Monday, October 15, 2007

Songkok Hitam Atau Kopiah Putih?

Sambil-sambil makan lemang atau ketupat cicah rendang di hari raya ini, artikel di
bawah elok kita sama-sama fikirkan. Jangan di sebabkan kecenderungan kita terhadap
sesuatu golongan, manyebabkan kita silap menghukum. Seperti dalam artikel ini,
menganggap orang lain tidak bersikap patriotik sedangkan patriotik itu lebih luas
maknanya dari pakaian yang dipakai. Apa gunanya berbaju melayu dan bertanjak
malah menghunus keris sekalipun andai jati diri dan peribadi kian terhakis sementara
negara dan kedaulatannya kian hari kian tergadai ke tangan orang asing....

Bila songkok hitam jadi bahan kempen Menteri Penerangan di pagi raya
Oleh: Ahmad Tajdid


Apabila Zainuddin Maidin (Zam) yang juga Menteri Penerangan memberikan ucapan di Nasional FM pada hari raya pertama, saya tidak berapa berminat mendengarnya.
Tetapi apabila beliau mula bercakap tentang songkok hitam dan betapa beliau gembira
kerana semakin ramai umat Islam Melayu Malaysia memakai songkok hitam sewaktu
Aidilfitri, naluri ingin tahu saya mendorong telinga saya 'melekap' di corong radio.

Menurut Zam, meningkatnya bilangan umat Melayu yang bersongkok hitam sewaktu
Aidilfitri adalah suatu perkembangan yang baik kerana orang Melayu sudah mula
kembali kepada identiti Nusantara dengan bersongkok hitam. Beliau juga secara sinis mengkritik orang Melayu yang berkopiah putih dan menganggap kopiah yang dipakai
tidak melambangkan 'budaya Melayu' tetapi budaya yang datang dari Timur Tengah!

Hati saya berdetik: "Orang tua ni buat dah!"

Saya termenung sejenak memikirkan pandangan Zam itu. Di pagi Aidilfitri ini,
sepatutnya Menteri Penerangan bercakap tentang sesuatu yang lebih utama daripada
isu songkok hitam. Kenapa tidak disebut tentang soal mengukuhkan persaudaraan, memperbaiki hubungan, menghidupkan amalan ziarah menziarahi (daripada duduk di
hadapan tv menonton rancangan hiburan!). Zam boleh bercakap tentang seribu satu
macam topik yang lebih utama daripada songkok hitam!

Bagaimanapun, apabila direnung kembali rekod perkhidmatan Zam, beliau memang
terkenal dengan kontroversi-kontroversi tidak perlu - contohnya mewajibkan semua penceramah agama yang keluar di kaca tv memakai songkok hitam! Seorang prof
akademi pengajian Islam pernah merungut di dalam ceramahnya tentang arahan
tersebut.

"Saya bukan tak mahu pakai songkok hitam, tetapi tak berapa selesa kerana penari
zapin pun pakai songkok hitam," katanya berseloroh.

Benarkah songkok hitam budaya Melayu Nusantara?

Ada dua isu yang timbul daripada kenyataan Zam ini. Pertama: Adakah benar songkok
hitam adalah budaya asal Melayu dan Nusantara yang wajib dipertahankan. Kedua:
Adakah budaya Timur Tengah (Islam) yang diamalkan oleh sebahagian bangsa Melayu
seperti berkopiah putih (menurut pandangan Zam) tidak boleh diterima sebagai budaya
Melayu dan Nusantara?

Ketika sebahagian wakil-wakil rakyat PAS muncul di Dewan Rakyat dengan berbaju
Melayu lengkap pada majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat selepas pilihan
raya umum 1999, penampilan itu mendapat pujian pelbagai pihak. Mantan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam dilapor melahirkan kekaguman dengan identiti
yang ditunjukkan wakil-wakil rakyat PAS itu. Memang mereka, terutamanya Presiden
PAS, Ustaz Fadzil Mohd Nor tampil segak berbaju Melayu dan bersongkok. Penulis
diberitahu, Almarhum Ustaz Fadzil sebenarnya lebih selesa bersongkok hitam ketika menghadiri sidang Dun dan Parlimen. Mantan Yang Dipertua Agung PAS, Dr
Buhanuddin al-Helmi dan Timbalannya, Prof Zulkifli Muhammad juga bersongkok
hitam. Oleh itu tidak timbul isu kopiah putih dan songkok hitam dalam PAS kerana ia
isu remeh yang tidak harus diangkat menjadi isu nasional.

Bagaimanapun untuk memperbetulkan tanggapan Zam tentang songkok hitam dan
kopiah putih, rasanya elok kita menelusuri sepintas lalu sejarah pemakaian songkok
hitam dan kopiah putih umat Melayu Islam negara ini.

Dalam pemerhatian penulis, songkok hitam tidak menjadi pakaian orang-orang Melayu
sebelum abad ke-20. Lihat sahaja lukisan dan foto berhubung bangsa Melayu yang
dipamerkan di muzium dan buku-buku sejarah Melayu seawal pemerintahan
kesultanan Melayu Melaka. Apa yang dapat kita lihat, orang Melayu lebih gemar
memakai ikat kepala (dipanggil semutar di Kelantan dan Terengganu). Bagi golongan
kerabat dan bangsawan Melayu, setanjak dipakai bagi menggambarkan status
kedudukan.

Filem-filem klasik Melayu juga tidak pernah menunjukkan songkok hitam sebagai
pakaian Melayu. Daripada filem Hang Tuah, Laksamana Bentan, Panglima Harimau
Berantai, Batu Belah Batu Bertangkup, Singapura Dilanggar Todak dan seumpamanya,
tidak seorang pun aktor Melayu yang memakai songkok hitam! Takkanlah Zam tak
perasan?

Sebaliknya, pemakaian serban dan kopiah putih sudah tercatat dalam sejarah Melayu
sejak kedatangan pedagang dan pendakwah Islam daripada Timur Tengah ke Melaka.
Lihat sahajalah filem klasik Siti Zubaidah yang menggambarkan sebuah keluarga alim berketurunan Raja di sebuah pulau yang ketua keluarganya berserban dan berjubah.
Dalam filem itu, aktor-aktor Melayunya tidak langsung bersongkok hitam!

Bapa persuratan Melayu, Abdullah Abdul Kadir Munsyi (1796-1854) digambarkan
sebagai seorang lelaki yang gemar memakai tarbus dan bukan berkopiah hitam. Karya
Abdullah yang terkenal, Hikayat Abdullah dan Pelayaran Abdullah, yang banyak
menceritakan perihal kehidupan orang Melayu pada zamannya tidak menyebut
langsung tentang songkok hitam sebagai pakaian orang Melayu pada abad ke-19.

Sehubungan itu, kita boleh membuat kesimpulan bahawa songkok putih lebih sinonim
dengan budaya Melayu dan Nusantara berbanding songkok hitam yang hanya muncul
dalam sejarah peradaban Melayu di awal abad ke-20!

Dari mana datangnya songkok hitam? Dalam pemerhatian penulis, budaya memakai
songkok hitam di bawa oleh pendatang India Muslim benua India yang berhijrah ke negeri-negeri selat semasa pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu. Dalam erti kata lain,
kaum kerabat Zam yang dikategorikan Abdul Rahim Kajai - seorang pengasas sastera
Melayu moden - sebagai "Melayu DKK" membawa budaya songkok hitam ke Tanah
Melayu. (Untuk lebih memahami tentang "Melayu DKK" dan "Melayu DKA", sila baca tulisan-tulisan Abdul Rahim Kajai).

Berdasarkan pemerhatian penulis, foto sejarah Melayu paling awal yang menggambarkan seorang Melayu berkopiah hitam adalah foto Syed Syeikh al-Hadi. Syed Syeikh al-Hadi
pun bukanlah anak Melayu tulen Tanah Melayu tetapi termasuk dalam kategori "Melayu
DKA" tafsiran Kajai.

Untuk pengetahuan Zam juga, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak bersongkok
hitam mahupun berbaju Melayu lengkap ketika melaungkan "Merdeka" di Stadium
Merdeka pada pagi 31 Ogos 1957. Tunku Abdul Rahman berpakaian "baju MUscat" -
berasal daripada Oman - dengan bersetanjak. Raja-raja Melayu yang berada di
pentas juga tidak mengenakan songkok hitam malah bersetanjak.

Di benua India - tempat asalnya songkok hitam - pakaian itu tidak melambangkan
agama pemakainya. Dalam filem biografi 'Ghandi' - filem yang memenangi kategori
kustom terbaik Festival Filem Amerika, para penganut Hindu asal India di Afrika Selatan
dan penyokong parti KOngres India pimpinan Pandit Jawharlal Nehru memakai songkok sebagai pakaian harian.

Untuk pengetahuan Zam juga, para anggota sayap pemuda parti Nasionalis India,
Barathiya Janata (BJP) yang dikenali sebagai Rhang Savak Sangh (RSS) memakai
songkok sebagai pakaian rasmi. RSS adalah salah satu persatuan ekstremis Hindu
yang bertanggung jawab meruntuhkan Masjid Babri di India!

Sepupu penulis yang berkhidmat dengan tentera Malaysia pernah menasihati penulis.
Beliau yang berpengalaman berkhidmat di Sarawak dan negara jiran Indonesia
mengingatkan penulis supaya berhati-hati apabila ingin menjamu selera di beberapa
bandar di Sumatera dan pulau Jawa.

Beliau pernah masuk ke 'rumah makan' yang tuan punyanya bersongkok hitam tetapi terperanjat melihat 'kerbau pendek panggang' bergantungan di bahagian dapur restoran
itu apabila mahu ke tandas. Mujurlah beliau belum menjamah makanan dan memohon
maaf kepada tuan punya kedai kerana tidak tergamak makan di situ!

Terimalah songkok hitam mahupun kopiah putih

Seperti ditekankan di awal penulisan ini, bukan niat penulis untuk menjadikan songkok
hitam mahupun kopiah putih sebagai polemik Aidilfitri. Bukan juga niat penulis untuk mengkategorikan Melayu sebagai Melayu tulen, Melayu DKK dan Melayu DKA. Apa yang penulis hajatkan adalah meletakkan budaya pemakaian songkok hitam dan kopiah putih
pada perspektif yang betul apatah lagi apabila isu ini disinggung Menteri Penerangan
dalam saluran rasmi radio kerajaan di hari pertama Aidilfitri.

Dalam konteks Malaysia, songkok hitam, kopiah putih, Melayu tulen, Melayu DKK
mahupun Melayu DKA sebenarnya diikat oleh satu unsur kesamaan iaitu Islam. Islam
adalah agama universal yang merentasi budaya, bangsa dan warna kulit. Menteri
Penerangan perlu menginsafi hakikat ini kerana tiada siapa pun yang mahu Islam
disempitkan dan umatnya dikurung di bawah songkok hitam!

2 comments:

abumam said...

kagum yg sebenar = kopiah adalah gambaran untuk muslim

abumam said...

kagum yg sebenar = kopiah adalah gambaran untuk muslim