Thursday, October 11, 2007

Teman Nak Jadi Angkasawan!

Artikel ini saya copy dari tulisan Saiful Islam. Saya telah masukkan dalam Taman Ilmu
Islam untuk dikongsi oleh sahabat-sahabat semua, malangnya server laman
menghadapi masalah yang mungkin menyukarkan sahabat untuk memasuki laman.
Jadi saya bawakannya di sini untuk dikongsi oleh sahabat-sahabat.

Untuk makluman semua, apabila server laman Taman Ilmu Islam menghadapi masalah,
sahabat-sahabat boleh melayari blog ini sebagai ganti buat seketika. Sesiapa yang ingin
menghantar artikel ketika itu, boleh menghantarnya melalui email kepada ummu_urwah@yahoo.com. Insya-Allah saya akan masukkan di sini dahulu, kemudian
apabila server kembali ok, saya akan masukkan di sana. Cuma untuk berforum terpaksalah
menunggu laman kembali semula.

Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Saya selalu sebut apabila sahabat-sahabat
menyuarakan kesukaran mereka untuk melayari laman; "Belajar itu perlu pengorbanan
dan kesabaran". Maklumlah, bila laman free ni, masalah-masalah sebegini akan timbul.
Walaubagaimanapun, kami akan cuba mengatasi masalah ini. Kalau ikut webmaster
Abu Handzolah mudah je. Katanya "Kan anta nak balik tahun ni, nanti anta kerja
antalah bayar untuk server". Apapun, saya belum berjanji apa-apa, Insya Allah kami
akan cuba mengatasi masalah ini. Harap sahabat-sahabat semua dapat bersabar dan
memberikan komitmen pada laman ini.

Akhirnya, hayati tulisan Saiful Islam ini. Kisah sedih yang banyak pengajaran. Antaranya
supaya kita menghayati persahabatan, kerana kita akan benar-benar merasai kehadiran
dan menghargai mereka hanya apabila mereka telah tiada. Isteri saya menangis ketika membaca cerita ini -kalau dia tahu saya bongkar rahsia ni, habislah saya nanti:). Dan
untuk menambah feeling, sila baca sambil diiringi nasyid dalam klip dibawah :D




Teman Nak Jadi Angkasawan!

Oleh Saiful Islam


Shariman, saya, Faisal, Dzulkhairi, Ziad, Harith dan Fazrin, Blok B SIS, 1990

“Kenapa mike sugul ni?”, saya menyapa Fazrin.

“Mike tengok tu. Yang sana tu Bintang Utara, yang sebelah sini Buruj Pari”, katanya
sambil menunding jari ke langit.

Angin malam di tepi padang sekolah, terasa nyaman sekali.

“Habis, apa yang anta sugulkan?”, saya masih belum faham.

“Idak le. Teman nak jadi angkasawan. Tapi ayah teman suruh teman jadi cikgu aje!”,
jawab Fazrin. Bersungguh benar dia bercerita.

”Ayah mike kan cikgu. Dia tentu le suka mike jadi cikgu”, saya membalas.

”Itu le. Masalahnya, teman nak jadi angkasawan”, kata Fazrin lagi.

Saya ketawa.

Jam sudah hampir pukul 11 malam. Saya dan Fazrin sama-sama beredar ke asrama.

DARI KECIL SEHINGGA DEWASA

Saya sudah bersahabat dengan Fazrin semenjak di sekolah rendah lagi. Kadang-kadang
kami sekelas, tetapi masa paling banyak kami luangkan bersama, adalah kerana aktiviti
kami di dalam Pengakap. Tambah pula adiknya Fazlan turut sama menyertai kami apabila cukup usianya.

Persahabatan saya dan Fazrin terus lagi mengiringi usia remaja kami apabila kami
bersekolah di sekolah yang sama. Dari SRK Raja Di Hilir Ekram, membawa ke SMA
Izzuddin Shah, kami rapat seperti adik-beradik.

Seperkara yang saya tidak gemar dengan Fazrin ialah sikapnya yang suka melayan saya
seperti seorang ketua. Permintaan saya, dilakukannya seperti menerima arahan dari
seorang kapten tentera.

”Ana bukannya bos. Janganlah anta buat ana macam ni”, saya merungut semasa kami
duduk sebelah menyebelah di kelas.

”Baik bos!”, balasnya.

”Tengok tu!”, saya tidak puas hati.

Seingat saya, Fazrin tidak pernah mempunyai musuh. Semua orang suka kepadanya. Terutamanya disebabkan oleh gaya beliau yang kadang-kadang seperti agak kelam
kabut, sering mengundang ketawa.

TINGKATAN 4

Tetapi, kegusaran timbul semasa saya di Tingkatan 4.

“Anta bawa-bawalah bertenang. Ana tolong…”, saya cuba menenangkan Fazrin.

Beliau gelisah kerana tidak sempat menghabiskan ulangkaji subjek Matematik,
menjelangnya Peperiksaan Akhir Tahun. Puas saya memujuk dia, malah berjanji untuk memberikan bimbingan tambahan. Apa gunanya sahabat, jika tidak dapat membantu
pada saat-saat seperti ini?

Tetapi Fazrin terus panik. Hingga urat tengkuknya pun kelihatan tegang dan dahi
berkerut sepanjang masa.

Akhirnya Peperiksaan Akhir Tahun yang digeruni itu tiba. Saya rasa Fazrin tidaklah
begitu sulit untuk menjawab soalan peperiksaannya. Malah sudah mampu tersenyum
selepas habis peperiksaan.

Selepas hari penyampaian hadiah, saya hairan melihat gelagat Fazrin.

”Eh, kenapa anta bawa balik semua barang ni. Cuti sebulan sahaja tahu”, saya menegur.

Semua barangnya, termasuk kertas-kertas kecil semuanya dibungkus dan dibawa
pulang. Malah tilam pun siap diikat dengan tali.

”Apa-apa hal nanti, senang. Barang dah habis kemas”, jawab Fazrin selamba.

”Tangan anta macam mana?”, saya semakin risau dengan keadaan tangannya. Semenjak sebelum peperiksaan lagi, tangan Fazrin seperti beransur lemah.

”Entah le. Makin kebas rasanya”, jawab beliau.

Saya memegang tangan kirinya itu, dan terasa sedikit sejuk.

Kami sama-sama melangkah menuju ke perkarangan sekolah untuk balik ke rumah masing-masing.

”Eh, ayah teman dah balik. Isk…”, Fazrin begitu terkejut kerana ayahnya, Ustaz Fahmi,
yang juga Pengerusi PIBG di sekolah saya, sudah meninggalkan kawasan sekolah.

”Itulah anta. Kan ayah anta cakap suruh cepat. Dia banyak kerja. Yang anta dok sibuk
kemas barang beriya-iya tu, memang patutlah kena tinggal pun”, saya menyampuk.

Fazrin nampak begitu sedih. Hingga bergenang air matanya.

”Jom, ikut ana balik. Biar ayah ana hantar. Rumah kita pun dekat aje”, saya menarik
tangannya.

Kami pulang bersama.

CUTI YANG MENGUBAH SEGALANYA

Semasa cuti sekolah, saya sibuk dengan pelbagai kursus. Hampir tidak lekat di rumah.
Sama seperti kebanyakan cuti yang lain. Saya tidak sempat menjenguk Fazrin, hinggalah
ke minggu terakhir cuti sekolah kami.

”Ya Allah, kenapa dengan anta ni?”, saya rasa seperti hendak terputus urat jantung
melihat keadaan Fazrin.

Badannya kurus kering. Wajahnya pucat. Malah tangan kirinya kelihatan semakin lemah
dan lembik.

”Doktor cakap, ana kurang zat!”, jawabnya lemah.

”Hah, kurang zat? Anta kan kuat makan?”, saya terkejut.

Fazrin memang suka makan. Tetapi badannya tetap kurus dan saya cemburu dengannya.

”Itulah. Puas teman makan macam-macam, tapi senang-senang aje doktor tu cakap ana
kurang zat”, jelas Fazrin. Dalam suara yang lemah, beliau masih sempat bergurau.

Sambil berbual, saya menggosok-gosok kepala adik bongsunya Faiz. Adik-adik yang lain
juga duduk bersama di ruang tamu.

Ada Fazlan, Farhan, Fahzan, juga Farah yang malu-malu sebagai anak perempuan
tunggal dalam keluarganya.

”Hasrizal duduk dulu ya. Makcik buatkan air”, kata emak Fazrin.

”Jangan susah-susah, makcik!”, saya cuba beradab sopan.

Melalui perbualan kami, saya mendapat tahu yang sakit di tangan Fazrin semakin
menjadi-jadi. Bukan sahaja tangan, malah seluruh badannya menjadi lemah tidak
bermaya. Saya sungguh bimbang.

”Habis, minggu depan dah sekolah. Mike datang sekolah tak?”, saya bertanya.

”Aih, mestilah. Kan kita masuk Form 5. Tahun ni SPM woo!”, katanya penuh semangat.

Saya lihat wajah Fazlan semacam resah. Begitu juga adik-adik yang lain.

Selepas beberapa ketika, saya memohon izin untuk pulang.

”Nanti kita jumpa di sekolah ya”, saya melambai tangan, sambil mengayuh basikal balik
ke rumah.

SEKOLAH BERMULA

Saya berada di kelas 5 Perdagangan manakala Fazrin di kelas 5 Sastera.

Bangkunya kosong.

Fazrin tidak datang ke sekolah.

Saya semakin bimbang.

Tengah hari Selasa, saya menelefon ke rumah Fazrin mahu bertanya khabar. Tetapi
kata ayahnya, Fazrin sudah terlalu lemah untuk bercakap. Beliau meminta saya dan rakan-rakan mendoakannya.

”Ya Allah, apa dah jadi dengan sahabatku ini?”, saya semakin gusar.

Saya terus menelefon abah di rumah.

”Abah kalau sempat, abah ziarah Fazrin ye. Macam mana keadaan dia?”, saya meminta
bantuan abah.

Keesokan harinya, saya menelefon kembali ke rumah, ingin mendapatkan kepastian.

”Rizal, abah tengok keadaan Fazrin makin tenat. Dia antara kenal tak kenal dengan abah. Ajaklah kawan-kawan, ziarah dia”, abah bersuara perlahan.

Saya tahu yang abah sangat prihatin dengan kawan-kawan yang rapat dengan saya.
Sebab itu abah tidak teragak-agak pergi melawat Fazrin. Apatah lagi abah dan Ustaz
Fahmi berkawan baik.

Saya panik.

Tanpa bertangguh, saya terus ke bilik guru dan meminta sokongan pihak sekolah untuk menghantar rombongan melawat Fazrin yang sedang sakit tenat.

Tetapi entah kenapa, pihak pentadbiran sekolah sengaja menyusah-nyusahkan protokol mendapatkan bas. Kena tandatangan sini, tandatangan sana, mahu tidak mahu kena
dapatkan juga persetujuan guru harian, yang hakikatnya sudah tiada di sekolah selewat 3 petang.

Akhirnya hasrat saya tidak berjaya. Pihak sekolah langsung tidak peduli dengan saya
yang semakin tersepit di antara takut, marah, geram dan gelisah tidak menentu.

Setiap kali selepas solat, saya memanjatkan doa kepada Allah agar Fazrin disembuhkan.
Setiap solat… setiap saat.

JUMAAT 3 JANUARI 1992

Saya baru sahaja selesai mandi untuk Solat Jumaat. Seperti biasa, dalam perjalanan ke
Musolla, saya singgah ke bilik rakan-rakan sekelas di Blok D untuk mengejutkan
sebahagian mereka yang tertidur.

Tiba-tiba saya terdengar dari jauh, sebahagian rakan saya berbual sesama mereka.

”Eh, aku dengar Fazrin meninggal. Betul ke?”, Rafizul bercakap dengan Khairi dan
Zaizuraimy.

”Ooi! Kalau nak melawak pun jangan le sampai lawak membunuh. Aku tahu le kawan tu
sakit!”, saya menjerit dari jauh.

Terkejut mereka dengan sapaan saya yang ketika itu separuh siuman.

Setibanya saya di Musollah, saya didatangi oleh Muhaimin. Beliau memegang bahu saya.

”Hasrizal, bawa bersabar ya. Ada berita sedih. Fazrin kawan kita, baru sahaja
menghembuskan nafasnya yang terakhir sekejap tadi. Kami baru dapat berita ni dari
pejabat sekolah!”, kata Muhaimin.

”Ya Allaaaah!!!”, saya tersepuk di tangga Musolla. Menggigil tubuh badan seperti hilang
separuh nyawa.

Air mata sudah tidak terbendung. Dada sudah seperti hendak meletup.

HILANG AKAL

Seperti orang gila, saya terus berlari meluru ke pejabat sekolah dan menjerit kepada
guru-guru dan kakitangan, ”Hah, puas hati kamu semua, kawan aku dah matiiiii!”, saya menangis di pintu pejabat sekolah.

Muhaimin dan Akramin cuba menenangkan saya. Mereka memegang saya dan mengajak
ke Musolla.

Sepanjang khutbah dan solat Jumaat, saya menangis tidak tertahan. Basah lengan baju
saya. Masih mengharapkan semua yang saya dengar itu hanya mimpi.

Selepas solat Jumaat, sekolah menghantar rombongan ke rumah Fazrin. Saya melangkah
lesu. Terasa gementar dan tidak upaya mengadap kenyataan.

Orang ramai penuh mengerumuni rumah Fazrin. Setibanya sahaja saya di pagar rumah,
Fazlan berlari dan memeluk saya, ”Abang Has, Abang dah tak ada…..!”

Kami berbalas tangisan. Adik-adik yang lain juga datang memeluk kami berdua. Saya
nampak abah berdiri di tepi pintu rumah dan menganggukkan kepala mengisyaratkan
saya supaya terus sabar dan masuk ke rumah menjenguk jenazah.

Hancur luluh hati saya melihat wajah teman setia semenjak usia hingusan hingga meniti
remaja, berbalut kain putih, terbujur kaku di ruang tamu. Saya gagahkan diri mencium
dahi Fazrin, dan terus mengesat air mata saya yang tumpah ke dahinya.

”Maafkan teman, tak sempat menjenguk mike…”, saya berbisik ke telinganya.

”Hasrizal, Fazrin dah tak ada. Janganlah pula Hasrizal tak datang menjenguk kami ya.
Sekarang ni tinggal Hasrizal jadi abang kepada adik-adik ini semua”, kata emak Fazrin. Suaranya lesu, tapi tidak setitik pun air mata kelihatan di wajahnya.

Makcik terus bertahan.

Saya mengangguk.

Ustaz Fahmi masih terus menangis di halaman rumah. Sahabat-sahabatnya termasuk
abah berusaha menenangkan beliau.

Jenazah Fazrin dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Pasir Puteh, yang
letaknya berhampiran dengan belakang rumah saya. Malah terjenguk jelas dari tingkap.

Kain putih penutup wajah Fazrin, makcik hadiahkan kepada saya. Kain itu saya bungkus
dengan baik dan terus membawanya sehingga ke tahun akhir pengajian saya di Jordan.

DETIK-DETIK AKHIRNYA

Dari Fazlan, saya mendapat cerita, betapa Fazrin telah meninggalkan kepada beliau segala perincian tentang duit perpustakaan yang dipegangnya. Lencana pustakawan dan tali leher
juga diberikan siap-siap. Beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, beliau meminta
kepada ayahnya agar membawa beliau melihat kawasan sekolah buat kali terakhir. Saya
sahaja yang tidak menyedarinya.

Pagi Jumaat itu, tiba-tiba Fazrin berselera untuk makan. Beliau meminta dari opahnya
agar memasakkan gulai lemak telur kesukaannya. Mungkin kerana itu, ibu dan ayah
Fazrin merasakan anak mereka beransur kebah, lantas masing-masing pergi ke tempat
kerja.

Tiba-tiba Fazrin terbuang air kecil dengan banyak hingga basah kainnya.

Semasa Fazrin dipapah ke bilik air, beliau berpesan kepada opahnya agar menyampaikan
salam kepada kedua ibu bapanya.

”Abang rasa abang tak sempat jumpa emak dengan abah. Sampaikan salam abang”, kata
Fazrin.

”Opah, abang rasa mengantuk sangat”, keluh Fazrin kepada opahnya.

”Ha abang, apa opah ajar kalau nak tidur?”, opahnya terus melayan cucunya yang
semakin lemah itu.

”Opah ajar baca Fatihah”, jawab Fazrin lemah.

”Ha, baca le”, kata opahnya.

“Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen. Ar-Rahmaanir Raheem…”, semasa membaca surah al-Fatihah itu, suara Fazrin semakin perlahan, dan akhirnya beliau menghembuskan nafas
yang terakhir sejurus sebelum azan Jumaat berkumandang.

Semoga Allah mencucurkan rahmat dan kasih sayang-Nya kepada teman saya ini, yang
telah pergi lebih 16 tahun yang lalu. Namun setiap kenangan semenjak di sekolah rendah,
hingga ke detik akhir pertemuan kami, masih segar di ingatan saya.

Fazrin tentu cemburu melihat Dr Sheikh Muszaphar Shukor terbang ke angkasa.

”Teman nak jadi angkasawan!”, Fazrin tidak pernah malu dan jemu mengulang ungkapan
ini hingga ke akhir usia persahabatan kami.

Al-Fatihah...

1 comments:

Anonymous said...

Oi, achei seu blog pelo google está bem interessante gostei desse post. Gostaria de falar sobre o CresceNet. O CresceNet é um provedor de internet discada que remunera seus usuários pelo tempo conectado. Exatamente isso que você leu, estão pagando para você conectar. O provedor paga 20 centavos por hora de conexão discada com ligação local para mais de 2100 cidades do Brasil. O CresceNet tem um acelerador de conexão, que deixa sua conexão até 10 vezes mais rápida. Quem utiliza banda larga pode lucrar também, basta se cadastrar no CresceNet e quando for dormir conectar por discada, é possível pagar a ADSL só com o dinheiro da discada. Nos horários de minuto único o gasto com telefone é mínimo e a remuneração do CresceNet generosa. Se você quiser linkar o Cresce.Net(www.provedorcrescenet.com) no seu blog eu ficaria agradecido, até mais e sucesso. (If he will be possible add the CresceNet(www.provedorcrescenet.com) in your blogroll I thankful, bye friend).