Tuesday, October 9, 2007

Korban Kemajuan?

Kedatangan Aidilfitri kian terasa. Sana-sini perbualan mula berkisar pada Aidilfitri
yang bakal menjelang, bagaimana sambutan dan persiapannya bergantung kepada
kemampuan serta kemahuan masing2. Media massa elektronik mahupun bercetak
saling bersaing menyiarkan iklan dan program berkaitan raya. Bukan setakat itu saja,
blog-blog dan laman-laman sahabat yang saya lewati juga tidak ketinggalan untuk
memeriahkan dan menghangatkan lagi suasana, masing-masing mula mencoretkan
ucapan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin.

Golongan yang boleh dikatakan sibuk pada ketika ini, tentulah para isteri, ibu dan
surirumah. Setelah hampir sebulan menyediakan juadah untuk berbuka dan bersahur
(alangkah banyaknya pahala yang mereka dapat- terima kasih isteriku), tumpuan
mereka kini terarah kepada persiapan dan sambutan raya. Isteri saya sendiri sudah
beberapa kali mengajak saya ke pasaraya Fathallah untuk membeli bahan-bahan untuk membuat kuih muih. Malangnya, disebabkan halangan yang tak bisa dielak, ajakan itu
sudah beberapa kali saya biarkan. Mujurlah si dia insan yang memahami.

Tahun ni, kami bercadang untuk beraya ala-kadar saja. Rumah terbuka yang biasa kami
buat tahun-tahun yang lepas pun, belum tahu nak dibuat atau tidak. Dua permata hati
kami yang masih kecil, belum lagi memahami keseronokan hari raya. Cukuplah melihat
mereka berbaju baru, itu sudah membuatkan hati kami berbunga riang, walaupun diri
sendiri sudah 2-3 tahun memakai baju yang sama di pagi raya.

Dalam keghairahan kita menyambut hari mulia ini, kekadang kita terlupa ada insan-
insan lain yang nasibnya tidak seperti kita. Banyak kisah-kisah penderitaan,kemiskinan
dan tekanan hidup yang membuatkan kita sedar dan terfikir betapa kemewahan dan
kemajuan yang diwar-warkan itu, hanya retorik semata. Apalah faedahnya kepada
rakyat, andai kemewahan dan kemajuan itu hanya berlegar kepada satu-satu golongan
saja. Projek berjuta-juta kenaikan saham, keuntungan agensi-agensi dan syarikat-
syarikat milik kerajaan mahupun swasta, golongan atasan yang kerap mengadakan
lawatan kerja (baca: bercuti) ke luar negara dan lain-lain yang di katakan bukti kemajuan
dan kemewahan yang di kecapi dan mesti disyukuri oleh rakyat. Hakikatnya, rakyat
semakin hari semakin menderita dihimpit kemiskinan dan kesempitan hidup.

Apa yang pasti, Islam telah membuktikan, hanya sistem pemerintahan Islam yang
boleh menjamin keadilan dalam pembahagian kekayaan dan kemewahan. Bukankah
kita mendengar kisah kegemilangan pemerintahan Islam di zaman Khalifah Umar Bin
Abd Aziz, berkat keadilan dan amanah dalam melaksanakan tugas pemerntahan,
menjadikan negara Islam kaya raya. Sehinggakan sukar dicari orang yang layak
menerima zakat di wilayah kekuasaannya. Ini telah membenarkan hadis Nabi S.A.W
yang diriwayatkan oleh Adi ibn Hatim sebelum beliau menjadi Muslim

" 'Adi ibn Hatim! Barangkali yang menghalangi engkau memasuki Islam adalah
dengan kemelaratan kaum muslimin. Akan tiba masanya nanti di suatu zaman
di mana seluruh umat Islam tidak layak menerima zakat lantaran kekayaan
yang telah mereka miliki"

Berkata 'Adi ibn Hatim setelah dia menjadi seorang Muslim

"Aku telah melihat dua perkara yang dinyatakan oleh Nabi dan aku
bersumpah perkara ketiga mengenai kekayaan umat Islam pasti berlaku"

Yahya ibn Said (salah seorang gabenor Umar bin Abd Aziz berkata,

"Umar bin Abd Aziz mengutus aku ke Afrika Utara untuk membahagi zakat.
Lalu kucari fakir miskin tetapi tiada seorang pun yang layak digelar fakir miskin.
Khalifah Umar benar-benar telah menjadikan rakyatnya kaya!"

Sekalipun memastikan kekayaan diperolehi oleh rakyatnya, Umar bin Abd Aziz tidak
sesekali menggunakan kekayaan untuk kepentingan dirinya. Segala hartanya diserahkan
untuk kepentingan kaum muslimin. Diceritakan, harta kekayaannya sebelum menjadi
khalifah melimpah-limpah. Dia memiliki tanah ladang di Hijaz, Syam, Mesir dan
Bahrain, yang mengeluarkan hasil yang besar tidak kurang dari 40 000 dinar setiap
tahun. Belum lagi pendapatan gajinya sebagai khalifah. Semuanya itu diserahkannya ke
Baitul Mal untuk kepentingan kaum muslimin, dan dia hanya menggunakan 2 dirham
saja dari kekayaannya itu.

Inilah satu contoh Khalifah Islam yang adil dan amanah dalam melaksanakan
tanggungjawabnya. Dan ini terpancar dalam satu kata hikmahnya:

"Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku
melantik kamu untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati
aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah
aku daripada melakukannya."

Akhirnya, moga Syawal yang tiba ini mengingatkan kita akan penderitaan mereka yang
kurang bernasib baik. Barangkali ketika kita bergembira di pagi raya, ada yang hanya
saban waktu menitiskan air mata. Ketika kita berpakaian baru dan cantik, ada yang
hanya memakai pakaian yang koyak dan buruk. Ketika kita kenyang menjamu selera
dengan hidangan yang lazat, barangkali ada yang hanya mampu mengalas perut dengan
biskut kering atau meminum air paip.

Saya bawakan di sini, satu artikel tulisan Saudara Roslan SMS, moga-moga kita sedar,
selama ini kita hanya disuakan dengan kemewahan dan kemajuan hidup yang semata-
mata fatamorgana!


Jenguk-jenguklah mereka yang kurang bernasib baik

Hari ini adalah hari yang ke 26 kita berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini.
Kita dijangka merayakan Aidil Fitri pada hari Sabtu ini. Sudah pastilah anak-anak kita terutamanya, ceria dan gembira menantikan saat kedatangkan Hari Raya yang ditunggu-
tunggu walaupun bagi mereka yang faham, akan meratapi pemergian Ramadhan iaitu
bulan Allah swt yang menjanjikan syurga dan keampunan bagi layak dan berjaya.

Dalam suasana sebegini saya sedih apabila membaca beberapa berita dalam akhbar
tempatan hari ini yang menggambarkan realiti kehidupan masyarakat kita di dunia yang
serba mencabar ini.Kita bersyukur dengan apa yang kita ada, rupanya ramai yang
menderita dalam kesempitan.

Muka hadapan Berita Harian contohnya kita dipaparkan dengan kisah seorang kanak-
kanak perempuan 18 bulan rentung mati terbakar di sebuah bilik rumah kedai di Jalan
San Peng yang disewa oleh ibunya. Dua orang abangnya tiga dan lima tahun walaubagaimanapun berjaya diselamatkan oleh jiran berdekatan. Kejadian berlaku kira-
kira jam 1.30 petang setelah ketiga-tiga beranak ini ditinggalkan oleh ibunya di dalam
bilik berkenaan.

Ke mana ibu mereka?

Ibu mereka 37 tahun, adalah seorang ibu tunggal. Bekerja sebagai pembantu kedai di
Jalan Pudu. Sebelumnya, menurut laporan, anak-anaknya ditinggalkan untuk dijaga
oleh pengasuh, akan tetapi kerana kesempitan kewangan beliau terpaksa meninggalkan anak-anaknya tanpa pengawasan semasa beliau keluar bekerja.

Bayangkan masih ada rakyat Malaysia, anak Melayu beragama Islam, yang terpaksa
hidup perit sebegini, menderita sehingga terkorban anaknya, bukan kerana kecuaiannya
tetapi kerana tekanan hidup yang dihadapi.

Di muka belakang akhbar yang sama pula disiarkan kisah seorang ibu Hasnah
Mohamad, 51 tahun, yang terpaksa mengurus dan menanggung suaminya, 62 tahun,
yang lumpuh separuh badan dan anaknya Siti Hafizzah, 15 tahun yang cacat. Beliau
juga mempunyai seorang anak, 13 tahun yang sempurna dan masih bersekolah.
Mereka sekeluarga tinggal di Port Dickson.

Menurut Hasnah beliau bergantung hidup pada pencen suaminya sebanyak RM400
sebulan. Bagi menambahkan pendapatan wanita tua ini turut bekerja mencari siput laut
dan menanam sayur-sayuran tetapi hasilnya sangat sedikit.

Jika berbuka puasa di hotel lima bintang di Kuala Lumpur RM400 ini boleh dihabiskan
dalam semalaman untuk buffet berbuka sekitar 6 ke 7 orang. Tetapi ibu tua ini terpaksa berbelanja jumlah itu untuk sebulan bagi menanggung makan-minum, belanja sekolah, perubatan dan lain-lain untuk keluarganya. Apa persaan anda bila membaca kisah ini?

Dalam akhbar The Star pula muka 10 disiarkan juga di Port Dickson tentang Zulkifli
Abdul Rashid, 49 tahun, yang menanggung isteri dan lima orang anak. Akibat tekanan
hidup beliau sekeluarga telah berhijrah dari Ipoh ke Kampung Chokra, PD untuk
memulakan hidup baru. Dilaporkan sejurus tiba di PD mereka sekluarga tinggal dalam
khemah yang dibina berhampiran pantai PD. Apabila khmeah tersebut rosak mereka sekeluarga menjadikan stesyen bas sebagai tempat perteduhan. Dari situ seorang
pemandu teksi telah membawa mereka tinggal ke rumah mereka kini yang tidak ada
bekalan letrik.

Kata Zulkifli hidup mereka memang susah, beliau baru sahaja mendapat kerja sebagai
pengawal keselamatan bulan ini manakala isterinya mengambil upah mencuci pinggan
mangkuk di sebuah restoran dengan upah RM20 sehari. Itupun tidak kerap oleh kerana kesihatannya sering terganggu.

Susah hidup mereka menurut Zulkifli sehingga anak bongsunya Zulkhalid, 8 bulan
terpaksa diberi minum susu pekat manis oleh kerana mereka tidak mampu membeli
susu bayi.

The Star melaporkan, yang nasib mereka ini sampai kepengetahuan Persatuan Belia
Sikh di sana. Lalu persatuan tersebut baru-baru ini atas dasar perikemanusiaan telah menyerahkan wang tunia, peralatan, barang dan bahan makanan, tilam yang
kesemuanya berjumlah RM3,000 untuk keluarga ini. Ahli-ahli persatuan juga telah
membawa anak-anak tidak bernasib baik ini membeli-belah pakaian Hari Raya.

Kita perlu mengucapkan terima kasih kepada Negeri Sembilan Sikh Naujawan Sabha
ini. Sepatutnya masyarakat Islamlah yang tampil ke hadapan membantu dan
meringankan beban keluarga ini.

Kesimpulannya lihatlah, ini mungkin contoh-contoh kecil yang dapat kita pungut
kerana kebetulan terbit dalam akhbar, bagaimana dengan ratusan atau mungkin ribuan
kes lagi yang tidak kita ketahui? Kita mendabik dada sudah 50 tahun Merdeka, 13 tahun
lagi mahu mencapai status negara maju, mana pergi badan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab? Duit zakat yang kita bayar ke pusat-pusat zakat, ke mana
dibelanjakan? Kenapa masih ramai yang menderita tanpa pembelaan seperti ini
sedangkan mereka dikalangan anak-anak bangsa sendiri?

Malaysiaku Gemilang tetapi rupa-rupanya masih ramai dikalangan anak-anak bangsanya
yang merempat dan menderita, tanpa pembelaan.

0 comments: