Tuesday, December 4, 2007

Korban dan akikah, bolehkah disekalikan?

MELAKSANAKAN ibadah korban dan akikah amat digalakkan oleh Islam kerana fadilatnya cukup besar. Kaedah melaksanakan kedua-dua ibadah ini hampir sama dari segi hukum dan syarat-syaratnya walaupun terdapat beberapa perbezaan.

Menurut Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, hukum ibadat korban adalah sunat muakkad. Bagi yang bernazar, ia akan menjadi wajib, manakala makruh bagi mereka yang sengaja meninggalkannya sedangkan berkemampuan untuk melaksanakannya.

Namun begitu, ibadah korban adalah wajib ke atas Nabi Muhammad s.a.w. seperti mana yang terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Termizi bermaksud: "Diwajibkan ke atasku melaksanakan ibadah korban namun ia merupakan suatu amalan sunat bagi kamu."

Akikah menurut Imam al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqnaa ialah binatang yang disembelih pada hari kelahiran bayi dan sewaktu mencukur rambut bayi tersebut. Hukum ibadah akikah adalah sunat muakkad seperti mana ibadah korban.

"Namun, ibadah korban dan akikah akan bertukar menjadi wajib sekiranya seseorang itu bernazar untuk melakukannya. Islam menetapkan keadaan dan masa tertentu bagi memastikan ibadah korban dan akikah dapat dilaksanakan sah di sisi syarak," jelas pensyarah Fakulti Undang-undang dan Syariah, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Wan Ismail.

Menurut beliau, terdapat beberapa kekeliruan yang sering timbul antara ibadah korban dan akikah khususnya dalam kes menggabungkan niat korban dan akikah sekali gus. Dalam kitab Tuhfah dan al-Fatawa al-Kubra, Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa: "Jika seseorang itu berniat ibadah korban dan akikah ke atas seekor kambing sekali gus maka kedua-duanya dianggap sebagai batal." Ini kerana korban dan akikah mengandungi makna sunat yang tersendiri.

Ibadah korban bertujuan untuk membersihkan diri mereka daripada melakukan dosa, manakala akikah adalah sebagai tanda menyambut kelahiran bayi.

Selain itu, persoalan yang turut mengelirukan ialah sama ada perlu atau tidak orang yang berkorban menyaksikan sendiri penyembelihan haiwan tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim bermaksud: "Wahai Fatimah! Berdirilah di sisi korbanmu dan saksikan ia sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu."

Hadis di atas tidak menunjukkan bahawa ia adalah satu kemestian untuk menyaksikan ibadah korban dan akan terbatalnya ibadah tersebut sekiranya tidak berbuat demikian.

"Dengan kata lain, ibadah korban dan akikah boleh dilaksanakan secara berwakil bagi pihak yang ingin melaksanakan korban dan akikah sekalipun mereka tidak ada bersama-sama ditempat ibadah tersebut dilaksanakan, " jelas al-Hakim.

Terdapat banyak kelebihan dalam mengerjakan ibadah korban dan akikah seperti mana yang terkandung dalam surah al-Kauthar, ayat dua bermaksud: "Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. "

Dengan melaksanakan ibadah korban juga dapat menangkis jiwa manusia daripada sikap kedekut dan bakhil. Sebaliknya dapat melahirkan perasaan kasih sayang sesama Muslim dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Haj ayat 36: "Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syiar Allah, kamu memperoleh kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat).

Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur."

Kelebihan mengerjakan ibadah akikah dalam kitab Sabila al-Muhtadin, Imam Ahmad menyebut, anak-anak yang tidak dilaksanakan akikah tidak akan datang pada hari kiamat untuk memohon syafaat bagi kedua ibu bapanya.

Seperti yang diketahui, ibadah korban dan akikah selain memenuhi tuntutan agama ia juga sebagai pemangkin untuk mengembangkan syiar Islam. Ini termaktub dalam matlamat utama ibadah ini dilakukan iaitu untuk membantu fakir miskin dan golongan yang kurang bernasib baik di kalangan umat Islam.

"Tetapi, apa yang dapat dilihat pada hari ini, di sesetengah tempat, ibadah korban dan akikah telah bertukar menjadi adat kerana syariatnya tidak dipenuhi. Daging-daging tidak diagihkan dengan betul dan dimasak seolah-olah kenduri biasa.

"Sebenarnya, begitu ramai pihak yang ingin melakukan ibadah tersebut semata-mata untuk membantu orang yang kurang berkemampuan. Ini mungkin disebabkan mereka tidak mengetahui secara khusus tentang kaedah pengagihan yang diamalkan sekarang," ujarnya.

Bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan sistematik khususnya melibatkan pengagihan, sewajarnya ia diberikan kepada penganjur yang boleh mengendalikannya dengan adil dan telus.

"Maka dengan mengadakan program dan akikah di tempat yang umat Islam tertindas seperti Kemboja, Palestin dan Iraq amat bertepatan dengan matlamat ibadah tersebut iaitu membantu umat Islam yang tertindas dan hidup dalam kemiskinan. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan hubungan persaudaraan di kalangan umat Islam," katanya.

Fatwa JAKIM

SUB KATEGORI

Lain-lain Agama

Tarikh Hantar Soalan :16/11/2007 05:51 PM

Soalan :

Salam,
Berkenaan dengan Aqiqah niat Qurban yang dikatakan buleh dilaksanakan serentak. Bagaimankah caranya, Akikah niat Qurban atau sebaliknya..

Jawapan :

Tidak boleh berniat mengadakan qorban dan akikah secara serentak.tetapi hendaklah dilakukan dengan menyatakan bahagian akikah dan korban secara berasingan.

Sila rujuk: http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/92be69fae3f225c0482567f1005a8e7b/ef28b7b98d6fe2724825739500361ef0?OpenDocument

Info ringkas

- Masa untuk melaksanakan ibadah korban ialah apabila telah naik matahari dengan kadar selesai dua rakaat sunat hari raya dan dua khutbah yang ringan iaitu 10, 11, 12 dan 30 Zulhijjah.

- Binatang yang boleh disembelih untuk ibadah korban dan akikah adalah terdiri daripada al-Ana'am iaitu unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri. Binatang lain seperti rusa, seladang dan seumpamanya tidak boleh dikategorikan dalam golongan al-Ana'am sekalipun ia jinak.

- Menurut Imam Khatib al-Syarbini, seekor unta atau lembu yang hendak dijadikan korban atau akikah boleh dikongsi bersama tujuh orang. Namun, kambing dan biri-biri tidak boleh dikongsi.

Apakah perbezaan antara korban dan akikah?

- Tempoh atau waktu untuk melaksanakan ibadat korban agak singkat iaitu pada hari raya haji dan diikuti dengan tiga hari tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah, sebaliknya tempoh melaksanakan ibadat akikah adalah panjang.

- Menurut Imam al-Shafie tempoh terbaik untuk akikah ialah hari ketujuh setelah kelahiran, sekiranya tidak dapat dilakukan dalam tempoh tersebut, boleh dilaksanakan dengan tidak melebihi tempoh nifas iaitu 60 puluh hari. Sekiranya tempoh nifas juga tidak dapat dilaksanakan oleh beberapa sebab terutamanya kefakiran, maka boleh dilaksanakan tidak melebihi tempoh susuan iaitu dua tahun. Dalam tempoh itu juga tidak dapat dilaksanakan, maka hendaklah dilaksanakan sebelum berumur tujuh tahun. Sekiranya setelah tujuh tahun juga tidak dapat ditunaikan maka boleh dilanjutkan sehingga mencapai umur baligh.

- Perbezaan antara ibadat korban dan akikah menurut kitab Mughni al-Muhtaj ialah ibadat korban disunatkan diberikan kepada fakir miskin daging yang mentah. Sebaliknya bagi daging akikah, sunat diberikan kepada fakir miskin setelah dimasak kerana Rasulullah s.a.w meminta Saidatina Fatimah untuk berbuat demikian. Selain itu juga diharamkan daging korban diberikan kepada orang kaya dan terdapat padanya unsur jual beli, namun jika diberikan kepada orang kaya dengan berniatkan sebagai hibah atau hadiah maka ia tidak menjadi satu kesalahan kerana orang kaya juga layak untuk menerima hadiah dan hibah. Sebaliknya tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ada unsur pemilikan atau jual beli pada daging akikah.

Sumber: Utusan Malaysia
Ruangan Soal Jawab Kemusykilan Agama JAKIM
Laman-laman web

7 comments:

S. M. Saufi said...
This comment has been removed by the author.
syed m. saufi said...

Salam Salimi,
Ana ada 2-3 kemusykilan berkiatan hal korban ni...harap anta dapat membantu..

1) baru ni ana dapat forward email kata org yang hendak berkorban tidak boleh potong kuku atau rambut sepuluh hari sebelum korban, betul ker fakta ni?

2) Macamana dengan korban haiwan rusa..betul kah di kira 2 bahangian. Alasan berat daging rusa adalah melebihi berat 2 ekor kambing..

Sekian Wasalam.

Syed M. Saufi

Lord Voldemort said...

Assalamu'alaikum, saya baru mendapat anak lelaki dan berniat akikah 2 ekor kambing untuknya.

Soalan saya, mestikah kedua-dua ekor kambing diakikahkan atau didermakan sekaligus dalam satu majlis atau saya boleh mengasingkannya kepada 2 majlis yang berlainan.

Saya bercadang untuk menggunakan seekor bagi tujuan kenduri doa selamat dan seekor lagi diserahkan kepada pihak lain untuk tujuan diakikahkan di Kemboja.

Segala maklumbalas amat dihargai. Terima kasih.

smartguys77 said...

salam.
saya nak dapatkan penjelasan yang lebih lanjut berkaitan aqiqah dan korban.
1) saya difahamkan tulang bagi binatang aqiqah tak boleh dipotong. bagaimana pulak bagi binatang korban yang dlm masa sama ada org berniat aqiqah? (niat yg berlainan tetapi kpd binatang yang sama. bermakna dlm 7 bahagian, satu bahgian diniat aqiqah, 6 niat korban). terima kasih.

Anonymous said...

salam..
saye nak tanya satu soalan,boleh tak kalau saya lakukan 'ibadah korban,tetapi dahulu saya tidak pernah dibuat aqiqah oleh orang tua saya.Terima kasih.

Anonymous said...

salam,

saya bercadang utk melaksanakan akikah untuk anak lelaki saya. walau bagaimanapun saya difahamkan untuk kibas hanya memerlukan seekor sahaja berbanding 2 ekor kambing. diharap tuan dapat membantu pendapat ini.

wassalam.

UmmiQusyairi said...

Salam Salimi,
Saya mohon share info tentang korban dan aqiqah dalam blog saya.. terima kasih banyak..