggerak-pengerak program, teruskan
perjuangan anda, penat lelah anda besar nilaiannya di sisi Allah. Ujian dan cubaan yang mendatang, anggaplah sekadar deruan ombak yang takkan putus selagi sangkakala
tidak ditiupkan. Ianya adalah siri tarbiyyah dari Allah untuk menapis siapakah dari
hamba-hambaNya yang benar-benar beriman!

Dan buat kita semua sebagai golongan yang dipimpin (ahli) berilah sokongan sehabis
mampu selagi ianya tidak menyalahi syariat. Jiwailah perasaan pimpinan dan penggerak,
letakkan kita di tempat mereka, bayangkan apa perasaan mereka, adakah mereka
gembira atas perlakuan dan sikap yang kita tunjukkan atau sebaliknya. Bukankah itu
sifat mukmin yang sebenarnya sebagaimana dijelaskan di dalam hadis yang kita semua
hafal dan selalu ulangi

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

"Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia mencintai untuk
saudaranya apa yang dia
cintai untuk dirinya sendiri "
(hadis riwayat Bukhori dan Muslim)


Dan ketika meninggalkan rumah sahabat saya itu semalam, kaki saya terasa berat.
Berat memikirkan perasaan tuan rumah dan ketua kumpulan. Juga saya terbeban
memikirkan adakah nasib yang sama juga akan saya hadapi dengan muzakarah
berkelompok saya sendiri yang saya rancangkan untuk diadakan minggu ini?? Cepat-
cepat saya buangkan sangkaan itu jauh-jauh kerana saya yakin dan percaya yang
sahabat-sahabat tak mungkin menghampakan saya..

Ya Allah, anugerahkanlah taufik dan inayahMu, ringankanlah kaki-kaki kami,
lembutkanlah hati-hati kami agar dapat bersama-sama golongan yang meninggikan
syariatMu.







1 comments:

Abu Akhfash said...

Memang benar apa yang dikatakan oleh penulis.Kita terkadang tidak terasa akan kepentingan usrah ini. Tiada siapa pun yang dapat menafikan kebaikan dan kepentingannya.

Saya masih ingat ketika saya baru sampai di sini. Naqib mengatakan biarlah ahli tidak pergi program, cukuplah kalau dia aktif dan tidak pernah tinggal usrah. Sebab itulah PMRAM amat mengutamakan usrah berbanding program lain.

Semasa saya di UIA, usrah atau namanya di sana 'Halaqah Ilmiah' dimasukkan sebagai credit hour dalam kuliah. Siapa yang tidak pergi usrah,secara automatik credit hour dipotong dan tidak boleh perolehi ijazah. Ini membuktikan betapa pentingnya usrah. Biarlah apa saja nama yang diberi, tetapi kepentinganya tidak boleh dinafikan.

Moga usrah enta pada minggu ini berjaya. Korbanlah sedikit masa untuk kebaikan. Jangan hanya pandai memberi alasan dan mencari peluang untuk melarikan diri.

Wallahu A'lam.