Wednesday, August 29, 2007

Pastikan Kuasa Berada Di Tangan Anda!

Mengenang kembali zaman persekolahan, kadang-kala membuatkan saya tergelak
sendirian. Semangat yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu, apatah lagi ber'darah
muda' di waktu itu, malangnya tidak diiringi persedian yang secukupnya, kadangkala menyebabkan kesilapan yang melucukan..

Saya masih ingat hari itu (sebetulnya ingat-ingat lupa, al-maklumlah kisah ni sudah
lama), sedang saya rehat-rehat selepas mengikuti satu sesi kelas, seorang sahabat
tergesa-gesa menuju ke arah saya (sememangnya itu stylenya, tergesa-gesa atau istilah
orang Terengganu gaduh). Dengan gembira dia berkata "Ana jumpa satu hadis dalam
kitab Al-Azkar (karangan Imam Nawawi) tentang doa ketika melihat perempuan, jadi
tak salahlah tengok perempuan sebab Nabi pun ajar doa," dengan yakin dia membuat kesimpulan. Mendengar kata-katanya, saya hanya terkedu kehairanan menyimpan
pelbagai persoalan dalam hati. Serba salah dibuatnya. Nak dibangkang katanya ada
dalil hadis. Nak diterima, rasa macam tak logik pula!

Pulang dari sekolah, saya terus mencapai kitab Al-Azkar, mencari hadis yang sahabat
saya maksudkan. Jumpa! Saya tuliskan untuk sahabat semua:

ان النبى كان اذا نظر فى المرآة قال

Silap meletakkan baris, silaplah bacaannya. Yang betul ialah mim المرآة di baca dengan
baris bawah, maknanya cermin yang menjadikan ayat itu bermaksud "Sesungguhnya
Nabi SAW apabila melihat cermin baginda berdoa" bukan dibaca dengan baris atas,
yang membawa makna perempuan, sehingga menjadikan ayat itu bermaksud
"Sesungguhnya Nabi SAW apabila melihat perempuan". Kesilapan yang mungkin kita
anggap melucukan, tetapi sebenarnya menggerunkan!

Mungkin untuk mengelakkan situasi-situasi sebegini, para alim ulama' mengingatkan
kita supaya berguru untuk mendapatkan ilmu. Lalu timbullah ungkapan-ungkapan
seperti:

من لا شيخ له فالشيطان له شيخه
"Barangsiapa yang tiada guru, syaitanlah menjadi gurunya"

من يكن آخذا للعلم عن صحف * فعلمه عند أهل العلم كالعدم
"Barangsiapa mengambil ilmu dari lembaran-lembaran (kitab),
Maka ilmunya di sisi ahli ilmu seakan-akan tiada"

Bagi saya, bukanlah salah menjadikan bacaan sebagai satu sumber ilmu. Bahkan secara
peribadi saya menganggap pembacaan merupakan kaedah yang paling praktik untuk mendapatkan ilmu. Buktinya, tokoh-tokoh agung dunia, terutamanya para pemimpin, kebanyakannya suka membaca. Pemimpin yang tidak mempunyai masa untuk membaca,
akan terhad ilmunya, lalu akan hanya memiliki kemampuan sekadar apa yang tinggal
dalam ingatannya. Dia tidak akan memiliki keupayaan untuk memimpin melampaui apa
yang terselit di dalam benak fikirannya yang kecil itu, lantas jadilah ia pemimpin yang
statik yang jumud dan malahan tidak akan berupaya melangkah jauh. Kerana itu Francis
Bacon pernah berkata: "KNOWLEDGE IS POWER "(ilmu itu adalah kuasa).

Akan tetapi, pastikan pembacaan anda itu bermutu. Maksudnya pembacaan yang di
dahului dengan pembelajaran dari guru-guru dan mestilah disokong oleh penguasaan
ilmu-ilmu bantu (ilmu alat). Contohnya jika ingin membaca teks atau kitab arab,
mestilah menguasai ilmu alatnya seperti nahu, saraf dan lain-lain. Jika tidak, berlakulah kesilapan dalam pemahaman yang bukan kecil kesannya. Andai syarat-syarat ini
dipenuhi, barulah anda boleh bergantung dengan pembacaan. Inilah yang dimaksudkan
dengan kata ulama' :

اللبيب يكفيه الكتب
"Orang yang cerdik itu, cukup baginya buku-buku".

Di samping itu, antara faktor yang memberi kelebihan ialah penguasaan kita terhadap
pelbagai bahasa. Ia akan meluaskan lagi skop pembacaan kita. Lebih-lebih lagi di era kini,
era kemajuan dan pengetahuan dikuasai oleh bangsa asing. Ilmu-ilmu yang tersebar luas
dan tertulis dalam pelbagai bahasa menuntut kita tidak menyempitkan bacaan
berdasarkan bahasa tertentu.

Demikian juga bagi seseorang yang merasa bertanggungjawab untuk menyebarkan agama
Allah mestilah berusaha untuk menguasai pelbagai bahasa, terutamanya bahasa
perantaraan antarabangsa, bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas di seluruh
dunia. Inilah yang dimaksudkan oleh Dr. Yusof Qardawi, beliau pernah menulis:

"Keinginanku untuk mempelajari bahasa Inggeris timbul kerana aku menyedari betapa perlunya seorang alim dan daei muslim menyampaikan ajaran Islam kepada manusia
dengan bahasa-bahasa mereka. Islam merupakan risalah ke seluruh alam, tetapi kitab dan hadis dalam bahasa arab, justeru tidak mungkin untuk menyampaikannya ke seluruh alam melainkan dengan cara mempelajari bahasa-bahasa mereka agar ajaran Islam boleh disampaikan menggunakan bahasa mereka dengan cara terjemah. Inilah yang disebut oleh para ulama' berkenaan ayat:

وما ارسلنا من رسول الا بلسان قومه لبيين لهم

Perkara ini telah difahami oleh bukan muslim, sehingga kita melihat orang Kristian menterjemahkan Injil ke beratus-ratus bahasa dan beribu-ribu dialek."

Apabila membicarakan pengusaan bahasa asing, tentunya kita teringat kata-kata:

من تعلم لغة قوم امن مكرهم
Maksudnya: Barangsiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum,
amanlah dia
dari tipu daya mereka (kaum tersebut)

Sebahagian kita menganggap kata-kata itu ialah hadis, tetapi berdasarkan kajian ulama'
dan ahli hadis, ia bukanlah hadis kerana tidak mempunyai asal. Sekalipun demikian,
maknanya betul. Ia disokong oleh satu hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah
meminta Zaid Bin Thabit untuk mempelajari bahasa Yahudi. Sabda Rasulullah:

فإني لا آمنهم على كتابي
Maksudnya: Aku tidak berasa aman dari mereka keatas kitabku (Quran).

Maknanya Rasulullah bimbang jika mereka menterjemahnya secara tidak betul atau
merubah maknanya berpandukan hawa nafsu dan kepentingan mereka. Hadis ini secara
tidak langsung menunjukkan kepentingan menguasai bahasa-bahasa asing.

Oleh itu, luaskan pembacaan anda..Pastikan kuasa berada di tangan anda!

Sebagai maklumat, berikut 10 bahasa paling luas dipertuturkan di dunia

1. Mandarin

Bilangan penutur : Kira-kira 1 bilion

Bahasa yang paling luas penggunaannya dalam planet
ini dikira berdasarkan negara yang mempunyai
populasi terbesar. Ia mengatasi bahasa yang berada
di tempat kedua, Bahasa Inggeris pada nisbah 2 : 1. Walaupun luas dipertuturkan, ia tidak bermakna
bahasa ini mudah untuk dikuasai. Bertutur dalam
bahasa Mandarin agak sukar kerana setiap
perkataan disebut dalam empat cara atau nada. Bagi
yang baru mempelajari, mereka akan mempunyai
masalah untuk membezakan antara satu nada
dengan nada yang lain.

Ucapan Hello dalam bahasa Mandarin adalah Ni Hao
(Nee HaOW).

2. Bahasa Inggeris

Bilangan penutur : Kira-kira 508 juta

Biarpun ia bukanlah bahasa paling luas dipertuturkan, bahasa ini menjadi bahasa rasmi
di lebih banyak negara berbanding bahasa lain. Penuturnya berasal dari berbagai negara
di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia, England, Zimbabwe,
Carribean, Hong Kong, Afrika Selatan dan Kanada.

3. Hindustan

Bilangan penutur : Kira-kira 497 juta

Bahasa kebangsaan India ini merangkumi banyak dialek. Sedang ramai menjangkakan
bilangan penduduk India akan mengatasi China tidak lama lagi, populariti bahasa
Inggeris di India menghalang bahasa Hindustan mengatasi bahasa paling popular di
dunia itu (Mandarin). Cara mudah mempelajari bahasa ini adalah dengan menonton
filem Hindustan.

Ucapan Hello dalam bahasa Hindustan adalah namaste (Nah-MAH-stay).

4. Sepanyol

Bilangan penutur : Kira-kira 392 juta

Bahasa Sepanyol dituturkan hampir di seluruh Amerika Selatan, Amerika Tengah,
Sepanyol, Cuba dan juga AS. Membuktikan betapa berpengaruhnya bahasa ini,
banyak perkataan Inggeris asalnya dipinjamkan dari bahasa Sepanyol, termasuklah
tornado, bonanza, patio, quesadilla, enchilada dan taco grande supreme.

Ucapan Hello dalam bahasa Sepanyol adalah Hola (OH-la).

5. Russia

Bilangan penutur : Kira-kira 277 juta

Bahasa ini adalah satu daripada bahasa dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
(PBB). Bahasa Russia bukan saja dituturkan di Russia tetapi juga di Belarus,
Kazakhstan dan beberapa tempat di AS.

Ucapan Hello dalam bahasa Russia adalah Zdravstvuite (ZDRAST-vet-yah).

6. Bahasa Arab

Bilangan penutur : Kira-kira 246 juta

Bahasa ini adalah antara bahasa tertua di dunia, dituturkan penduduk Timur Tengah
seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Jordan, Lebanon dan Mesir. Oleh kerana ia
adalah bahasa Al-Quran, jutaan orang Islam di merata tempat boleh bertutur dalam
bahasa Arab juga. Ramai orang mahir berbahasa Arab disebabkan kerjaya. Malah,
pada 1974, bahasa ini dijadikan bahasa rasmi keenam dalam PBB.

Ucapan Hello dalam bahasa Arab adalah Assalamualaikum.

7. Benggali

Bilangan penutur : Kira-kira 211 juta

Negara yang jumlah penduduknya lebih 120 juta orang, Bangladesh, hampir semua
warganya bertutur dalam bahasa Benggali. Oleh kerana ia dikelilingi negara India,
bilangan penutur bahasa ini adalah lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Ucapan Hello dalam bahasa Benggali adalah Ei Je (EYE-jay).

8. Portugis

Bilangan penutur : Kira-kira 191 juta

Pada kurun ke-12 dulu, Portugal mencapai kemerdekaan selepas dijajah Sepanyol
dan kemudiannya meluaskan pengaruh ke serata dunia dengan bantuan pengembara
terkenal seperti Vasco da Gama dan Putera Henry. Oleh kerana Portugal terlebih dulu meluaskan pengaruhnya, secara tidak langsung bahasa mereka dikenali di serata dunia terutama di Brazil (yang menjadikannya bahasa rasmi), Macau, Venezuela, Angola dan Mozambique.

Ucapan Hello dalam bahasa Portugis adalah Bom dia (bohn Dee-ah).

9. Melayu-Indonesia

Bilangan penutur : 159 juta

Bahasa ini dituturkan di Malaysia dan Indonesia. Agak sukar untuk mendapatkan
bilangan penuturnya dengan tepat kerana terdapat banyak dialek Melayu dan yang
paling popularnya adalah Indonesia. Namun, semuanya berasal dari rumpun bahasa
yang sama.

10. Perancis

Bilangan penutur : 129 juta

Sering digelar bahasa paling romantik di dunia. Selain Perancis, bahasa ini dituturkan
di banyak negara, antaranya Belgium, Kanada, Rwanda, Cameroon dan Haiti.

Ucapan Hello dalam bahasa Perancis adalah Bonjour (bone-JOOR).

Sumber: www.soyouwanna.com

Rujukan :
مذكرات دكتور القرضاوي
Berita iKON

2 comments:

iBNuZaCK said...

Salam..

Membaca artikel akhi menyedarkan saya bahawa kadang2 manusia terlalu mudah mengambil hukum hanya jika menemui hadis semata-mata.Sedangkan Qardhawi berpesan dalam bukunya,"Bagaimana bermuamalah Dalam sunnah"..

"Dalam disiplin menentukan hukum,bukan sekadar hadis sahih yang dicari,tetapi kitab2 fiqh ilmuan Islam juga harus dipunggah"

Begitu kira-kiranya.Jesteru,sama-sama perbanyakkan ilmu.Gali sedalam mungkin agar tak mudah kita tersilap perkiraan dalam isu2 fiqah sebegini.

Wallahua'lam..

Anonymous said...

apa yang saya cari, terima kasih