Tuesday, October 23, 2007

Isu Ayam Berenzim Babi

Ayam oh Ayam

Gempar seketika apabila isu ini timbul. Seperti biasa isu-isu seperti ini mengundang
reaksi yang pelbagai dari masyarakat. Ada yang menganggap ia hanyalah satu khabar
angin. Ada pula yang mempercayainya 100% (seorang sahabat terus tidak menjamah
ayam selepas isu ini timbul). Sebaliknya, tak kurang juga yang tak ambil kisah langsung.

Alhamdulillah berita dan ulasan daripada us Zaharuddin di bawah boleh melenyapkan kesamaran dan keraguan yng mungkin timbul. Bagi kita sebagai orang awam, kenyataan
yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa itu sudah cukup untuk menidakkan kebenaran
dakwaan itu. Justeru tidak perlulah lagi kita ragu-ragu.

Kata ibu saya, makan ayam daging menyebabkan risiko kegemukan. Walaubagaimanapun,
saya tak pasti pulak sama ada ia telah dibuktikan secara saintifik atau tidak :)

Isu Ayam Berenzim Babi

Komentar Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Teks akhbar harian berikut adalah dirujuk.

Rujuk di sini.

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menubuhkan jawatankuasa khas
untuk menyiasat dakwaan mengenai penggunaan bahan yang status halalnya diragui
dalam produk makanan ayam yang diternak di negara ini.

Jawatankuasa khas itu, yang turut dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan
(JPH) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), bertanggungjawab mengumpul sampel
makanan ayam digunakan penternak untuk dianalisis Jabatan Kimia dan Institut
Penyelidikan Halal.

Sumber Jakim berkata, jawatankuasa khas berkenaan ditubuhkan berikutan tersebarnya
emel, antara lain membangkitkan persoalan sejauh mana ayam yang diternak di Malaysia
bebas daripada diberi makanan mengandungi enzim tidak halal terutama babi.

Bagaimanapun, katanya, maklumat awal yang diperoleh menunjukkan ayam diternak
dan dijual di pasaran tempatan bebas daripada bahan makanan meragukan
kerana penternak menggunakan produk yang dikeluarkan pekilang tempatan.


Beliau berkata, JPH mengawal ketat kemasukan makanan ayam dari luar negara
malah pemantauan juga mendapati tiada makanan ayam dari Eropah yang mengandungi
enzim babi diimport ke Malaysia.

"Sehubungan itu, umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang kerana ayam di pasaran tempatan sekarang adalah halal dan tidak diberi makan bahan yang diragui status halalnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam

KOMEN UST ZAHARUDDIN ABD RAHMAN :

Alhamdulillah, inilah yang tindakan yang dinantikan. Hanya pihak berkuasa seperti JAKIM
yang mempunyai kredibiliti dan kuasa untuk membuat kajian susulan.

Bantuan dan informasi dari Jabatan Haiwan dan lain-lain Jabatan yang mempunyai
kemudahan penyelidikan hanya dapat diperolehi dengan mudah oleh sebuah agensi
kerajaan yang berwajib.

Inilah tugas utama sesebuah kerajaan, iaitu memberikan khidmat yang diperlukan oleh
rakyat, sebagaimana disebutkan dalam sebuah athar atau hadis yang diperbezakan
tarafnya:-

سيد القوم خادمهم
Ertinya : "Pemimpin sesuatu kaum itu adalah khadam bagi kaumnya (rakyatnya)"
(Riwayat Al-Hakim & Abu Nuaim ; Terdapat inqita' dalam sanadnya; Hadis
Mursal; Al-‘Ajlouni : Hasan Lighayrihi dalam Kasyf Al-khifa, 1/562 ; Kanzul
‘Ummal ; Asna Al-Matalib, 1/162 ; Al-Maqasid Al-Hasanah (Dinilai sebagai
Hadis Dhoif), 1/395)

Hasil dari kenyataan JAKIM tersebut, ia secara jelas telah memberikan pengesahan awal bahawa semua ayam yang terdapat di Malaysia adalah selamat dan bersih dari enzim babi tersebut.

Bagi orang awam, kenyataan tersebut adalah cukup bagi orang awam untuk membeli
dan menggunakan ayam yang berada di pasaran kerana semuanya telah ditanggung oleh
pihak berwajib yang mengeluarkan kenyataan tersebut. Pihak yang bertanggungjawab
adalah yang akan dipertanggungjawabkan didunia, alam barzakh dan akhirat.

Adapun bagi pihak berkuasa dan mana-mana pihak yang punyai kredibiliti dan
kemampuan untuk membuat kajian lanjut, mereka amat digalakkan untuk membuat kajian
dan pendedahan kepada JAKIM dengan kadar segera demi manfaat seluruh umat Islam. Ia
juga amat digalakkan dalam Islam kerana ia bersifat 'check and balance' atau sebagai penyemak kedua kepada hasil kajian yang dibuat oleh JAKIM atau Jawatankuasa khas
tersebut.

Ia amat baik kerana dapat mencegah mana-mana pihak berwajib dari membuat kerja
secara 'melepaskan batuk di tangga' atau 'janji siap'.

Sudut Hukum

Dari sudut hukum pula, saya tidak sempat untuk membuat semakan dan rujukan dengan
teliti. Cuma salah satu pandangan yang pernah diwarwarkan adalah jika bahan-bahan tumbesaran itu dibuat dari salah satu bahan dari babi seperti enzim, kemudian ia
digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran tanaman dan sayuran.

Sebahagian ulama kontemporari memberi fatwa ianya adalah halal dan harus untuk menggunakan sayuran itu. Ini adalah kiranya enzyme babi itu hanya menjadi salah satu komponen kecil dari seluruh proses penumbuhan dan tumbesaran tanaman itu.

Ulama kumpulan ini berpegang kepada fatwa berkenaan proses ‘istihalah' atau
'transformasi' bahan dari babi kepada menjadi bahan lain yang bukan lagi babi disebabkan molekul dan susunan zarah babinya sudah bercampur aduk dengan zarah-zarah bahan lain. Hasilnya, ia bertukar sifat kepada bahan lain dan menghilangkan sifat ‘babi' nya itu.

Fatwa ini juga menyatakan jika bahan enzyme babi itu merupakan kandungan utama
kepada proses, tatkala itu tanaman yang terhasil adalah tidak halal untuk digunakan oleh
umat Islam.

Bagaimanapun, sebahagian ulama lain seperti Dr Md al-Hawari (Mesir), Dr Abd Naseer
Abul Basal (Jordan) dan lain-lain menganggap juzuk, zarah atau molekul dari seekor babi mengikut kajian mereka yang bertawliah, tidak boleh berubah walaupun melalui proses 'istihalah' atau 'transformasi' berbeza dengan molekul dari haiwan-haiwan lain.
Wallahu 'alam.

Jika dilihat dalam keputusan persidangan ulama Islam bagi isu-isu perubatan di
Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Mereka ada membincangkan tajuk "Bahan-bahan
Haram dan Najis di dalam makanan dan ubat" yang mana keputusannya menyebut :-

Istihalah adalah proses berubahnya sesuatu 'ain kepada 'ain yang lain dimana
berlaku perubahan dalam sifatnya sehingga menjadikan sesuatu yang najis
berubah kepada bahan baru yang suci dan sebaliknya.

Justeru,

a) Gelatin yang terbentuk dari proses 'istihalah' tulang, daging dan kulit haiwan
najis
adalah dikira suci dan halal dimakan.

b) Sabun yang dibuat hasil proses 'istihalah' lemak babi atau bangkai telah menjadi
suci melalui proses istihalah dan halal digunakan.

c) Krim, gel, minyak dan bahan kecantikan yang mengandungi bahan dari lemak
babi adalah tidak harus digunakan kecuali apabila dapat dipastikan proses istihalah
lemak babi tadi telah berlaku sehingga 'ainnya ( atau molekul ain) telah berubah ke
satu sifat baru. Selagi tidak dapat dibuktikan, ia adalah najis.

( Tamat terjemahan keputusan persidangan di atas)

Kita serahkan kepada Panel kajian hukum JAKIM untuk membuat keputusan dalam hal ini disebabkan mereka lebih mempunyai kemudahan untuk menyemak beberapa hal teknikal
di atas.


Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

6 Syawwal 1428 H
18 Oktober 2007

Sunday, October 21, 2007

Lagi Iklan Raya

Iklan Raya Inai Kiara 2007
-Apa perasaan anda menonton iklan ini (maaf kerana tiada audio)? Member-member
Tranungkite Online ada memberi komen berkenaan iklan ini. Sila masuk [ sini ]



Iklan Raya Inai Kiara 2006

Maha Suci Allah Yang Memiliki Hati Hamba-HambaNya - Catatan Musafir Amin INTEAM Di Bumi Anbiya'-

8 Syawal dan saya masih belum bersedia untuk menulis panjang lebar dalam blog ini...

Walaupun ada sahabat yang mencadangkan saya menulis berkenaan perkara tertentu, antaranya 'tragedi' katil runtuh di hari ke-3 Syawal (jangan sangka bukan-bukan!).
Seorang sahabat yang lain meminta saya menulis tentang hukum menggabungkan puasa
qadha' dan puasa sunat. Awalnya saya sangka masalah ni biasa saja. Namun selepas
meneliti karangan dan fatwa ulama', saya baru sedar yang ia dibincangkan secara panjang
lebar oleh mereka. Demikin juga permintaan untuk memasukkan gambar-gambar raya di
dalam blog ini sebagai kenangan bersama. Tetapi pohon maaf pada sahabat-sahabat, saya
tak dapat tunaikan lagi permintaan-permintaan itu. Barangkali sebabnya kami begitu
teruja meraikan Aidilfitri yang mungkin kali terakhir buat kami sekeluarga di bumi
Anbiya' ini...

Tapi rasa tak seronok melihat blog ni tanpa entri terbaru. Terpaksalah saya menggunakan kaedah penulisan blog yang paling mudah, copy dan paste :D. Kali ni saya bawakan kepada sahabat-sahabat catatan Amin INTEAM ketika permusafirannya di bumi Anbiya', Mesir. Sebagai makluman, permusafiran beliau dan ahli kumpulannya bertujuan untuk
menjayakan agenda PMRAM untuk mendapatkan dana yang besar bagi memiliki syaqah (apartmen) untuk kegiatan PMRAM. Saya difahamkan mereka sanggup untuk mencari
tiket pergi dan pulang yang tidak diambil langsung dari wang saku PMRAM untuk datang
ke Mesir membuat konsert Raudhah Al-Infaq yang hasil jualan tiket yang terjual
kesemuanya dihadiahkan kepada pihak PMRAM..

Saya pernah menulis berkenaan perlunya PMRAM mempunyai syaqah sendiri dalam
entri bertajuk GERAM, SAYU DAN KESAL (klik untuk baca). Membaca catatan
tersebut, saya terfikir betapa berkuasanya Allah Taala yang memiliki hati hamba-
hambaNya. Dan betapa berkuasanya Allah Taala untuk membantu hamba-hambanya
yang berjuang demi meninggikan agamaNya. Sebagaimana Allah Taala menggerakkan
hati-hati orang Madinah untuk menyerahkan bumi Madinah kepada Nabi SAW untuk
dijadikan Negara Islam pertama ketika mana pembesar-pembesar Mekah menolak mentah-mentah dakwah baginda, demikianlah Allah Taala mentaqdirkan orang yang
jauh sanggup bermusafir jauh ke bumi Mesir semata-mata untuk membantu PMRAM,
ketika mana pelajar-pelajar Mesir sendiri ada yang berusaha untuk menghapuskan
PMRAM dari bumi Mesir. Sunatullah ini terus berjalan, untuk memilih siapakah
golongan yang beruntung di sisiNya.

Kerana itu, tanyalah diri masing-masing, di kalangan manakah kita ingin berada?

:: MUSAFIR DI BUMI ANBIYA' ::

Oleh: Amin INTEAM
http://iniamin.blogspot.com/

Satu perjalanan yang sangat panjang... Itu yang mampu ana huraikan... Perjalanan kami bermula pagi-pagi lagi sebelum subuh 23 Ogos 2007 untuk ke Terengganu terlebih dahulu...
Rasa berat hati yang teramat sangat kerana akan meninggalkan Isteri dan anak2 tercinta
untuk satu jangka masa yang sangat panjang bagi ana... Alhamdulillah show di UDM, Terengganu selesai, dengan layanan cukup Istimewa dari AJK2 nya.


24-08-07

Kami tiba di LCCT dari Terengganu dalam 10 pagi. Sepatutnya kami menunggu di LCCT untuk
penerbangan terus ke Bangkok jam 3 petang, tapi ana terpaksa bergegas pulang kerana terlalu risaukan
Afnan yang demam panas. Kebetulan pula badannya
naik rashes/ruam yang menyebabkan ana lebih risau bahawa itu adalah simptom demam denggi. Ana ada
masa satu jam saja utk balik rumah dan pastikan sakit sebenar Afnan, ana dah bertekad dalam hati, kalau
betul telahan ana, ana terpaksa tidak mengikuti persembahan ke Mesir. Sampai di Damansara Damai,
Afnan dah diperiksa di klinik... Kata doktor, bukan
denggi... Ana tak puas hati, sebab lepas ni nak jalan
jauh, so ana minta doktor buat dengue test...
Alhamdulillah, keputusannya negative, leganya hati
ana Allah je yang tahu...


Flight kami bertolak ke Bangkok jam 3 petang lebih
kurang 3 jam perjalanan. Tiba di Bangkok, kami perlu menunggu 6 jam untuk flight Egypt Air ke Mesir. Mujurlah ada Ustaz Fauzi, warga
Thailand yang menunggu kami di sana dan membawa kami ke bandar Bangkok untuk
makan malam. Bermulanya perjalanan panjang kami jam 2.15 pagi, flight Egypt Air
berlepas ke Mesir lebih kurang lapan jam... Tidur, bangun, tidur, bangun tak sampai2
jugak, memang meletihkan sebab tidur dalam keadaan duduk.


25-08-07
















Kami tiba di bumi barakah ardhul kinanah, ardhul anbiya' jam 7 pagi... Jangkaan Ustaz
Rozali yang mengiringi kami bahawa sukar untuk melepasi kastam Mesir meleset kerana Alhamdulillah tanpa sebarang masalah kami dapat masuk. Kami di sambut oleh warga2 PMRAM yang sangat berhati mulia diketuai oleh tuan pengarah program Ustaz Syed
Aisam.


Satu perasaan yang tak dapat digambarkan melihat kelainan bumi Mesir dari negara
tercinta Malaysia. Kami di bawa ke penginapan bertaraf Diraja di Rumah Perlis. Khabar
angin yang ana dengar tentang 'Ihtiramu Dhuyuf' yang hebat di Mesir terbukti dengan
layanan dan persediaan yang sangat 'unexpected' untuk kami di Rumah Perlis. Kami
dibiarkan berehat dan tidur untuk menyesuaikan 'Body Clock' kami dengan waktu
tempatan Mesir. Satu perkara yang masih belum ana rasa berdasarkan Novel Ayat2
Cinta, ialah kepanasan hawa dan debu yang menggigit muka sepanjang musim panas
di bulan Ogos, kerana kami tiba awal pagi.
















Perjalanan kami pada hari itu bermula dengan dibawa bersiar2 di Khan Khalili
(macam Petaling Street lah kiranya...) dan menziarahi Masjid Saidina Hussein... Bait-bait
yang menggambarkan suhu di Mesir dalam novel Ayat-ayat Cinta seolah2 tepat
tergambar dalam minda ana sebaik saja membuka pintu penginapan... Terasa seolah2
membuka pintu Ketuhar/Oven... Ana hanya mampu berdoa, Ya Allah, peliharalah
kesihatanku sepanjang di bumi Mesir ini dan dapatkanlah aku membuat persembahan
terbaik pada majlis Raudhatul Infaq nanti... Alhamdulillah, nampaknya badan ana lebih
sukakan cuaca panas di Mesir berbanding kesejukan hujan di Malaysia.., Cuma debu2
pasirnya membuat ana sedikit batuk... Sebaliknya bagi akhi Rahim, beliau diuji dengan
batuk yang teruk dan demam. Kami turut di bawa menziarahi Rumah-rumah pelajar
Negeri2 lain di sana dan juga berpeluang ke Malaysia Hall, serta ke Kilang kristal hebat;
Asfour yang mana kilang ini banyak menghasilkan lampu chandelier Masjid2 di seluruh
dunia, termasuk Malaysia, dan Masjidil Aqsa Palestin...
















26-08-07
















Hari ini kami dibawa bersiar2 sekali lagi di sekitar Khan Khalili... Ana dah mula belajar
sedikit sebanyak bahasa arab ammi seperti, 'da bikam?, Takhfidh, Akhiru kalaam, Enta
ahsanun Naas(ayat2 nak shopping) Istanna Syuaia, Ma'alisy, Ma'alisy Dakwah, Ya ra'is,
Ya basya, ala gamb, ayuwah dan banyak lagi... Terima kasih pada Ustaz Taha yang
menjadi guru bahasa ana di sana... Hari ini kami di bawa ke Universiti tertua dunia Al-Azhar,
di sini, sempat ana solat sunat dan memohon agar dapat kembali semula menziarahi Bumi Anbiya' ini suatu hari nanti. Entah kenapa, sebak hati ana dan tak tertahan airmata,
mungkin mengingatkan ramainya ulama'2 yang telah berjuang menimba Ilmu di situ
dan kerdilnya diri ana ini.

Kemudiannya, kami turut di bawa makan makanan arab seperti Shawarma, Isy baladi wal
ful dan sebagainya. Malamnya kami dibawa ke Qommunity Radio.net sebuah radio
internet streaming yang dikendalikan oleh pelajar Indonesia di Mesir... MasyaAllah, pemanggil2nya yang melalui Yahoo Messenger call datang dari Pelajar Indonesia di
Jerman, Belanda, UK, dan Mesir sendiri. Malam ini, Akhi Rahim dibawa ke Mustasyfa
untuk rawatan lanjut batuknya... Terpaksalah dia mengadap doktor arab dengan bantuan
AJK2 PMRAM...

27-08-07
















Hari ini kami di bawa menziarahi maqam Imam Syafie, Saidah Zainab, Rabiatul Adawiyah, Saidina Hussein dan banyak lagi. Di Maqam Imam Syafie yang harum mewangi, sempat
ana mendoakan mereka semua yang telah membantu sehingga kami dapat menjayakan program Raudhatul Infaq di Bumi Mesir. Disini juga sempat ana meluahkan rasa terima
kasih kepada Imam Syafie kerana telah menyebarkan ilmunya yang luas sebagai panduan sehingga ana pada hari ini turut menjadi salah seorang pengikut mazhabnya. Ana turut mendoakan diri ana dan keluarga ana menjadi insan yang soleh dan berilmu seperti Imam Syafie... Kami turut dibawa melihat Pyramid dan Sphynx, serta Qal'ah (Kubu Salahuddin Ayyub). Memang takjub melihat besarnya pyramid dan terbayang betapa zalimnya
Firaun Laknatullah, kerana untuk menyiapkan binaan sebesar itu pada zaman itu,
pastinya meragut nyawa ramai manusia dan menyeksakan ramai manusia. Bayangkan
beribu2 biji batu pyramid yang bertan2 beratnya itu dibawa dari jarak hampir 2 jam
berkereta, tanpa alatan moden seperti sekarang...


Di Pyramid, ana dan Akhi Syah berpeluang menaiki Unta yang dapat ana gambarkan
ketakutan ana seperti sedang menaiki roller coaster.
Kami turut berpeluang melihat
keagungan
pemerintahan Salahuddin Ayub melalui binaan Qal'ah yang tak kurang
hebatnya. Masjid yang hampir sama denagan masjid di Turki tersergam indah dan
sangat besar... Dari atas Qal'ah, kami dapat melihat seluruh bandar Kaherah yang penuh
dengan Masjid, sesuai dengan gelaran Town of Thousand Minarets. Bezanya dengan kita,
Masjid yang banyak itu sentiasa penuh, tak kira waktu... Ma'mur.... Kami sempat
merakam acapella Ratu Syahadah di Pyramid, Rabiatul Adawiyyah di Maqam Rabiatul adawiyyah, dan Pesanan Imam Syafie di Masjid Imam Syafie. Tapi acapellanya tak
sempurna kerana ketiadaan akhi Rahim. Hari ini, akhi Rahim memilih untuk tidak
mengikuti kami menziarahi tempat2 di atas... Beliau ingin berehat agar kesihatannya pulih
dan mampu membuat persembahan terbaik esok... Satu pengorbanan yang cukup besar
pada pandangan ana... Malamnya, kami turut membuat appearance di Rumah Johor
dalam program motivasi dari Petronas...




















28-08-07














Hari ini hari persembahan... Kami diberi peluang berehat... Ana berpeluang menziarahi
bilik2 sahabat di Mesir di atas penginapan kami... Sound check agak terlewat, tapi masih
sempat disempurnakan... Malam tersebut, berlangsunglah konsert Raudhatul Infaq di
Nadi Syabab, Hayyu Sadis dengan Jayanya... Konsert berlangsung di sebuah padang yang
agak luas, sama dengan tempat Hijjaz membuat persembahan dulu... Alhamdulillah,
kehadiran agak ramai di saat2 akhir... Persembahan kami dirakam dan boleh didengari
di Qommunity Radio.net.

Persembahan kami di akhiri dengan tiga buah lagu Finale secara fully live percussion
diiringi oleh percussionist Al-Wadi dan ana sendiri yang memainkan dharbuka yang baru
ana beli di ataba, Mesir... Turut membuat persembahan, kumpulan Al-Wadi sendiri dan kumpulan Zulfan... Alhamdulillah, ana rasa sangat bersemangat mengadakan
persembahan pada malam tersebut, dan akhi Rahim turut dapat membuat persembahan
yang baik setelah pekena tamar hind (asam jawa) dalam dos yang banyak siang tersebut. Malam selepas show, kami dibawa mencuba makanan Mesir Hadara Maut- Nasi
Basmathi dengan Ayam atau Kambing...

29-08-07















Pagi, kami diundang menjadi hakim pertandingan nasyid yang di adakan di Kulliyyah
Tibb (medic) Al-Azhar. Hanya ana dan Syah, seorang lagi Ustaz Jem dari kumpulan Sabda
yang menjadi hakim... Akhi Rahim berehat dan turut dibawa qadha' menziarahi tempat
yang ana dan Syah dah pergi semalam... Memang hebat2 kumpulan nasyid di Mesir, dan
apa yang menakjubkan ana, dalam satu2 masa terdapat 12 biji Dharbuka di atas pentas...
dan lebih lima biji conga... Mentang2lah dharbuka di Mesir murah, agaknya setiap pelajar
ada satu kot :-)

Petang selepas pertandingan, kami di bawa untuk kali terakhir membeli cenderamata
sebelum berangkat pulang... Sebelum pulang, ana sempat minum Asir manga sejuk 2
gelas, walaupun ana pantang minum ais, dan makan firakh Masywi.... Terasa sedih dan
sebak ingin meninggalkan AJK2 PMRAM yang berhati mulia yang sudah terasa seperti
sahabat dan saudara ana sendiri... Kalau dapat disebut; Ustaz Taha, U. Aisam, U. Nazim,
U. Karim, U. Latif, U. Rafzan, U. Nurin, U. Jem, Tuan Presiden U. Nizam, dan semuanya
(maaf kalau ana tak sebut nama) termasuk auntie yang berada di Rumah Perlis...
Syukran, jazakumullahi khairal jaza', semoga ukhwah ini akan terus terjalin, selamat
berjuang dalam pengajian... Kami meninggalkan bumi anbiya' dengan rasa sebak, dengan
seribu kenangan manis yang tersemat di sanubari...


30-08-07
Perjalanan pulang cukup meletihkan...
Kami tiba di Bangkok jam 12 tghari Waktu Bangkok dan menunggu flight AirAsia ke
Hatyai jam 3 petang... Duit kami telah habis membayar untuk lebihan berat baggage,
mungkin banyak sangat beli percussion kot :-) Duit geneh (Pound Egypt) yang kami ada,
tak boleh ditukar di airport... Perut kami dah terasa lapar... Rupanya2 rezeki kami
makan hari tu datang dari London... Maha suci Allah, kami bertemu dengan seorang
Muslim convert dari London sewaktu menunaikan solat... Mungkin bekas tentera US
( berdasarkan beg yang dibawanya )...

Beliau yang berjubah dan berserban sedang dalam perjalanan ke Masjid Umar Al-Khattab, Damansara Heights, Malaysia untuk bertemu sahabatnya dan menghabiskan sepanjang
bulan ramadhan di Malaysia. Setelah meminjam mahmul (handphone) Syah untuk menghubungi sahabatnya, beliau telah memberi 500 bath (lbh kurang rm50) dan pemberiannya tidak tertolak oleh kami (beliau berkeras juga nak bagi)....

Alhamdulillah, kami dapat makan mi segera di atas flight AirAsia... Maha Suci Allah...

Tiba di Hatyai, kami dijemput dengan Van oleh wakil penganjur show di Sg. Petani...
Sampai di sempadan Malaysia-Thailand, kami terpaksa mengheret bagasi yang berat dan
penuh separuh kilometer... dan kami bertukar pakaian show di toilet bangunan bebas
cukai The Zon... Kami bergerak dari sempadan lebih kurang 8.30 mlm dan perlu tiba
di Sg. Petani 9.15 mlm... Sekali lagi kami naik Van seolah2 naik flight, kerana nak
mengejar masa, mujurlah waktu persembahan kami dilewatkan ke 9.45... Kami tiba di Sg. Petani, sejurus sebelum kami dijemput naik ke pentas... Dalam keadaan letih yang
teramat sangat (exhausted) kami mempersembahkan 2 buah lagu... Rupa2nya program
tu sangat besar, kerana di hadiri oleh Sultan Kedah dan Menteri Besar Kedah-
Sambutan kemerdekaan kerajaan Negeri Kedah...

Dengan keceriaan wajah yang dipaksa2, kami tetap bersemangat melagukan beberapa
buah lagu lagi termasuk lagu2 patriotik sebelum dan selepas detik 12 malam
kemerdekaan... Kami selesai sepenuhnya jam 2 pagi dan tidur mati selepas itu di
park avenu hotel...


31-08-07

Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!

Negara Malaysia merdeka tahun ke-50 dan kami pun merdeka dari kesengsaraan dan
ujian musafir ini... rasa rindu pada ister, dan anak2 membuak2 dan tak terbendung lagi.... Alhamdulillah, flight kami dari Alor Star tiba di KL jam 9 pagi... Dan berakhirlah sebuah
Musafir yang panjang apabila kami tiba di rumah masing2 dan bertemu Isteri dan anak2 tercinta....


Segala puji bagi Allah yang telah memelihara perjalanan kami pergi dan pulang, dan
memelihara keluarga kami yang di tinggalkan di rumah... Alhamdulillah....

Thursday, October 18, 2007

Selamat Hari Lahir, Isteriku



Selamat Hari Lahir, Isteriku
Kuucap Terima Kasih
Kerana Engkau Setia Di Sisiku
Tidak Pernah Kudengar Lafaz Jemu Dari Bibirmu
Dengan penuh kerelaan Kau Taburkan Khidmatmu.

Selamat Hari Lahir, Sayangku
Kuucap Terima Kasih
Kerana Engkau Rela Aku Jadi Teman Hidupmu
Tidak Pernah Menyesal
Sanggup Melahir Zuriatku
Dan Berpenat Lelah Mengasuh Mereka.

Selamat Hari Lahir, Kekasihku
Kuucap Terima Kasih
Kerana Sanggup Berkongsi Suka Duka
Dan Membuat Aku Merasa Tenang Dan Bahagia
Takdir Menemukan Kita
Engkau Satu Dalam Sejuta
Aku Beruntung Kerana Berpeluang
Untuk Berteduh Di Bawah Pohon Kasihmu.

Selamat Hari Lahir, Cintaku
Kuucap Terima Kasih
Kerana Engkau Rela
Melayari Bahtera Kehidupan Bersamaku.


.: Sempena Hari Lahir Ke-26 Isteriku pada 17 Oktober 2007 :.

Wednesday, October 17, 2007

Akibat Meninggalkan Ajaran Agama.

Maklumat ini saya perolehi ketika bersembang dengan Us Yahya -suami kepada Puan
Habibah (pegawai atase pendidikan (khas) Iskandariah Jabatan Penuntut Malaysia
Kaherah) -di majlis jamuan Hari Raya jiran saya Us Shah. Katanya, rasa sakit hati
membaca komen-komen pembaca berita العربية berkenaan berita satu kes yang berlaku
di Malaysia. Bila saya baca, memang betul menyakitkan hati! Sahabat-sahabat bacalah
sendiri, sampai ada yang menyatakan inilah caranya orang Malaysia melayan tetamu!

Apapun, sebenarnya, berpandukan berita yang ditulis (walaupun rasa ragu dan rasa tak
masuk akal kes seperti ini boleh berlaku), kita dapat membuat membuat kesimpulan
inilah akibatnya apabila ajaran Islam ditinggalkan. Seorang lelaki bersendirian dengan
seorang perempuan yang bukan mahramnya, bukankan Rasulullah jelas melarang
perbuatan sedemikian. Kerana pasti ketika itu ada yang ketiga, iatu SYAITAN yang
akan mengambil peluang untuk menggoda mereka.

Saya bawakan berita asalnya dalam bahasa Melayu yang saya petik dari Metro Online,
dan untuk membaca komen (dalam bahasa Arab), sila klik link di bawah.

'Lembaga' rogol wanita

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

KUALA TERENGGANU: Akibat terlalu letih membungkus tapai untuk menyambut
Aidilfitri, seorang suri rumah mendakwa dirogol seorang buruh yang menumpang di
rumahnya.

Menurut sumber, dalam kejadian di rumah mangsa di Kemaman, Jumaat lalu, suri rumah
itu yang berusia 40-an itu dikatakan berjaga hingga lewat malam untuk membungkus
tapai sebelum masuk ke bilik tidurnya kira-kira jam 5 pagi.

Katanya, mangsa turut dikatakan ternampak buruh terbabit menonton televisyen di
ruang tamu rumah berkenaan.

Suspek yang berusia 29 tahun itu didakwa tinggal bersama keluarga mangsa sejak dua
bulan lalu

“Mangsa dikatakan terus terlelap sejurus berada di bilik sebelum suspek menyelusup
masuk.

“Ketika itu, mangsa dikatakan terbangun dan menyangkakan suaminya sudah pulang
kerja, tetapi tidak dapat mengecam kerana keadaan bilik gelap.

“Tetapi, mangsa menyedari ada sesuatu yang tidak kena kerana gaya berpakaian
‘lembaga’ yang masuk ke bilik itu berbeza dengan suaminya,” katanya.

Namun, kata sumber itu, disebabkan terlalu letih, suri rumah itu tidak mempedulikannya
lalu terus menyambung tidur.

Suspek kemudian didakwa ‘berlakon’ sebagai suami mangsa lalu melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun, sumber itu menyatakan suami mangsa sempat melihat buruh terbabit
keluar dari bilik itu ketika dia tiba dari tempat kerja kira-kira jam 9 pagi.

Ini membuat si suami bertanyakan sama ada isterinya menyedari ada orang masuk ke
bilik berkenaan.

Mangsa terkejut kerana mendapati dia tidur bersama dengan lelaki yang bukan suaminya.

Justeru, kedua-dua mereka membuat laporan polis kira-kira jam 5.30 petang hari yang
sama.

Selepas itu, polis menahan suspek di rumah berkenaan kira-kira jam 10.30 malam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan ketika mengesahkan kes terbabit, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana berkaitan rogol.

Untuk membaca komen: http://www.alarabiya.net/articles/2007/10/16/40382.html#000

Monday, October 15, 2007

Songkok Hitam Atau Kopiah Putih?

Sambil-sambil makan lemang atau ketupat cicah rendang di hari raya ini, artikel di
bawah elok kita sama-sama fikirkan. Jangan di sebabkan kecenderungan kita terhadap
sesuatu golongan, manyebabkan kita silap menghukum. Seperti dalam artikel ini,
menganggap orang lain tidak bersikap patriotik sedangkan patriotik itu lebih luas
maknanya dari pakaian yang dipakai. Apa gunanya berbaju melayu dan bertanjak
malah menghunus keris sekalipun andai jati diri dan peribadi kian terhakis sementara
negara dan kedaulatannya kian hari kian tergadai ke tangan orang asing....

Bila songkok hitam jadi bahan kempen Menteri Penerangan di pagi raya
Oleh: Ahmad Tajdid


Apabila Zainuddin Maidin (Zam) yang juga Menteri Penerangan memberikan ucapan di Nasional FM pada hari raya pertama, saya tidak berapa berminat mendengarnya.
Tetapi apabila beliau mula bercakap tentang songkok hitam dan betapa beliau gembira
kerana semakin ramai umat Islam Melayu Malaysia memakai songkok hitam sewaktu
Aidilfitri, naluri ingin tahu saya mendorong telinga saya 'melekap' di corong radio.

Menurut Zam, meningkatnya bilangan umat Melayu yang bersongkok hitam sewaktu
Aidilfitri adalah suatu perkembangan yang baik kerana orang Melayu sudah mula
kembali kepada identiti Nusantara dengan bersongkok hitam. Beliau juga secara sinis mengkritik orang Melayu yang berkopiah putih dan menganggap kopiah yang dipakai
tidak melambangkan 'budaya Melayu' tetapi budaya yang datang dari Timur Tengah!

Hati saya berdetik: "Orang tua ni buat dah!"

Saya termenung sejenak memikirkan pandangan Zam itu. Di pagi Aidilfitri ini,
sepatutnya Menteri Penerangan bercakap tentang sesuatu yang lebih utama daripada
isu songkok hitam. Kenapa tidak disebut tentang soal mengukuhkan persaudaraan, memperbaiki hubungan, menghidupkan amalan ziarah menziarahi (daripada duduk di
hadapan tv menonton rancangan hiburan!). Zam boleh bercakap tentang seribu satu
macam topik yang lebih utama daripada songkok hitam!

Bagaimanapun, apabila direnung kembali rekod perkhidmatan Zam, beliau memang
terkenal dengan kontroversi-kontroversi tidak perlu - contohnya mewajibkan semua penceramah agama yang keluar di kaca tv memakai songkok hitam! Seorang prof
akademi pengajian Islam pernah merungut di dalam ceramahnya tentang arahan
tersebut.

"Saya bukan tak mahu pakai songkok hitam, tetapi tak berapa selesa kerana penari
zapin pun pakai songkok hitam," katanya berseloroh.

Benarkah songkok hitam budaya Melayu Nusantara?

Ada dua isu yang timbul daripada kenyataan Zam ini. Pertama: Adakah benar songkok
hitam adalah budaya asal Melayu dan Nusantara yang wajib dipertahankan. Kedua:
Adakah budaya Timur Tengah (Islam) yang diamalkan oleh sebahagian bangsa Melayu
seperti berkopiah putih (menurut pandangan Zam) tidak boleh diterima sebagai budaya
Melayu dan Nusantara?

Ketika sebahagian wakil-wakil rakyat PAS muncul di Dewan Rakyat dengan berbaju
Melayu lengkap pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat selepas pilihan
raya umum 1999, penampilan itu mendapat pujian pelbagai pihak. Mantan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam dilapor melahirkan kekaguman dengan identiti
yang ditunjukkan wakil-wakil rakyat PAS itu. Memang mereka, terutamanya Presiden
PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor tampil segak berbaju Melayu dan bersongkok. Penulis
diberitahu, Almarhum Ustaz Fadzil sebenarnya lebih selesa bersongkok hitam ketika menghadiri sidang Dun dan Parlimen. Mantan Yang Dipertua Agung PAS, Dr
Buhanuddin al-Helmi dan Timbalannya, Prof Zulkifli Muhammad juga bersongkok
hitam. Oleh itu tidak timbul isu kopiah putih dan songkok hitam dalam PAS kerana ia
isu remeh yang tidak harus diangkat menjadi isu nasional.

Bagaimanapun untuk memperbetulkan tanggapan Zam tentang songkok hitam dan
kopiah putih, rasanya elok kita menelusuri sepintas lalu sejarah pemakaian songkok
hitam dan kopiah putih umat Melayu Islam negara ini.

Dalam pemerhatian penulis, songkok hitam tidak menjadi pakaian orang-orang Melayu
sebelum abad ke-20. Lihat sahaja lukisan dan foto berhubung bangsa Melayu yang
dipamerkan di muzium dan buku-buku sejarah Melayu seawal pemerintahan
kesultanan Melayu Melaka. Apa yang dapat kita lihat, orang Melayu lebih gemar
memakai ikat kepala (dipanggil semutar di Kelantan dan Terengganu). Bagi golongan
kerabat dan bangsawan Melayu, setanjak dipakai bagi menggambarkan status
kedudukan.

Filem-filem klasik Melayu juga tidak pernah menunjukkan songkok hitam sebagai
pakaian Melayu. Daripada filem Hang Tuah, Laksamana Bentan, Panglima Harimau
Berantai, Batu Belah Batu Bertangkup, Singapura Dilanggar Todak dan seumpamanya,
tidak seorang pun aktor Melayu yang memakai songkok hitam! Takkanlah Zam tak
perasan?

Sebaliknya, pemakaian serban dan kopiah putih sudah tercatat dalam sejarah Melayu
sejak kedatangan pedagang dan pendakwah Islam daripada Timur Tengah ke Melaka.
Lihat sahajalah filem klasik Siti Zubaidah yang menggambarkan sebuah keluarga alim berketurunan Raja di sebuah pulau yang ketua keluarganya berserban dan berjubah.
Dalam filem itu, aktor-aktor Melayunya tidak langsung bersongkok hitam!

Bapa persuratan Melayu, Abdullah Abdul Kadir Munsyi (1796-1854) digambarkan
sebagai seorang lelaki yang gemar memakai tarbus dan bukan berkopiah hitam. Karya
Abdullah yang terkenal, Hikayat Abdullah dan Pelayaran Abdullah, yang banyak
menceritakan perihal kehidupan orang Melayu pada zamannya tidak menyebut
langsung tentang songkok hitam sebagai pakaian orang Melayu pada abad ke-19.

Sehubungan itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa songkok putih lebih sinonim
dengan budaya Melayu dan Nusantara berbanding songkok hitam yang hanya muncul
dalam sejarah peradaban Melayu di awal abad ke-20!

Dari mana datangnya songkok hitam? Dalam pemerhatian penulis, budaya memakai
songkok hitam di bawa oleh pendatang India Muslim benua India yang berhijrah ke negeri-negeri selat semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Dalam erti kata lain,
kaum kerabat Zam yang dikategorikan Abdul Rahim Kajai - seorang pengasas sastera
Melayu moden - sebagai "Melayu DKK" membawa budaya songkok hitam ke Tanah
Melayu. (Untuk lebih memahami tentang "Melayu DKK" dan "Melayu DKA", sila baca tulisan-tulisan Abdul Rahim Kajai).

Berdasarkan pemerhatian penulis, foto sejarah Melayu paling awal yang menggambarkan seorang Melayu berkopiah hitam adalah foto Syed Syeikh al-Hadi. Syed Syeikh al-Hadi
pun bukanlah anak Melayu tulen Tanah Melayu tetapi termasuk dalam kategori "Melayu
DKA" tafsiran Kajai.

Untuk pengetahuan Zam juga, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak bersongkok
hitam mahupun berbaju Melayu lengkap ketika melaungkan "Merdeka" di Stadium
Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman berpakaian "baju MUscat" -
berasal daripada Oman - dengan bersetanjak. Raja-raja Melayu yang berada di
pentas juga tidak mengenakan songkok hitam malah bersetanjak.

Di benua India - tempat asalnya songkok hitam - pakaian itu tidak melambangkan
agama pemakainya. Dalam filem biografi 'Ghandi' - filem yang memenangi kategori
kustom terbaik Festival Filem Amerika, para penganut Hindu asal India di Afrika Selatan
dan penyokong parti KOngres India pimpinan Pandit Jawharlal Nehru memakai songkok sebagai pakaian harian.

Untuk pengetahuan Zam juga, para anggota sayap pemuda parti Nasionalis India,
Barathiya Janata (BJP) yang dikenali sebagai Rhang Savak Sangh (RSS) memakai
songkok sebagai pakaian rasmi. RSS adalah salah satu persatuan ekstremis Hindu
yang bertanggung jawab meruntuhkan Masjid Babri di India!

Sepupu penulis yang berkhidmat dengan tentera Malaysia pernah menasihati penulis.
Beliau yang berpengalaman berkhidmat di Sarawak dan negara jiran Indonesia
mengingatkan penulis supaya berhati-hati apabila ingin menjamu selera di beberapa
bandar di Sumatera dan pulau Jawa.

Beliau pernah masuk ke 'rumah makan' yang tuan punyanya bersongkok hitam tetapi terperanjat melihat 'kerbau pendek panggang' bergantungan di bahagian dapur restoran
itu apabila mahu ke tandas. Mujurlah beliau belum menjamah makanan dan memohon
maaf kepada tuan punya kedai kerana tidak tergamak makan di situ!

Terimalah songkok hitam mahupun kopiah putih

Seperti ditekankan di awal penulisan ini, bukan niat penulis untuk menjadikan songkok
hitam mahupun kopiah putih sebagai polemik Aidilfitri. Bukan juga niat penulis untuk mengkategorikan Melayu sebagai Melayu tulen, Melayu DKK dan Melayu DKA. Apa yang penulis hajatkan adalah meletakkan budaya pemakaian songkok hitam dan kopiah putih
pada perspektif yang betul apatah lagi apabila isu ini disinggung Menteri Penerangan
dalam saluran rasmi radio kerajaan di hari pertama Aidilfitri.

Dalam konteks Malaysia, songkok hitam, kopiah putih, Melayu tulen, Melayu DKK
mahupun Melayu DKA sebenarnya diikat oleh satu unsur kesamaan iaitu Islam. Islam
adalah agama universal yang merentasi budaya, bangsa dan warna kulit. Menteri
Penerangan perlu menginsafi hakikat ini kerana tiada siapa pun yang mahu Islam
disempitkan dan umatnya dikurung di bawah songkok hitam!

Friday, October 12, 2007

Salam Lebaran







Image Hosting by PictureTrail.com





Image Hosting by PictureTrail.com







Image Hosting by PictureTrail.com







Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com





Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com






Image Hosting by PictureTrail.com





















Khas buat ayahbonda,keluarga tercinta dan saudara mara,guru-guru,teman-teman seperjuangan dalam PMRAM,UMI,DPMI,KPT dan pelajar-pelajar perubatan serta sahabat-sahabat yang mengenali kami.

Juga tak dilupakan buat semua pengunjung blog ini dan Taman Ilmu Islam yang
telah memberikan semangat untuk kami terus melangkah...

SALAM LEBARAN PENUH MAKNA DI AIDILFITRI DARI KAMI
SEKELUARGA DI PERANTAUAN BUAT KALIAN SEMUA!

Masak rendang dengan santan
Bangkitkan selera tetamu semua
Di sini kami mengambil kesempatan
Memohon maaf pada semua

Semoga Ramadhan yang berlalu memberi keinsafan dan pengajaran yang
berharga buat diri kita guna sebagai bekalan dalam meneruskan hari2
mendatang..

..dan semoga kehadiran Aidil fitri kali ini memberi erti dalam mengeratkan
lagi silaturrahim,menghidupkan budaya saling bermaafan, bantu membantu
sekaligus menyuburkan penyatuan dikalangan umat Islam.


Mudah2an takbir yang dilaungkan sebagai simbolik kejayaan kita melawan
hawa nafsu dan mengingatkan kita kepada kejayaan tentera Islam
menentang
tentera Ahzab (bersekutu) Musyrikin lantas menyemarakkan
semangat jihad dalam diri2 kita.


Takbir!!!