Wednesday, August 22, 2007

Coretan Rindu

Setelah dihitung-hitung, rasanya sudah lebih 10 kali saya menadah telinga mendengar
tazkirah percuma dari zaujah tersayang kerana mengabaikan blog ini. Hakikatnya,
hati saya melonjak-lonjak untuk mencoretkan sesuatu dalam blog ini, tetapi
disebabkan 'bayi' baru kami - laman forum TAMAN ILMU ISLAM - yang menuntut
perhatian lebih dari kami menyebabkan hasrat itu terpaksa saya pendam jauh-jauh ke
dasar sungai Nil. Rupa-rupanya, makin dipendam makin membuak-buak keinginan
itu! Mungkinkah saya juga terkena demam blog?

Akhirnya, setelah berperang agak lama dengan perasaan sendiri dan memandangkan
TAMAN ILMU ISLAM nampaknya telah boleh dibiarkan berdikari, saya coretkan
beberapa perkara buat mengubati rindu saya kepada blog ini.

Coretan 1: Taman Ilmu Islam

Lucu rasanya jika diingat-ingat kembali. Asalnya hanyalah satu laman yang saya
bangunkan untuk kegunaan peribadi. Tujuannya untuk mengumpul artikel-artikel
dan soal jawab. Cadangan sahabat saya Abu Handzolah membuatkan saya tergerak
untuk memajukan laman itu. Dengan bantuan sahabat-sahabat, hasilnya jadilah
seperti sekarang. Dari laman yang 'sangat biasa', menjadi laman yang 'biasa', harapnya
pada masa depan menjadi 'luar biasa'. Impian saya juga semakin besar. Saya ingin
jadikan ia tempat berkumpulnya penuntut-penuntut ilmu, pencari-pencari dan
pencinta-pencinta kebenaran. Di sini mereka saling bermuzakarah, berbincang dan
berdebat dalam semua bidang sebagaimana luasnya Islam itu sendiri, dalam susana
ilmu dan dibatasi adab-adabnya. Lantas suasana yang harmoni ini menjadi tarikan
kepada semua untuk mendekati dan mengenali apa itu ajaran Islam yang sebenarnya.

Ya, mungkin saudara menganggap saya sudah mula berangan-angan. Percayalah, ia
tidak akan tinggal angan-angan jika kita semua berusaha kearahnya..

Setakat ini keahliannya telah mencecah angka 42. Saya optimis dengan perkembangan
ini. Moga-moga laman ini terus dimeriahkan dengan kehadiran ahli-ahli baru dan
komitmen yang ditunjukkan oleh semua. Sepertimana slogan yang saya selalu ulang-
ulangkan, jadikan laman ini milik kita semua!

Coretan 2: Penulis blog pengecut?

"Enta kena baca berita ni!" Itulah bunyi satu masej ym dari seorang sahabat. Mesej
itu dihantarnya sebaik saja saya 'online'kan ym saya 2 hari yang lepas.

"Enta komen ye… Ingat tu!" tambahnya lagi.

Saya terus membuka link yang diberikan. Rupa-rupanya satu berita dari Utusan
Malaysia (baca: Utusan Meloya). Beritanya seperti berikut:

Penulis blog pengecut

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad
Muhamad Taib menyifatkan penulis blog politik yang mengkritik pemimpin kerajaan
sebenarnya adalah pengecut kerana tidak berani mendedahkan identiti mereka serta
menggunakan laman web yang beralamat di luar negara. Beliau berkata, penulis blog
terbabit hanya megah mendabik dada mengatakan bahawa mereka tidak akan
dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak tertakluk dengan sebarang undang-
undang negara ini.

“Sebab apa saya kata mereka (penulis blog) pengecut kerana mereka tidak berani
menggunakan alamat di dalam negara ini sebaliknya menggunakan alamat luar negara
untuk menghentam pemimpin negara kita,’’ katanya.

"Tak perlulah ana jawab, nanti Roslan SMS mesti jawab" jawab saya penuh yakin.

Dan ternyata telahan saya itu benar. Saudara Roslan tidak mengecewakan saya. Ini
tulisan beliau dalam blognya berkenaan berita tersebut:

Blogger pengecut pula

Kata Mat Taib yang juga Ketua Penerangan Umno Malaysia: Penulis blog politik yang mengkritik pemimpin kerajaan sebenarnya adalah pengecut kerana tidak berani
mendedahkan identiti mereka serta mengunakan laman web yang beralamat di luar
negara.

Tambah beliau: Sebab apa saya katakan mereka pengecut kerana mereka tidak
berani mengunakan alamat di dalam negara ini sebaliknya mengunakan alamat luar
negara untuk menghentam pemimpin negara kita.

Saya merasakan serangan Mat Taib ini dijurus ke arah seorang penulis sahaja iaitu
Raja Petra pemilik laman web Malaysia Today. Sebelum ini kita dengan penulis blog
dikatakan goblok, monyet dan terbaru dari Mat Taib ini pengecut pula.

Terdapat kenyataan dari Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang
mengatakan Umno telah tewas dalam peperangan di alam siber atau alam maya
walaupun kononnya menang di alam nyata.

Bagi saya alam maya sebenarnya menjadi puaka bagi Umno kerana alam ini bebas,
tiada kawalan, tiada sekatan. Bayangkan jika media massa yang ada, benar-benar
sebebas sebagaimana alam maya? Kalau akhbar dan TV kita sebebas-bebasnya saya
yakin Umno bukan hanya akan tewas dan kecundang di alam maya, di alam nyata
pun mereka akan tersungkur!

Kalau Malaysia Today sahaja pengecut (mengikut Mat Taib) bermakna laman web
dan penulis blog lain tidak pengecut. Maka sepatutnya semua yang lain lebih
bersemangat dan terus menulis sebagaimana yang bekas PM Tun Dr Mahathir pernah
pinta. Mat Taib hanya SINGLE OUT Raja Petra, oleh itu tidak secara langsung Mat
Taib iktiraf yang lain tidak pengecut, ayuh terus menulis sahabat-sahabat yang lain.

posted by Roslan SMS 12:59:00 PM

Saya ingin lontarkan satu pandangan untuk difikirkan oleh semua. Bolehkah kita
kiaskan apa yang dilakukan oleh bloger-bloger ini dengan hijrah Rasulullah? Umum
mengetahui bahawa peristiwa Hijrah merupakan satu strategi Rasulullah untuk
menyelamatkan umat Islam dari penindasan dan seksaan Musyrikin Mekah. Juga
untuk memastikan Islam mempunyai perlidungan dan kekuatan agar dakwahnya
dapat disebarkan dengan lebih luas.

Dibandingkan dengan peristiwa Hijrah, rasanya tidak bezanya dengan situasi sekarang. Wujudnya undang-undang yang mengongkong dan mengancam media, iaitu ISA dan
Akta Percetakan dan Penerbitan. Beberapa orang penulis pernah ditahan di bawah ISA.
Media yang selama ini tidak berasa was-was untuk menegur dan mengkritik
penyelewengan dan penyalahgunaan penguasa di'pancung' tanpa belas kasihan. Target
utama, Harakah, akhbar rasmi PAS. Permitnya tidak digantung tetapi Pengarangnya,
Zulkifli Sulong bersama pencetak, diheret ke mahkamah. Edarannya hanya terbatas
kepada ahli-ahli sahaja, dan ini sebenarnya tidaklah terlalu menekan, namun syarat
penjualan yang dihadkan hanya boleh dijalankan di markaz PAS sudah dianggap
keterlaluan.

Demikian juga yang berlaku kepada majalah Detik, sebuah majalah politik yang
dikatakan paling berpengaruh, dipercayai 40 ribu hingga 50 ribu naskhah terjual
mengikut kepanasan isu-isu politik negara. Permitnya yang telahpun diluluskan secara
hitam putih pada 9 Disember 1999-melalui surat KDN 1505 (8757) (25), yang
ditandatangani Che Haslina Che Mamat, tiba-tiba diberitahu secara lisan, itu pun
selepas Ketua Editor DETIK menghubungi KDN-dikatakan ditarik balik oleh pihak
menteri.

Namun, bukan Detik sahaja menerima nasib buruk ini. Sebelumnya, majalah bulanan
berbahasa Melayu Panji Masyarakat dan tabloid berbahasa Cina, Mr Weekly, turut
ditekan oleh pihak berwajib. Panji Masyarakat sempat diterbitkan tiga kali sahaja! Dan
yang terbaru, kes Raja Petra Kamaruddin, pengendali laman web Malaysia Today
yang disiasat oleh pihak polis ekoran laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Rentetan peristiwa-peristiwa hitam ini sebenarnya membuktikan betapa kebebasan
media telah mati dan terkubur. Dan sebagaimana Rasulullah mengaturkan strategi
untuk menyelamatkan Islam dan sahabat-sahabatnya, demikianlah sesuatu mesti
dilakukan untuk memastikan perjuangan mencabar kezaliman yang kian membarah
dalam masyarakat dapat bergerak lancar tanpa sekatan dan halangan. Justeru,
sebagaimana Rasululullah mencari tapak di luar mekah, demikianlah penulis-penulis
blog mencari tapak luar. Jika anda setuju dengan kias saya ini, bermakna anda
setuju jika saya katakan secara tidak langsung, mereka menganggap tindakan
Rasulullah itu satu tindakan yang pengecut!

Lagi menarik untuk difikirkan, setakat pembacaan saya yang terbatas terhadap buku-
buku sirah dan sejarah Islam (jika silap tolong betulkan), tidak pernah saya jumpai
Musyrikin Mekah menganggap tindakan Hijrah itu satu tindakan yang penakut dan
bacul. Mungkin disebabkan suasana mereka yang dibesarkan di bawah libasan pedang
dan pacuan kuda di medan perang menyebabkan mereka memahami ia merupakan
satu strategi yang bijak dan matang. Berlainan bagi pihak yang tidak pernah faham
dan tidak pernah merasai walau secebis erti perjuangan dan kesusahan. Apatah lagi merekayang hanya tahu mengampu dan mengipas....

Benarlah, hanya yang berjuang memahami apa itu perjuangan!

Andai benar di pihak yang berani, ratakan gelanggang, samakan senjata, ayuh kita
bertarung!






0 comments: