Friday, October 12, 2007

"Kaabah Fein?" ( Mana Kaabah?)

Malam ni malam raya. Tadi saya sempat mengikuti siaran RTM1 yang membuat liputan lintas langsung tentang perkembangan angkasawan kita yang pertama.Rasa sedikit kesal apabila mendengar ucapan pengacara wanita yang menyatakan sebentar lagi, tepat jam 12.00 malam, kita akan melangkah ke 1 Syawal. Sedangkan Islam mengajar umatnya bahawa terbenamnya matahari akhir Ramdhan menandakan masuknya 1 Syawal. Keranaitu kita dianjurkan mula bertakbir raya ketika itu. Inilah silapnya apabila feqh Islam ditinggalkan dan kita lebih selesa berkiblatkan budaya asing.


Teringat tahun lepas, malam sebegini kami pergi ke pasar Asofiroh untuk membeli kelengkapan raya. Sikap bertangguh menyebabkan malam raya barulah tergerak untuk ke pasar. Dalam perjalanan sudah terasa 'zahmah' (kesibukan) nya. Sampai di pasar, terpaku seketika melihat ramainya manusia. Fikir punya fikir, terpaksalah mengharungi lautan manusia yang begitu ramai kerana tiada pilihan lain. Lalu terpaksalah kami bersabar mengikut arus pergerakan manusia yang lambat sambil bersesak dengan orang Arab, untuk sampai ke tempat yang ditujui. Dalam bersesak-sesak itu,
saya tergelak besar apabila seorang Arab yang berada di belakang kami sempat
berjenaka dengan katanya: "Kaabah Fein?" (maksudnya Mana Kaabah?) Disebabkan
terlalu luar biasa ramainya manusia pada malam itu, sehinggakan Arab itu
mengumpamakan suasana ketika itu seperti suasana Masjidil Haram ketika tawaf haji!

Menghidupkan Malam Hari Raya Dengan Ibadah

Itulah yang biasa berlaku pada malam raya. Biasanya kita sibuk dengan persediaan fizikal
dan luaran sahaja untuk menyambut hari yang ditunggu-tunggu. Menyediakan kuih muih
dan juadah hari raya, menghias rumah, dan lain-lain persiapan terakhir hari raya
biasanya menyibukkan kita pada malam raya. Dan biasa juga, kesibukan kita pada malam
raya mungkin menyebabkan kita lupa kepada suatu perkara yang lebih penting. Iaitu
gesaan Nabi saw agar kita menghidupkan malam raya dengan ibadah sama ada
mengerjakan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Ini kerana
terdapat hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda;



من أحيا ليلة الفطر وليلة الأضحى لم يمت قلبه يوم تموت القلوب
“Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya fitrah dan malam hari raya
korban,
nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya hati-hati”.
(Riwayat Imam
at-Thabrani dari ‘Ubadah r.a.)

Dimaksudkan menghidupkan malam itu ialah dengan bangun beribadah di kebanyakan
malam tersebut sebagaimana bermalam di Mina. Namun menurut Ibnu ‘Abbas r.a.; paling kurang yang dinamakan menghidupkan malam ialah mengerjakan solat Isyak berjemaah
dan berazam untuk mengerjakan solat subuh berjemaah. Yang dimaksudkan mati hati
ialah terbelenggu hati dengan dunia. Ada yang berpendapat maksudnya ialah menjadi
kafir. Dan ada juga yang memberi erti; ketakutan hari kiamat.

Selain itu, digalakkan juga memperbanyakkan doa pada malam hari raya kerana doa
pada malam tersebut adalah mustajab. Imam Syafi’ie berkata di dalam kitabnya
al-Umm; “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan; ‘Sesungguhnya terdapat lima
malam dimustajabkan doa iaitu; pada malam jumaat, malam hari raya korban, malam
hari raya fitrah, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Sya’ban’”.

Menghidupkan Malam Raya Ialah Bidaah?

Justeru, usahakanlah untuk menghidupkan malam hari raya dengan ibadah-ibadah.
Mungkin itu boleh dijadikan ukuran setakat manakah tarbiyah dan didikan Ramadhan membekas dalam diri. Ucapan Syeikh Yusuf Qardhawi elok kita jadikan renungan
bersama:

من كان يعبد رمضان فإن رمضان قد ولى
ومن كان يعبد رب رمضان فإن رب رمضان حي لا يموت

"Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, sesungguhnya Ramadhan
telah berlalu, (sebaliknya) barang siapa yang menyembah Tuhan Ramadhan
(Allah), sesungguhnya Tuhan Ramadhan (Allah) itu bersifat Hayyu
(Maha Hidup) dan tidak mati (selama-lamanya)"


Cuma di sana ada satu pendapat yang menyatakan menghidupkan malam raya itu satu
perkara yang bidaah dan tidak dilakukan oleh Nabi. Barangkali ada sahabat yang
mempunyai maklumat berkenaan pendapat ini? Kalau saya tak sibuk berhari raya, Insya
Allah saya akan ulas serba sedikit berkenaan pendapat ini :)

0 comments: