Friday, September 14, 2007

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Kadangkala kita terdengar cakap-cakap sebegini:
"Tak naklah ikut tadarus, lambat, baik baca sendiri, cepat sikit habis"

Atau kita sendiri atau sahabat-sahabat kita tergesa-gesa membaca Al-Quran sama ada secara berseorangan mahupun berkumpulan, dengan tidak menjaga hak-hak Al-Quran dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya semata-mata untuk mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan. Apakah khatam itu tujuan sebenarnya kita bertadarus?

Moga-moga tulisan saya ini boleh menjawab sedikit sebanyak berkenaan masalah tersebut.

Pendahuluan

Antara ibadah yang menjadi kelaziman di bulan Ramadhan ialah tadarus Al-Quran. Ini bertepatan dengan bulan Ramadhan yang dianggap sebagai 'Bulan Al-Quran', yang
diturunkan padanya Al-Quran. Insya Allah saya cuba mengupas secara ringkas
berkenaan ibadah ini.

Makna Tadarus

Asasnya, tadarus bermaksud memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan seseorang
yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan.

Diriwayatkan, Rasulullah bertadarus Al-Quran dengan Jibril sendiri.

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ـ أي أكرم الناس ـ
وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن، فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة) متفق عليه

“Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan,
dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan.Jibril a.s.
menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan
Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah
amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
(Riwayat:Al-Bukhari dan Muslim).

Kelebihan Tadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Selain kelebihan-kelebihan yang
dijanjikan bagi sesiapa yang membaca Al-Quran, Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ
مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca
dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan
(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat”.

Tadarus Di Kalangan Orang-Orang Soleh

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para
sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an
sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya
seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Seorang ulama' lain bernama Mujahid, khatam Quran antara Maghrib dan Isyak
pada setiap malam di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam.

Selain itu, ulama terdahulu telah menangguhkan majlis majlis ilmu mereka di bulan
Ramadhan bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Qur’an. Imam Az-Zuhri misalnya
apabila tiba bulan yang berkat ini, beliau menangguhkan sebarang majlis ilmu, bagi
menghayati tilawah dan mendalami Al-Qur’an. Beliau membacanya pada mashaf.

Demikian juga Imam Malik r.a. beliau meninggalkan buat sementara waktu sebarang
aktiviti pengajian hadis dan fekah bagi mentadabbur Al-Qur’an. Sehubungan ini beliau
pernah menyatakan: “ هذا شهر القرأن ”. Ertinya, ini ialah bulan Al-Qur’an.

Perhatian: Mengikut Imam Nawawi, sebahagian Ulama' menghukum makruh
mengkhatamkan Al-Quran dalam sehari semalam. Mereka berdalilkan hadis sahih dari Abdullah bin Amru bi Al-A'ss katanya:

قال رسول الله : لا يفقه من قرأ القرأن في أقل من ثلاث
Maksudnya: Tidak dianggap faqih seseorang yang mengkhatamkan
Quran kurang dari 3 hari.

Cara Tadarus

Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun
antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil.

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau
atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.

Kelebihan Membaca Al-Quran Pada Malam Hari

Digalakkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada waktu malam dan ketika solat
malam.

Firman Allah Taala:

ومن أهل الكتاب أمة قآئمة يتلون ايات الله ءانآء الليل وهم يسجدون

Berkata Imam Nawawi (kesimpulannya): Digalakkan solat dan membaca Al-Quran pada
malam hari kerana ialah lebih menumpukan hati, jauh dari kesibukan dan perkara-perkara yang melalaikan, lebih terjaga dari riya' dan lain-lain yang menggugurkan amalan.

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Kembali kita kepada persoalan asal. Pandangan saya, khatam bukanlah tujuan asal tadarus
yang dilakukan oleh Nabi. Berikut sebab-sebab saya berpendapat demikian.

1- Perkataan tadarus yang berasal dari 'darasa' yang bermakna mempelajari.Jika khatam dijadikan tujuan utama, maksud mempelajari ini biasanya tidak tercapai.

2- Tujuan Rasulullah bertadarus dengan Jibril ialah untuk memperdengarkan dan
menyemak bacaan. Jika khatam itu tujuan yang utama, tentulah tidak berlaku tadarus melainkan selepas Quran itu sempurna diturunkan.

3- Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Saidatina Fatimah radhiallahu‘anha berkata:

“Sesungguhnya Jibril datang kepada Rasulullah untuk memperdengarkan
bacaannya kepada Rasulullah setiap tahun sekali. Dan Jibril telah melaksanakan
yang demikian pada tahun Nabi wafat, dua kali”.

Jika khatam merupakan tujuan utama, nescaya Nabi mengkhatamkan Al-Quran dalam tadarusnya bersama Jibril paling kurang 2 kali dalam setahun sebagaimana yang
dilakukan pada akhir hayatnya.

Kesimpulannya: Tujuan asal tadarus ialah untuk memperelokkan dan menyemak kembali bacaan. Dan sebaiknya bacaan itu difahami. Kerana itu,lebih elok jika tadarus itu diadakan secara berkumpulan untuk sama-sama mendapat manfaat. Dan elok juga dilakukan perbincangan ringkas selepas tadarus berkenaan ayat-ayat yang di baca.

Walaubagaimanapun,jika mampu, sewajarnya seorang Muslim berusaha mengkhatamkan Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadhan dengan menjaga adab-adab dan
hak-hak Al-Quran itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :"Ramai orang membaca Al-Quran,
sedangkan Al-Quran itu melaknatnya"

Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan itu.

Wallahua'lam.

Rujukan:

1. التبيان في اداب حملة القران
Oleh Imam Nawawi
2. Risalah Berkenaan Tadarus
Yayasan Terengganu

1 comments:

Anonymous said...

salam...apa beza tilawah dan tadarus ye??
mana satu yang disyariatkan pada ramadhan??