Thursday, October 25, 2007

Nurin..Nama Itu Kembali Menghantui!

Nurin..Nama itu kembali menghantui kotak fikiran saya secara tiba-tiba tika membaca satu berita yang terdapat dalam Berita Harian (baca:Berita Hairan :D). Berita berkenaan satu kes kehilangan seorang budak perempuan yang menyerupai kisah kehilangan Nurin. Saya yakin dan pasti, banyak hati yang membaca berita ini berdoa moga-moga kisah tragis itu tidak berulang.

Sebelum ini, saya sering teringatkan Nurin.Seorang yang tak pernah dikenali, tiba-tiba dirasakan seperti amat dekat dengan keluarga kami. Mungkin disebabkan isteri saya yang sering mengulang-ngulang kisahnya. Dan saya pula kadang kala tak perlu mengikuti perkembangannya melalui dada-dada akhbar, cukup mendengar kisahnya di sertai komentar dan huraian sepenuh hati oleh isteri saya :). Saya memahami jiwa isteri saya. Bukankah pepatah mengatakan, "Hanya Wanita Yang Memahami Wanita"? Apatah lagi statusnya sebagai seorang ibu, lagi-lagilah hati kewanitaanya itu tersentuh. Saya yakin, di luar sana, ramai lagi hati wanita dan ibu yang tersentuh.

Keseronokan menyambut hari raya yang tiba baru-baru ini, melupakan seketika kita
kepada Nurin. Tetapi takdir Allah, ketenangan itu berkocak kembali dengan berita ini.
Adakah kisah tragis dan sedih ini akan berulang kembali?Ikutilah perkembangan
selanjutnya..

Bagi saya pula, tipulah kalau saya katakan saya tidak tersentuh dengan kisah Nurin ini.
Setiap yang masih ada perasaan kemanusiaan dalam dirinya, tak mungkin boleh
menganggap kisah ini satu perkara biasa. Apatah lagi, saya yang kini mempunyai seorang
anak perempuan, hati ini tak dapat lari dari memikirkan apakah nasib dan cabaran yang
akan dihadapinya dihari mendatang. Dan kegusaran itu makin bertambah dan
membesar tatkala mengingatkan kami akan pulang ke Malaysia insya Allah pada akhir
tahun ini. Kadangkala, saya terfikir juga, rasa lebih aman, selamat dan selesa berada di
bumi Mesir ini (seorang sahabat saya yang berada di Malaysia ketika ini juga berkata demikian!). Sekurang-kurangnya, tak pernah terdengar jenayah yang sebegitu teruk
berlaku di sini.

Mesti Kembali Kepada Islam.

Kes-kes jenayah seperti ini, sepatutnya menyedarkan kita, pentingnya kembali kepada
ajaran Islam. Hanya Islam yang boleh menangani dari bercambahnya jenayah-jenayah
seperti ini. Andai kita belum bersedia untuk kembali kepada Islam, kes-kes seperti ini
akan terus berulang.Tambahlah askar dan polis sekali ganda, penyakit sosial seumpama
yang terjadi pada Nurin itu tidak akan berakhir.

Semuanya mengutuk kejadian dialami Nurin Jazlin. Perdana Menteri dan Ketua Polis
Negara berjanji untuk mengejar dan menghukum si bedebah. Semuanya tidak
menghilang ketakutan semua kerana tiada janji jenayah kejam tidak berulang.

Padahal negara ada undang-undang dan ada polis. Semuanya tidak menjamin nyawa, keselamatan dan harta rakyat.

Inilah ketakutan yang dialami oleh manusia di bawah sistem jahiliyah sebelum, semasa
dan selepas kelahiran Rasulullah s.a.w.

Mengapa? Kerana jahiliyah tidak menjamin keamanan dan keselamatan. Yang
menjamin keamanan dan keselamatan ialah Islam dan segala peraturannya. Panduannya
ada dalam al-Quran dan sunah nabi-Nya. Siapa yang berpandu dengan pusaka
peninggalan Rasulullah s.a.w. - al-Quran dan sunah - insya Allah sejahtera dunia akhirat.
Nabi Muhammad s.a.w. sudah menjanjikan begitu.

Kekejaman yang menimpa Nurin tidaklah sekejam yang dialami masyarakat jahiliyah
Makkah sebelum kedatangan Islam. Sekalian penjenayah yang berhati binatang semasa
itu telah menjadi orang taqwa dengan mengamalkan peraturan Islam. Antaranya
menjadi manusia yang mulia seperti Sayidina Umar al-Khatab.

Cara Islam Menangani Jenayah

Dalam Islam ada amar makruf dan nahi munkar. Ada targhib (menggembirakan) dan ada
tarhib (menakutkan). Ada unsur mendidik dan ada unsur pencegahan. Semua ini mesti dilaksanakan untuk memastikan Islam itu berkesan sebagai ubat. Mendidik tanpa
adanya pencegahan akan menyebabkan manusia leka. Manakala cegahan tanpa didikan, menutup keindahan Islam dan memberi imej buruk serta mungkin menyebabkan
manusia lari dan memberontak!

Dalam konteks mendidik, agenda menyedarkan masyarakat berkenaan ajaran Islam
mesti diutamakan.Program dan aktiviti ke arah itu perlu dipertingkat dan disemarakkan.
Tak perlu disekat-sekat atau dianggap serong jauh sekali sesat. Malangnya realiti yang
ada adalah sebaliknya.Sekatan dan halangan adalah perkara biasa yang berlaku.
Sebaliknya, program-program hiburan dan melalaikan terus di suburkan. Mungkinkah
ini acuan Islam Hadhari?

Dalam Islam juga ada unsur pencegahan. Adanya undang-undang Islam yang boleh
mencegah manusia dari melakukan jenayah. Di dalam al-Quran, Allah telah menyatakan
secara jelas bahawa hukuman potong tangan itu adalah satu pencegahan (nakalan
minallah) dari Allah. Ini bermakna terdapat campurtangan Allah dari segi pencegahan
dan mengawal jenayah tersebut. Hukuman yang digubal manusia bagi dikenakan ke
atas pencuri tidak mendapat jaminan pengawalan dan pencegahan daripada Allah.
Malahan hukuman itu dimurkai oleh Allah. Maka tidak hairanlah kadar kecurian akan
terus meningkat selagi kita masih sombong dan bongkak dengan hukuman yang kita
gubal.

Penggunaan undang-undang ciptaan Barat sebenarnya telah terbukti gagal dalam
membendung atau mengurangkan kes-kes jenayah di mana juga tempat yang mendaulatkannya. Contohnya,pada tahun 2006 sahaja,kes jenayah kekerasan dan harta
benda di negara kita adalah 198 622 kes;meningkat daripada 157,459 kes dalam tahun
2005 dan 156,455 kes pada 2004.Jumlah jenayah terus meningkat,tanpa ada tanda-
tanda untuk turun.Justeru,sampai bila kita mahu terus hidup dalam ketakutan?

Perlaksanaan Undang-undang Islam juga akan membawa keamanan dan kesan yang
mendalam kepada kesejahteraan negara. Adalah satu fenomena biasa di Arab Saudi terutamanya di Makkah atau Madinah, para peniaga meninggalkan jualan mereka
(termasuk peniaga matawang) dengan hanya menutup dengan sehelai kain ketika
meninggalkan premis untuk menunaikan solat.Langsung tiada kebimbangan. Ianya amat
kontra dengan situasi yang berlaku di negara Malaysia dan negara-negara lain yang mengamalkan hukum ciptaan Barat. Amerika sendiri yang dianggap bangsa yang paling
maju dengan undang-undang jenayah yang ketat dan polis yang cekap, tetapi
pembunuhan di New York bukan lagi mengikut hari tetapi mengikut jam.
Setiap jam ada pembunuhan.
Di Malaysia pula, mengikut perangkaan tahun 2003 dan
tahun 2004, jumlah kes bunuh bagi kedua-dua tahun ini adalah sama iaitu sebanyak
565 kes setiap tahun
[Rujukan lanjut:http://www.kehakiman.gov.my/buku_laporan/LaporanBM/JD115585%
20Tek%2004.pdf [www.kehakiman.gov.my].

Ini jauh berbeza dengan Arab Saudi yang hanya 35 orang dihukum bunuh/pancung pada
2004. Dan harus diingat,hukuman pancung ini turut dikenakan kepada pesalah kes rogol, mengedar dadah dan rompakan bersenjata. Kes-kes jenayah lain juga turun dengan
mendadak semenjak pelaksanaan semula Hukum Hudud di Arab Saudi yang dilaksanakan berdasarkan mazhab Hambali bermula sekitar 1920-an. Angka rasmi menunjukkan
hukuman potong tangan tidak pernah dijalankan di Arab Saudi kecuali dua kali setahun.
Perkara ini diperkuatkan lagi dalam satu Persidangan Arab mengenai Jenayah dan
Pemulihan Penjenayah yang dilangsungkan di Kuwait pada tahun 1970.

Satu perkara yang menarik di satu derah di wilayah Ardoyne, Belfast iaitu salah satu
wilayah di Ireland Utara, hukuman ke atas pencuri dijalankan oleh I.R.A dan ianya
dilaporkan di dalam majalah TIME (8/4/1971) yang mengatakan bahawa kadar jenayah
di wilayah tersebut telah menurun dengan perlaksanaan hukuman tersebut. Majalah
TIME menyifatkan hukuman tersebut sebagai "Rough Justice".

Tambah menarik lagi, seorang professor di Amerika iaitu Prof. Ducasse C.J. di dalam
bukunya Philosophy and Wisdom in Punishment berkata bahawa jika penyeluk saku
dibakar tangannya atau dipotong tangannya, maka mereka akan berhenti daripada
melakukan perbuatan menyeluk saku.

Tugas Semua

Justeru, kedua-dua elemen ini mesti diterapkan dalam masyarakat. Ini tanggunjawab
kita, dan kita akan dipersoalkan di akhirat kelak atas kemampuan yang kita cuaikan.

Bagi pihak pemerintah, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan keamanan
dan keselamatan rakyatnya. As-Syeikh Abdullah bin Omar bin Sulaiman Ad-Damiji menyatakan, tujuan kepimpinan Islam adalah melaksanakan suruhan Allah di bumi atas
bentuk yang telah disyariatkan, melaksanakan tugasan amar makruf dan nahi Munkar,
menyebarkan kebaikan dan mengangkat kebaikan itu setinggi-tingginya. Juga, melarang
dari berlakunya kemungkaran dan kefasadan dalam hukuman dan memberi
keselamatan kepada harta dan ahlinya [Al-Imamah Al-Uzma : m/s 79.]

Kerana itu, hendaklah kembali kepada sistem pemerintahan Islam, dan ditinggalkan sistem-sistem jahiliyyah, kerana hanya dengan perubahan itu, tanggungjawab ini akan
tertunai.

Bagi orang awam dan kebanyakan, kita juga bertanggungjawab berusaha sekadar
kemampuan masing-masing untuk menyedarkan masyarakat agar kembali kepada
Islam. Tidak perlu ditunding kepada sesiapa, jika ad kesedaran dan sayangkan generasi
akan datang,bangkit dan berjuanglah. Inilah pesanan saya kepada sahabat-sahabat, pelajar-pelajar Al-Azhar mahupun Perubatan lewat pertemuan saya dengan mereka
dalam program-program.

Moga Islam kembali tertegak, dan keamanan kembali bersinar!


Berita di petik dari Berita Harian

Lagi kes hilang mirip Nurin
Oleh Faiza Zainudin dan Rudy Syareme Sheriffudin


Rekha Abdullah

Murid tak pulang selepas beli VCD di pasar malam


GEORGETOWN: Belum pun selesai siasatan kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mayatnya dijumpai dalam beg pakaian sukan selepas hilang selama 27 hari, seorang lagi budak
perempuan dilaporkan tidak pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam
berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini, empat hari lalu.


Malah, kehilangan Rekha Abdullah (gambar), 10 , juga menyamai kes Nurin yang tidak
pulang selepas keluar berseorangan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen
1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui hampir
sebulan selepas itu.


Rekha, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut di
sini, dikatakan ke pasar malam berhampiran rumahnya, kira-kira jam 9 malam Isnin
lalu untuk membeli cakera padat video (VCD).


Bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, seorang peniaga barang lusuh, berkata Rekha meminta
RM5 untuk membeli VCD di pasar malam serta mengajak abang sulungnya
menemaninya.


Bagaimanapun, abang Rekha yang berusia belasan tahun, ada urusan lain.

Berikutan itu, Rekha yang berbaju-T dan seluar panjang putih, keluar seorang diri
dengan membawa wang RM5. Ketika itu, ibunya, Salmah Sellamah Abdullah, 41, seorang
warga India bertaraf pemastautin tetap, bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas.


Ahamad yang ditemui di rumahnya di sini semalam, berkata beliau sekeluarga bimbang
apabila Rekha tidak pulang ke rumah selepas jam 12 tengah malam dan dengan bantuan beberapa jiran, mencarinya di sekitar tapak pasar malam, rumah rakan serta tempat
permainan anak tirinya itu, tetapi menemui jalan buntu.


Selepas empat jam mencari dan gagal menemui Rekha, Ahamad membuat laporan di
Balai Polis Central di sini, kira-kira jam 4 pagi.


"Sehingga kini, kami tidak mendengar sebarang berita mengenainya," katanya.

Salmah yang tidak tidak boleh berbahasa Melayu atau Inggeris, hanya menitiskan air
apabila menunjukkan potret anak keenamnya itu. Pasangan Salmah dan Ahamad
mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka, tiga tahun lalu.


Ahamad berkata, sebelum ini Rekha sering ke pasar malam, tetapi bersama abang atau rakannya.

"Sebelum ini tidak masalah kerana dia balik selepas ke pasar malam atau ke rumah
rakannya," katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Samah Mat,
berkata gerakan mencari Rekha dilancarkan sebaik polis menerima laporan mengenai kehilangannya.


Operasi mencari kanak-kanak itu diketuai Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten
Komisioner Azam Abdul Hamid.


Beliau berkata, usaha mencari di rumah sanak saudara kanak-kanak itu setakat ini
gagal menemui mangsa atau mendapat sebarang petunjuk. Gerakan mencari Rekha juga diperluaskan bukan saja ke seluruh Pulau Pinang, malah ke negeri lain termasuk Kuala
Lumpur.


Abdul Samah menegaskan, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kes berkenaan, terutama ia membabitkan kanak-kanak perempuan kerana khuatir berlaku kejadian
tidak diingini.


"Siasatan masih dijalankan dan setakat kini masih tidak ada perkembangan, itu yang
kita bimbangkan. Terlalu awal untuk buat andaian (diculik)," katanya.


Beliau turut mempersoalkan tindakan bapa tiri Rekha yang membenarkan budak itu
keluar seorang diri untuk membeli VCD di pasar malam.


"Budak itu minta duit daripada bapa tirinya untuk beli VCD. Bagaimana kanak-kanak
itu boleh dibenarkan keluar seorang diri pada waktu malam... itu yang menghairankan.


"Masih ada keluarga yang tiada kesedaran mengenai keselamatan kanak-kanak.
Keluarganya juga kata kanak-kanak ini sering keluar seorang diri dan tiada masalah
pulang ke rumah," katanya.


Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kehilangan Rekha diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di talian 04-2292222 atau balai polis berhampiran.

1 comments:

raudah yunus said...

assalamualaikum ustz wan salimi, sy berasa sedikit terpanggil untuk memberi komen bukan mengenai kes rogol di malaysia..ttp ttg artikel perjuangan politik Islam di Malaysiayg ustaz ada paste.

Pertamanya terima kasih byk atas artikel yg sgt berinformasi dan menarik itu.Byk yg sy pelajari dan faham drpd artikel tadi.Sy juga amat tertarik dgn sejarah perkembangan ideology ikhwan muslimin dan perpecahan jemaah yg berlaku di kalangan org2 Islam di Malaysia. Sy ada beberapa soalan yg sy harap utz tidak keberatan utk menjawabnya:

1.Jika dilihat sejarah pembentukan dan perjalanan IM yang bermula dari tahun 1928 (kalau x silap) dan dibandingkan dengan sejarah perkembangan parti2/ jemaah2 islam di Msia, jelas bhw kadar perpecahan/ pembentukan jemaah baru drpd IM amat kurang berbanding yg berlaku di Malaysia (wallahua3lam, sekadar pemerhatian sy),jadi mengapa IM kelihatan lebih berjaya dari segi mengekalkan perpaduan ahli dan umat Islam secara am, sedangkan kita gagal? (jika benarlah fikrah dan silibesnya sama)

2.Apakah pendapat ustaz ttg kewujudan multi-jemaah di kalangan rakyat msia? Adakah ia sesuatu yg salah, atau satu petanda positif bhw kita sebenarnya semakin matang dalam membuat penilaian?

3.Politik sememangnya penting,dan memberi impak besar pd masyarakat.Namun, tidakkah penekanan yang melampau kpd aspek2 politik semata2 hingga mengabaikan aspek 'pendidikan' dan 'penanaman nilai2 Islam' terhdap individu2 muslim hanya akan menyebabkan masyarakat mengambil antara 2 langkah- menolak usaha pembentukan kerajaan Islam-atau menerima proses Islamisasi atas dasar taklid buta?

sekian,terima kasih.Maaf lah kalau soalan sy panjang sgt.