Sunday, August 12, 2007

Demam Blog?

Saya tersenyum sendirian tatkala membaca satu komen dalam blog sahabat saya
yang juga berada di Iskandariah. Komen itu begini:


sahabat : skrg ni suma padam (gelaran bg suami dikalangan pljr Msia di Mesir)
demam blog ka?

Saya tersenyum kerana mengingatkan semakin ramai sahabat seperjuangan di
Iskandariah yang membina blog masing-masing, walaupun mereka rata-ratanya
tidak mempunyai latar belakang penulisan yang hebat. Terutamanya saya sendiri
yang sering terkial-kial menyiapkan satu-satu artikel. Syukurlah ada zaujah
tersayang yang banyak membantu sebagai juru edit dan tempat berkongsi idea.

Sekadar maklumat, blog ini adalah singkatan kepada WEBLOG iaitu menurut istilah
lazimnya adalah:
A publicly accessible personal journal for an individual. Typically updated daily, blogs
often reflect the personality of the author.

Sebuah jurnal (dalam hal ini yang dimuatkan di alam maya) peribadi seseorang
individu yang dapat diakses atau disaksikan oleh orang ramai (yang mengunjunginya
di internet). Ianya dikemaskini hampir setiap hari dan kebiasaannya mencerminkan keperibadian penulis atau pemiliknya. Itulah Blog sebenarnya.

Capaian yang mudah dan percuma, serta disokong dengan perkembangan internet
yang semakin maju dari hari ke hari, menyebabkan laman-laman blog kini semakin
popular di kalangan pelayar-pelayar internet.

Apapun, saya ucapkan syabas kepada sahabat-sahabat yang berusaha menceburi
lapangan ini. Jadikan usaha ini sbg platform mengasah skill penulisan kita.
Usah cepat meletakkan rasa tidak mampu sebelum mencuba.Don't say
no before u try!

Anggaplah usaha kita ini sebagai satu jihad ( insya Allah saya akan menulis
berkenaan jihad nanti). Dan apabila menyebut jihad, kita mesti faham yang
jihad itu ada peraturan dan syarat-syaratnya, barulah jihad kita itu
diterima Allah. Antaranya, mestilah niat kita benar-benar ikhlas kerana Allah
dan pastikan cara yang digunakan mengikut landasan yang disyariatkanNya.

Juga mestilah ada pergantungan yang kuat kepada Allah. Kadangkala kita
ketandusan idea, merasa futur, malas dan sebagainya. Segerakanlah kembali
kepada Allah. Renungi balik apa sebenarnya tujuan dan hadaf kita. Anggaplah
perasaan-perasaan itu ujian Allah untuk melihat kesungguhan dan
keikhlasan kita.

Mungkin kita boleh mengambil pengajaran dari apa yang ditunjukkan oleh
Syeikh Anwar Jundi, seorang pemikir Islam yang disegani. Sebagaimana yang
diceritakan oleh Doktor Yusof Al-Qardawi:

"Syeikh Anwar Jundi merupakan seorang lelaki yang rabbani. Antara tanda
rabbaninya ialah sebagaimana yang diceritakan oleh anak perempuannya
bahawa beliau sangat suka untuk sentiasa berwuduk; makan dalam berwuduk,
menulis dalam keadaan berwuduk.Dia tidur selepas Isya', kemudian bangkit
sebelum Subuh untuk sembahyang tahajjud dan sembahyang Subuh, kemudian
tidur selama dua jam selepas Subuh, kemudian bangkit dari tidur untuk
melaksanakan sendiri tugas dan tanggungjawab rumah tangga. Dia
memberikan khidmat kepada jiran, memenuhi baldi mereka dengan air jika
berlaku putus bekalan serta meletakkan baldi berisi air (tadi) di hadapan
pintu rumah mereka (jiran)."

Kerana itulah kita melihat adanya keberkatan pada ilmu beliau. Beliau
mengarang 300 buah kitab di dalam pelbagai bidang, menyertai muktamar-
muktamar Islam antarabangsa, membina madrasah untuk menentang unsur
pembaratan dan serangan kebudayaan barat dan sekular serta dianggap
tokoh pertama yang mengislamkan ilmu-ilmu Sains di Mesir yang kemudiannya
diikuti oleh tokoh-tokoh yang lain. Dan yang paling penting, penulisan dan idea
beliau menjadi rujukan dan kajian generasi yang selepasnya.

Buat kesekian kalinya, saya ucapkan syabas dan teruskan perjuangan buat
sahabat2 yang terlibat dlm arena ini.Semoga usaha yg sekelumit ini mendapat
nilaian dan ganjaran dari Allah swt.

Kepuasan kita bukan pada menariknya blog atau ramainya pengunjung,
sebaliknya kepuasan kita kerana berjaya menyampaikan walau sekadar satu ayat
dari Baginda Rasulullah s.a.w.

Itulah kepuasan yang sebenar-benarnya.

0 comments: